Oleh Raja Yusof Ariffin
Kuala Lumpur - Pameran Faizal Sidik - Stencil: Lukisan dan Arca Terbaharu yang menghimpunkan 50 buah lukisan dan arca mutakhir karya pelukis sendiri sejak tahun 2024, sedang berlangsung di Galeri Piyadasa, Universiti Malaya (UM).
Menerusi pameran ini, Faizal Sidik memberikan penghormatan kepada pengkaryaan Allahyarham Redza Piyadasa yang pernah menjadi gurunya dalam menggunakan teknik stencil untuk menghasilkan abjad-abjad yang membentuk teks atau tulisan lewat pengkaryaan beliau pada sekitar tahun 70-an.
Walaupun stencil bermaksud kepingan nipis yang biasanya diperbuat daripada kertas, plastik atau logam, yang ditebuk dengan corak atau reka bentuk tertentu, tetapi untuk pengkaryaan ini Faizal menggunakan stensil dalam menghasilkan motif piksel secara berpola-pola dalam lukisan dan arca terbaharunya.
Berlangsung dari 17 Julai hingga 17 Ogos 2025 tanpa bayaran masuk, perasmian pameranFaizal Sidik - Stencil: Lukisan dan Arca Terbaharu disempurnakan oleh Nazli Aziz, dari The ArtBusiness Podcast di Galeri Piyadasa, baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Nazi menyatakan pameran ini bukan sekadar menampilkan karya baharu, baik dalam bentuk lukisan mahupun arca, tetapi juga satu penghormatan intelektual dan estetik kepada Piyadasa, tokoh penting seni kontemporari Malaysia"
"Piyadasa bukan sahaja pelopor seni konseptual di Malaysia, tetapi juga pensyarah yang pernah membimbing Faizal dalam pengajian Sarjana Seni Rupa Asia Tenggara di Universiti Malaya sekitar tahun 2003," ujarnya.
Tambah Nazli pameran tersebut memperlihatkan bentuk teknik yang sering dikaitkan dengan seni cetakan (street art) diadaptasi menjadi bahasa visual yang kompleks.
"Teknik stensil yang digunakan oleh Faizal, bukan sekadar alat mekanikal, tetapi diolah menjadi elemen konseptual dan naratif, mencipta motif piksel yang membina lapisan pemaknaan visual dan budaya," ujar beliau.
Di sebalik bentuk-bentuk geometri dan susunan sistematiknya, tambah Nazli, kita dapat membaca keterikatan Faizal dengan sejarah, bahasa visual, serta struktur pemikiran seni moden dan pascamoden.
Mengulas dengan lebih lanjut, pameran tersebut merupakan kesinambungan dan penghujahan terhadap karya seperti Pemandangan Malaysia Teragung oleh Piyadasa, yang memperkenalkan teks, semiotik dan lapisan makna dalam seni rupa Malaysia sejak era 70-an.
Karya yang menolak konvesikonvensi yang ada pada catannya ini pernah memenangi hadiah utama Pertandingan Lanskap Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1972.
"Oleh itu, pameran stensil ini bukan sahaja satu pencapaian seni individu, tetapi juga satu bentuk dialog sejarah dan warisan intelektual antara dua generasi karyawan, iaitu guru dan murid, pelopor dan pewaris."
Turut hadir YBrs. Prof. Madya Dr. Roslina Ismail, Jabatan Seni Visual UM; YBrs. Prof. Madya Dr. Ismail Abdullah, penyair-pelukis veteran; Mohd. Shaimy, pelukis veteran; dan rakan-rakan Faizal.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan