Esei-Esei Kuratorial Seni Lukis Malaysia, Asia Tenggara dan Antarabangsa oleh Pelukis-Kurator. (Curatorial Essays on Malaysian, South East Asian and International Art Scene by Artist-Curator)
Isnin, 13 Oktober 2025
Bengkel Seni : Stencil - Lakaran 3 Dimensi
Art Workshop : Stencil - 3D Sketching
Sabtu, 23 Ogos 2025
0leh:Zaabah Hanafiah
Usai jam kerja kemarin, aku langsung pergi ke Universitas Malaya untuk melihat pameran seni rupa di Galeri Piyadasa.
Pameran ini menampilkan karya terbaru Seniman Faizal Sidik dalam bentuk dua dimensi berupa cetakan stensil dan patung tiga dimensi geometris yang disusun secara modular. Melalui motif berpiksel berwarna hitam yang tajam
Faizal menciptakan pola visual yang tegas, grafis, dan struktural.
Karya-karyanya menampilkan bentuk geometris yang berulang, dengan pendekatan grafik dan eksperimental, baik pada permukaan kertas mahupun dalam bentuk patung. Warna hitam yang dominan memberi kesan kuat, padat dan futuristik. Pameran ini juga memberi penghormatan kepada teknik stensil yang digunakan oleh Redza Piyadasa (Seniman konseptual terkemuka Malaysia) pada era 70an, namun dibawa ke dalam konteks seni kontemporer masa kini dengan pendekatan dan bahasa visual yang lebih sedar dan teknikal.
Meski ruang galeri berskala kecil, kehadiran karya-karya yang padat dan disiplin ini menjadikan pengalaman visual terasa monumental memperlihatkan bagaimana seni cetakan dan bentuk boleh berkembang menjadi instalasi yang berdimensi.
Pameran dibuka dari 17 Juli hingga 17 Agustus 2025 di Galeri Piyadasa, Universitas Malaya. Jangan lupa datang berkunjung kalau sedang berada di sekitar kampus!
Penghormatan Kepada Karya Redza Piyadasa
Oleh Raja Yusof Ariffin
Kuala Lumpur - Pameran Faizal Sidik - Stencil: Lukisan dan Arca Terbaharu yang menghimpunkan 50 buah lukisan dan arca mutakhir karya pelukis sendiri sejak tahun 2024, sedang berlangsung di Galeri Piyadasa, Universiti Malaya (UM).
Menerusi pameran ini, Faizal Sidik memberikan penghormatan kepada pengkaryaan Allahyarham Redza Piyadasa yang pernah menjadi gurunya dalam menggunakan teknik stencil untuk menghasilkan abjad-abjad yang membentuk teks atau tulisan lewat pengkaryaan beliau pada sekitar tahun 70-an.
Walaupun stencil bermaksud kepingan nipis yang biasanya diperbuat daripada kertas, plastik atau logam, yang ditebuk dengan corak atau reka bentuk tertentu, tetapi untuk pengkaryaan ini Faizal menggunakan stensil dalam menghasilkan motif piksel secara berpola-pola dalam lukisan dan arca terbaharunya.
Berlangsung dari 17 Julai hingga 17 Ogos 2025 tanpa bayaran masuk, perasmian pameranFaizal Sidik - Stencil: Lukisan dan Arca Terbaharu disempurnakan oleh Nazli Aziz, dari The ArtBusiness Podcast di Galeri Piyadasa, baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Nazi menyatakan pameran ini bukan sekadar menampilkan karya baharu, baik dalam bentuk lukisan mahupun arca, tetapi juga satu penghormatan intelektual dan estetik kepada Piyadasa, tokoh penting seni kontemporari Malaysia"
"Piyadasa bukan sahaja pelopor seni konseptual di Malaysia, tetapi juga pensyarah yang pernah membimbing Faizal dalam pengajian Sarjana Seni Rupa Asia Tenggara di Universiti Malaya sekitar tahun 2003," ujarnya.
Tambah Nazli pameran tersebut memperlihatkan bentuk teknik yang sering dikaitkan dengan seni cetakan (street art) diadaptasi menjadi bahasa visual yang kompleks.
"Teknik stensil yang digunakan oleh Faizal, bukan sekadar alat mekanikal, tetapi diolah menjadi elemen konseptual dan naratif, mencipta motif piksel yang membina lapisan pemaknaan visual dan budaya," ujar beliau.
Di sebalik bentuk-bentuk geometri dan susunan sistematiknya, tambah Nazli, kita dapat membaca keterikatan Faizal dengan sejarah, bahasa visual, serta struktur pemikiran seni moden dan pascamoden.
Mengulas dengan lebih lanjut, pameran tersebut merupakan kesinambungan dan penghujahan terhadap karya seperti Pemandangan Malaysia Teragung oleh Piyadasa, yang memperkenalkan teks, semiotik dan lapisan makna dalam seni rupa Malaysia sejak era 70-an.
Karya yang menolak konvesikonvensi yang ada pada catannya ini pernah memenangi hadiah utama Pertandingan Lanskap Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1972.
"Oleh itu, pameran stensil ini bukan sahaja satu pencapaian seni individu, tetapi juga satu bentuk dialog sejarah dan warisan intelektual antara dua generasi karyawan, iaitu guru dan murid, pelopor dan pewaris."
Turut hadir YBrs. Prof. Madya Dr. Roslina Ismail, Jabatan Seni Visual UM; YBrs. Prof. Madya Dr. Ismail Abdullah, penyair-pelukis veteran; Mohd. Shaimy, pelukis veteran; dan rakan-rakan Faizal.
Teks Ucapan Perasmi - Faizal Sidik : Stensil
“STENCIL: LUKISAN & ARCA BAHARU”
Oleh Faizal Sidik | Galeri Piyadasa, Universiti Malaya
24 Julai 2025
Yang Berbahagia Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Warga Universiti Malaya yang dihormati,
Para seniman, ahli akademik, pelajar, dan para pecinta seni sekalian,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Saya berasa amat berbesar hati dan bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama-sama saudara dan saudari sekalian dalam majlis pembukaan rasmi pameran seni oleh salah seorang seniman dan pemikir visual negara kita, saudara Faizal Sidik, yang bertajuk “Stencil: Lukisan & Arca Baharu.”
Pameran ini bukan sekadar menampilkan karya baharu — baik dalam bentuk lukisan mahupun arca — tetapi merupakan satu penghormatan intelektual dan estetik kepada tokoh penting seni kontemporari Malaysia, Allahyarham Redza Piyadasa. Piyadasa bukan sahaja pelopor seni konseptual di Malaysia, tetapi juga pensyarah yang pernah membimbing Faizal Sidik sendiri dalam pengajian Sarjana Seni Rupa Asia Tenggara di Universiti Malaya sekitar tahun 2003.
Hadirin sekalian,
Pameran Stencil ini memperlihatkan bagaimana teknik yang sering dikaitkan dengan street art atau seni cetakan diadaptasi menjadi bahasa visual yang kompleks. Teknik stensil yang digunakan Faizal bukan sekadar alat mekanikal, tetapi diolah menjadi elemen konseptual dan naratif — mencipta motif-motif piksel yang membina lapisan pemaknaan visual dan budaya.
Di sebalik bentuk-bentuk geometri dan susunan sistematiknya, kita dapat membaca keterikatan Faizal dengan sejarah, bahasa visual, dan struktur pemikiran seni moden dan pascamoden. Ini adalah kesinambungan, malah penghujahan, terhadap karya seperti The Great Malaysian Landscape oleh Piyadasa, yang memperkenalkan teks, semiotik, dan lapisan makna dalam seni rupa Malaysia sejak era 70-an.
Faizal juga merupakan antara segelintir seniman yang mampu menggabungkan amalan seni dengan pengkajian dan penulisan seni secara aktif — menjadikannya bukan hanya pengkarya, tetapi juga pengkritik dan kurator yang dihormati, bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau Asia Tenggara.
Pameran ini menghimpunkan karya-karya yang dihasilkan sejak tahun 2024 hingga kini — menunjukkan perkembangan teknik, bahan dan pemikiran Faizal yang semakin matang dan mendalam.
Para hadirin yang dihormati,
Galeri Piyadasa, yang menjadi lokasi pameran ini, tidak dapat lebih sesuai — sebuah galeri yang dinamakan sempena tokoh yang menjadi sumber ilham utama pameran ini. Justeru, pameran Stencil bukan sahaja satu pencapaian seni individu, tetapi juga satu bentuk dialog sejarah dan warisan intelektual antara dua generasi pengkarya: guru dan murid, pelopor dan pewaris.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara Faizal Sidik atas keberanian dan konsistensinya dalam meneroka bahasa visual baharu, dan kepada Universiti Malaya atas usaha menganjurkan ruang untuk perbincangan seni yang bermakna.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan pameran “Stencil: Lukisan dan Arca Baharu” oleh Faizal Sidik di Galeri Piyadasa, Universiti Malaya.
Sekian, terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Faizal Sidik - Stencil: New Drawings and Sculptures
The exhibition 'Faizal Sidik - Stencil: New Drawings and Sculptures' is an exhibition that brings together the latest works on paper and 3 dimensional works produced by the artist from 2024 until now.
Faizal Sidik - Stencil : Lukisan dan Arca Terbaharu
Pameran ‘Faizal Sidik - Stencil : Lukisan dan Arca Terbaharu’ adalah pameran yang menghimpunkan karya-karya lukisan dan arca mutakhir yang dihasilkan oleh pelukis dari tahun 2024 hingga kini.
Teks Ucapan Perasmi - Faizal Sidik : Retrospektif 25 Tahun
Teks Ucapan Pelukis - Retrospektif 25 Tahun
Assalamuaikum dan Selamat Sejahtera
Terima kasih Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Mr Tan, Setiausha SGM, Yang Dihormati Dr. Uwei Hj Saari pengarah filem dan penulis dan hadirin yang datang ke majlis perasmian ini.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih dan bersyukur ke hadrat Allah swt, kerana dengan limpah dan kurnia-Nya pameran tinjauan pengkaryaan saya selama 25 tahun ini dapat dibina.
Sekalung penghargaan juga buat keluarga tercinta, teristimewa buat bonda dan ayahanda tercinta yang hadir pada hari ini iaitu kedua-dua ibu bapa saya Zabidah Binti Ahmad Jelis dan Sidik Bin Nordin kerana mendoakan saya.
Teristimewa buat Isteri dan anak saya Nurain Karim, Akid Rayqal, Abid Naufal dan Adil Iqmal kerana sentiasa sabar dan memahami saya selama 25 tahun ini.
Tidak lupa juga adik-beradik, saudara mara, rakan-rakan yang datang memberi sokongan pada hari ini.
Setinggi penghargaan juga kepada kumpulan kuratorial pameran di Soka Harmoni Gallery, Wisma Kebudayaan SGM ini yang diketuai oleh Vicky Ho dan pembantu beliau seperti Chung Bin, Wen Xuan, Chew, Evan dan Creative Group SGM, terima kasih kerana telah memberi kerjasama dan membantu saya dalam memasang dan menyiapakan pameran ini.
Hadirin yang dihormati
Saya masih teringat kata-kata arwah Rahimie Harun iaitu seorang pengumpul seni dan pentadbir seni. Semasa bersua secara tidak sengaja di galeri tempat beliau bertugas ketika itu, beliau pernah mengatakan kepada saya kepada saya pada ketika itu yang baru sahaja bergraduan dan sebagai pelukis muda. Katanya “5 tahun pertama adalah fasa awal yang penting yang menentukan kerjaya seorang pelukis”.
Maksud beliau adalah ketahanan dan kekuatan dari segi emosi dan spiritual inilah yang menentukan kelangsungan 5 tahun seterusnya untuk menjadi seorang pelukis tulen. Alhamdulillah penanda aras yang arwah berikan ini telah saya capai seterusnya telah memberi dorongan kepada saya untuk terus berkarya dan berpameran.
Syukur kini saya terus kekal 25 tahun berada dalam mewarnai lanskap seni lukis Malaysia.
Semoga pameran ini dapat memberi manfaat dan menambahkan lagi khazanah visual negara
Sekian. Terima kasih
Retrospektif 25 Tahun
Karya Awal (Drawing 1996-2006)
Inspirasi datang dalam pelbagai bentuk, Inspirasi pengkaryaan saya selama ini datang melalui pengamatan (observation), bacaan (reading) dan perjalanan (travelling). Jika anda lihat karya awal di dalam seksyen ‘Early Works’. Kebanayakan karya yang saya hasilkan adalah semasa saya menjadi penuntut di Universiti Teknologi Mara, Seri Manjung.
Kadang kala tempat ada berada semasa anda belajar turut memepengaruhi pengkaryaan awal anda. UiTM Seri Manjung secara geografinya adalah sebuah tempat yang terletak di sebelah barat daerah Perak Tengah yang berhampiran dengan bandar maritim seperti Lumut dan Pulau Pangkor. Ciri-ciri kelautan ini juga turut menjadi inspirasi kepada pengkaryaan awal saya.
Semasa saya di dalam Asasi Seni atau ‘Foundation Study ‘ seperti yang terdapat di dalam pameran ini kebanyakan subjek kajian atau ‘subjek matter’ adalah daripada bahan-bahan jumpaan di tepi pesisir pantai dan juga didalam pulau yang saya lawati. Inspirasi ini berlarutan sehingga saya memasuki jabatan dan sehingga tahun tiga.
Tahun keempat atau tahun akhir yang pada masa itu sekitar 1999-2000 pula kebanyakan idea saya hadir melalui banyak bacaan sosial-politik melalui risalah, majalah dan buku. Pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri daripada kerajaan dengan tuduhan liwat yang tidak masuk akal semasa rejim Perdana Menteri Mahathir Mohamed pada masa itu telah mencetuskan gelombang reformasi bukan sahaja kepada rakyat bawahan tetapi juga golongan seniman dan sasterawan.
Sasterawan Shahnon Ahmad misalnya hadir dengan novel ‘Shit’ yang mengisahkan kebusukan yang berlaku didalam sistem pencernaan manusia sebagai metafora beliau terhadap situasi politik semasa pada waktu itu dengan mengikonografikan Anwar Ibrahim sebagai watak ‘Wirawan’ dan Mahathir Mohamed sebagai ‘PM’ di dalam novel itu yang diharamkan pengedarannya oleh Kementerian Dalam Negeri semasa era Mahathir.
Saya sempat membeli novel ini di Ipoh selepas ia diterbitkan dan panas dipasaran sebelum ia diharamkan. Sukar sebenarnya membaca novel ini dan saya membacanya berkali-kali. Bahang reformasi dan novel ini telah menginspirasikan saya menghasilkan karya-karya mengenai hak asasi sebagai seperti kebebasan bersuara dan kebebasan memberikan pendapat di dalam Perlembagaan Malayssia - Perkara 63 seperti ‘Voice Without A Sound: King Rawana As Desperado’ yang pernah menjadi Pemenang Hadiah Penghargaan pertandingan dan pameran ‘Bakat Muda Sezaman atau BMS 2000. Karya tahun akhir ini dipamerkan di Balai Seni Negara pada tahun yang sama. Namun malangnya karya tersebut tidak dapat bersama dipamerakan di dalam 25 tahun ini keran telah hilang. Cuma yang tinggal adalah lakaran dan lukisan kajiannya.
Sebuah lagi karya tahun akhir saya turut layak dipamerkan di dalam pertandingan dan pameran Bakat Muda Sezaman 2002. Karya ‘Voice Without a Sound: Superpower I’ kini sedang dipamerakan di dalam pameran ini adalah kesinambungan daripada isu kebebasan hak bercakap yang dinafikan semasa era reformasi. Di dalam karya ini saya menggabungkan karakter watak wayang kulit dengan sebuah kenderaan. Karya ini memperlihatkan seorang pengemudi dan dibelakangnya adalah pengikut dimana bahagian kepala digantikan dengan penjara mengambarkan pemikiran mereka telah dibantutkan seolah berada di dalam penjara minda.
Ketakjuban Tenun (Sublime Weaves)
Saya ada sebut inspirasi pengkaryaan saya hadir melalui perjalanan (travelling). Selepas bergraduan saya melakukan perjalanan buat pertama kali ke Eropah pada tahun 2004. Perjalanan dilakukan setelah saya dipelawa oleh seorang rakan untuk mengikutnya bersama bagi memasang karya beliau kerana beliau mendapat ruang mengadakan pameran di Fredrichain, Berlin. Semasa berada lebih dua minggu di sana saya telah melawat banyak galeri seni dan muzium. Di sini saya berkesempatan melihat karya sebenar di depan mata daripada melihatnya di dalam buku sejarah seni atau slaid-slaid yang pernah dibentangkan oleh pensyarah saya sebelum ini. Semasa musim sejuk di Berlin saya sempat melawat muzium seni dari zaman Renaisan sehinggalah ke muzium seni kontemporari.
Sejurus saya balik maka berlaku perubahan besar dalam pengkaryaan saya. Saya kemudiannya banyak membaca buku-buku estetika dan falsafah seni. Antara buku yang saya minati ialah buku ‘Critical Judgement’ oleh Immanuel Kant. Esei ‘Critical Judgement adalah pendapat Kant mengenai keindahan. Kant adalah seorang ahli falsafah Jerman yang terkenal di Zaman Romantisme. Pendapat beliau tentang seni ditulis di dalam buku besarnnya ‘Critique of Pure Reason’ . Terdapat satu bab di dalam buku ini dimana Kant memberi pandangan berkenaan tentang seni dan keindahan dimana beliau memaknakan tentang ‘genius’. Saya turut membuat sorotan tulisan Kant di dalam esei 'Analatikal Seni Halus' (2008)
Kant mempunyai ramai pengikut, sebagai ahli falsafah continental atau Eropah, menerusi jarak yang tidak terlalu jauh penulisan beliau cepat tersebar dan diterjemahkan ke dalam bahasa asing lain. Salah seorang pengikut beliau adalah Edmund Burke dari Ireland. Beliau terkenal dengan teori ketakjuban atau Sublime. Burke telah memperbaharui dan memberi pandangan baru beliau daripada pandangan estetika Kant. Di dalam penulisan ‘Sublime & Beautiful Theories’ Burke telah menggariskan beberapa pandangan beliau mengenai ketakjuban antara adalah berkenaan warna di dalam ‘Beauty In Color’ dimana salah satu warna yan boleh membangkitkan rasa takjub adalah warna merah menyala.
Selepas kembali dari Berlin saya banyak menelaah teori-teori dari mereka ini. Saya mula menghasilkan lakaran-lakaran dan lukisan-lukisan kajian. Pada 2006 saya mulai serius menghasilkan karya format bulat dengan warna merah yang menjurus kepada teori mereka. Pada 2009 saya telah mengkuratorkan sebuah pameran berkumpulan. Pameran ‘Subliminal: Sublime & Sensory’ di Galeri Shah Alam adalah sebuah percubaan saya yang bertindak sebagai kurator dan pelukis pada masa yang sama bereaksi terhadap konsep ketakjuban ini.
Pameran yang saya kuratorkan ini mendapat perhatian oleh seorang pemilik galeri iaitu Datin Shalini. Beliau tertarik dengan karya saya lalu menawarkan kontrak secara eksklusif selama 10 tahun sebagai pelukis yang bernaung di bawah galeri beliau iaitu Private Gallery yang kemudiannya dinamakan Shalini Ganendra Fine Art (SGFA). Semasa bersama berkembang bersama galerinya saya banyak ditawarkan menghasilkan karya komisen dan sempat mengadakan 3 pameran solo seperti yang saya sebut diawal tadi. Pameran ‘Sublime Weave’ adalah gabungan kajian saya mengenai teori ‘sublime’ dengan kehebatan tenunan songket. Songket bukan perkara baru bagi saya kerana saya telah membuat kajian melalui tugasan semasa saya menuntut lagi di UITM bersama rakan dengan pergi ke tempat pembuatannya di Kg. Losong, Kuala Terengganu.
Karya ‘Sublime Weave’ yang saya hasilkan daripada 2012 hingga 2016 cuba mengabungkan falsafah seni barat (sublime) dengan estetika timur (songket). Di dalam lakaran, lukisan dan catan anda akan lihat format bulatan, bentuk hati dan empat segi yang terdapat jalur garisan samada putih. Garisan-garisan yang bermula dari tengah ini sebenarnya saya ingin mengambarkkan bagaimana kerja-kerja menyulam songket atau teknik sungkit itu berlaku dimana tukang songket akan memasukkan benang pakan secara berselang seli untuk menghasilkan motif pada kain songket.
Catan Songket
Karya ‘Catan Songket’ diinspirasikan daripada siri karya sebelumnya. Dimana saya ingin memberi nafas atau dimensi baru songket daripada persalinan pakaian kepada bentuk estetika melalui catan lanskap. Pengkaryaan Catan Songket adalah pembacaaan saya terhadap sastera klasik Melayu Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu (Malay Annals) atau cerita-cerita Raja-Raja Melayu di istana. Saya tertarik mengenai kisah metos peminangan Puteri Gunung Ledang. Kisah ini telah diterjemahkan dalam pelbagai medium antaranya filem dan teater. Di dalam seni lukis terdapat juga seniman yang menterjemahkannya melalui interpritasi mereka melalui catan dan arca.
Kisah Puteri Gunung Ledang sebenarnya adalah sebuah kritikan terhadap orang yang mempunyai kuasa dan berpengaruh yang sanggup berbuat apa sahaja dimana mengisahkan ketamakan seorang Sultan yang ingin meminang seorang puteri walaupun terpaksa mengorbankan anak sendiri. Namun saya lebih tertarik untuk mengambarkan babak bagaimana orang suruhan Sultan Mahmud iaitu Tun Mamat dan Laksamana Hang Tuah semasa di dalam perjalanan mereka untuk pergi meminang mereka terjumpa dengan sebuah taman yang indah di Ledang.
Pada masa yang sama saya berminat menonton filem-filem animasi terbitan Ghibli Studio antara ‘Howl;s Moving Castle’ (2004) , ‘My Neighbour Totoro’ (1988) dan ‘Kiki Delivery Service’ (1989). Filem arahan Hayao Miyazaki ‘Howl’s Moving Castle’ benar-benar menarik parhatian saya kerana latarbelakang lanskapnya sangat menakjubkan. Di dalam karya catan triptych atau catan 3 panel bertajuk ‘Taman Impian Ledang II’ (2016) adalah satu babak yang terdapat di dalam filem tersebut.
Pengkaryaan ‘Catan Songket’ secara keseluruhannya adalah gabungann kesusasteraan Melayu klasik melalui motif tenun songket yang berlatarbelakangkan lanskap asing dengan teknik ‘superflat’ . Superflat adalah sebuah gerakan gerakan seni pasca moden yang menghasilkan catan dengan menggunakan warna-warna datar atau rata iaitu catan tanpa bayang yang dipelopori oleh pelukis Jepun seperti Takeshi Murakami, Yoshimoto Nara, Mr dan ramai lagi yang dipengaruhi oleh lukisan manga dan anime.
Aliran ‘superflat’ sangat dekat untuk merujuk dan mengambarkan genre seni grafik, animasi, budaya popular dan seni halus dari Jepun.
Piksel
Saya mula menghasilkan karya ‘Piksel’ kesinambungan daripada Catan Songket (2012-2019). Piksel atau ‘Pixel’ di dalam imejan digital adalah sebuah kata asing yang bermaksud unsur-unsur halus atau cebisan maklumat yang paling kecil di dalam sesuatu imej. Piksel biasanya dilihat sebagai petakan-petakan halus. Piksel adalah peralihan saya mengguanakan bahan cat kilat atas kanvas (gloss paint) kepada cat akrilik atas kanvas. Terdapat dua buah karya monumental di dalam siri ini iaitu ‘Suprarupa Garden’ (2019-2021) dan ‘Supararupa Garden Midnight’ (2021-2024).
Pada tahun 2015 hingga 2018 saya membuat ijazah sarjana dalam bidang penterjemahan dan interpritasi dimana kursus saya berkait rapat dengan pemilihan bahasa. Kebanyakan karya Pixel menggunakan bahasa klasik lama atau bahasa Sanskrit. ‘Suprarupa’ adalah gaungan dua bahasa Sanskrit iaitu ‘Supra’ dan ‘Rupa’. Perkataan ‘Supra’ bermaksud ‘besar’, mankala ‘rupa’ biasa kita gunakan di dalam bahasa Melayu itu untuk mengambarkan ‘bentuk’ atau ‘wajah’ adalah berasal daripada bahasa Sanskrit. ‘Suprarupa’ adalah rupabentuk yang besar.
Pengkaryaan ‘Piksel’ adalah percubaan saya untuk masuk dengan lebih dalam lagi terhadap ime-imej motif yang terdapat di dalam karya ‘Catan Songket’. Ada beberapa percubaan yang saya lakukan ke arah itu terutamany di dalam karya ‘Pixel Painting #5’ (2020) yang tidak dipamerkan di dalam galeri kerana perlu direhatkan. Karya ini dilihat seperti catan permainan video piksel atau tetris. Ada pula yang mengaikannya dengan permainan video dalam talian ‘Minecraft’. Karya-karya ‘Piksel’ ini lebih menonjol dengan karya-karya arca bentukan petakan daripada kayu seperti ‘Pixel Sculpture #1’ (2020) dan ‘Pixel Sculpture #II’ (2020).
Karya Terbaru (New Works)
Pengkaryaan ‘New Works’ diinspirasikan daripada perjalanan saya selama dua minggu dibandaraya New York. Sepanjang disana saya telah banyak mengunjungi galeri dan muzium seni. Antaranya adalah di Chelsea Galleries District, Muzium of Modern Art (MoMA), Guggenhem Museum, Whitney Museum, Metropolitan Museum (Met), New Museum dan lain-lain. Saya tertarik dengan pameran oleh arcawan Tony Smith ‘Tony Smith: Wall, New Piece & One-Two-Three’ pada 2023 di Pace Gallery. Pernah mengenalai beliau sebelum ini namun yang selama ini hanya saya lihat di dalam gambar dan internet. Berhadapan dengan karya beliau seolah memberi inspirasi baru kepada saya yang pengkhususan dalam seni arca semasa di UiTM dahulu.
Peperangan Palestin dengan kebanyakan yang terkorban adalah kanak-kanak dan perempuan seolah-olah seperti mengiakan dan mengetahui karya-karya terkini saya bukan sahaja terinspirasi dengan pelukis lain malahan ia adalah rasa kesedihan dan kehibaaan saya sebagai seniman yang secara tidak langsung terpengaruh dengan keadaaan sekeliling. Darpada karya-karya ‘Catan Songket’ dan ‘Piksel’ yang penuh ceria dan berwarna-warni. Ia menjadi gelap dan kelam sebagai tanda protes saya terhadap peristiwa hitam kemanusiaaan. Rama-rama yang merupakan lambang kebebasan dan bunga-bunga berwarna lambang cinta kini bertukar sebagai sebuah cerita duka.
Hitam Putih Tragedi Gaza
Hitam putih tragedi Gaza
Perkembangan pantas dunia seni halus di Big Apple tarik perhatian artis, Faizal Sidik
- Berita Harian
- Oleh Azhar Shahrulnizam bhsastera@bh.com.my Faizal Sidik
Kuala Lumpur: Jauh perjalanan luas pemandangan itulah ungkapan sesuai bagi menggambarkan perjalanan pelukis, Faizal Sidik dalam menyiapkan 17 karya seninya yang terdiri daripada enam buah arca dan juga 11 lukisan.
Ia bermula dengan keinginannya untuk mengunjungi Kota New York di Amerika Syarikat sejak sekian lama tetapi sukar dipenuhi kerana kesibukan tugasnya sebagai kurator di Balai Seni Negara.
Bagaimanapun, apabila akhirnya beliau berkesempatan untuk mengunjungi kota dengan jolokan nama ‘The Big Apple’ itu, naluri seninya melahirkan rantaian ilham yang akhirnya ditumpahkan menerusi pelbagai bentuk karya seni visual.
Himpunan itu akhirnya menjelmakan sebuah pameran, Faizal Sidik New Works yang diinspirasikan daripada perjalanan beliau ke New York.
Dalam pertemuan dengan BH, anak kelahiran Petaling Jaya itu mengakui, semua karya dalam pameran berkenaan diinspirasikan daripada kunjungannya ke New York, pada Jun tahun lalu.
“Selama di sana, saya memang sangat terinspirasi.
“Satu daripada sebabnya, Kota New York mempunyai banyak galeri yang baik. Malah, kunjungan saya ke bandar raya itu juga disebabkan perkembangan seninya terlampau pantas sehingga ada kala tidak dapat diikuti.
“Atas sebab itu juga saya terlalu ingin berkunjung ke New York bagi mendapatkan inspirasi untuk karya terbaharu dan yang akan datang,” katanya.
Tambah Faizal, kunjungan ke bandar raya itu juga seakan-akan memberikan satu nafas baharu dalam ranah pengkaryaannya.
Hitam putih
Katanya, jika dibandingkan sebelum ini hampir semua karya yang dihasilkan beliau berwarna-warni tetapi kali ini dia memfokuskan penggunaan warna hitam putih dengan warna yang sangat minima.
“Pemilihan warna-warna begini dalam himpunan kali ini juga sebenarnya dipengaruhi oleh situasi semasa.
“Dalam proses pengkaryaan, dunia dihadapkan dengan tragedi kemanusiaan di Gaza. Jadi hal ini turut mempengaruhi saya dan membuatkan warna-warna dalam himpunan terbaharu ini agak kelam dan suram.
“Latar belakang karya sebelum ini penuh berwarna-warni berubah sekelip mata menjadi warna hitam mungkin kerana saya juga terkesan dengan tragedi kemanusiaan itu,” katanya.
Tegas Faizal, secara mudahnya warna hitam juga turut difahami sebagai simbol kepada rasa kesedihan, pasrah sementara untuk beliau rona itu juga adalah tanda berkabung, respon terhadap ketidakadilan dan penindasan yang berlaku terhadap rakyat Palestin.
Tambahnya, rasa tidak puas hati dan berpihak kepada Palestin itu ditunjukkan menerusi koleksi ini apatah lagi disebabkan Amerika diketahui sebagai sekutu kuat Israel.
“Pelukis adalah perakam zaman, mereka menghasilkan karya selari dengan garis waktu yang berlaku di persekitaran mereka.
“Justeru hal-hal begini bukanlah luar biasa,” katanya
Selain terinspirasi daripada pengembaraan penulis, pameran Faizal
Sidik New Works itu juga diadakan dengan tujuan perkongsian dengan khalayak seni halus akan perkembangan terkininya dalam bidang itu yang kini sudah menjangkau 25 tahun.
Justeru selain himpunan karya dengan warna minima dan berinspirasikan New York,
Faizal masih memilih elemen songket yang pernah diketengahkannya dalam karya sebelum ini.
Ketengah elemen songket
Katanya, beliau melihat songket perlu dikembangkan ke dimensi baharu justeru membawanya masuk ke dalam karya seni halus bukanlah janggal.
Faizal berkata, sehingga kini belum ada lagi pengkarya yang menghasilkan seni kotemporari sezaman untuk songket.
Justeru, beliau mahu menterjemahkan motif-motif tukang kraf terdahulu yang akrab dengan persekitaran seperti rama-rama, bunga dan haiwan ternakan dalam karyanya.
“Songket dibuat dalam bentuk geometri. Kita orang Islam tidak boleh menggambarkan bentukbentuk secara realis disebabkan itu, bentuk-bentuk yang ada dalam songket itu geometri,” katanya.
Mengulas mengenai arcanya pula, Faizal berkata ia sebenarnya dikembangkan daripada pameran beliau terdahulu yang berjudul ‘Piksel’. Karya itu dihasilkan ketika beliau menuntut dalam jurusan seni halus di Universiti Teknologi MARA (UITM).
Sesudah hampir 25 tahun dalam dunia seni halus, Faizal berkata buat masa ini, beliau mahu memfokuskan untuk menghasilkan karya berbentuk hitam putih dan kembali kepada asas.
“Pameran ini sebenarnya membawa banyak makna kepada saya. Selain ingin berkongsi inspirasi, saya melihat pada masa hadapan mungkin akan menghasilkan banyak arca.
“Sebelum ini, saya banyak memfokuskan kepada catan dan lukisan saja,”katanya.
Bagaimanapun tegas Faizal, dia juga mengakui cabarannya dalam menghasilkan arca. Satu daripadanya kerana menghasilkannya sangat sukar kerana memerlukan ruang yang besar.
Dalam masa sama ia turut menuntut masa yang banyak, namun kata Faizal ia adalah tempoh sesuai kerana ketika ini beliau sudah bersara.
Pameran Faizal Sidik New Works ini berlangsung bermula daripada 18 Disember lalu sehingga 24 Januari di Lot 26, Kampung Baru Ampang.
Kunjungan saya ke bandar raya itu juga disebabkan perkembangan seninya terlampau pantas sehingga ada kala tidak dapat diikuti”

















