Jumaat, 10 Januari 2014

Muzium, Seni dan Pelancongan




 Oleh: Faizal Sidik

Muzium sering dikaitankansebagai tempat untuk mempamerkan artifak dan bahan sejarah . Muzium juga adalah wahana dalam memperlihatkan warisan khazanah sesuatu bangsa . Muzium sejarah dan muzium seni merupakan tempat popular untuk di kunjungi oleh pelancong selain tempat bersejarah atau tempat peranginan sesebuah negara. Dengan mengunjungi muzium ia bukan sahaja segala tinggalan silam boleh dilihat semula dan seolah-oleh ia mengembalikan kita semula kezaman lampau. Muzium kini adalah sumber ilmu dan rujukan ‘tangible’ tamadun dan kewujudan manusia.

Di Muzium seni yang terkenal seperti Louvre Museum di Paris, Museum of Moden Art (MOMA) , New York dan TATE Modern di London adalah tempat kunjungi yang utama kepada pelancong apabila melancong ke negara  itu. MOMA New York dikatakan muzium seni yang terkaya hasil daripada kutipan tiket yang diperoleh menerusi pameran-pameran seni  yang mengkagumkan, manakala TATE Modern dan Louvre Museum menerima kunjungan pelawat teramai sekali di dunia. Jelaslah minat yang semakin meningkat masyarakat terhadap seni kontemporari boleh dijadikan satu komoditi dalam menjana industri pelancongan.

Seni dan pelancongan bukanlah sesuatu asing dinegara ini, dalam pengalaman permuziuaman seperti Balai Seni Visual Negara sendiri pernah menganjurkan pameran-pameran seni dalam menarik minat pelancong ke Malaysia. Dalam ‘Tahun Melawat Malaysia 1990’ semasa di Balai Seni Visual Negara di bawah Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelacongan di bawah Dato Sabaruddin Chik pelbagai program telah diadakan dalam mencapai hasrat itu. Antaranya Pertandingan dan Pameran Bakat Muda Sezaman atau BMS iaitu pameran yang mengcungkil bakat-bakat baru dalam seni lukis mula diadakan dengan bertemakan ‘Lawat Malaysia 1990’ dalam merayakan acara khas dan menyambut tetamu luar yang hadir ke negara ini. Selain itu pameran-pameran lain seperti ‘Pameran Pengalaman Malaysia/Imej Malaysia’ , ‘Pameran Seni Foto Wajah-Wajah Malaysia’, ‘Pameran Pemandangan Malaysia’  adalah antara program-program yang telah dianjurkan dalam memeriahkan lagi ‘Tahun Melawat Malaysia 1990’.

Menghubungkan  muzium, seni dan pelancongan bukan sahaja bukan sahaja sebagai satu kempen dalam mempromosikan negara ini dalam bentuk visual menerusi lanskap-lanskap pantai yang bersih dan putih, pemandangan sawah dan pohon kelapa di desa namun ia adalah salah satu cara bagaimana kita boleh memperkenalkan idea-idea pelukis kontemporari kita ke luar negara.