Pameran kembalikan penyatuan antara puisi , seni lukis
Siti Haliza Yusop, 'Kasih Bunga Putih angkat peranan Usman Awang',
Berita Harian (Sastera dan Budaya), Sabtu 21 Julai 2018.
Pameran Kasih Bunga Putih yang berlangsung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mengembalikan penyatuan antara puisi dan seni lukis seperti dimulakan Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Usman Awang pada dekad 1970-an.
Pameran itu mengangkat semula Manifestasi Dua Seni I dan II, masing-masing diadakan pada 1970 dan 1972 yang memperlihatkan peranan Usman dalam menghubungkan sastera dan seni lukis.
Usman bukan asing dalam seni lukis, malah ketika menjadi editor Dewan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), beliau adalah penggerak utama dalam menyatukan sasterawan dan seniman pelbagai disiplin merentasi bidang.
Sudut Penulis yang diwujudkan Usman tidak hanya menemukan penulis, penyair dan pelukis, malah menjadi ruang buat pelukis mempamerkan hasil kerja mereka.
Kurator Kasih Bunga Putih, Faizal Sidik, berkata Manifestasi Dua Seni I dan II memperlihatkan pertembungan antara budaya seni lukis dan visual yang akhirnya membentuk satu makna baru dalam pennciptaan dan penghasilan seni.
Katanya, pameran Kasih Bunga Putih yang mengambil sajak Usman, Bunga Putih boleh dicirikan sebagai terjemahan antara dua sistem perlambangan. Ia mentafsir serta menghurai teks seni kata yang mendukung perpaduan, keamanan dan kemanusiaan sejagat.
Sistem tanda dalam sistem seni
Dalam pengajian penterjemahan dan interpritasi atau sains linguistik terapan katanya, terdapat apa yang disebut sebagai ragam terjemahan perpindahan daripada bahasa kepada rupa.
"Pertukaran kepada sistem tanda ini mencipta ruang untuk penglihatan dan sentuhan sebagai sistem tanda baru.
"Ini akan mempengharuhi dan merangsang ruang rasa dalam menambah nilai persepsi kita terhadap bentuk serta rupa dan inilah yang dipaparkan melalui Kasih Bunga Putih," katanya ketika ditemui di Galeri ASWARA di sini.
Antara yang menarik turut dibawakan dalam pameran kali ini ialah karya berusia hampir empat dekad oleh seniman penting dalam seni halus, Redza Piyadasa, iaitu Tribute to Usman Awang II.
Catan berformat setem dengan format Usman itu turut menjadi karya tema bagi pameran Kasih Bunga Putih.
"Redza Piyadasa menghasilkan dua karya khusus bagi memperingati Usman yang disifatkan kawan dan lawan beliau.
"Catan itu dihasilkan Redza sempena menyambut ulang tahun ke-50 kelahiran Usman pada 1980 dan dipinjamkan kepada kami oleh pengumpul persendirian, Pakhruddin dan Fatimah Sulaiman," katanya.
Naskah Redza Piyadasa itu satu daripada 30 karya oleh 25 orang pelukis seniman yang dipamerkan di Galeri ASWARA sehingga 31 Julai ini bersempena hari bersempena hari menenang Kasih Sasterawan Negara.
Selain Redza, turut ditampilkan ialah karya Siti Zainon Ismail, Suzlee Ibrahim, Nirmala Shanmughalingam, Amiruddin Ariffin, Ismail Abdullah, Dzul Afiq Zakaria, Nora Abdullah, Jalaini Abu Hassan, Mazlan Noor, Khairudin Zainudin.
Yang turut serta Raja Zahabuddin Raja Yaacob, Sharifah Zuriah AlJeffri, Mohd Ismail Abdullah, Shafie Hassan, Zaimie Sahibil, Faizal Suhif, Zakaria Ali, Mohamad Hassan, Raja Azhar Idris, Lyn Khairi, Anwar Rahman, Norwani Md Nawawi, Mohd Safwan dan Marvin Chan.
Penyatuan sastera dan seni lukis
Sahabat Usman, Prof. Dr Siti Zainon Ismail, berkata sajak Usman mengandungi banyak elemen seni lukis dan ini tidak menghairankan kerana sejak sekian lama beliau dikenali sebagai penulis yang mempunyai jalinan kuat dengan pelukis.
Siti Zainon yang menghasilkan dua catan daripada puisi Usman, Jentayu berkata, keakraban puisi dan seni lukis yang paling awal antaranya boleh dilihat apabila Datuk Ibrahim Hussein menghasilkan catan yang berjudul Aku dan Aku daripada puisi Usman, Pak Utih.
"Üsman kemudian 'menjawab' lukisan Ibrahim itu dengan menghasilkan puisi baharu dan begitu cara Usman terus menghidupkan seni lukis dan puisi sekaligus pada ketika itu.
"Pameran yang mengabung pelukis dan penyair ini pernah dibuat sebelum ini tetapi apabila beliau meninggal dunia, kegiatan ini seolah terhenti dan kita mahu mengembalikannya melalui pameran Kasih Bunga Putih." katanya.
Terap semangat pahlawan