Rabu, 20 Disember 2017

Masa Depan Seni Lukis Malaysia

Oleh: Faizal Sidik




Faizal Sidik, 'Masa Hadapan Seni Lukis Malaysia', Dewan Budaya, Bil. 2 (Februari) 2018, ms 8-15.







Pengenalan
Dalam dua puluh tahun kebelakangan ini dilihat terdapat fenomena yang melanda diseluruh dunia dimana minat terhadap seni lukis kontemporari telah bertambah dari tahun ke tahun. Jika pada dahulunya pusat seni lukis cuma berlaku di bandar-bandar besar Eropah misalnya di Paris  pada lewat abad ke-19 dimana lahirnya aliran-aliran awal dalam seni moden seperti Impressionisme, Fauvisme, Kubisme dan lain-lain hasil daripada Revolusi Industri yang berlaku di sana. 

Selepas Peperangan Dunia Pertama dan Kedua kebanyakan negara-negara Eropah ini mula jatuh bankrap. Kebanyakan rakyatnya menjadi samada pelarian perang atau bermigrasi untuk mencari kehidupan baru di negara baru. Amerika Syarikat menjadi pilihan mereka, maka Amerika telah menjadi satu kuasa baru dalam seni moden atas kehadiran warga Eropah yang melarikan diri dari negara mereka atas faktor politik, kebuluran mahupun untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Di sini apa sahaja sumbangan mereka yang baru bukan sahaja dalam bidang seni, sains dan teknologi  pasti akan diangkat dalam menjadikan Amerika sebagai kuasa utama dunia dalam segala bidang. Jadi warga yang baru sampai dari luar ini berlumba-lumba dalam ingin menunjukkan kehebatan masing-masing. Perihal ini tidak terkecuali dalam bidang seni lukis, maka lahirlah aliran baru dalam seni atas penerokaan warganya yang bersalasilahkan dari bangsa Eropah, Aliran seni sepeti ekspressionisme abstrak, seni pop, seni optik, seni minimal dan lain-lain telah menjadi gerakan baru dalam aliran dunia seni. Perkara ini boleh dibuktikan berdasarkan pelajar-pelajar kita yang pernah menuntut samada di Eropah atau di Amerika telah terpengaruh dengan sistem seni di sana dan meneruskan kesinambungannya selepas mereka lembali ke tanahair.

Mendepani Cabaran Semasa
Namun begitu ini bukanlah pokok perbincangan di dalam tulisan ini yang membicarakan masa depan seni lukis di negara ini. Jika persoalan masa depan seni lukis di negara ini dilontarkan, saya mengatakan seni lukis bukan sahaja mempunyai potensi yang besar untuk berkembang maju seiring dengan hasrat negara dalam menjadikan seni budaya sebagai salah satu penerapan nilai rohani terhadap pembentukan insan dan secara fizikalnya kepada sektor pelancongan yang menyumbang kepada pendapatan negara selain daripada bahan mentah. Malahan seperti juga bidang sukan yang sangat diberikan perhatian oleh kerajaan dari segi penyediaan infrastruktur seperti stadium, gelanggang, aspek kejurulatihan, fisioterapi dan sebagainya. Tujuannya adalah bukan sahaja untuk membentuk warga negara sihat dengan bersukan malah untuk mengharumkan dan mempromosikan  nama negara di persada antarabangsa begitu juga seni lukis.

Jika kita lihat kerajaan Perancis berjaya menjadikan seni budaya sebagai pendapatan utama negara mereka, lihat sahaja bagaimana pengunjung sanggup beratur panjang dan membayar semata-mata untuk melihat karya Monalisa walaupun telah retak seribu kerana telah beusia ratusan tahun di Louvre Museum. Pada hari ini Louvre Museum di Paris adalah merupakan muzium yang paling banyak dilawati daripada laporan yang dikeluarkan sebuah akhbar seni yang popular iaitu  The Art Newspaper berdasarkan Review Visitor Figures Survey yang telah dijalankan pada tahun 2016 yang dikeluarkan pada April 2017 iaitu sebanyak 7.4 juta setahun pelawat telah datang ke Louvre Museum diikuti dengan Metropolitan Museum of Art di New York dengan 6.7 juta dan ketiga British Museum di London pula berjumlah 6.4 juta. Laporan ini juga menunjukkan dalam senarai 10 muzium yang paling dilawati semuanya berada di Eropah kecuali hanya satu sahaja datangnya dari tempat lain iaitu Asia iaitu National Palace Museum yang terletak di Taiwan. Sumber lain juga menyatakan Metropolitan Museum of Art telah menjana RM 1.8 billion pendapatan daripada jualan tiket masuk serta pembelian buku dan cenderahati  muzium.

Seni lukis tidak menjadi sebagai bidang yang menjadi keutamaan negara pada masa ini tetapi bidang ini  mengharapkan layanan yang sama diberikan kepada seni ini. Banyak pengiktirafan yang telah diberikan oleh pihak luar terhadap kebolehan dan bakat yang telah ditunjukkan oleh pelukis-pelukis kita seperti anugerah seni, geran luar, jemputan mengadakan pameran di luar negara  dalam mengibarkan dan menjual nama Malaysia di luar negara tetapi perkara ini jarang diketahui dan diberikan publisiti yang meluas oleh media massa tempatan jika dibandingakan dalam bidang sukan dan lain-lain dimana dalam akhbar muka surat belakangnya sahaja mempunyai sekurang-kurang tiga muka akhir akan dipenuhi dengan berita sukan. Terdapat usaha untuk memberikan ruangan khas perihal seni dalam akhbar arus perdana misalnya ruangan  Sastera dan Budaya namun semakin hari ruang ini semakin hilang.

Persolannya bagaimanakah untuk menyuburkan minat umum jika ruang ini yang dikatakan tidak mendatang keuntungan dari aspek pengiklanan dan kemudiannya dimansuhkan. Pada awal tahun 70 an majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka boleh dikatakan majalah yang menjadi rujukan utama dalam oleh para seniman dan sasterawan dalam membaca karya sastera terkini, peristiwa seni atau pameran seni yang diadakan di negara ini. Pernah suatu ketika apabila polemik pameran ‘Towards to Mystical Reality’  yang diadakan di Sudut Penulis majalah ini telah menjadi lidah utama dalam menyalurkan pandangan pelukis dan pengkritik. Antara yang telah mengambil bahagian dalam perdebatan di dalam majalah ini selama beberapa bula adalah seperti Redza Piyadasa, Siti Zainon Ismail,, Salleh Ben Joned, Raja Zahabuddin, Krishen Jit, Ponirin Amin telah diikuti dengan penuh minat oeh seniman dan sasterawan.

Selepas kemunculan majalah Dewan Budaya pada tahun 1984 kebanyakan hasil tulisan seni dan budaya mula difokuskan ke dalam majalah ini  dan tidak lagi bercampur dengan karya sastera seperti novel, cerpen, sajak, dialog drama. Sehingga kini majalah ini tidak putus-putus menerima artikel atau ulasan pameran atau profil pelukis dalam menyemarakkan lagi kegiatan seni di negara ini. Kadangkala Dewan Budaya memberikan tema yang khusus untuk diperbicangkan oleh pakar bidang atau ahli akademik sebagai fokus majalah misalnya dalam keluaran ini yang membicarakan tajuk Masa Depan Seni Lukis di Negara ini.

Menyelusuri minat terhadap seni kontemporari, setelah kemunculan internet yang mempercepatkan lagi saluran maklumat dan komunikasi yang berlaku di pusat seni seperti New York dan London minat ini mula tersebar di Timur. China yang dahulu menutup pintunya kepada dunia kini telah menjadi kuasa besar ekonomi dunia, dengan penduduk yang berjumlah 1.3 billion dan atas kepesatan ekonominya China kini menghasilkan berjuta kelas pertengahan yang bergelar jutawan yang mempunyai  kuasa beli yang besar.

Atas dasar itu banyak galeri swasta samada di Barat yang dahulunya mempunyai beberapa cawangan mereka di pusat-pusat seni ini mula melebarkan sayap mereka ke Asia Timur seperti Shanghai dan Hong Kong. Demografik yang berdekatan dengan negara Asia Tenggara kawasan ini telah dikatakan sebagai kawasan ‘pasaran baru’ bagi seni kontemporari selain China dan India, India dikatakan sebagai kuasa yang menyaingi China di Asia namun atas sebab kekurangan infrastrukur seni seperti muzium, galeri, pasar seni, acara besar seni, benua Asia Selatan ini berkembang agak perlahan jika dibandingkan Asia Tenggara.

Usah dilupakan juga negara Asia Barat kerana jarak negara ini tidaklah begitu jauh dari pusat seni, Kekayaan negara Arab ini hasil daripada penjualan minyak telah membuka banyak peluang kepada pembanguna seni. Putera-putera Arab yang kaya raya ini seperti di Emeriah Arab Bersatu, Qatar dan Bahrain telah membuka kepada warga Eropah untuk membina infrastruktur seni budaya di negara mereka hasilnya banyak rekaan seni bina terkini yang telah dibina di bandar utama mereka Abu Dhabi, Doha dan Manna tidak terkecuali dalam seni, dalam memajukan aspek kesenian terutamanya seni lukis mereka telah mengadakan kerjasama dengan muzium popular dunia seperti Louvre Museum dan Metropolitan Museum of Art. Kini hasilnya cawangan-cawangan museum ini telah dibina di negara ini dan sebilangan koleksi daripada museum utama yang terletak di Paris dan New York telah di pinjamkan ke muzium baru ini dalam menjana ekomoni berasaskan pelancongan seni.

Pelukis
Seperti juga Malaysia apabila kita memperkatakan infrastrukrur seni perkara yang menjadi kunci adalah pemain-pemainnya utamanya iaitu  pelukis, galeri, kurator dan kolektor. Dalam dunia seni, keempat-empat ini dikatakan pelengkap bagaima sistem dunia seni itu berfungsi. Bagaimanakah saya boleh berkata sebegitu? Pelukis adalah figura penting dalam dunia seni, jika tiada pemain utama ini pemain-pemain yang lain akan lumpuh kerana tiada objek atau produk samada untuk dijadikan komoditi, dipasar atau untuk dimiliki. Aspek ini menjadi nilai insan yang semakin dihargai oleh kerajaan. Pablo Picasso pernah berkata “setiap anak kecil adalah genius seni, persoalannya adalah bagaimana mahu untuk mengekalkan mereka setelah mereka menjadi dewasa”. Dalam dunia pendidilan kanak-kanak mula didedahkan dengan seni lukis semenjak pra sekolah atau lebih awal dari itu bergantung kepada inisiatif ibu bapa. Jika dibandingkan dengan ibu bapa di Barat dengan ibu bapa di sini  kebanyakan ibu bapa Eropah misalnya  ini lebih menggalakkan anak mereka terlibat dengan seni misalnya seni lukis, muzik, tarian bukan untuk menggalakan anak mereka menceburi bidang itu setelah mereka dewasa nanti tetapi adalah untuk merangsang kreativiti dan daya cipta anak anak dalam penyelesaian masalah.  Seni dan reka cipta adalah penyelesaian masalah ini jarang disedari oleh ibu bapa di sini.

Apabila mereka memasuki sekolah rendah pelajaran seni lukis akan diajar seminggu sekali oleh guru pendidikan seni. Apabila mereka naik ke sekolah menengah, tunas pelukis muda mula terbentuk berdasarkan minat yang ditunjukkan di dalam kelas dan atas galakan guru seni.  Pelukis tunas ini kebiasaanuya akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam matapelajaran pendidikan seni. Laluan mereka seteruantya adalah dengan melangkah masuk ke institusi pendidikan tinggi awam atau swasta dalam jurusan seni halus. Menyedari kepentingan tenaga baru yang dapat mengerakkan dunia seni ini kerajaan telah mengadakan Sekolah Seni, konsep sekolah seni ini sekali lagi adalah idea dari Sekolah Sukan dalam melahirkan atlet sukan. Pada masa ini terdapat dua sekolah sukan di negara ini iaitu Sekolah Sukan Johor Baharu dan Sekolah Sukan Kuching. Pada masa ini juga  kebanyakan pelukis  berbakat negara datangnya dari Universiti Teknologi Mara atau dahulunya Institut Teknologi Mara (ITM) dan Malaysia Art Institute (MIA).

ITM  misalnya diitubuhkan dalam tahun 1969 sejak 40 tahun penubuhannya, institusi ini banyak menghasilkan pelukis-pelukis besar negara yang bukan sahaja sebagai pelukis sepenuh masa, pensyarah, pendidik dan lain-lain lagi. Pelukis Malaysia ada yang bergerak secara solo, berkumpulan mahupun berpersatuan. Dilema yang dihadapi oleh mereka apabila bergraduan adalah tekanan hidup daripada ibu bapa. Tekanan ini berpunca daripada harapan ibu bapa yang terlalu tinggi dan mengharapkan anak mereka mempunyai pekerjaan tetap setelah habis belajar, oleh itu terdapat polarisasi pelukis-pelukis ini dalam meneruskan karier mereka. Pertama adalah menjadi pelukis sepenuh masa dimana tumpuan yang sepenuhnya diberikan kepada penghasilan karya seni. Mereka bergerak secara profesional dengan mempunyai studio atau bengkel seni sendiri. Kebanyakan pelukis sepenuh masa di Malaysia adalah pelukis mapan yang telah berkarier 20 hingga 30 tahun. Terdapat juga pelukis muda yang setelah keluar daripada sekolah seni terus memilih untuk bergerak secara sepenuh masa samada menjadikan ruang residensi di dalam dan di luar negara sebagai studio atau makmal seni mereka. Kebanyakan pelukis sepenuh masa mempunyai galeri yang mewakili mereka samada melalui kontrak atau berasakan projek pameran di galeri mereka. Bagi pelukis sepenuh masa yang telah mempunyai nama dalam dunia seni penjualan karya mereka tidak begitu sukar jika dibandingkan dengan pendatang baru kerana mereka mempunyai galeri dan pengumpul yang telah mengikuti perkembangan pengkaryaan mereka sejak awal dalam membuat pilihan pembelian.

Bagi pelukis separuh masa bermaksud pelukis yang mempunyai pekerjaan hakiki diwaktu siang namun masih lagi menghasilkan karya pada waktu malam atau terluang. Di Malaysia kebanyakan mereka ini terlibat dalam bidang pendidikan seperti menjadi pensyarah seni, kurator, guru, atau terlibat di luar seni lukis misalnya sebagai pengarah artistik atau  pereka prop bagi teater, drama atau filem, pereka grafik. Biasanya habuan kewangan daripada pekerjaan harian bukan sahaja untuk memenuhi kehidupan seperti manusia biasa yang ada keperluan yang perlu dilunaskan tetapi juga dijadikan modal untuk membeli peralatan seni dalam menghasilkan karya-karya baru. Bagi mereka yang bergerak secara begini, masa yang terluang merupakan masa yang sangat berharga bagi mereka, membiarkannya berlalu tanpa menghasilkan apa-apa karya pada hari itu umpama diri mereka telah ‘mati’ pada hari itu.

Pola yang ketiga pula mereka yang belajar seni tetapi sudah tidak mempraktiskan lagi apa yang telah mereka pelajari atas desakan kehidupan yang membuatkan mereka terus meninggalkan profesion dan kemahiran  yang ada. Kebanyakan mereka mungkin terlibat dengan perniagaan dan terlalu sibuk dengan dunia keushawanan lalu melupakan terus segala kemahiran yang diperolehi. Ada juga dikalangan mereka sungguh tidak terlibat lagi dalam penghasilan karya seni, ilmu seni yang ada telah dijadikan sebagai batu loncatan sebagai pemilik galeri yang memperdagangkan seni rakan-rakan pelukis untuk menghubungkan antara pelukis dan pengumpul atas hubungan akrab yang dimilikinya.

Dari aspek masa hadapan pelukis atau pengkarya  ini banyak lagi yang boleh diperbaiki di sini. Kini terdapat hanya dua sekolah seni di Malaysia, bilangan ini hendaklah ditambah di setiap negeri di Malaysia terutamaya di bandar-bandar yang dikenali bandaraya pusat seni pada hari misalnya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka. Begitu juga institut pengajian tinggi, hampir setiap negeri mempunyai universiti perlu membuka atau menawarkan kursus seni dan budaya dalam persediaan menyediakan tenaga mahir dalam bidang ini di masa depan. Kini hanya Aswara atau Universiti P.Ramlee sahaja yang menawarkan sepenuhnya kursus seni dan budaya. Usaha yang sama perlu dilakukan dengan membanyakkan lagi dalam mewujudkan institut pengajian tinggi yang memokuskan hanya kursus seni lukis dalam pelbagai genre dalam menyokong sekolah-sekolah seni yang ada nanti.

Kesimpulannya bagi meletakkan pelukis itu bergiat secara serius sebagai pelukis sepenuh masa beberapa inisiatif boleh diadakan dalam aspek kebajikan dan dalam meneruskan kelangsungan karier seni mereka tidak terkandas dalam menghasilkan karya-karta besar dan hebat, misalnya bagi pelukis muda sudah tentu ruang kerja atau studio menjadi keperluan utama, Beberapa cadangan boleh disarankan misalnya dengan sokongan korporat, kilang, gudang, pusat membeli belah, kedai, pejabat, rumah, bangunan kerajaan atau kuarters kerajaan yang telah ditinggalkan kosong dan tidak digunakan lagi boleh dijadikan sebagai ruang pelukis yang boleh dinamakan dengan pelbagai nama seperti residensi, ruang alternatif, komuniti seni. Tempat-tempat ini boleh dijadikan sebagai tempat tarikan pelanconga baru yang bukan sahaja akan mendatangkan pekerjaan kepada pelukis tetapi juga membantu menjana pendapatan baru melalui pelancongan seni budaya.

Galeri
Pemain kedua iaitu galeri boleh dilihat dalam konteks yang lebih besar iaitu infrastrukur seni yang ada di negara ini seperti muzium seni, galeri seni, expo seni, rumah lelongan. Ruang pameran samada berskala besar, sederhana atau kecil amat perlu sebagai perantara antara pelukis dengan penghayat. Sepanjang 60 tahun selepas kemerdekaan Malaysia banyak muzium seni yang telah dibina samada oleh kerajaan persukutuan, negeri dan swasta antaranya ialah Balai Seni Negara, Muzium Kesenian Islam Malaysia, Muzium Seni Asia UM, Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah USM, Galeri Serdang UPM, Muzium Negeri Terengganu, Balai Seni Lukis Melaka, Balai Seni Negeri Kedah, Balai Seni Lukis Sabah, Galeri Seni Johor, boleh dikatakan hampir setiap negeri di Malaysia mempunyai galeri seni masing-masing bagi mengadakan pameran. Muzium dan galeri ini rancak mengadakan pameran sepanjang tahun misalnya Balai Seni Negara dan Muzium Kesenian Islam Malaysia adalah merupakan ruang pameran peringkat nasional dan bertaraf antarabangsa, muzium ini mempamerkan karya koleksi negara dan antarabangsa serta juga pameran secara berkala.

Muzium negeri atau balai seni negeri dan muzium unversiti banyak membantu dalam menampung permintaan oleh pelukis negeri atau pameran berasaskan penyelidikan. Muzium negeri seperti Muzium Negeri Terengganu, Balai Seni Lukis Sabah dan Galeri Seni Johor misalnya banyak memberikan peluang kepada anak negeri mempamerkan karya mereka disamping mengadakan pameran yang mengangkat nilai seni budaya negeri. Muzium pendidikan pula misalnya Muzium Seni Asia UM dan Muzium Galeri Tuanku Fauziah USM dan Galeri Serdang UPM misalnya cenderung untuk memberi peluang kepada para pelajar dan penyelidik dalam berkongsi dapatan dalam penerokaan mereka. Disamping itu juga galeri-galeri ini membuka ruang kepada pengkarya luar yang sedia berkongsi penerokaan kepada khalayak akademik dalam memperlengkapkan lagi kajian atau bidang mereka kepada awam.

Pada hari ini infrastruktur pameran untuk memberi peluang untuk pelukis bukan sahaja disediakan oleh muzium dan balai seni kerajaan yang mendapat dana daripada kerajaan sahaja malah infrastruktur yang disediakan oleh pihak galeri swasta juga membantu mengerakkan seni dengan memberi pilihan ruang kepada pengkarya. Kini terdapat lebih tiga ratus galeri seni sebegini yang berpusat di bandaraya besar Malaysia seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka. Pada masa hadapan dijangka bilangan ini akan bertambah seiring dengan minat terhadap seni kontemporari pada hari ini. Untuk mendepaninya persediaan dari sekarang perlu diadakan seperti pembesaran ruang pameran, kemudahan wifi, penyediaan aplikasi alat bantu pameran yang terkini yang lebih interaktif dengan pengunjung dan ruangan khas permainan seni untuk anak kecil beraktiviti dalam menjadikan muzium sebagai pusat riadah dan bersosial berteknologi terkini yang terbaru.

Pasaran seni semakin berkembang bukan sahaja daripada sokongan muzium dan balai seni serta galeri seni swasta. Kewujudan pasar yang lebih besar dalam satu bumbung seperti Expo Seni Malaysia dan rumah lelongan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh misalnya kehadiran rumah lelongan Asia Tenggara yang membuka rumah bidaan mereka di sini misalnya Masterpiece, Larasati, Borobudur di samping rumah lelongan tempatan seperti Henry Butcher Art Auctioneers,  Klas Art Auction telah membuka pelbagai peluang terhadap pasaran kedua dalam merancakkan lagi perkembangan seni lukis Malaysia. Namun begitu pada masa kini pelukis tidak mendapat apa-apa habuan sekiranya karya mereka dijual semula dipasaran kedua ini oleh pengumpul. Oleh yang demikian polisi yang baru, saksama dan menjaga hak pengkarya asal perlu dilihat semula oleh kerajaan di masa akan datang.

Kurator
Kurator memainkan peranan yang penting dalam menghubungkan karya oleh pelukis kepada penghayat. Sejarah kuratorial di negara ini boleh dikatakan bermula selepas kewujudan Balai Seni Negara pada akhir tahun 1950 an. Sebelum itu mungkin ada pameran yang jalankan oleh galeri swasta yang dikuratorkan oleh kurator jemputan tetapi secara rasminya ia  boleh dikatakan istilah kurator mula popular digunakan selepas penubuhan institusi itu. Sepanjang 60 tahun penubuhannya banyak pameran-pameran yang menarik diadakan misalnya yang terkenal pameran ‘Pablo Picasso’,  ‘Henry Moore’, ‘Robert Rauschenberg: Culture Oversea Interchange (ROCI)’ dan lain-lain. 

Pengajuran pameran antarabangsa mega berskala besar ‘Kuala Lumpur Biennale’ oleh pasukan kuratorial Balai Seni Negara diadakan dalam meletakkan Malaysia di dalam peta salah satu daripada destinasi seni kontemporari dunia. Penganjuran KL Biennale 2017 iaitu julung kali diadakan telah berjaya mempromosikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya seni budaya yang menjadi pilihan peminat seni dan pelancong untuk datang. Istilah ‘biennale’adalah terma yang digunakan khusus untuk penganjuran seni berskala besar secara dwitahunan. Walaupun terdapat pengajuran Biennale misalnya Langkawi Biennale, Shah Alam Biennale namun seni ini hanya bersifat perkhemahan dan residensi seni. KL Biennale adalah penanda aras seni lukis Malaysia di masa hadapan dalam meletakkan Malaysia setanding dengan negara rakan-rakan Asia Tenggara yang lain seperti Singapore Biennale, Jakarta Biennale dan Jogjakarta Biennale sebagai salah satu sirkit antarabangsa Biennale seni.

Kewujudan muzium seni kontemporari yang semakin banyak tumbuh di negara-negara membangun dan negara maju kini bukan untuk menyaingi kewujudan muzium seni moden, muzium seni negara-negara berkenaan. Muzium seni kontemporari seperti Museum of Contemporary Art Los Angeles (MoCA LA), Museum of Contemporary Art Shanghai (MoCA Shanghai),  Hamburger Bahnhof  Museum für Gegenwart di Berlin dan Museum of Modern and Contemporary Art in Nusantara (MACAN) di negara jiran kita Indonesia misalnya adalah bertujuan untuk mempamerkan karya seni kontemporari yang semakin diminati seperti karya pemasangan, media baru dan persembahan multimedia yang menuntut interaktif dengan pelawat. Bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi daripada pelawat daripada gambar-gambar yang dimuat naik ke dalam media sosial, karya sebegini mendapat perhatian disukai ramai. Muzium- muzium sebegini yang diuruskan oleh kumpulan kuratorial di masa hadapan perlu diberi perhatian dalam pembangunan seni di pusat-pusat seni di negara ini misalnya membina sebuah muzium seni kontemporari iaitu Muzium Seni Kontemporari Kuala Lumpur (MoCA KL).

Selain daripada kurator insitusi yang berkhidmat dengan muzium atau balai seni terdapat juga kurator yang bergerak secara bebas tanpa ada komitmen terhadap visi sesuatu badan. Kini kurator di negara ini semakin hari-hari semakin meningkat jumlahnya, walaupun tiada angka rasmi yang boleh dirujuk tetapi berdasarkan pameran yang diadakan sepanjang 5 tahun kebelakangan ini yang banyak galeri yang menjemput kurator bebas ini masuk untuk mengkuratorkan pameran mereka. Bersangkutan peningkatan jumlah ini satu kesatuan perlu diadakan dalam bentuk persatuan kurator misalnya dengan nama Forum Kurator Malaysia (FKM) bagi mendepani cabaran yang dihadapi oleh mereka dari segi undang-undang, penapisan, hak cipta, royalti dan lain-lain. Di bawah persatuan ini nanti diharapkan dapat menjadi jurucakap dan payung dan untuk para kurator Malaysia untuk berteduh jika dikaitkan isu. Disamping itu juga dalam menjalankan kegiatan yang dapat memantapkan profesion mereka seperti seminar, forum, bengkel, syarahan dan lain-lain.

Ada juga kurator-kurator Malaysia ini yang telah mencipta nama diperingkat antarabangsa seperti dijemput untuk mengkurator pameran atau menjadi pengarah artistik seperti Singapore Biennale, SEA Art Triennale, Art Basel Hong Kong dan lain-lain. Dalam jangka masa panjang untuk melihat persaingan yang sihat pengiktirafan perlu diadakan dalam menghargai sumbangan mereka. Pengiktirafan boleh dijalankan oleh persatuan oleh Forum Kurator Malaysia misalnya dengan institusi seni negara sebagai badan penyokong dalam memilih kurator yang mengharumkan nama Malaysia di luar. Anugerah ini juga boleh diberikan di dalam mana-mana anugerah seni lukis yang diadakan secara tahuanan oleh badan seni dengan menamakan kurator terbaik tahun itu dalam memberi semangat, meningkat lagi prestasi dan mutu kuratorial dari masa ke semasa.

Kolektor
Kolektor memainkan peranan yang penting dalam menghimpun atau mengumpul karya seni yang dihasilkan pelukis melalui perantaraan galeri dan kurator untuk diperoleh kepada mereka. Kolektor atau pengumpul ini boleh dibahagikan kepada kolektor persendirian, korporat dan institusi. Jumlah pengumpul-pengumpul ini semakin bertambah sejak ekonomi Malaysia ‘boom’ sejak tahun 1990 an. Telah menjadi trend pengumpul persendirian pada hari ini terdiri dikalangan mereka yang profesional dalam bidang masing-masing contohnya peguam, ahli perniagaan, pemaju hartanah, ketua pegawai eksekutif, pakar bidang, profesional muda dan lain-lain. Boleh dikatakan setiap kolektor seperti pengumpul seni besar Malaysia seperti Tan Sri Kamarul Ariffin, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Azman Hashim, Tan Sri Zain Azahari, Pakharuddin dan Fatimah Sulaiman, Uwei Haji Shaari, Steven Wong, Alia dan Farouk Khan mempunyai tema sendiri yang menjadi citarasa kegemaran mereka dalam membuat pengkoleksian. Misalnya kolektor persendirian yang suka kepada seni tradisi Melayu, pengkoleksiannya pasti akan mencari karya-karya yang sesuai  dengan jiwa penyimpan disamping akan meninggikan status beliau kerana memiliki pemikiran pelukis disebalik karya yang dipunyai.

Pengumpul korporat boleh diklafikasikan sebagai pengumpul yang menghimpun dalam memenuhi misi dan visi syarikat itu disamping memperlihatkan kepada umum tanggungjawab sosial kepada masyarakat dalam menyokong membeli karya seni pelukis tempatan. Bagi pengumpul korporat seperti Muzium dan Galeri Muzium Negara, Galeri Petronas, Galeri Ilham, Galeri Maybank, UOB Bank dan Khazanah Nasional. Disamping menyimpan karya di dalam arkib simpanan karya-karya ini juga diletakkan di dalam bangunan dan pejabat mengikut kesesuaian dalam mewujudkan suasana kerja yang selesa dan kondusif seterusnya meningkatkan imej syarikat dimata umum.

Sebagai institusi utama seni negara Balai Seni Negara telah memainkan peranannya sebagai kolektor dalam merancakan dunia seni yang dimainkan oleh pelukis, galeri dan kurator. Kini institusi ini mempunyai 4347 karya koleks negara yang berjumlah RM 73 juta hasil daripada perolehan melalui pembelian, komisen dan hadiah. Antara karya-karya ini termasuklah 6 karya Arca Awam di Laman Balai Seni Negara. Pada sekitar tahun 1980 an dan 1990 an terdapat banyak arca awam yang dibangunkan samada oleh kerajaan atau pihak swasta antaranya Taman Arca Asean yang terletak di perkarangan Tugu Negara, Taman Warisan Public Bank, Kuala Lumpur. Korporat pula meletakkan arca awam atau mural sebagai mercu tanda atau mencantikan lanskap bangunan mereka antara di perkarangan Bangunan Maybank, Bangunan Bank Negara. Dalam memartabatkan kembali seni arca di tempat awam di masa hadapan, kerajaan pusat  bersama kerajaan tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) atau Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) di mana banyak pembangunan seperti bangunan untuk dijadikan pejabat, hotel, pusat sukan seperti stadium, arena, pusat peranginan, badan ini  perlu memperketatkan lagi dalam meluluskan sesuatu projek bangunan baru dengan  mewajibkan kontraktor atau pemaju untuk membina seni awam seperi arca di tapak pembangunan mereka oleh arcawan tempatan dalam usaha memberi ruang dan peluang kepada mereka menunjukkan kreativiti.

Bagi menggalakkan  daripada pengumpul-pengumpul ini terus mengumpul hasil karya pelukis tempatan di masa depan, selain daripada pengecualian cukai yang diberikan kerajaan, galakan dari segi bantuan dana atau pinjaman dari  Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana) seharusnya ditambah jumlahnya dan diberikan kepada pengumpul-pengumpul ini terutamanya kolektor persendirian yang berminat untuk membina muzium seni persendirian untuk berkongsi karya mereka dengan khalayak. Pelukis-pelukis yang terkenal dan banyak berjasa kepada seni tempatan perlu diberi keutamaan membina muzium seperti pembinaan Muzium Seni Syed Ahmad Jamal, Muzium Seni Ibrahim Hussain, Muzium Seni Anthony Lau. Kehadiran muzium-muzium seni baru ini bukan sahaja untuk memperingati mereka malah memperbanyakan muzium seni yang ada di sini malah akan menaikkan lagi imej negara sebagai destinasi seni penting malah meletakkan seni budaya sebagai pendapatan utama negara di masa akan datang.

Kesimpulan

Peranan dan saranan kepada pemain-pemain dunia seni seperti pelukis, galeri, kurator, kolektor perlu dilihat sebagai agen penting dalam melihat ke hadapan terhadap pembangunan seni di negara ini. Dalam melihat masa depan itu, kita perlu juga melihat semula kebelakang terhadap dasar-dasar yang dibuat seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) dan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN). Pelan Perancangan Jangka Pendek dan Pelan Jangka Panjang Kesenian Negara perlu mempunyai peancangan yang rapi bagi menepati sasaran. Realitinya hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai kuasa seni lukis baru di Asia Tenggara kini telah menjadi kenyataan atas penganjuran KL Biennale. Momentum ini perlu diteruskan dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan meletakkan Pavillion Malaysia di tempoh itu di Venice Biennale dan pameran antarabangsa yang hebat-hebat diadakan di sini boleh dijadikan sebagai penanda aras baru kepada pencapaian besar seni lukis Malaysia dalam menjadikan negara ini sebagai destinasi seni lukis utama pula di Asia dan antarabangsa.