Oleh: Faizal Sidik
Faizal Sidik (2014), 'Penapisan Seni: Antara Kebebasan Berkarya Individu dan Kesejahteraan Hidup Rakyat', Senikini #22, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur.
Guo
Jian, ‘The Square’ 2014
(Penulisan ini telah diterbitkan di dalam majalah Senikini #22, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur 2014)
Berita penangkapan artis China-Australia Guo Jian 52
tahun di studionya di Songzhuang, timur Beijing oleh pemerintah China mendapat
liputan antarabangsa berkenaan karya kontroversi beliau yang mengambarkan Tianmen Square yang diliputi dengan daging
babi. Ini berikutan langkah berjaga-jaga kerajaan Parti Komunis China terhadap
sambutan ke-25 tahun protes Dataran Tianmen yang lebih dikenali dengan Tianmen
Square. Gou Jian yang juga bekas Askar Pembebasan Rakyat atau People’s Liberation Army semasa zaman
remajanya juga pernah mengambil bahagian dalam protes pro-demokrasi di Tianmen
Square pada 1989 yang telah mengorbankan beratus-ratus orang dan mungkin beribu
dalam tunjuk perasaan itu. Protes Dataran Tianmen pada 1989 yang berlaku pada 4
June tahun tersebut adalah Pergerakan Demokrasi secara besar-besaran yang
dipelopori oleh golongan pelajar merupakan gerakan demokrasi yang popular di
Beijing. Guo yang dikenali dengan karya-karya yang bersifat Cynical Realism mengambil latar belakang
beliau sebagai bekas tentera dan dunia hiburan dalam pengkaryaan beliau
mengkritik dasar pemerintah.
Tekanan yang diberikan oleh pemerintah China
terhadap pengkaryaan beliau yang anti-kerajaan telah memaksa beliau
meninggalkan negaranya pada awal tahun 1990 an dan berpengkalan di Sydney, Australia.
Guo Jian kembali ke China pada tahun
2005. Beliau ditangkap selepas membuat kenyataan temuramah berkenaan karya
beliau di Financial Times. Karya beliau yang bertajuk ‘The Square’ 2014 berukuran
460 cm x 220 cm adalah sebuah instalasi model Dataran Tianmen yang diselaputi
oleh daging babi yang dikisar seberat 160 kg ditaburkan diatas model itu simbol
kepada peristiwa berdarah dan pendemo yang terbunuh dalam kejadian 25 tahun lalu.
Sehingga tulisan ini ditulis lebih 50 orang telah ditangkap di China di atas
kesalahan secara langsung atau tidak langsung dalam memperingati berhubung
dengan ulangtahunnya itu oleh pemerintah agar rakyat China tidak mengingatinya
lagi peristiwa hitam itu.
Anda mungkin akan mengatakan ia hanya sebuah
tangkapan seorang seniman yang karyanya tidak sehaluan dengan aspirasi
pemerintah. Namun saya mahu melihatnya dalam bingkai yang lebih luas. Saya juga
mahu menyatakan di sini juga, saya neutral dalam mengamati dan menganalisis
setiap isu-isu yang berlaku, mari kita melihat konflik yang berlaku ini dalam
fikrah yang mampu menerobos jauh dan bukan alasan-alasan emosi yang banal. Negara
China kini menjadi kuasa kedua ekonomi terbesar dunia selepas Amerika Syarikat,
menurut penganalisis ekonomi, tidak mustahil setelah membuka pintunya kepada
dunia negara itu dalam beberapa tahun lagi negara itu akan mengambil alih monopoli
dari Amerika. Pemimpin Amerika tahu negara itu tidak akan berjaya untuk
menyainginya tanpa bahan mentah minyak yang diperolehi daripada negara-negara
pengeluar di Asia Barat terutamanya Iran bagi menjana perkembangan ekonomi.
Tujuan Presiden Amerika mengadakan lawatan seperti di
Jepun, Malaysia dan Filipina baru-baru ini bukan sahaja untuk memujuk Malaysia
menandatangani perjanjian TPPA tapi mungkin lebih dari itu. Kedudukan Malaysia
yang terletak di laluan perdagangan timur dan barat, melalui lokasi yang
strategik dengan meletakkan pengkalannya di sini Amerika dikatakan mampu menyekat kemaaraan China atas alasan
keselamatan laluan perkapalan tetapi sebenarnya Amerika mahu mengawal laluan
perdagangan minyak dunia seperti mana Amerika meletakkan pengkalannya di Teluk
Subic Filipina bagi mengawal Laut China
Selatan. Tambahan pula kini hubungan tegang negara-negara Asean dengan China
untuk menuntut Pulau Spartly yang dikatakan lokasi mempunyai potensi
mengeluarkan minyak dan strategi ketenteraan menjadi rebutan antara China,
Vietnam, Filipina dan Malaysia. Jadi usikan Financial Times (FT) yang
berpengkalan di New York menemubual artis China-Australia itu berkaitan dengan
isu sensitif dalaman negara China bagi mereka adalah suntikan-suntikan arsenik
yang meracuni pemikiran rakyatnya. Tidak menghairankan mengapa pemimpin
negara-negara Asia Barat yang lantang menentang dasar Amerika seperti Libya dan
Mesir digulingkan menerusi agen-agen CIA yang menyelinap masuk untuk mencucuk
jarum bagi mengapi-apikan sentimen pemberontakan menerusi laporan-laporan berat
sebelah media-media barat seperti CNN, ABC dan Financial Times.
Pameran ‘Sensation’ iaitu pameran bergerak seni
kontemporari koleksi pengumpul kontoversi iaitu Charles Saatchi yang kebanyakan
mempamerkan karya-karya Young British Artist (YBAs) telah dipamerkan dibeberapa
tempat antaranya Royal Academy of Art di London, Hamburger Bahnhoff di Berlin,
Brooklyn Museum, New York dan cadangan untuk diadakan di National Gallery of
Australia di Sydney dibatalkan. Pameran ini telah mencetuskan kontroversi di London
dan New York berikutan imej Myra Hindley dan Virgin Mary. Di New York ia
dikritik hebat oleh Datuk Bandar sendiri pada masa itu kerana mempamerkan
nilai-nilai bermoral rendah yang tidak sepatutnya dilihat oleh khalayak yang
dipamerkan oleh institusi dan muzium melalui dana awam
Di London sebelum upacara perasmian pameran itu
dibuka kepada umum hampir tiga perempat daripada ahli akademi di Royal Academy
yang terdiri daripada 80 orang itu telah memberi amaran bahawa pameran itu akan
menimbulkan suasana yang tidak kondusif. Walaupun berlaku keluarbiasaan
pengunjung yang tidak putus-putus beratur bagi mengetahui apa yang telah berlaku
di dalam pameran ‘Sensation’ ini. Sesetengah daripada mereka telah menerima
pengaduan daripada awam berkenaan karya adik beradik Chapman berkenaan karya
instalasi model kanak-kanak yang bersifat kelucahan yang melampau untuk tatapan
khalayak. Namun karya sangat menimbulkan kekecohan di media dan kemarahan
adalah imej imej pembunuh Myra Hindley oleh Marcus Harvey.
Harvey mula mendapat liputan luas oleh media di
London berikutan karya potret gergasi salah seorang penjenayah kes Pembunuhan
Moor iaitu Myra Hindley yang beukuran 9 x 11 kaki. Moor Murderer adalah kes pembunuhan 4 orang kanak-kanak yang
mengejutkan warga Britain. Karya yang dihasil melalui cetakan tangan daripada acuan plaster daripada tangan
kanak-kanak telah dipamerkan dalam pameran ini. Kumpulan The Mother Against
Murder and Aggression telah mengadakan protes dengan berpiket semasa hari
pertama pameran itu berlangsung. Ibu salah seorang mangsa kanak-kanak
pembunuhan Hindlay iaitu Winnie Johnson mengatakan karya potret dengan salinan
cetakan kanak-kanak itu telah menganggu fikiran beliau. Berikutan itu Myra
Hindley telah menghantar surat daripada penjara untuk menyarankan agar potret
beliau itu disingkirkan daripada pameran dengan alasan mengatakan “ia bukan
sahaja akan menimbulkan kesedihan dan trauma kepada keluarga mangsa Moor namun
juga kepada keluarga mangsa pembunuhan kanak-kanak yang lain. Karya ini telah diserang
dengan dua insiden pada hari pembukaan dimana dakwat dan telur telah dibaling
keatasnya, berikutan itu karya ini terpaksa diturunkan buat sementara untuk
dibaiki akibat kerosakan itu. Karya itu kembali dipamerkan dengan disaluti
perspek dihadapannya dan dikawal oleh pengawal keselamatan.
Sungguhpun pameran ini dikatakan begitu popular dan
menarik lebih 300,000 pelawat sepanjang 3 bulan sepanjang ianya berlangsung, tambahan
dengan liputan dan perhatian yang luar
biasa diberikan oleh media massa. BBC mengambarkannya pameran itu sebagai “imej
badan yang dipotong-potong yang berlumuran darah dan penuh dengan pornografi”.
Dua tahun kemudian pameran ‘Sensation’ yang begitu
sensasi ini dibawa bergerak ke Brooklyn Museum, New York pada 1999. Di New York
lain pula kontroversi yang timbul daripada di London dimana karya ‘The Holy
Virgin Mary’, 1996 oleh Chris Ofili artis Britain berkulit hitam diprotes
daripada dipamerkan. Karya dekorasi berlatarbelakangkan warna kuning dan oren,
berukuran 8 kaki tinggi x 6 kaki lebar ini memaparkan wanita berkulit hitam
yang berjubah, secara tradisinya adalah pakaian Virgin Mary menurut agama
Kristian. Karya media campuran yang menggunakan bahan cat minyak, cat kerlipan,
dan diselaputi resin bagi menyelaputi bahan buangan gajah dan kolaj imej-imej
pornografi daripada majalah di atasnya. Di sekitar Black Madonna itu
dikelilingi imej-imej kolaj dimana daripada jauh nampak seperti rama-rama,
namun apabila audien hadir dekat ia adalah imej fotografi alat sulit wanita, menimbulkan
ketidakpuashati dan bantahan pendemo. Ini ditambah pula oleh laporan media yang buruk terhadap karya itu.
Datuk Bandar pada masa itu Rudolph Giuliani,
walaupun tanpa pergi ke muzium itu dan melihatnya menerusi katalog pameran
mengatakannya “sebuah karya yang sakit” dan
cuba menarik semula geran sebanyak 7 juta yang diberikan setiap tahun oleh
Dewan Bandaraya kepada Brooklyn Museum kerana menganjurkan pameran itu. Ini
kerana katanya “Anda tidak berhak untuk mendapat subsidi kerajaan untuk
menghina agama seseorang”. Giuliani mula ingin mendakwa muzium dan pengarah
Arnold Lehman di mahkamah. Walaubagaimanapun permintaan permintaan Giuliani ditolak oleh muzium
kerana beliau melanggar undang-undang First Amendment.
Sebulan sebelum pameran itu ditutup warga emas yang
berumur 72 tahun ditahan kerana cuba merosakkan karya Offli dengan cat putih,
karya itu kemudiannya diturunkan sementara waktu. Untuk langkah-langkah
keselamatan karya, muzium telah meletakkan skrin plexiglass di atasnya dikawal
oleh pembantu muzium dan pegawai polis yang bersenjaata seperti yang berlaku di
London bersama-sama papan tanda amaran “mungkin akan membuat anda terkejut,
mual, keliru, panik dan cemas” . Pengkritik daripada New York Observer mengatakan
“mereka mahukan publisiti dan mereka dapat” manakala itu ketua editor majalah
Art & Auction New York “Orang yang mula-mula yang sudah tentu akan tersenyum adalah Charles
Saatchi terkenal dalam melobi-lobi diri”
Bersambung...