Selasa, 27 September 2016

Cetusan Rasa II


0leh: M. Aminuddin Osman


Aminuddin Osman (1999), "Cetusan Rasa II", Muzium Darul Ridzuan, Ipoh

M.Aminuddin Osman, esei ‘Cetusan Rasa II’ , Diterbitkan oleh  Angkatan Pelukis Darul Ridzuan, 9-24 Oct. 1999 (pdf)


Ruang dan Konteks
Dalam mencari-cari ruang yang sesuai untuk berpameran, terlintas difikiran lalu menyedari bahawa tempat yang paling penting dimana sebuah karya seni visual harus diletakkan bukanlah di dalam sebuah galeri,  di dinding-dinding hotel dan sebagainya, tetapi di dalam mata hati khalayak yang menghayatinya . Hanya disitulah ia wujud dan diapresiasikan dalam erti kata sebenar.

Cuma, penumpuan dan penghayatan yang lebih ke atas sesebuah karya seni akan berlaku sekiranya diletakkan di dalam sebuah ruang yang dikhususkan untuk tujuan aktiviti tersebut. Dalam kata lain, konteks memainkan peranan. Seperti mana filem, ia memerlukan ruang gelap dan skrin  besar untuk melingkungi kawasan pandangan mata, semata-mata bagi peningkatan kosentrasi dan penglibatan penonton dalam penyaluran mesejnya.

Bahasa Visual
Bahasa adalah satu sistem dimana jika dikawal dengan sebaik mungkin dapat menghasilkan mesej . Karya seni visual adalah ektensi daripada intuisi penulisnya. Jika tulisan bersandar kuat ke atas huruf yang mempunyai bahasanya sendiri, karya seni visual juga mengandungi satu bahasa yang dipanggil bahasa visual untuk berkomunikasi. Bahasa  visual dalam masyarakat kita telah lama wujud dan dipraktikkan.  Bahasa itu lahir dari perilaku mereka yang halus dan diolah lapis demi lapis. Mereka tidak terlalu bergantung ke atas ruang yang khusus untuk melakukan aktiviti kesenian mereka. Ia dipraktikan dalam kehidupan seharian, ia lahir dalam realiti.

Dalam majlis “ Menyunting Sekuntum Bunga” sahaja contohnya, ia berlaku dalam tatacara yang begitu halus. Pihak lelaki datang bertandang ke rumah perempuan yang hendak dipinang dengan membawa sebuah tepak sirih sebagai medium yang menyampaikan hasrat kedatangan mereka. Tanpa sepatah dialog yang membicarakan tentang peminangan, medium yang dibawa (tepak sireh) diolah bagi menyampaikan mesej . Hanya yang tahu bahasa visual dalam “Performing Art’ itu sahaja yang dapat memahaminya. Mereka yang alpa hanya melihat majlis itu berlalu dengan menyongsong gigi dan mengemut hidung di kemudian harinya.

"Seni telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian seseorang, jika tidak ia tidak jujur"  
- Bill Viola

Kekuatan dan kelemahan suatu bahasa dihasilkan oleh realiti subjektif daripada budaya asal dan ia juga menghasilkan realiti budaya tersebut. Setiap bahasa mencerminkan pengaruh budaya dalam mentafsir kehidupan. Sebarang bahasa baru yang biasanya terhasil melalui inovasi media baru akan mengubah kaedah persepsi dalam masyarakat dimana ia berkembang.

Bentukkan dalam karya seni melahirkan bahasa dimana melaluinya isi dikomunikasikan.Untuk sentiasa tetap menyakinkan, ia harus berubah setiap kali isi yang hendak diutarkan berubah. Peniadaan isi dalam sesebuah karya seni menjadikan sebuah abstraksi kaku yang ditakdirkan untuk membusuk .

Seni dan Keilmuan
“Alam menjadi guru kepada manusia, kemanusiaan bukunya dan kehidupan sekolahnya". 
- Kahlil Gibran

Seni adalah satu cabang ilmu dan bukan dihasilkan untuk tujuan santai. Untuk mengutarkan karya seni yang mengandungi artis yang menghasilkannya perlu ada ilmu. Seseorang yang bersandar kuat ke atas bakat melukisnya semata-mata tidak akan dapat menyalurkan bakatnya jika tidak mempunyai ilmu. Ilmu itu berkembang seiring dengan pengalaman hidup. Dua orang pelukis yang melukis objek yang sama akan menghasilkan dua lukisan yang berbeza. Ini kerana pengaruh keilmuan dan pengalaman mereka yang berbeza. Apa yang dipanggil kandungan atau 'content' dalam sebuah karya seni adalah terangkum didalam keilmuan pengkaryanya.

Dalam melakukan persepsi, seniman melakukan pendakian ilmu. Tanggapan yang tajam adalah satu cara seniman berkaitan dengan alam. Ia melahirkan bahasa mengenai kewujudan dan menjadi sumber imaginasi.

Seniman mengatur bentukkan bagi menghasilkan bahasa untuk membawa mesej sebagai pernyataannya. Untuk menjadikannya bermakna, aturan bahasa perlu menepati pernyataan seniman (aturan bentukan perlu digunakan sebaik mungkin bagi membayangkan maksud).Penghayat juga perlu melalui landasan ini  dalam mengapresiasi sesebuah karya seni. Apabila bayangan jalur  landasan ini dapat dikenalpasti, penghayat akan dapat menanggap maknanya.   

Pengolahan yang menolak tradisi catan easel seperti karya “Studies of men without face” oleh Mohd Hairi Yaakub, “Voice Without  A Voice”  oleh Muhd Faizal Sidik mengutarkan konsep, idea, pemikiran dan pertimbangan ke atas aturan bentukannya. Karya-karya ini menitik beratkan fungsi karya seni dalam penyaluran mesej.

Lanskap dan Imaginasi
Lanskap sebenar dan imaginasi berada didalam dua situasi yang berbeza. Lanskap yang digambarkan adalah terbatas manakala imaginasi adalah infiniti.

Imajan-imajan dalam catan lanskap disini tidak mengambarkan realiti yang dapat dialami secara nyata.  Ia tidak memperlihatkan keseluruhaan sisi objek sepertimana yang diketahui dari pengalaman melihat bahawa sisi yang tidak kelihatan itu wujud. Namun begitu, kaedah ini masih berjaya digunakan dan bertahan kerana ia bersandar kuat ke atas pengalaman melihat dan pengetahuan asas penghayat keatas imajan tersebut. Malahan menerusi saranan-saranan bentuk dan bayangan atmosfera, penghayat berjaya di ajak untuk mengembara di dalam catan. Pelukis ingin berkongsi pengalaman. Kembara mereka ke tempat-tempat yang digambar bersama penghayat agar keindahan turut dirasai bersama.

penutup
Dalam mengekspresi dan mendedahkan pelbagai aspek tentang kebenaran, seniman sebenar melihat karyanya sebagai manifestasi daripada dirinya. Seperti kata Allahyarham Ismail Zain.”Apabila seniman mempamerkan karyanya , dia telah membogelkan dirinya”

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan