Oleh: Faizal Sidik
Faizal Sidik (2013), 'Karya Pelukis Pahang Dalam Koleksi Balai Seni Visual Negara: Satu Tinjauan 1960 an - 2010 an', Senikini #18 (Bil 1, 2013), Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur.
Pengenalan
Balai Seni Visual Negara (BSVN) adalah
institusi seni utama negara kita yang menyimpan dan memulihara hasil seni lukis
tanahair sejak penubuhannya pada tahun 1958 lagi. Sebagai payung kepada program
pembangunan seni lukis di Malaysia sudah tentu ia berhadapan dengan pelbagai
cabaran sepanjang lebih 50 tahun penubuhannya. Salah satu cabaran yang
dilaluinya adalah untuk menjadikan ia sebagai pusat rujukan penting seni lukis
moden dan kontemporari Malaysia. Sebagai tempat yang menjadi tumpuan penyelidik
dalam mengkaji dan menambahkan lagi teks seni lukis negara, sudah tentu koleksi karya BSVN yang
dihimpun selama ini menjadi bahan rujukan dalam melengkapkan dokumentasi
penyelidikan. Sehingga kini BSVN bukan sahaja menerima pelanggan ilmu atau
pengkaji yang datangnya dari pusat pendidikan seni lukis tempatan malah juga
dari universiti-universiti luar negara yang datang untuk menatap, memikir dan
menyelongkar khazanah seni lukis negara dalam menyiapkan kertas-kertas kerja
atau tesis-tesis peringkat sarjana ataupun doktor falsafah.
Redza Piyadasa, ‘Abdul Latiff Mohidin’, Campuran, 310 cm x 126 cm x 40 cm, 1978
Koleksi BSVN 2001.039
Dalam visi BSVN untuk menjadi pusat pembangunan dan
pengkoleksian seni visual negara, sebagai salah satu dari pada warisan
kebangsaan, kini BSVN tertakluk kepada akta baru iaitu Akta Lembaga Pembangunan
Seni Visual Negara yang telah diwartakan pada 2011 dalam meluaskan skop
operasinya, bagi mengantikan Akta Balai
Seni Lukis Negara 1959. Dengan lebih daripada 4000 koleksi yang dinamakan
dengan Inventori Himpunan Tetap Seni Visual Negara, sebuah jawatankuasa telah
ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Perolehan Himpunan Tetap, terdiri daripada ahli
lembaga BSVN sendiri dalam merangka Cadangan Perolehan Tahunan di dalam
Mesyuarat Jawatankuasa Perolehan. Terdapat tiga pendekatan dasar pengkoleksian
oleh BSVN iaitu melalui pembelian,
hadiah dan sumbangan dan juga karya
komisen. Untuk itu Strategi Cadangan Perolehan dirangka dalam membuat perolehan
melalui samada lawatan ke studio dan lawatan ke pameran yang diadakan. Ada
beberapa kreteria yang diberikan penekanan dari segi pemilihan untuk perolehan
seperti sesuatu karya itu mempunyai maklumat visual dan nilai sejarah yang
penting kepada negara dan karya yang amat signifikan dalam sejarah seni di
Malaysia.
Pengkaryaan
Pahang dalam Koleksi Balai Seni Visual Negara
Daripada tinjauan daripada tahun 1960 an
sehingga tahun 2010 an atau lebih tepat sehingga tahun 2011 terdapat 61 karya
daripada 13 orang pelukis berasal dari Pahang telah didaftarkan didalam
Inventori Himpunan Tetap Seni Visual Negara. Dalam jumlah itu ia boleh
dipecahkan kepada beberapa kategori seni utama seperti catan, arca, lukisan,
cetakan, bahan campuran dan fotografi. Kebanyankan karya yang diperolehi dari
tahun-tahun berkenaan adalah melalui pembelian melalui artis itu sendiri dan
galeri yang diwakili oleh artis semasa pameran sedang berlangsung. Apa yang
menariknya terdapat dua hasil foto seawal sekitar tahun 1920 an oleh pelukis
Pahang Alex Moh yang memberi nafas baru pada awal tahun 2000 dengan menggunakan
medium fotografi bertinta yang bertajuk ‘Single’ dan ‘Couple Pair’.
Loo Foh Sang ,
‘Kata Terbang – Flying Fortress’, sutera saring, 69 cm x 62.5 cm, 1968
Koleksi BSVN 1968.007
Balai Seni Visual Negara secara rasminya mulai
mengumpul karya pelukis Pahang sejak tahun 1960 an lagi. Antara karya terawal
adalah Loo Foh Sang bertajuk ‘Kata Terbang’ (Flying Fortress) yang didaftarkan
dalam koleksi tahun 1968 iaitu 10 tahun selepas penubuhan BSVN pada 28 Ogos
1958. Sungguhpun begitu terdapat beberapa lagi karya yang boleh dikatakan karya terawal pelukis Pahang
bertajuk ‘Terengganu 3’ oleh Redza Piyadasa, ‘Wanita’ dan ‘Love Me In Batik’
oleh Joseph. Ketiga-tiga karya ini juga mempunyai tarikh yang sama dihasilkan
pada tahun 1968, cuma didaftarkan dalam tahun yang berbeza.
Perkembangan rancak seni lukis negara boleh
dikatakan bermula sekembalinya tenaga-tenaga pengajar daripada Maktab Ilmu Khas
di Cheras yang dihantar oleh kerajaan untuk mendalami ilmu seni lukis di United
Kingdom. Dua pelukis yang berasal dari Pahang iaitu Redza Piyadasa dan Joseph
Tan mula memperkenalkan aliran ‘International Stail’ atau Stail Antarabangsa
dengan seni konseptual dan seni minimal. Penerapan gaya itu digerakkan oleh
Piyadasa dengan beberapa rakan-rakanya yang lain dengan terbentuknya kumpulan
‘New Scene’ atau ‘Pandangan Baru’ yang terbentuk pada akhir 60 an dan awal 70
an. Kebanyakan karya awal konstruktivis oleh Piyadasa adalah daripada
pameran-pameran berkumpulan yang diadakan di Kuala Lumpur seperti ‘The Great
Malaysia Landscape’ (Pemandangan Malaysia Hebat), 1972 pada pertandingan
pameran ‘Lanskap Malaysia’. Pelukis Pahang ini juga pernah menimbulkan polimik
seni dalam pameran ‘Toward of Mystical Reality’ dengan pasangannya Sulaiman Esa
dimana mereka meletakkan objek jumpaan atau ready
made object ke dalam konteks galeri. Kedua-dua karya ‘Kanvas Kosong’ atau Empty Canvas dan Sangkar Burung atau Bird Cage kedua-dua tahun 1972 adalah
daripada pemeran itu yang diadakan di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Redza
Piyadasa, ‘Siri Malaysia No.10’,
campuran dan kolaj atas bod, 60 cm x 42 cm, 1982
Koleksi BSVN
1984.014
Pada tahun
tahun 1980 an kebanyakan karya yang berada di dalam koleksi BSVN adalah
kesan daripada impak dua persidangan yang melihat ke mana hala tuju kebudayaan
negara dan apa yang sepatutnya berlaku menerusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan
1972 dan Seminar Akar-Akar Peribumi 1979. Para pelukis Pahang tidak terkecuali
dalam perubahan ini, jika dahulu mereka merujuk kepada seni lukis barat, pada
sekitar tahun ini mereka mula menerapkan identiti kebangsaan dalam karya-karya
mereka. Karya Redza Piyadasa contoh daripada konstruktif mula kearah seni rupa
Malaysia dengan siri-siri karya menggunakan campuran dan kolaj seperti ‘Siri
Malaysia No. 10’ 1982. Manakala itu Joseph Tan pula mengambil lanskap setempat
sebagai contohnya siri Dungun dalam menerapkan elemen-elemen tempatan karya
beliau di awal 80 an dengan karya ‘Ingatan Dungun’ (Hill of Tymes), 1983 dan
‘Memories of Dungun’ 1988.Gabungan daripada dua persidangan seni dan budaya
utama itu dan Revolusi Islam Iran yang berlaku akhir tahun 70 an juga telah
menyebabkan berlakunya perubahan dalam pengkaryaan mereka. Revolusi berkenaan
telah menyuntik semangat kesatuan islam sejagat, hal ini tidak terkecuali
daripada negara-negara umat Islam di Asia Tenggara seperti Malaysia dan
Indonesia. Pelukis Melayu-Islam Malaysia telah menggabungkan kedua-dua unsur
budaya Melayu dan tamadun Islam dalam karya mereka.
Dasar Pandang ke Timur dalam melihat kemajuan
daripada negara Asia Timur seperti Jepun dan Korea Selatan yang di amalkan dari
tahun 80 an telah membawa perubahan negara daripada negara pertanian kepada
negara yang berasaskan industri. Kemasukkan pelabur-pelabur daripada
negara-negara itu tadi telah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di
negara ini. Oleh yang demikian berlakulah migrasi atau penghijrahan penduduk
terutama golongan muda daripada kawasan desa ke bandar-bandar besar dalam
mereka mencari kehidupan yang lebih baik. Hal ini tidak terkecuali oleh
pelukis-pelukis dinegeri ini. Ketiadaan
institusi pendidikan seni pada tahun 80 an dan 90 an, maka berlakulah
penghijrahan mereka ke Lembah Klang. Kebanyakkan mereka yang bergraduan pada
tahun-tahun berkenaan terus menetap di pusat kegiatan seni utama negara iaitu
di Kuala Lumpur. Faktor tarikan ini adalah sebabkan tersedianya insfrastruktur seni yang lebih maju seperti
sekolah seni, galeri dan muzium seni serta Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan
yang menjadi tempat tumpuan pengumpul mewah yang memungkinkan transaksi jual
beli itu berlaku. Karya cat minyak Amirudin Ariffin bertajuk ‘Panorama Utara’
1996 dan karya batik oleh Rusmadi
Kamaluddin @ Abdullah Jones ‘Masak Air’ 1996 boleh dilihat sebagai catatan nostalgia
dan memori silam para penghijrah yang merindui kedamian kehidupan dan cara hidup masyarakat kampung yang serba
mudah sinonim dengan pelita dinding,
dapur minyak gas dan cerek air.
Rusmadi
Kamaluddin @ Abdullah Jones , ‘Masak Air’
Batik, 70.5 cm x 32 cm, 1996
Koleksi BSVN
2011.027
Dalam tahun-tahun 2000 an dan awal 2010 pengkoleksian merangka strategi baru dalam usaha bukan sahaja mengumpul karya utama tetapi juga karya arkival iaitu lakaran-lakaran pengkajian seperti membuat perolehan buku-buku lakaran oleh Tuan Will Tuan Mat ‘Siri Kota Cini Yang Hilang’ dan ‘Siri Kota Gelanggi’ selain daripada karya utama beliau ‘Siri Batik Sarong #1- #4’, 2007. Salah satu perancangan pengkoleksian juga adalah membuat dokumentasi penyelidikan pelukis-pelukis muda yang berpotensi, hal ini tidak terkecuali oleh artis muda dari Pahang yang aktif berpameran seperti Isarezal Ismail, Abdul Latif Maulan, Ilham Fadly Mohd Shaimy dan Stephen Menon.
Penutup
BSVN mempunyai misi dalam menjadi pusat mengumpul, memulihara, memelihara,
mempamer, mempromosi, memupuk kesedaran, menjana kefahaman dan penghayatan yang
tinggi terhadap pembangunan seni visual menerusi koleksi-koleksinya. Secara
kesimpulannya karya pelukis Pahang dalam koleksi BSVN mencerminkan signifikan
terhadap identiti sesuatu kawasan dari aspek sosio-budaya, ekonomi dan cara
hidup budaya setempat. Koleksi pelukis Pahang juga mencerminkan ianya sebagai salah
sebuah negeri di pantai timur yang bercirikan maritim mengalami iklim monson
daripada Laut China Selatan. Perbezaan inilah yang dapat dilihat koleksi
daripada karya negeri Pahang berbeza karya yang dihasilkan oleh artis yang
berada di pantai barat, bahagian utara, bahagian selatan dan juga pantai barat
Semenanjung. BSVN sentiasa mengikuti perkembangan perlukis-pelukis Pahang dalam
pengkaryaan mereka dari masa ke semasa. Di atas keunikkan daripada aspek yang
dipernyatakan tadilah antara ciri-ciri BSVN mengumpul karya-karya pelukis
negeri ini.