Selasa, 2 November 2010

Robert Rauschenberg: Yang Teragung

Oleh: Faizal Sidik


Faizal Sidik (2010), ‘Robert Rauschenberg: Yang Teragung’ SeniKini, Issue # 09, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.

Penulisan ini telah disiarkan di dalam Majalah Senikini, # 9, Jan 2011 terbitan Balai Seni Lukis Negara







-->
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Sungguhpun begitu bagi Robert Rauschenberg (1925-2008) kelahiran Texas, yang telah meninggal 2 tahun lalu beliau bukan sahaja meninggalkan nama malah karyanya juga dalam koleksi Balai Seni Lukis Negara. Karya beliau yang bertajuk “Yang Teragung” atau Malaysian King(Gambar 1) ini yang dihasilkan pada 1990 menggunakan akrilik dan cetakan sutera saring merupakan sebuah karya besar oleh pelukis yang paling bertenaga dalam seni lukis moden yang boleh dikatakan sebagai hero dalam seni lukis Amerika yang berstatus bintang selebriti.
Rauschenberg di awal kariernya merupakan artis yang memperkenalkan teknik Combine Painting iaitu teknik cantuman antara catan dengan objek jumpaandimana beliau telah membuka laluan baru bagi ekspresi artistik. Dalam karya kolaj berunsurkan Seni Pop atau seni popular pula selepas itu beliau menggunkan kemahiran teknik ini dalam menghantar mesej isu politik dan sosial. Beliau pernah berkata “Peranan artis adalah menjadi saksi terhadap sejarah masa" [1]. Sepanjang hidup beliau beliau banyak menghasilkan karya-karya komentar terhadap peperangan, persamaan hak, perlucutan senjata nuklear, dasar aparted, pembangunan ekonomi, hak artis dan isu alam sekitar yang menurutnya tema-tema yang patut artis pada hari ini tekankan.
Oleh itu pada tahun 1983 beliau telah mengumumkan secara rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB satu projek ini yang dibiayainya sendiri dalam misi mempromosikan keamanan sejagat menerusi pertukaran budaya dimana beliau melawat dan bekerja di negara lawatannya itu dengan menggunakan material dan kemahiran pada setiap negara tersebut untuk menghasilkan karya.


Gambar 1
Robert Rauschenberg
Yang Teragung / Malaysian King
ROCI / MALAYSIA 1990
Akrilik dan fabrik atas kayu atas besi galvani
244 cm x 488 cm
Koleksi: Balai Seni Lukis Negara (1990-027)

Program ‘Pertukaran Antara Budaya Rauschenberg’ yang dikenali sebagai ROCI (Rauschenberg Overseas Cultural Interchange) ROCI merupakan pemeran yang dihasilkan oleh Rauschenberg bagi menyelami budaya setiap 
negara hos disamping menganjur dan mempromosikan keamanan dunia dan kesedaran budaya yang dipromosikan olehnya.
Projek pameran bergerak ini bermula pada tahun 1985 dan mengambil masa selama enam tahun membawa beliau ke beberapa buah negara di benua Asia, Eropah Timur dan Amerika Selatan antaranya Mexico, Chile, Venezuela, China, Jepun, Cuba, bekas Soviet Union, bekas Jerman Timur (Berlin Timur) dan juga termasuklah Malaysia.
Johan Jaafar pernah mengambarkan dalam penulisan ruangan beliau dalam sebuah akhbar mingguan bahawa semasa penghantaran kargo karya beliau yang ditaja oleh Sistem Penerbangan Malaysia atau MAS dengan lori kontena daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Subang masa itu untuk di pamerkan di Balai Seni Lukis Negara lama (Hotel Majestic) di Jalan Sultan Hishamuddin iaitu berhampiran dengan Stesen Keretapi Kuala Lumpur KTM berlaku kesesakan yang amat luar biasa kerana kawalan ketat yang diberikan oleh pasukan polis bukan sahaja dari aspek kawalan lalulintas jalan raya malah helikopter di udara juga terpaksa digunakan sebagai langkah keselamatan, begitulah fenomena impak kehadiran karya-karya Rauschenberg di Kuala Lumpur.


-->
Dalam penjelajahan di Malaysia Rauschenberg mengambil gambar dan dibantu oleh pembantunya untuk mengambil gambar video merakamkam apa yang ditemui dan pengalaman beliau pada setiap lokasi pameran. Sebagai pameran bergerak yang memakan masa selama 6 tahun, disamping Rauschenberg menghasilkan karya pada setiap negara hos dalam pamerannya itu, beliau juga menghadiahkan setiap negara yang dilawati dan dengan menerbitan katalog pameran (Gambar 2) itu melibatkan sumbangan penyajak, penulis dan jurnalis tempatan.

-->
Karya ‘Yang Teragung’ merupakan salah satu karya yang telah dihadiahkan oleh yayasan beliau iaitu Robert Rauschenberg Foundation untuk dijadikan koleksi Balai Seni Lukis Negara Malaysia daripada pameran Rauschenebrg Overseas Culture Interchange atau ROCI yang diadakan di National Gallery of Art, Washington D.C. pada 12 May hingga 2 September 1991 dimana ia mempamerkan 60 buah catan, 21 arca, 60 fotografi, 30 grafik dan 15 video pinjaman sebahagian daripada penjelajahan antarabangsanya itu.
Sungguhpun begitu terdapat 4 lagi buah karya selain karya ‘Yang Teragung’ yang beliau hasilkan sepanjang lawatannya kesini semasa program ROCI Malaysia pada tahun 1990 antara nya yang bertajuk ‘Bunga Manggis’ (Mangosteen Flower) (Gambar 4), Tuak Hudok-Iban (Rice Wine Dog) (Gambar 5), Home Run(Gambar 6) dan Malaysian Flower Cave(Gambar 7) merupakan koleksi National Gallery of Art, Washington D.C. [2] yang boleh saya katakan ‘kembar’ kepada karya ‘Yang Teragung’ atau Malaysian King. Ketiga-tiga karya awal tadi tidak diketahui samaada masih berada di dalam yayasan beliau atau ketangan kolektor persendirian.



-->
Dalam karya yang ‘Yang Teragung’ Rauschenberg memperlihatkan sifat kepelbagaian yang ada di Malaysia dari segi politik, ekonomi dan sosio budaya dari segi bahasa serta kepercayaan.Rauschenberg menggunakan elemen popular politik seperti bendera Malaysia dan negeri-negeri yang terdapat didalamnya untuk memperlihatkan bahawa Malaysia merupakan negara yang berdaulat yang diperintah oleh Yang di Pertuan Agung dan kumpulan sistem kerajaan sembilan negeri-negeri berajadisamping Menteri Besar dan Ketua Menteri masing masing.Perletakan bendera negeri-negeri di Malaysia boleh juga dilihat sebagai perjalanan dan pengembaraan beliau di negeri-negeri tersebut dan gambaran-gambaran popular yang beliau perolehi semasa berada di lokasi itu contohnya pengangkutan awam popular di Pulau Pinang pada waktu ini iaitu beca, perkampungan nelayan berlatarbelakangkan pokok kelapa di Kelantan, imej aktiviti pemunggahan barang di pelabuhan mungkinPelabuhan Kelang, Selango danpelantar minyak di Sarawak,

Dalam pameran 45@ 45 iaitu sebuah pameran sempena ulangtahun ke 45 tahun penubuhan Balai Seni Lukis Negara yang mempamerkan 45 karya yang signifikant dalam koleksinya termasuklah karya ‘Yang Teragung’ yang dipilih oleh 45 orang profesional yang mempunyai pelbagai latarbelakang dikuratorkan oleh Zanita Anuar pada 2003 di Balai Seni Lukis Negara, Ng Sek San arkitek senibina lanskap mengatakan “pengkaryaan beliau begitu intim sekali menggunakan bahantara harian dan objek jumpaan. Karya beliau memperlihatkan beliau sebagai pecinta kedamaian yang melangkau sempadan dan lebih relevan sebagai artis pada hari ini yang hidup dalam order baru dunia yang penuh kacau bilau”[3]. Buah-buah ikon di Malaysia seperti durian, rambutan dan mangga juga menjadi subjek yang menarik bagi Rauschenberg dalam karyanya ini. Durian sebagai raja segala buah dianggap sebagai trademarkbuah-buahan dalam menggambarkan negara ini.Tanah perkuburan Islam dan imej senibina kuil jelas menunjukkan bahawa walaupun agama rasmi di sini adalah Islam namun agama-agama lain bebas untuk mengamalkan kerpercayaan mereka.

Dalam karya ‘Yang Teragung’ dan Malaysian Flower Cave Rauschenberg telah memperkenalkan satu lagi lapangan baru dalam seni pop iaitu apa yang dikatakan Pop Art Fabric atau SeniPop Fabrik dari segi bahan-bahan yang digunakan dalam karya ini iaitu akrilik dan fabrik atas besi galvani dilihat daripada gabungan daripada gerakan ekspressionis abstrak dan seni pop yang mungkin pengaruh karya Flag (1954-1955) daripada rakannya Jasper John. Terdapat banyak persamaan atau perkongsian imej yang boleh dibuat perbandingan antara kedua-dua karya ini.

-->
Perkongsian imejan semasa kembara beliau dinegara ini dalam kedua-duanya catan boleh dilihat dalam imej beca Pulau Pinang (Gambar 1a) dan perkampungan nelayan (Gambar 1b). Didalam ‘Yang Teragung’ imej beca hitam putih ia boleh dilihat di bahagian kiri sebelah atas dan perkampungan nelayan juga secara hitam putih yang mempunyai sapuan berus yang kasar berwarna merah bersebelah bendera Kelantan yang juga berwarna merah di sebelah bahagian kanan sebelah bawah. Pengulangan imejan ini boleh juga diperhatikan dalam Malaysian Flower Cavedibahagian atas sebelah kanan dengan bidanganwarna akrilik bewarna jingga (Gambar 7a)


-->
Dibeberapa bahagian yang lain seperti imej pelantar minyak dan kuil dalam ‘Yang Teragung’ boleh diperhatikan dibahagian kiri sekali dimana ia dilihat seperti pencawang elektrik dimana pelantar berwarna merah terdapat imej pokok mungkin pokok getah berwarna putih terdapat bendera negeri Sarawak (Gambar 1c) iaitu sebuah negeri di Malaysia Timur yang kaya dengan sumber asli terutamanya minyak. Kuil yang berwarna merah terdapat dibahagian kanan dalam ‘Yang Teragung’ (Gambar 1d) . Manakala dalam Malaysian Flower Cave kedudukan perletakan imej ini sebelah menyebelah, dimana bukan itu sahaja malah perletakan imej itik seperti motif ‘itik pulang petang’ dalam ukiran Melayu tradisional yang berwarna putih dan pokok getah kuning kejinggan juga boleh dilihat dalam petakan rician ini (Gambar 7b).


-->
Satu lagi penemuan yang menarik untuk dikongsi antara kedua-karya ini yang mempunyai kaitan dengan karya terkenal beliau iaitu ‘Canyon’ 1959 (Gambar 8) iaitu sebuah karya catan kombinasi beliau yang sangat dikenali ramai dalam sejarah seni yang membabitkan nama beliau . Dalam karya media campuran ini Rauschenberg melakukan inovasi baru dalam teknik kolaj yang bermain dengan ilusi optik objek 2 dimensi dan 3 dimensi. Selain membahagi karya ini dengan petakan, grid secara vertikal dan horizontal dengan objek-objek jumpaan apa yang menariknya dalam karya ini adalah gantungan bantal yang terjurai dibahagian bawah sebelah burung helang mempunyai kesinambunganyang begitu mempengaruhi karya seterusnya oleh beliau dari segi pengguanan imej juntaian tali yang boleh disaksikan dalam karya ‘Yang Teragung’ (Gambar 1e) dan Malaysian Flower Cave (Gambar 7c). Dalam ‘Yang Teragung’ penggunaan gantungan taliini dapat disaksikan dalam proses pemunggahan barang dagangan yang mungkin menggunakan tali kren di pelabuhan manakala dalam Malaysian Flower Cave ia dilihat seperti longgokan buah kelapa muda yang diikat pada jaring.

Kita mungkin biasa melihat provokasi dalam demostrasi di media massa terutamanya di kaca televisyen bagaimana peserta yang berdemostrasi membakar atau memijak-mijak bendera negara tertentu bagi menimbulkan sentimen yang mungkin boleh menimbulkan kekacauan dan ketidaktentuan. Penggunaan bendera begitu dominan dalam karya “Yang Teragung” penggunaan bendera dilihat merupakan lambang ‘yang terakhir’ tiada lagi imej yang setaraf dengannya digunakan bagi artis dalam menyampaikan maksud. Ia juga boleh dilihat satu simbol ‘yang tertinggi’ atau ikonografi ‘yang teragung’ dalam sesebuah negara.

Balai Seni Lukis Negara mungkin boleh memikirkan bagaimana hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur ‘Malaysian King’ boleh kongsi dengan Washington ‘Malaysia Flower Cave’dengan menerusi karya catan ini di masa akan datang agar kita dapat melihat kedua-dua karya ini dapat diperlihatkan semula dalam satu bumbung bagi mengeratkan lagi hubungan luar antara kedua-dua negara bukan dalam konteks politik tetapi seni.





-->
[1]Mark Vallen “Robert Rauschenberg 1925-2008“ dalam -http://art-for-a-change.com/blog/2008/05/rober-rauschenberg-1925-2008.html
[2]Koleksi Natinonal Art Gallery, Washington DC - http://www.nga.gov/fcgi-bin/tinfo_f?object=72836
[3] Katalog pameran 45@ 45, Balai Seni Lukis Negara Malaysia, Kuala Lumpur, 2004, ms 114-115

1 ulasan: