Rabu, 16 Februari 2011

Nasir Baharuddin: Baca dan Lihat

Oleh: Faizal Sidik


Faizal Sidik (2010),‘Nasir Baharuddin: Baca dan Lihat’, SeniKini, 2010, Issue # 10, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.


-->


Nasir Baharuddin boleh dianggap sebagai seniman ‘gelombang’ kedua yang dikenali begitu komited dengan aliran konseptual dan minimalis selepas pengiat seni apa yang dikenali ‘The New Scene’ pada sekitar tahun 1970 an di negara kitayang mana kelompok ini cuma mengetengahkan persoalan-persoalan dalam pembuatan atau penciptaan karya seni.

Nasir Baharuddin, ‘Baca dan Lihat’, Teks komputer, foto dan objek, 
38 cm x 44 cm (20 pcs),1995
Koleksi Balai Seni Negara

Pengkaryaan seni mereka menitikberatkan karya yang pelbagai dimensi dalam membina sistem tanda. Mereka juga membuat pendefinasian semula antara catan dan arca dalam membahagi dan mengkombinasikannya semula dalam dalam mencipta pendefinasian baru terhadap identiti, falsafah seni, estetik, status terhadap kategori-kategori seni dan penerimaan seni. Mereka mengistiharkan konsep dan ideologi yang radikal dimana bertujuan untuk mencabar, mengali semula, perlakuan nilai estetik dalam seni lukis kontemporari Malaysia.

Nasir Baharuddin
Karya Nasir Baharuddin yang bertajuk ‘Baca dan Lihat’ dihasilkan pada tahun 1995 ini mempunyai 20 buah bingkai yang bersaiz 44 x 38 sentimeter setiap satu yang disusun boleh dianggap sebagai instalasi dinding atau ‘wall installation’ menggunakan pelbagai bahantara seperti teks komputer, foto dan objek antaranya pita kaset, jangka lukis, minyak, kulit kerang, foto imej lampu, akar kayu, speaker, sudu,foto gerbang masjid, penutup lubang saluran air, cip, kompas, pembaris, duit syiling RM 1, 10 sen dan 20 sen.

‘Baca dan Lihat’ merupakankarya koleksi terkini dalam perolehan Balai Seni Lukis Negara 2010 yang kini terpilih untuk di pamerkan di dalam pameran ‘ABC: Antara Bahan Campuran’ iaitu sebuah pameran yang menghimpunkan karya-karya koleksi seni lukis negara yang menggunakan campuran bahantara dalam karya seni dari tahun 1990 an hingga kini. Karya ‘Baca dan Lihat’ pernah dipertontonkanbuat pertama kalinya di dalam pameran ‘Art & Spirituality’ yang dilangsungkan di Balai Seni Lukis Negara juga pada tahun 1995 dan kemudian menerima jemputan untuk diterbangkan ke Eropah Timur pada pameran Malaysia Contemporary Art In Prague di Manes Gallery, Prague, Republik Czech pada 1998.

Konseptul minimalis yang beliau bawa lebih menekankan sesuatu idea daripada pembentukan rupa. Pengkaryaannya selama lebih 20 tahun cenderung bermain dengan dunia tanda atau apa yang dikatakan sebagai ‘sign’ Selain itu idea daripadanya akan mencadangkan bahasa dalam sistem visual dan pengisiannya menggunakan aturan geometrik dan metodologi.Ferdinand de Saussure ahli linguistik dari Swiszerland pernah memperkenalkan ini dengan mengkategorikannya kepada dua iaitu ‘signifie’ (penanda) dan ‘signfian’ (penanda) iaitu yang terdapat di dalam buku beliau yang bertajuk Course in General Linguistic dengan mengatakan:

“Bahasa adalah suatu sistem tanda yang mengekspresi idea-idea (gagasan-gagasan) dan oleh kerana itu dapat dibandingkan dengan sistem tulisan, huruf-huruf untuk orang bisu dan pekak, simbol-simbol keagamaan , aturan-aturan sopan santun, tanda-tanda ketenteraan dan sebagainya. Namun itu semua hal yang sangat penting dalam keseluruhan sistem tersebut. Suatu ilmu yang mempelajari tanda-tanda kehidupan dalam masyarakat bersifat dapat difahami. Hal itu merupakan bahagian dari psikologi sosial atau berkaitan dengan psikologi umum. Saya menyebutnya sebagai semiologi (dari bahasa latin semion: tanda) Semiologi akan menjelaskan unsur yang menyusun suatu tanda dan bagaimana hukum-hukum itu mengaturnya”

Menurut Nasir etiologikal atau asalan daripada itu representasi visual yang timbul dalam bentuk gambaran semulajadi dan penataan objek itu akan menghasilkan sistem terhadap fenomena visual. Ia bermaksud untuk menstrukturkan aturan pada sistem kehidupan melalui garisan dan ukuran sebagai sifat dan keperluan diri terhadap penerokaannya yang penuh dengan keanehan. Penerokaan ini mempunyai kaitan dengan teori sistem kehidupan yang mana sistem manusia akan diintergrasikan atau dipersatukan dengan aturan semulajadi.

Menurut beliau lagi teori sistem kehidupan menjelaskan kepada kita bahawa dunia ini terdiri daripada sistem-sistem yang berjaringan diantara satu sama lain dan mempunyai hubungan diantara bahagian-bahagian secara keseluruhan dimana ia memberi maksud suatu pengertian. Hidupan dan organisma saling memperlengkapkan naratif visual pada jaringan semulajadi dan struktur kesejagatan yang hidup didalamnya pada kedua-dua peringkat iaitu ‘sub-atomic’ dan ‘inter-galactic’. Kita dapat melihat perihal ini melalui jarak antara, tingkah laku dan elektron pada tahap ‘sub-atomic’ yang memikul bebannya sama juga yang ada pada bintang dan planet di alam ini .

Dalam penulisan katalog oleh Harun Abdullah Coombes yang bertajuk ‘The Islamic Spirit: Social Oreintation in Contemporary Malaysia Art’sempena pameran ‘Art & Spirituality’mengatakan bahawa karya Nasir Baharuddin sebagai representasi tenaga baru dalam pengkaryaan seni berkonsepkan Islamik dari segi penggunaan media yang lebih kontemporari. Pilihan beliau yang memilih surah 96 Al’ Alaq (Iqraa) yang bermaksud:

“ Bacalah dengan nama tuhanmu yang telah jadikan. Ia jadikan manusia dari sekepal darah. Bacalah kerana tuhanmu itu yang amat mulia. Yang mengajar dengan (perantaraan) qalam. Ia telah ajar manusia apa yang mereka tidak tahu. Sayang! Sesungguhnya manusia itu suka melewati batas. Lantaran ia melihat dirinya cukup. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali. Tidakkah engkau fikirkan (bagaimana baiknya) jika ia (berjalan) atas pimpinan? Atau ia menyuruh (manusia) berbakti? Tidakkah engkau fikirkan (bagaimana jeleknya) jika ia dustakan dan berpaling? Tidakkah ia ketahui bahawasanya Allah melihat? Ingat! Sesungguhnya jika ia tidak berhenti nescaya kami sentak jambulnya. Jambul yang dusta, yang derhaka. Maka biarlah ia panggil tentera (kami) yang gagah. Ingat, jangan engkau taat kepadanya , tetapi hendaklah engkau sujud dan berhampir berdiri”.

Nasir Baharuddin, ‘Baca dan Lihat’ (Jarak dekat) Teks komputer
dan pensil, 38 cm x 44 cm, 1995

Didalam Al-Quran dipilih sebagai ekspresi motif terhadap kedua-dua ketajaman dan kekuasaan. Kepada manusia yang tidak pernah kenal Al-Quran ayat ini adalah disampaikan oleh Malaikat Jibrail kepada Nabi Muhamad yang diketahui tidak tahu membaca didatangi oleh peristiwa sebegini. Iqraaadalah bahasa Arab yang bermaksud ‘bacalah’. Surah ini sering dikaitkan dengan pendedahan ilmu dan kuasa ilmu pengetahuan itu sendiri.

Nasir menerangkan beliau memilih untuk mengalih bahasa surah ini di dalam bahasa Melayu sebagai penegasan latarbelakang karya ini yang beridentitikan Melayu/Islam. Beliau kemudiannya membina tema terhadap penghantaran ilmu pengetahuan dengan menggunakan objek untuk mengambarkan pemindahan Perkataan Suci (Devine Word) kearah realiti kehidupan harian (objek), yang memperkasakan manusia sebagai khalifah. Surah ini sendiri mengingatkan kita daripada penyalahgunaan anugerah Tuhan yang menciptakan kita. Karya ini merenungkan kepada kita persoalan hubungan antara daya pancaindera dan daya akal manusia dalam cara kita melihat objek.

Nasir Baharuddin, ‘Baca dan Lihat’ (Jarak dekat) Teks komputer
dan kompas, 38 cm x 44 cm, 1995

Wajah teks itu sendiri merupakan objek persepsi yang diolah dalam melihat sepintas lalu antara objek dan teks. Kekaburan itu memberi kepada suatu konflik mata untuk mengambil keputusan diantara mana pilihan 'persepsi' yang menjadi pilihan. Beliau berharap agar audien 'mencari' apa yang dimahukan oleh mereka.Karya beliau membawa audien untuk 'berinteraksi' dengan cara melihat dan melihat atas keputusan dirinya sendiri mengenai apa yang dilihat. Secara asasnya karya itu sendiri mengajak penonton untuk berinteraksi atau berkomunikasi.

Nasir Baharuddin, “Still Life”, Teks Komputer atas kertas,
36 cm x 43 cm (4 pcs) , 1999

Persembahan karya ‘Baca dan Lihat’ ini bukan sahaja spesifik kepada format tradisi segi empat konvensional malah karya ini boleh disusun mengikut psikologi ruang dimana ia mahu diperletakkan. Ia juga boleh di susun secara vertikal atau horizontal mahupun susunan seperti dalam permainan bahasa silangkata, setiap petakan berkaitan rapat dan mempunyai maksud dengan petakan yang lain. ‘Baca dan Lihat’ boleh dikatakan sebagai kesinambungan idea daripada karya sebelumnya iaitu “Still Life” pada tahun 1999 yang menggunakan medium kertas dan teks komputer yang telah dipamerkan di dalam pameran ‘Imbasan Bakat Muda Sezaman’ pada tahun itu.

Untuk memahami karya ‘Baca dan Lihat’tidak lengkap sekiranya kita tidak dibawa bersama untuk melihat dan mencungkil semula perkembangan pengkaryaan beliau sebelum ini bagi membantu kita dalam membuat interpritasi kembali karya-karya mutakhir beliau. Penulisan ini juga akan menyelusuri bagaimana proses pengkaryaan beliau berlaku terutamanya kesannya terhadap karya ‘Baca dan Lihat’ dengan mengali kembali pernyataan pengkaryaan beliau dengan membahagikanya kepada beberapa proses sepertisumber literatur, metodologi, analisis, penemuan dan penerapandalam pengkaryaan.

Komitmen beliau terhadap pengkaryaan yang bernafaskan seni Islam berkonsepkan idea bukanlah baru dalam seni lukis di Malaysia ia telah mula diterokai oleh beliau sejak tahun 1980 an lagi dalam pameran pertandingan Bakat Muda Sezaman 1984 dengan karya beliau yang bertajuk‘Dari Satu Kewujudan’ dan satu lagi ‘Unity’ telah mula menampakkan idea-idea ke arah ini.

Nasir Baharuddin, “Dari Satu Kewujudan” , Campuran,
135 cm x 152 cm, 1984

Nasir Baharuddin, “Unity” , Tali dan cat,
152 cm x 135 cm, 1984

Penteorian literatur pengkaryaan seni Nasir berkait rapat dengan apa yang dikemukakan oleh James Miller dalam“Teori Sistem Kehidupan” yang popular pada sekitar tahun 1960 an. Miller menanggap sistem kehidupan sebagai set yang kecil terhadap semua sistem.Sistem kehidupan adalah membuka sistem organisasi diri yang mempunyai sifat yang istimewa dalam kehidupandan berinteraksi dengan persekitarnnya. Peralihan ini berlaku daripada perubahan kuasa material. Sistem kehidupan boleh menjadi mudah sama seperti sel tunggal atau yang kompleks sebagai satu persatuan yang unggul.

Nasir mengatakan pemikiran kita sering tidak menghiraukan nilai dan keperluan spritual dan pendekatan saintifik dalam membuat interpritasi visual. Minda kita sering tertarik akan tarikan ketepatan yang ada dalam sains matematik yang bersifat ‘abstrak’ terhadap doktrin keEsaan yang terletak pada aturan sistem alam, dimana ia mempercirikan keseragaman yang memberi penghormatan pada masa dan ruang. Ianya adalah penerokaan fizikal alam yang berbeza daripada sifat keindividuan yang memerlukannya dan mencipta ruang kondusif sebagai renungan dan meditasi dengan menggunakan bentukan geometrik, dan bahan semulajadi. Maksud beliau disini adalah untuk memperlihatkan kepada kita dengan lebih dalam dan lebih tenang hubungannya dengan kita. Sehubungan dengan itu dalam sistem teori kehidupan, ianya menjelaskan kehidupan di alam ini cenderung untuk mengatur setiap tahap kerumitan dalam jaringan, corak dan struktur yang muncul terbit kelihatan kacau yang tanpa kebebasan dan arah. Kefahaman terhadapnya akan membabitkan pemikiran setiap tahap dan kepada keseluruhan sistem kehidupan organisma dan tingkah laku manusia.

Nasir Baharuddin, “Self Scripture” , Kayu, Tali dan Photo
168 cm x 160 cm, 1994

Nasir memisalkan kita semua adalah ‘sistem terbuka’ sebagai hidupan organisma atau kumpulan organisma yang hidup. Mengajak kita berfikirseketika tentang kecelaruan kreativiti dan aturan tindakbalas kebiasanya pula adalah kespontanan timbul daripada suatu yang dilihat berada didalam kecelaruanyang lain pula. Beliau mengatakan impak peranan seseorang artis itu amatlah besar dan jika kecelaruan yang memainkan peranan dalam memunculkan aturan (karya), sebagai artis menurutnya kita boleh bermula dengan melihat apa yang dikatakan sebagai konteks kecelaruan itu sebagai permasalahan artistik dalam satu pandangan yang baru. Sebaliknya tambahnya lagi dalam melihat kecelaruan, kita boleh bermula dengan memerhatikan bagaimana ianya menjadi lebih teratur dan melihat corak alam sebagai asas kepada penyelesaian masalah. Untuk kearah itu mungkin boleh dilakukan dengan mengenali dan pengkaryaan mengikut aliran alam dalam memunculkannya dan melihat sebarang penyelesaian yang kita cipta itu boleh membuka penyelesaian baru pulaterutamanya dalam aturan sistem yang sukar difahami lagi merumitkan dan tingkah laku manusia sememangnya tidak dilatih untuk melihat atau memungkinkan sesuatu itudalam memahaminya.

Nasir Baharuddin, “Visual Independent” , Campuran ,
122 cm x 122 cm, 1995

Dalam pendekatan metodologipula Nasir memokuskan kepada 2 pendekatan pertama teori sistem kehidupan dan teori etiologi iaitu pengkajian bagaimana sesuatu itu terjadi, dalam hubungannya dengan matematik dan disiplin yang lain. (perkataan yang biasanya banyak digunakan dalam bidang perubatan dan teori falsafah, dimana ia digunakan khusus untuk merujuk pengkajian bagaimana sesuatu perkara itu berlaku, atau malahan alasan yang terhasil disebalik keberlakuan sesuatu, dan dalam penggunaannya dalam bidang falsafah, fizik, psikologi, pemerintahan, perubatan, teologi dan biologi ia merujuk kepada sebab penyebab terjadinya pelbagai fenomena.
Nasir Baharuddin, “Dot On Dot” , Campuran ,
152 cm x 168 cm, 2008
(Koleksi Shalini Ganendra Fine Art)

Secara dasarnya metodologi ini timbul atau berlaku daripada mekanisma pembuatan tenunan tradisional dengan menggunakan aturan dan sistem pengiraan sebagai ekspressi artistik. Ianya adalah kesinambungan daripada antropologi visual yang bersifat mistik yakni transformasi sistem kehidupan kepada dunia digit dalam konteks epistimologi visual dan maksud. Dalam kata lain, proses ini adalah adaptasi daripada representasi kebudayaan serantau, terutamanya dalam teknologi tenunan seni halus dalam praktis kontemporari. Proses tenunan ini diadaptasikan dalam kata bagaimana proses lapisan itu dibina, yang mana setiap satu unit dibuat perkiraan.

Nasir Baharuddin, “Portrait of a Line”,Campuran ,
168 c x160 cm, 2008
(Koleksi Shalini Ganendra Fine Art)

Metodologi kedua beliau merujuk kepada seni bina Mario Botta, dimana perancangan dalaman dibangunkan dengan grid dan menyarankan lapisan kerataan, Dalam perihal ini, ukuran asas digunakan. Cara pengukuran dibina daripada ciri-ciri yang dibentuk daripada digit angka dan garisan empat segi, kemungkinan yang terhasil daripada bentuk bulatan dan segiempat bujur. Karakter garisan jika diamati adalah suatu yang wujud dapat dirasakan dan disentuh atau apa yang disebut ‘permukaan tampak’ bertindak sebagai pemetaan dan menghasilkan illusi. Tujuannya bukanlah untuk membentuk permukaan sebagai permukaan itu sendiri, tetapi permukaan itu adalah dimunculkan dan diambil alih sebagai ‘objek tampak’ melalui lapisan rupa dan grid. ‘Permukaan garisan’ itu adalah gelombang bukan sahaja ciri-ciri yang merubah namun adalah satu eksplorasi terhadap pencarian yang lebih spesifik kepada alam dan perubahan didalamnya.

Dari segi penganalisaan pengkajian Nasir ini, ia memperlihatkan alam semulajadi dan sistem kehidupan adalah dibina berdasarkan perhitungan yang abstrak dan penghasilan ilmu pengetahuan sebagai fenomena visual atau objek. Terhasil daripada teori etiologi (iaitu bagaimana sesuatu perkara itu berlaku) yang mana ‘objek sejarah’ itu timbul, (dalam bahasa visual, misalnya seperti bentuk dalam garisan) diambil sebagai komponen pembentukan ‘neurosis’. Pendekatan psikologi ada pengkajian terhadap kegelisahan manusia dan keanehan, imaginasi dan realiti dan fenomena antara sedar dan tidak sedar. Oleh yang demikian analisis ini menyatakan bahawa proses alam dan sistem kehidupan adalah mempunyai sistem yang menstrukturkannya, mempunyai abstraksi alamiah yang merubah asas pengetahuan dan aturan kewujudan semua fenomena visual dan penciptaan manusia.

Apa yang ditemui dalam penemuanini kata beliau lagiini adalah berdasarkan proses sistem alam semulajadi dan manusia, yang di bangunkan daripada pembentukan baru interpritasi. Apabila pembentukan ini telah dibentuk, ianya bukan lagi merupakan proses pengembangan yang berkenaan dengan sejarah, namun lebih kepada proses pengulangan yakni dimana idea daripada pengulangan itu menitiberatkan pembentukan keesaan dan subjek ‘penting’. Bagi beliau ia lebih terfokus dan ‘tidak tetap’.Ianya bukan berkenaan dengan ubah dan gerak, dimana prosesnya bersifat sejarah, tetapi ia lebih kepada pengulangan dan bergerak. Pada Nasir alam pengulangan adalah merupakan konsep perubahan itu sendiri, dan ia merupakan satu kepercayaan kearah satu struktur dimana pembentukannya berasal daripada sesuatu kemunculan terhadap apa yang diniatkan. Ianya berkenaan ‘sesuatu’ dan mistikal sifatnya. Samada pembentukannya berasal khusus daripada bentuk digit angka atau bentuk ukuran, sebagai skema dan dimensi, semuanya adalah objek pemetaan itu sendiri. Dalam kata lain, ianya adalah pembentukan matriks pengetahuan sebagai ‘asas kepada pengetahuan’

Hasilnya penerapan pengkaryaan jelas Nasir dihasilkan dengan menggunakan unit asas sistem pengiraan dalam membentuk imej pada bentuk empat segi kepada empat segi. Segi empat bereaksi sebagai latar depan dan ruang fizikal 2 dimensi yang tersirat. Refleksi daripada pembentukan yang boleh di rasa dan di sentuh ianya akan menghasilkan cadangan imej yang kosong dan kerataan pada pengulangan dalam pembentukannya. Tindak balas aktiviti pengulangan adalah sebagai pengucapan semula secara visual terhadap masa dan ruang dalam aturan membentuk logik pada komposisi terhadap fizikalnya. Daripada formula visual ini ia diharap untuk menyarankan metodologi baru dalam pembentukan sesuatu itu dengan melihat aturan alam dan sistem kehidupan sebagai unit objek dan kewujudan penciptaan.

Kesimpulan
Walaupun apa yang dibawa oleh Nasir agak ‘berat’ yang boleh dikelaskan dalam kategori heavyweight untuk dimengertikan, sebenarnya ia memerlukan ‘pemBACAan’ dan ‘pengLIHATan’ yang mendalam terutamanya kepada mereka yang mempraktikkan penggayaan seni formalis, namun beliau telah membuka satu lagi lapangan yang jarang-jarang diterokai oleh artis disini seterusnya memberi sumbangan besar dalam memperkayakan falsafah seni halus di rantau ini dan ‘membetulkan niat’ artis kita dalam pembuatan seni art making mereka agar tidak melihat nilainya dari aspek komersialisasi sahaja. Kebanyakan karya Nasir termasuklah karya ‘Baca dan Lihat’ ini sebenarnya menyarankan idea, setiap petakan karya ini adalah istilah-istilah semacam ditandakan (konsep), kod-kod, ikon-ikon dan indek. Pengkaryaannya tidak berminat untuk menengahkan isu atau pengkaryaan yang bersifat memori historikal, karyanya membawa kederiaan kita ke dalam merenung kembali penciptaan seni itu sendiri sebagai apa yang dikatakan sebagai ‘sains imperialistik’ iaitu ilmu sains yang dapat diterapkan dan dipergunakan untuk berbagai bidang kehidupan yang lain sebagai ‘tanda’ memahami media massa, budaya popular, dan kehidupan seharian dengan lebih baik dan lebih bermakna.

Rujukan
Arthur Asa Berger, Tanda-tanda dalam Kebudayaan Kontemporer, Pt Tiara Wacana Yogja, Yogjakarta, 2000.

Harun Abdullah Coombes ,The Islamic Spirit: Social Oreintation in Contemporary Malaysia Art,dalam ‘Art & Spirituality’, Balai Seni Lukis Negara, 1995

Nasir Baharuddin, Artist Statement dalam www.visualcrackers.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan