TEKS UCAPAN PERASMIAN
FAIZAL SIDIK
KURATOR BALAI SENI NEGARA
DI MAJLIS PERASMIAN PAMERAN
DIPLOMA SENI HALUS
‘KRONOLOGI’ ,
FAKULTI SENI LUKIS DAN SENI REKA, PERAK
GALERI AL-BIRUNI
FAKULTI SENI LUKIS DAN SENI REKA
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA
PERAK
KHAMIS, 11 JANUARI 2018
WAKTU PERASMIAN 10.PAGI
Assalamulaikum Warahmatullahi Wabarokatuh dan selamat sejahtera,
Saudara/ri Pengacara Majlis,
Yang Berbahagia Pn Azian Tahir,
Ketua Program Jabatan Seni Halus,
Yang Berusaha En Aznan Omar,
Kurator Galeri Al-Biruni,
Pengarah program, para pensyarah, kumpulan kuratorial, hadirin dan mahasiswa yang kita raikan pada hari ini. Ada dikalangan pensyarah yang pernah menjadi pensyarah dan rakan sekerja saya dulu misalnya En Mahizan Hijas, En Ajib (Dr), En. Izadin Matrahah, En. Aznan Omar, Tn. Hj Daud Rahim, En. Hamdan Sharaani, En Syed Alwi, Syed Abu Bakar, En Azizan Rahman Paiman dan ramai lagi maaf jika ada yang tertinggal
Terlebih dahulu bersama-samalah kita memanjat kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan rahmatnya memilih kita untuk berada di dalam majlis, bagi saya ia sebuah majlis ilmu dalam karya-karya yang akan kita ditatap dan dengar sebentar lagi. Saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur iaitu Galeri Al-Biruni kerana menjemput dan memilih saya untuk merasmikan pameran Diploma Seni Halus yang bertajuk ‘Kronologi’ pada hari pagi ini.
Tahniah kepada pelajar-pelajar Diploma Seni Halus yang akan menamatkan pengajian setelah berpenat lelah yang diharungi dalam beberapa tahun ini. Saya bukanlah asing di UITM Perak ini dulunya ITM. Saya ceritakan latar saya sedikit, 20 tahun dahulu saya pernah menjadi siswa di ITM Seri Manjung, Saya merupakan pelajar atau ‘batch’ ketiga AD iaitu sesi 1996-2000. Saya rasa mungkin pelajar seni halus yang ada ini berumur satu atau dua tahun. Semasa di Asasi Seni (Foundation Studies) jika saya boleh ingat pensyarah yang mengajar kami adalah seperti En Din (Kini Dr Zainuddin), Pn Zaharah, En Khalil Sulaiman dan kemudian En. Azhar Manan dan En Izaddin Matrahah yang baru balik belajar dari luar.
Saya kira mahasiswa AD yang kini berada di Seri Iskandar beruntung kerana dengan infrastruktur seperti bangunan, peralatan dan kelengkapan yang serba serbi cukup. Kami dahulu hanya menumpang di Rumah Kedai Blok I,J,K yang saya ingat bagi siswa. Walaupun serba kekurangan ada juga kelebihan, asrama kami hanya berada di atas studio. Maklumlah rumah kedai dua tingkat, bawah tempat buat kerja dan atas adalah bilik tidur, jadi boleh guna studio sampai pagi. Saya masih ingat ada pensyarah, En Khalil naik ke asrama mencari pelajar yang tak turun ke studio, ha itu pula tidak bagusnya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Bercakap berkenaan pameran Diploma Seni Halus saya rasa mahasiswa yang akan bergarduan bertuah sekali lagi kerana telah tersedia dengan sebuah galeri yang indah di tepi tasik. Galeri Al-Biruni, Al Raihan Al-Biruni kalau tak silap saya nama seorang tokoh ilmuan Islam yang juga ahli matematik dan ahli falsafah yang hidup di Zaman Pertengahan. Beliau juga rakan pelajar kepada Ibnu Sina yang cukup terkenal di Barat. Kenapa saya mengatakan anda beruntung kerana Galeri Al-Biruni ini telah tersedia dengan kelengkapan berpameran seperti panel, lampu dan lain-lain lagi.
Kami dulu selepas sahaja penilaian akhir terpaksa berpameran di luar untuk mendekatkan hasil kerja kami dengan khalayak. Jika tidak silap saya sesi pertama dan kedua Jabatan Seni Halus mereka berpameran di Perpustakaan Awam Negeri Perak di Ipoh, manakala kami sesi ketiga di Yayasan Kesenian Perak (YKP) kepunyaan YM Raja Aminullah (RA Fine Art) di Jalan Brash, Ipoh yang dirasmikan oleh Datin Teh Khatijah, isteri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK) yang turut dihadiri oleh Provos pada masa itu Allahyarhan Dr Mohd Yusof Izuddin dan En Din.
Setelah tamat belajar saya telah dijemput oleh En Izaddin yang merupakan koordinator di Seri Manjung pada masa itu untuk mengajar sebagai pensyarah tetap sambilan untuk mengantikan En. Syed Alwi Syed Abu Bakar (Dr.) yang sedang cuti belajar pada masa itu. Setelah tamat kontrak setahun saya balik ke kampung saya Petaling Jaya dan mengajar sejarah seni, arca dan animasi di beberapa buah kolej universiti swasta seperti MTDC Multimedia Academy, SEGI University College dan Art Film Design Academy (AFDA), pernah menjadi pelukis sepenuh masa sebentar sebelum dilamar sebagai kurator oleh Balai Seni Negara pada 2010. Antara pameran besar yang pernah saya kuratorkan adalah Singapore Biennale ke-4 pada 2013 dan KL Biennale 2017 pertama yang sedang berlangsung sehingga 31 Mac ini. Tujuan saya menceritakan sedikit mengenai perjalanan saya mudah-mudahan ada manfaatnya kepada adik-adik kita yang akan menyusun jalan sendiri ke dunia seni sebenar nanti,
Hadirin yang dihormati sekalian,
Suka saya berkongsi informasi mengenai Balai Seni Negara, pada tahun ini genap usia 60 tahun Balai Seni Negara yang telah ditubuhkan pada tahun 1958. Kalender tahun 2018 Balai Seni Negara dipenuhi akan dengan pameran sambutan 60 Tahun Balai Seni Negara sehingga akhir Disember. Antara pameran-pameran yang boleh saya kongsikan disini adalah seperti pameran repro pelukis Renaisan Caravaggio dengan kerjasama Kedutaan Itali di Malaysia. Pembukaan cawangan utara di Langkawi juga InsyaAllah akan berlangsung pada pertengahan tahun ini. Balai Seni juga mempunyai 3 buah Pusat Kreatif yang memberi ruang kepada pelukis muda dan pertengahan karier untuk mempamerkan karya mereka. Oleh itu jika dikalangan anda yang berminat, sila hantarkan kertas cadangan pameran kepada saya.
Selain itu kepada pelukis muda yang baru melangkah keluar daripada sekolah seni yang berminat dengan bidang niaga seni. Balai Seni Negara mempunyai program residensiniaga selama setahun yang dinamakan program Ushawan Muda Seni atau Young Artist Entrepreneurship (YAE) yang diadakan di Art Depot (belakang Balai). Program ushawan niaga seni ini adalah pusat inkubator dalam memberi persediaan kepada pelukis muda dalam berurusan, berunding dengan pelanggan melalui latihan-latihan dan perkongsian seni dengan pemain-pemain seni. Borang penyertaan boleh dimuat turun secara dalam talian di dalam laman web Balai Seni Negara atau artgallery.gov.my. Jadi bakal graduan dalam pameran ini jangan lepaskan peluang untuk memohon.
Saya nasihatkan adik-adik yang hendak ke dunia luar seni yang sebenar samada hendak menjadi pelukis sepenuh masa atau sebagainya agar cekal dan tidak mudah putus asa. Sebenarnya selama 2 1/2 atau 5 tahun belajar di sekolah seni adalah tempat latihan atau persediaan awal sebelum anda melangkah keluar dalam mengembangkan daya cipta seni sendiri. Ilmu pengatahuan jangan hanya disempitkan dengan belajar di sekolah seni sahaja, jadikan mencari ilmu itu sebagai pekerjaan sepanjang hayat dalam mempelbagaikan kemahiran kita.
Dikesempatan ini juga sekali lagi saya mengucap tahniah dan syabas kepada pelajar tahun akhir Diploma Seni Halus di atas terbinanya pameran yang bertajuk ‘Kronologi’. Semoga tajuk pameran ini juga akan menjadi kronologi pertama anda sebagai bergelar sebagai pelukis. Terima kasih juga kepada semua yang telah menjayakan pameran ini.
Akhir kata, dengan lafaz bismilahirahmanirahim, saya merasmikan pameran ‘KRONOLOGI’.
Sekian. Terima Kasih, Wabilihai Taufik Wal Hidayah (Semoga kita diberi hidayah) Wasalamuilakum Warahmatullahi Wabarakatuh.