Jumaat, 5 Oktober 2012

Venice Biennale 2011: Catatan Perjalanan I

Oleh: Faizal Sidik




Hari Pertama / 3 Jun 2011
Lokasi: Kuala Lumpur dan  Rom
9.00 – Bertolak daripada rumah masing-masing untuk ke lapangan terbang KLIA menaiki
pasawat MAS MH 601 berlepas pada kira-kira jam 11.45 pagi

6.05 – Sampai ke lapangan terbang Leonardo da Vinci, Fiumicino, Rom dan selepas
melepasi imigresen kami terus ke Kedutaan Malaysia di Rom yang terletak di Via Nomentana 297. Perjumpaan dengan wakil duta iaitu Cik Sharifah Norhana Syed Mustaffa yang merupakan Minister Counsellor bagi menyatakan lawatan kerja rasmi adalah untuk membuat penyelidikan dan meninjau penganjuran Venice Biennial ke-54. Pihak kedutaan amat berbesar hati dengan kunjungan kami sebagai wakil jemputan Malaysia ke acara berkenaan. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kedutaan terutamanya kepada En. Abdul  Samad iaitu setiausa ketiga di kedutaan yang memberi bantuan dalam kami menguruskan penempahan hotel di tiga buah bandar utama di Itali ini.

13.45   Bertolak ke Stesen keretapi Roma Termini, Rom untuk meneruskan perjalanan ke
Venice dengan keretapi laju Italia Rail dengan melalui kawasan desa pertanian utama
seperti Florence dan Bologna yang mengambil masa 3 jam 48 minit.

17.45   Apabila sampai sahaja ke Stesen Mestre kami  terus ke hotel penginapan yang berada
betul-betul di hadapan perhentian stesen keretapi ini iaitu The Plaza Venice Mestre yang terletak di Via Stazione, 36 untuk  daftar masuk atau check in. Program hari pertama kami disini berakhir dengan masing-masing sibuk membeli barangan keperluan di kedai barangan harian pada sebelah malamnya.

Hari Kedua / 4 Jun 2011
Lokasi: Venice
930 – Hari pertama kami di Venice, cuaca di waktu paginya baik dan agak dingin  suhu
sekitar 18 darjah celcius dan kami terpaksa memakai kot. Kami bertolak dari hotel dengan keretapi ke Stesen keretapi Ferrovia iaitu perhentian terakhir yang menghubungkan tanah besar dengan kepulauan Venice dimana perjalanan mengambil masa lebih kurang 15 minit.

1000 – Apabila sahaja sampai di stesen Ferrovia kelihatan papan-papan iklan mengenai
penganjuran Venice Biennial dimana-mana. Pelancong dari Eropah dan Amerika semakin ramai pada waktu ini dimana dikatakan waktu ini adalah musim kemasukan pelancong dari luar. Perjalanan diteruskan ke lokasi dengan menaiki bot feri dimana ia mengambil masa hampir empat puluh minit. Perjalanan dengan bot feri ini melalui lebih kurang 18 buah perhentian untuk sampai daripada Ferrovia antaranya adalah perhentian Riva de Biasio, San Marcuola, San Stae, Ca’d’Oro, Rialto, San Silvestro, Sant Angelo, San Toma, Ca’ Rezzonico, Accademia, Santa Maria del Giglio, Salute, Vallaresso San Marco, San Zaccaria, Arsenale dan Giardini. Dalam perjalan ke lokasi utama diperhatikan dikiri dan kanan jalan air ini dibentangkan dengan kain rentang pavillion negara yang mengambil bahagian, pameran sampingan atau collateral exhibition dan pameran di muzium-muzium seni di sekitar.

1100 – Apabila kami sampai di Giardini kabin yang menjual tiket telah dipenuhi dengan
pengunjung-pengunjung untuk membeli tiket 20 euro atau RM 86. Untuk
mengelakkan beratur panjang dan kesesakan pembeli tiket kaunter jualan dibahagikan
beberapa bahagian seperti kaunter pembeli dengan kad kredit, kaunter lawatan solo
dan berkumpulan, kaunter pas pelajar dan pas tetap. Namun ada juga yang masuk
tanpa dikenakan tiket atau mereka diberi pas jemputan yang perlu dipamerkan di leher
oleh pihak penganjur. Dalam kenyataan Presiden Venice Biennial edisi ke-54 ini
mereka telah menghantar lebih kurang 2000 kad jemputan kepada muzium dan
organisasi seni di seluruh dunia sebagai jemputan termsuklah Balai Seni Lukis Negara
melalui agensi perdagangan luar negara kita iaitu MATRADE. Pihak penganjuran
senang berurusan dengan pihak Matrade ini adalah kerana kita pernah menghantar
wakil ke 12th Venice Archicture Biennale pada tahun 2010 menerusi penglibatan Persatuan Arkitek Malaysia (PAM). Suasana di hari perasmian sungguh meriah apabila pengarah Venice Biennail yang bertajuk ‘Illuminations’ pada kali ini iaitu Bice Curiger yang merupakan seorang pensejarahan seni, pengkritik dan kurator pameran antarabangsa yang berpusat di Kunsthaus Zurich mengumumkan pemenang anugerah Golden Lion (singa emas adalah lambang dalam bendera negeri Venice) iaitu hadiah yang diwujudkan bagi memberi penghargaan pencapaian hayat sebagai artis ini diberikan kepada Frank West pengarca veteran Austria dan Sturtevant artis konseptual. Dalam ucapan presidennnya Paolo Baratta menyatakan penganjuran pada kali ini mencatatkan rekod peningkatan dari segi jumlah pavillion yang mengambil bahagian yang terdiri daripada 89 buah negara (terbanyak setakat ini) daripada 77 pavillion dua tahun sebelumnya, antara negara yang pertama kali mengambil bahagian adalah seperti negara Arab Saudi,  Bangladesh dan Haiti. penyertaan 83 orang artis dari seluruh dunia di samping 37 acara sampingan di serata bandar Venice.

1300 – Selepas upacara perasmian pavillion pertama kami adalah ke Padiglione
Centrale atau Pavillion Sentral dimana pameran ILLUMInations ini diadakan berkeluasan 3500 meter persegi. Mengikut sejarahnya Padiglione Centrale ini dibuka pada 1894 oleh Datuk Bandar Venice iaitu Riccardo Salvatico telah melantik jurutera majlis perbandaran Venice untuk membina ruang pameran di Giardini di Castello sebagai hos pameran antarabangsa yang pertama yang dibuka selepas setahun pembinaanya. Selepas kejayaan pertama kali penganjuran Venice Biennial pada 1895 mereka telah meluaskan lagi kawasan dengan memberi peluang kepada penyertaan negara-negara lain dan negara luar pertama yang membina pavillion disini adalah Belgium. Dalam edisi pada kali ini Padiglione Centrale telah menempatkan 24 artis dengan lebih kurang 31 ruang pameran didalamnya. Apa yang menjadi tumpuan utama dalam pavillion ini adalah 3 karya bersaiz besar oleh artis Itali di zaman Renaisan yang banyak melakukan eksperimentasi dalam catan di zamannya iaitu Jacopo Tintoretto (1518-1594) koleksi oleh Gallerie dell’Accademia, Venice telah diletakkan di dalam ruang pameran utama seperti karya yang bertajuk ‘The Last Supper’ (1592-1594), ‘The Creation of the Animals’ (1550-1553), ‘Removal of the body of Saint Mark’ (1562-1566), dan ‘Miracle of the Slave’ (1548) telah dibincangkan semula daripada perspektif kontemporari. Kami mengambil masa beberapa minit menghayati karya-karya Tintoretto ini kerana karya pinjaman khas untuk pameran Illumination yang menjadi fokus edisi kali ini dimana karya ini menitikberatkan elemen perspektif, pencahayaan dan komposisi. Daripada pengkajian saya tajuk ‘Illuminations’ (1969) diambil daripada tajuk buku penulisan pemikir seni dan budaya abad ke-20 iaitu Walter Benjamin yang merupakan pengkritik sastera, ahli falsafah, ahli sosiologi, penterjemah dan penyiar radio dimana dalam dalam buku himpunan eseinya yang terkenal antranya ialah ‘Work of Art in the Age of Mechanical Reproduction’ . Pengarah merangkap kurator pameran mengeksplotasikan makna Illuminations kepada dua illumine (menerangi) dan nations (negara) dalam membawa isu yang lebih besar yang berlaku kini. Sebagai pengarah Bice telah membawa kita melihat isu-isu besar pergolakan yang berlaku di dunia termasuk negara yang mengambil bahagian untuk di ‘pentas’kan dalam edisi pada kali ini. Tidak hairanlah jika setiap pavillion yang menghantar wakil samada pameran perseorangan atau berkumpulan membawa permasalahan dan pergolakan setempat untuk dikongsi bersama seperti sosial-politik, peperangan, kuasa, persempadanan, kepada audien yang hadir. Illumination semacam melihat semula tindakan-tindakan pada pada abad sebelumnya yang membawa kesan ke abad seterusnya. Inilah idea-idea yang mencetuskan Bice dalam menempatkan hampir 40 artis pilihannya didalam pavillion sentral ini seperti yang saya kenali sebelumnya antara Maurizio Cattelan ‘Turisti’ 1997, Cindy Sherman ‘Untitled’ 2010, Pipilotti Rist ‘Non voglio tornare indietro’ 2011, Sigmar Polke ‘Strahlen Sehen’ (Seeing Ray) 2007, Christopher Wool ‘Untitled’ 2010, Peter Fischli & David Weiss ‘Space Number 13’.

Perjalanan kami mengikut peta panduan yang menandakan nombor pavillion yang terdapat dalam sisipan suratkhabar bulanan seni iaitu The ArtNewspaper. Kami bermula mengikut turutan pavillion yang berhampiran dengan Padiglione Centrale iaitu negara Belanda. Pavillion Belanda ini di komisener oleh Mondrian Foundation, Amsterdam dan di kuratorkan oleh Guus Bumer serta diwakili oleh koloborasi lapan orang artis dimana mereka mempunyai disiplin dan latar belakang seni yang berbeza untuk berkongsi isu yang bertajuk ‘Opera Aperta’/’Loose Work’, 2011. Karya mereka melibatkan kerjasama daripada pelbagai genre seni seperti  artis seni visual, pereka grafik, arkitek, penulis dan juga komposer dalam menghasilkan sebuah opera dalam satu ruang yang sama.

Perjalanan kami diteruskan dengan melawat ke beberapa pavillion negara disin antaranya yang sempat dilawati pada hari pertama ini adalah Belgium yang terletak benar-benar dihadapan sepanjang jalan ke pavillion utama, pavillion Belgium seperti yang dinyatakan di awal tadi adalah merupakan pavillion negara luar yang pertama kali disini rekaan oleh arkitek Belgium sendiri iaitu Leon Sneyers pada 1907. Apa yang signifikant pavillion Belgium dan biennial ini adalah ia di kurator merangkap pesuruhjaya atau commissioner oleh artis terkenalnya iaitu Luc Tuyman yang bekerjasama dengan artis Angel Vergara dengan sebuah projek yang bertajuk ‘Feuiletton’ .

Pavillion Sepanyol di komisener merangkap kurator oleh Katya-Garcia Anton yang diwakili oleh artis Dora Garcia yang mempamerkana karya eksperimen ‘Lo Inadecuado’ 2011 yang menggunakan teks, penceritaan dan instalasi naratif mempersoalkan perhubungan kuasa antara pelawat, karya seni dan ruang dimana mereka berada. Berkenaan dengan pavillion Sepanyol ini telah dibuka pada tahun 1922 berdasarkan senibina diakhir era Baraque dan beberapa pembinaan semula dilakukan di pintu masuk sekitar tahun 1950 an.

Dalam laluan ke pavillion seterusnya iaitu negara Switzerland terdapat seni persembahan yang mengusung ‘mayat’ yang disajikan oleh wakil Venezuela. Pavillion Switzerland secara ringkasnya mula dibina pada 1952, namun sebelum itu negara ini mempunyai pavillion di San Elena pada tahun 1932 yang diberikan kepada negara Mesir. Pavillion yang ada kini dibina oleh Bruno Giocometti dimana ruang pavillion ini dibahagikan mengikut disiplin artistik yang berbeza-beza. Ia di wakili oleh artis instalasi yang reputasinya mula meningkat yang sering dijemput oleh muzium-muzium di Amerika dan Eropah dalam projek seni ditempat mereka. Pavillion yang dikomisioner oleh Urs Staub ini diwakili oleh artis Thomas Hirshorn dalam karyanya ‘Crystal of Resistance’ dimana karya ini memerlukan penglibatan audien didalammnya. Karya Hirshorn ini mengajak audien bersama-sama memasuki dunia ciptaan artis. Menurut Hirshorn beliau membentuk dan mencipta suatu bentuk baru agar audien berfikir suatu yang baru iaitu bentuk yang membuat audien ‘berfikir’.

Kami kembali pula ke pavillion Venezuela yang dinyatakan pada awal tadi melakukan seni persembahan di hari perasmian. Pavillion Venezuela ini dianggap sebagai sebuah karya besar seni bina yang direka oleh Carlos Scarpa yang mengambil masa 2 tahun untuk disiapkan pada tahun 1956. Ia diwakili oleh kominisioner Javier Cerisola dan dikuratorkan oleh Luis Hurtando. Pada Illuminations ini mereka menghantar 3 wakil iaitu Francisco Bassim, Yoshi dan Clemencia Labin. Projek seni yang bertajuk ‘Espacios, Spaces, Spazi’. Projek secara kolektif ini muncul daripada pertembungan antara artis (karya seni), penonton (mereka yang mengaktifkan karya) dan tempat (ruang pertemuan) dalam kata lain ianya membaca tiga sine qua non atau perhubungan-keadaan dalam seni visual.

Pavillion Rusia yang berwarna kuning kejinggaan diinspirasikan oleh senibina awal Moscow oleh Daniele Donghi. Penganjuran kali ini diwakili oleh badan kerajaan daripada Kementerian Kebudayaan Persekutuan Rusia atau Ministry of Culture of the Russian Federation dan penglibatan badan bukan kerajaan oleh Stella Art Foundation telah mengirimkan komisioner Rusia pada kali ini ialah Stella Kesaeva yang menggunakan khidmat kurator Boris Molok membawa Andrei Monastyrski merupakan artis, pemuisi, penulis dan ahli teori seni. Beliau yang lebih terkenal berada dalam kumpulan seni yang berpengaruh di Rusia dan hingga kini iaitu ‘Collective Action’.yang terdiri daripada yang lain seperti Nikita Alexeev, Elena Elagina, Georgy Kizaevalter, Igor Makarevich, Nikolai Panitkov, Sergei R omashko dam Sabine Hansgen. Dalam ‘Empty Zone’ yang diketuai Monastyrki dan Collective Action yang lain mereka menggunakan ruang dua tingkat pavillion ini sepenuhnya. Ia bolehlah dikatakan sebagai sebuah instalasi dokumentasi retrospektif seni persembahan mereka pada sekitar 70an dan 80 an di luar Moscow. Audien yang memasuki ruang yang dicipta oleh mereka ini akan merasai pengalaman dan interpritasi sendiri.

Pavillion negara Scandinavia atau Nordic mengakhiri lawatan kami pada hari pertama di Giardini ini disebabkan kesuntukan masa. Pavillion Scandinavia yang mengumpulkan negara-negara seperti Sweden, Norway dan Finland ini dibuka pada tahun 1962 yang berkeluasan 400 meter persegi ini boleh menawarkan sesebuah pameran yang bersaiz besar dalam satu-satu masa dimana ia boleh menggabungkan ruang dalam dan ruang luar. Apa yang menariknya pavillion ini penggunaan bumbung secara modular membenarkan cahaya semulajadi masuk tanpa perlu menggunakan lampu pancar. Muzium kontemporari Sweden iaitu Moderna Museet diberi kepercayaan membawa bendera negara menerusi Komisionernya oleh Ann-Sofi Noring dengan menampilkan kurator Magnus af Petersens dan penolong kurator Jennie Fahlstrom. Sweden diwakili oleh dua artis Fia Backstrom dan Andreas Eriksson yang bertajuk ‘Borderless Bastard (multi-culti abc) Windows, Trees and Inbetween’ Erikson menghasilkan kumpulan karya yang berkaitrapat diantara senibina dan alam semulajadi yang mengitari Pavillion. Beliau cuba untuk membawa membawa pengalaman desa dan rumah studio beliau dalam menghasilkan karya-karya ini.  


Hari Ketiga / 5 Jun 2011 (Ahad)
Lokasi: Venice
‘Venice Biennial’, Pameran Satelit
930 – Hari kedua di seawal jam 10 kaunter tiket Venice Biennial dibuka dan bilangan pengunjung yang beratur belum begitu ramai  jika dibandingkan semasa hari perasmian semalam. Selepas membeli tiket kami terus ke Pavillion Britain, pavillion ini menjadi pilihan utama disebabkan untuk mengelakkan kesesakan daripada beratur panjang untuk menunggu giliran memasuki pavillion ini. Pavillion Britain pada asalnya dijadikan sebagai kafe restoran yang direkabentuk oleh Enrico Trevisanato pada 1887 namun ruang dalaman kini telah tiada. Bangunan baru merujuk kepada senibina Palladian yang menggunakan pintu yang besar pada ruang masuknya. Pada edisi kali ini Andrea Rose dari Andrea Rosen Gallery, London dipilih sebagai Commisioner yang dikuratorkan oleh Richard Riley yang mempamerkan hasil kerja Mike Nelson ‘I Impostor’ 2011. Pada kali ini pavillion ini memasang semula hasil karya arca instalasi yang bersaiz besar yang pernah dipamerkan daripada Istanbul Biennial ke-8 pada 2003 yang bertajuk ‘Magazin: Buyuk Valide Han’ dimana beliau membina semula ruang dalaman senibina abad ke-17. Pembinaan semula karya ini di Venice untuk membina semula dan merakam semula imej dalam masa dan tempat yang berbeza dimana Nelson cuba bernostalgia dua tempat diantara Venice dan Istanbul yang pernah menjadi pusat perdagangan antarabangsa Timur-Barat / Barat-Timur pada ketika dahulu. Dalam karya ini khalayak dibawa masuk ke dalam ruang dalaman yang agak kecil didalamnya dimana khalayak perlu melalui laluan-laluan yang menuju ke suatu ruang dimana mereka dapat merasai pengalaman visual dan bau seperti mereka berada di dalam masa dan ruang sebenar. Inilah yang saya rasakan mereka tidak melepaskan audien yang datang dengan bilangan yang besar pada sesuatu masa kerana ruang yang agak sempit dan untuk memberi keselesaan menghayati pengalaman didalamnya bagi mengelakkan kesesakan didalam ruang-ruang tadi.

Kami beralih kepada Pavillion negara Jerman yang terletak bersebelahan dengan Britain dan Canada. Pavillion Jerman adalah pavillion yang pertama yang dibina dan direkabentuk oleh Daniele Donghi pada 1909 yang bercirikan neo-klasik. Walaubagaimanapun bangunan ini diruntuhkan pada 1938 dan rekabentuknya dibina semula oleh arkitek Jerman Ernst Haiger dimana pintu masuk mempunyai empat buah kolum empat segi. Pejabat Kedutaan Persekutuan, Jerman telah diberi tugas sebagai Pesuruhjaya menjayakannya dimana diwakili oleh Susanne Gaensheimer dibantu oleh penolongnya Eva Huttenlauch. Apa yang significantnya Pavillion Jerman pada kali ini adalah mereka merepresentasikan artis, pengarah filem dan teater Christoph Schlingensief (1960-2010) yang telah meninggal dunia pada Ogos tahun lalu dimana projek ini adalah sebuah kolektif yang pengkaryaan beliau sebelum ini dan ia boleh dianggap sebagai penghargaan kepada penglibatan Christoph dalam bidang seni dinegaranya. Pavillion ini memokuskan kepada tiga tema yang dinamalkan ‘iaitu tayanga filem-filem selama tiga dekad beliau berkarya, penghormatan beliau kepada “opera village” di Afrika dan perkaitan antara penyakit yang beliau alami dalam konteks teater. Keseluruhan karya-karyanya membawa audien seperti berada didalam satu majlis ritual seperti suasana yang terdapat didalam gereja dimana audien dikehendaki bertafakur sambil berfikir tentang subjek yang dipamerkan pada dinding seperti filem. Persembahan karya  Christoph ‘A Church of Fear vs the Alien Within’ membawa kita daripada mennghayati seni mozek yang terdapat pada gereja sehingga ke hari ini kepada media baru (filem).

Bersebelahan dengan Pavillion Jerman terletak pula dua negara dari Asia Timur iaitu Korea dan Jepun. Pavillion Korea adalah pavillion yang terakhir dibina di Giardini iaitu pada tahun 1996 dimana tiada pavillion yang dibina selepasnya. Struktur logam pavillion ini dibina oleh Seok Chul Kim dan Franco Mancuso dengan binaan batu bata. Apa yang menariknya binaa pavillion ini adalah apabila upacara perasmian bahagian atas bumbung yang terbuka boleh turut digunakan untuk dijadikan sebagai ruang pameran utama. Pavillion Korea bertema  ‘Love is gone but Scar will heal’ dianjurkan oleh Arts Council Korea yang di taja oleh jenama daripada negara itu seperti LG electric, Korean Air, Hakgojee Gallery dan Pin Gallery. Pada edisi kali ini Yun Chegab dibantu oleh tiga orang komisiener dengan membawa artis Lee Yongbaek yang dikenali dengan karya-karya seni video. Kita tidak perlu hairan bagaimana Korea memilih untuk memperwakilkan artis seni video dalam acara besar ini kerana mereka juga mempunyai lagenda artis seni video iaitu Nam Jump Paik yang kemudiannya berhijrah ke Amerika.Karya beliau bukan sahaja menggunakan dan bereksperiaman dengan penggunaan teknologi malah kemampuan beliau mengolah isu politik dan budaya pada masa kini dalam karya ‘Angel Soldier’ video seni persembahan yang dipaparkan sungguh mengujakan dimana sekumpulan askar menghendap di dalam kawasan yang penuh dengan bunga-bungaan seolah-olah seperti satu penyamaran diantara figura askar dan latar belakang bungaan. Karya  ini memperlihatkan kepada seolah-olah hubungan dua buah Korea yang tegang iaitu Utara dan Selatan dimana masing-masing berkorforntasi secara senyap atau tiadak nampak. Kami membiarkan diri untuk memasuki pavillion lain kerana Pavillion Jepun yang bersebelahan dengan Korea agak panjang barisan menunggunya.

Pavillion Pavillion yang bertentangan dengan kedua-duanya tadi di reka olah jurutera Faust Finzi pada 1912. Rekabentuknya mempunyai satu ruang sentral di tengah-tengah dan ia diapit oleh dua ruang yang lebih kecil sedikit dikiri dan kanannya. Perancis benar-benar menggunakah esei Walter Benjamin iaitu ‘Work of Art in the Age of Mechanical Reproduction’ daripada bukunya ‘Illumination’ yang merupakan tema Venice Biennial ke-54 pada kali ini. Di komisionerkan oleh Institut Francais, Jean-Hubert Martin yang pernah menjadi kurator di Musee’ D Art Moderne, dan Pengarah Musee DNationale D Art Centre Pompidou, Paris bertindak sebagai kurator, ternyata pengalaman Martin yang pernah mengkuratorkan pameran bintang seperti ‘Retrospectif Frank Pancibia’ (1972) di Grand Palais, “ Man Ray” (1972 dan 1982) di Musee’ D Art Moderne, “Paris-Berlin” (1978), “Paris Moscow” (1979) selain pengarahan beliau pada Sydney Biennial (1982 dan 1993), Johannesburg (1993) dan Sao Paolo (1996) membuktikan kemampuan beliau dalam membawa artis Christian Boltanski dengan tema ‘Chance’. Perlu diberi perhatian bahawa Pavillion Perancis dibawakan oleh Centre National des Arts Plastiques (CNAP) dan Direction Generale de la Creation Artistique (Ministry of Culture and Communication) yang boleh disamakan agensi yang bertindak dalam pembangunan seni visual dalam Kementerian Penerangan Kebudayaan dan Komunikasi iaitu Balai Seni Lukis Negara di negara disini. Christian Boltanski adalah artis utama di Perancis pada hari ini dimana karya ‘Chance’ adalah evolusi yang penting dalam pengkaryaan karier beliau selama ini yang mendominasikan karya yang berunsur kematian kepada membuka kepada peluang hidup dan suratan takdir. Karya beliau menggunakan keseluruhan ruang utama dimana disini terdapat instalasi seperti kita berada di kilang percetakan akhbar yang digerakkan oleh mesin, namaun apa yang membezakannya adalah imej-imej hitam putih kelahiran bayi pada mesin yang bergerak. Karya Boltanski adalah penceritaan falsafah dimana audien tidak hanya bersikap pasif apabila hanya melihat rakaman visual semata-mata tetapi ia seperti satu permaian yang menglibatkan penglibatan mereka dimana mereka perlu memerharikan imej yang muncul apabiala mesin itu berhenti samada ada mereka bernasib baik atau tidak meliaht imej dan senyuman berkenaan menyerupai mereka. Karya beliau menyentuh tundakbalas audien yang masuk, dengan permainan emosi mereka.

Pavillion Uruguay pula adalah adaptasi daripada struktur yang telah ada yang dibina pada tahun 1958 sempena Venice Biennial yang ke-29 yang dijayakan oleh kerajaan Uruguay sendiri pada 1960. Pavillion Uruguay dibawa oleh Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan yang menampilkan Silvia Listur sebagai komisioner manakala Clio E. Bugel dan Veronika Herszhorn bertindak sebagai kurator dan pembantu kurator. Pada edisi ini mereka diwakili oleh artis bersama iaitu Alejandro Caesarco dan Magela Ferrero dengan tajuk pameran mereka iaitu ‘Un Lugar Comun’ / ‘A Common Ground’ . Kedua-duanya yang dikenali sebagai fotografer menggunakan imej dan perkataan yang penuh dengan maksud yang puitis namun dipersembahkan dalam keadaan yang santai. Mereka berdua persembahkan dalam keadaan kehidupan harian kita, sesuatu yang tidak dipekatakan, kosong, rahsia,  nostalgia sepintas lalu, romantik yang meninggalkan sesuatu yang sukar digambarkan, ungkapan usang (cliche), dan lumrah kehidupan. Namun ‘Common Ground’ adalah tempat dimana kedua-dua cara pandang dan kedua-dua artis mencantum-cantumkan bahan mentah yang menggerkan sesuatu metafora padanya.

Walaupun negara Australia telah mengambil bahagian dalam Venice Biennale sejak 1954 lagi namun ia hanya beroleh pavillion mereka sendiri hanya pada tahun 1988. Lokasinya adalah berhampiran diantara Perancis, Checchoslovakia dan Uruguay yang direka bentuk oleh pereka Australia sendiri iaitu Philip Cox. Ianya dibahagikan kepada dua aras iaitu aras atas dan bawah manakala bumbungnya berbentuk melengkung dari bahan pengganti. Pada Biennial kali ini Australia dikuratorkan oleh Anne Ellegood yang merupakan kurator di Hammer Museum di Los Angeles yang sebelum ini pernah menjadi kurator seni kontemporari di Hirshorn Museum & Sculpture Garden, Washington DC. dengan mempertaruhkan artis Hany Armanious. Apa yang menarik pada Pavillion Australia pada kali ini adalah banyak pihak yang terlibat dalam menyokong pavillion mereka seperti muzium seni, galeri swasta dan institut pengajian seni antaranya The Balnaves Foundation, Maddockks, Museum of Old and New Art, New Albion Gallery, Roslyn Oxley9 Gallery, Arts Victoria, Arts Queensland, Department of Culture and the Arts, Western Australia, Arts NT, Arts Tasmania. Hany Armanoius ‘The Golden Thread’ yang mempraktikkan proses terawal dalam arca iaitu proses acuan. Hany memperlihatkan kepada kita objek harian yang sering kita temui dalam kehidupan kita yang membina kepada keseronokan melihat visual, ianya juga berpotensi sebagai bahan keindahan, dimana setiap arca yang dicipta mempunyai daerah estetika tersendir. Karya beliau adalah tanda kepada banyak benda di dunia ini yang perlu dilalui oleh keindahan mata kita.

Kami beralih pula ke beberapa pavillion yang terletak di San Elana yang masih terletak di Giardiani dan yang memisahkan ianya dengan pavillion negara yang lain adalah laluan bot-bot persendirian disebalahnya. Antara negara yang menempatkan pavillion mereka disini adalah Austria, Serbia, Brazil, Mesir, Venice, Poland, Romania dan Greece.

Pavillion Austria adalah pavillion paling cepat disiapkan diantara Pavillion disana, direkabentuk oleh Josef Hoffmann selepas hampir 20 tahun melalui perundiangan dan penolakan. Pavillion ini telah menghoskan negara Austria sejak 1934 lagi. Apa yang menariknya pavillion ini adalah rekaan ruang dalaman yang begitu dominan dengan struktur vertikal. Ianya dibahagikan kepada dua bahagian bangunan, dimana galeri utama yang mempunyai dua ruang pameran  dan satu bahagian untuk ruang seni arca. Pavillion Austia dikuratorkan oleh Eva Schlegel merangkap komisioner dengan menampilkan artis Markus Schinwald. Karya-karya instalasi Schinwald terdapat dalam pelbagai-bagai cara perletakan di persimpangan koridor yang agak sukar dilalui dimana beliau ingin membawa para pelawat yang masuk kedalam ruang yang beliau sediakan ini bertindak sebagai karieograf melaluinya dengan karya itu diletakkan secara meninggi, rendah, atas, bawah dan seperti sesuatu sekatan. Sebenarnya Schinwald ingin meneroka kawalan perwatakan, disiplin dan perbaian kendiri badan manusia secara psikologi dari aspek batiniah, tampak kelihatan dan dan boleh dirasai degan memanipulasi ruang, masa, cahaya dan bayang. 

Pavillion Venice pada asalnya adalah direkabentuk untuk pameran seni dekoratif Venice pada tahun 1932 yang diarahkan pada masa itu oleh Brenno Del Giudice, namun diberikan kepada negara Switzerland (1952 diberikan kepada Mesir), Poland dan selepas pembesaran tahun 1938 diberikan kepada Yugoslavia (kini Serbia)dan juga Romania. Pavillion Venice ini bolehlah dikatakan pavillion yang hanya mempamerkan karya oleh artis yang berasal dan berpengkalan di Venice sahaja, ia seperti satu pavillion wilayah yang khas untuk artis yang berasal daripada sini. Pada kali ini Pavillion ini adalah kerjasama diantara Comune di Venezia daripada pinjaman Koleksi Louis Vuitton yang dikuratorkan oleh Medile Gambier dan mengetengahkan karya ‘Mariverticali/Of Water and Other Elements’ oleh artis Fabrizio Plessi. Dalam karya instilasi ini Plessi menggunakan strukter logam hitam berbentuk sebuah bot dengan program yang telah direkod dalam tv plasma, bekas air dan juga bunyian. Plessi tidak berminat untuk beromantik, mengambar, dan mengkronstuk objek tetapi karyanya kuat bermain dengan sensasi menerusi kewujudan refleksi, nada yang lebih segar dan bermetafora yang dibangunkan dalam permukaan dan ruang. Plessi mengambil subjek air dan gendola yang begitu ikonik sekali di Venice ini, karyanya adalah berkaitan antara alam dan kekuatan tenaga manusia dalam membentuk peradaban manusia dengan membina perasaan takjub, komposisi yang dinamik dan futuristik.

Pavillion Serbia atau dahulunya Yugoslavia nama asal pavillion ini adalah disokong oleh 3 badan seni dan budaya negara itu iaitu ‘Ministry of Culture of Republic of Serbia, Provincial Department of Culture of Executive dan Council of Autonomous Province Vojvodina dengan komisionernya oleh Zivko Grozdanic yang dikuratorkan oleh Sanja Kojic Mladenov membawa artis Dragoljub Rasa Todosijevic dengan tajuk pameran ‘Light and Darkness of Symbol’. Rasa sebenarnya mencabar kita terhadap pemahaman lama dan interpritasi terhadap simbol. Karya beliau memprovokasikan deria kita apabila melihat atau mambuat observasi terhadap tanda-tanda dalam sosial-politik, ekonomi dan konteks sosial dalam persekitaran sosial beliau. Dalam satu karya beliau telah menyimbolkan lambang Nazi yang di Italickan bentuknya dan dihadapannya terdapat tab mandi, Rasa seolah-olah mahu memberi interpriatasi baru terhadap lambang sebuah pergerakan manifesto politik yang telah berkubur disebelah Eropah.

Pavillion Brazil direkabentuk benar-benar dihadapan jambatan yang menghubungkan diantara Giardini dan San Elena sejak 1959 lagi yang direkabentuk oleh Brenno Del Giudice dan Amerigo Marchesin. Pavillion ini dibawa oleh Fundacao Bienal de Sao Poulo dengan sokongan oleh ‘Ministry of Foreign Affairs’, ‘Ministry of Culture’ dan ‘Brazillian Embassy in Rome’ yang mewakilkan artis Arthur Barrio oleh dua orang kurator mereka iaitu Agnaldo Farias dan Moacir dos Martin bersama Heitor Martin sebagai komisionernya. Dalam pameran beliau ini yang bertajuk ‘registro+(ex)tensoes y pontos’ karya Artur dibahagikan kepada dua bahagian, ruang pertama ‘Record’ adalah karya beliau sebelumnya yang mempamerkan fotografi, video, dan teks dimana ia adalah strategi memperkenalkan kepada audien yang belum biasa melihat karya beliau sebelum ini mana kala di ruang kedua pula ia mempertaruhkan karya instalasi terbari beliau yang dihasilkan sempena acara ini. Karya Arthur umumnya mencabar ‘kesucian’ institusi seni dengan material yang rendah mutunya yakni yang mudah rosak dan tidak tahan lama seperti garam, daging, kayu, ikan, roti dan serbuk kopi yang dibawa ke dalam galeri dalam sebuah instalasi besar yang menganggu dan mengacau ‘darjat’ atau darjah deria audien .

Pavillion Mesir pula bukan dikomisoner oleh individu tetapi oleh badan seni negara berkenaan iaitu ‘Fine Art Sector, Ministry of Culture, Egypt’ yang dikuratorkan oleh Aida Eltoire dengan tajuk ’30 Day of Running in the Place’, apa yang menariknya lagi pada pavillion Mesir ini ialah mereka menampilkan karya artis yang telah meninggal dunia iaitu Ahmad Basiouny (1978-2011). Basiouny mati pada usia 32 tahun setelah terkena tembakan semasa kejadian Revolusi Mesir tyang berlaku di Dataran Tahrir yang menuntut pengunduran Presiden Mesir iaitu Hosni Mubarak. Karya ini adalah dokumentasi Basiouny yang juga adalah artis multimedia dimana beliau melakukan persembahan digital dengan lima skrin yang memprojekkan ‘footage’ harian atau dokumentasi yang berlaku  di bandaraya Cairo itu dimana beliau sendiri telah mati.

Pavillion Poland dianjurkan oleh Zacheta National Gallery of Art, Warsaw  dengan sokongan Ministry of Culture and National Heritage of the Republic of Poland. Pada kali ini ia dikomisionerkan oleh Hanna Wroblewska dan oleh dua orang kurator iaitu Sebastian Cichocki dan Galit Eilat dengan tajuk “...and Europe will be Stunned” oleh Yael Bartana. “...and Europe will be Stunned” adalah trilogi video Bartana iaitu artis Israel/Dutch dan ini adalah kali pertama pavillion Poland diwakili oleh artis yang bukan berasal dari negara berkenaan tatapi mewakili pavillionnya dalam sejarah Biennialnya. Bartana memprojekkan tiga buah filem iaitu ‘Mary Koszmary’ (2007), ‘Mur i wieza’ (2009) dan ‘Zamach’ (2001) dimana kesemuanya berkisar tentang aktiviti Jewish Renaissance Movement in Poland atau (JRMiP) iaitu Pergerakan Renaisan Yahudi Poland iaitu sebuah pertubuhan politik yang memanggil semula kembali 3 juta tiga ratus ribu orang Yahudi untuk kembali ke tanahair mereka yang asal. Filem melingkari tentang sejarah persaiangan nasionalisme dan militarisme naratif kependudukan orang Israil, impian pergerkan Zionis, anti-Semantik, Holocaust dan hak orang Palestin untuk kembali. Kefahaman perletakan ruang , masa dan bunyi adalam kunci kejayaan beliau dalam mentranformasikan situasi politik dan sosial kepada pengalaman kederiaan yang sebenar.

Salah satu pavillion yang menarik perharian saya adalah dari Romania iaitu negara di sebelah Eropah Timur. Mereka membawa 3 artis secara berkumpualan antaranya ialah  Ion Grigorescu, Anetta Mona Chisa dan Lucia Tkacova. Dua orang kurator yang diberi tugas membina pameran yang bertajuk ‘Performing History-with Ion Grigorescu dan Anetta Mona Chisa & Lucia Tkacova’ ialah Maria Rus Bojan dan Vasile Dincu. Pavillion Romania secara keseluruhannya bagaimana pandangan Eropah Barat terhadap negara disebelah Timur sekitar idea seni itu sebagai alternatif, bebas dan kedegilannya dalam sejarah persembahan. Karya-karya Grigorescu mempersoalkan penolakan ikon dan etika praktis artistik di Romania manakala Mona Chisa dan Tkacova bereaksi terhadap rujukan sejarah dan menentang semula kepentingan dan pengalaman baru dan perhubungan antara generasi dan permasalah kritikal dan etika dimana di luar dindinag bangunan pavillion ini mereka menulis menggunakan teks yang bertajuk  ‘20% of reason not to be at the Venice Biennale’ dan sebalah kanan ’80 of reason to be at the Venice Biennale’disini saya menulis kembali apa yang dinyatakan oleh mereka berdua.

1 ulasan:

  1. Bende meme estetiği yaptırmak istiyorum. Türkiye'den Dr Əli Mezdeği haqqında bilgisi olan var mı?
    meme estetiği

    BalasPadam