Hitam putih tragedi Gaza
Perkembangan pantas dunia seni halus di Big Apple tarik perhatian artis, Faizal Sidik
- Berita Harian
- Oleh Azhar Shahrulnizam bhsastera@bh.com.my Faizal Sidik
Kuala Lumpur: Jauh perjalanan luas pemandangan itulah ungkapan sesuai bagi menggambarkan perjalanan pelukis, Faizal Sidik dalam menyiapkan 17 karya seninya yang terdiri daripada enam buah arca dan juga 11 lukisan.
Ia bermula dengan keinginannya untuk mengunjungi Kota New York di Amerika Syarikat sejak sekian lama tetapi sukar dipenuhi kerana kesibukan tugasnya sebagai kurator di Balai Seni Negara.
Bagaimanapun, apabila akhirnya beliau berkesempatan untuk mengunjungi kota dengan jolokan nama ‘The Big Apple’ itu, naluri seninya melahirkan rantaian ilham yang akhirnya ditumpahkan menerusi pelbagai bentuk karya seni visual.
Himpunan itu akhirnya menjelmakan sebuah pameran, Faizal Sidik New Works yang diinspirasikan daripada perjalanan beliau ke New York.
Dalam pertemuan dengan BH, anak kelahiran Petaling Jaya itu mengakui, semua karya dalam pameran berkenaan diinspirasikan daripada kunjungannya ke New York, pada Jun tahun lalu.
“Selama di sana, saya memang sangat terinspirasi.
“Satu daripada sebabnya, Kota New York mempunyai banyak galeri yang baik. Malah, kunjungan saya ke bandar raya itu juga disebabkan perkembangan seninya terlampau pantas sehingga ada kala tidak dapat diikuti.
“Atas sebab itu juga saya terlalu ingin berkunjung ke New York bagi mendapatkan inspirasi untuk karya terbaharu dan yang akan datang,” katanya.
Tambah Faizal, kunjungan ke bandar raya itu juga seakan-akan memberikan satu nafas baharu dalam ranah pengkaryaannya.
Hitam putih
Katanya, jika dibandingkan sebelum ini hampir semua karya yang dihasilkan beliau berwarna-warni tetapi kali ini dia memfokuskan penggunaan warna hitam putih dengan warna yang sangat minima.
“Pemilihan warna-warna begini dalam himpunan kali ini juga sebenarnya dipengaruhi oleh situasi semasa.
“Dalam proses pengkaryaan, dunia dihadapkan dengan tragedi kemanusiaan di Gaza. Jadi hal ini turut mempengaruhi saya dan membuatkan warna-warna dalam himpunan terbaharu ini agak kelam dan suram.
“Latar belakang karya sebelum ini penuh berwarna-warni berubah sekelip mata menjadi warna hitam mungkin kerana saya juga terkesan dengan tragedi kemanusiaan itu,” katanya.
Tegas Faizal, secara mudahnya warna hitam juga turut difahami sebagai simbol kepada rasa kesedihan, pasrah sementara untuk beliau rona itu juga adalah tanda berkabung, respon terhadap ketidakadilan dan penindasan yang berlaku terhadap rakyat Palestin.
Tambahnya, rasa tidak puas hati dan berpihak kepada Palestin itu ditunjukkan menerusi koleksi ini apatah lagi disebabkan Amerika diketahui sebagai sekutu kuat Israel.
“Pelukis adalah perakam zaman, mereka menghasilkan karya selari dengan garis waktu yang berlaku di persekitaran mereka.
“Justeru hal-hal begini bukanlah luar biasa,” katanya
Selain terinspirasi daripada pengembaraan penulis, pameran Faizal
Sidik New Works itu juga diadakan dengan tujuan perkongsian dengan khalayak seni halus akan perkembangan terkininya dalam bidang itu yang kini sudah menjangkau 25 tahun.
Justeru selain himpunan karya dengan warna minima dan berinspirasikan New York,
Faizal masih memilih elemen songket yang pernah diketengahkannya dalam karya sebelum ini.
Ketengah elemen songket
Katanya, beliau melihat songket perlu dikembangkan ke dimensi baharu justeru membawanya masuk ke dalam karya seni halus bukanlah janggal.
Faizal berkata, sehingga kini belum ada lagi pengkarya yang menghasilkan seni kotemporari sezaman untuk songket.
Justeru, beliau mahu menterjemahkan motif-motif tukang kraf terdahulu yang akrab dengan persekitaran seperti rama-rama, bunga dan haiwan ternakan dalam karyanya.
“Songket dibuat dalam bentuk geometri. Kita orang Islam tidak boleh menggambarkan bentukbentuk secara realis disebabkan itu, bentuk-bentuk yang ada dalam songket itu geometri,” katanya.
Mengulas mengenai arcanya pula, Faizal berkata ia sebenarnya dikembangkan daripada pameran beliau terdahulu yang berjudul ‘Piksel’. Karya itu dihasilkan ketika beliau menuntut dalam jurusan seni halus di Universiti Teknologi MARA (UITM).
Sesudah hampir 25 tahun dalam dunia seni halus, Faizal berkata buat masa ini, beliau mahu memfokuskan untuk menghasilkan karya berbentuk hitam putih dan kembali kepada asas.
“Pameran ini sebenarnya membawa banyak makna kepada saya. Selain ingin berkongsi inspirasi, saya melihat pada masa hadapan mungkin akan menghasilkan banyak arca.
“Sebelum ini, saya banyak memfokuskan kepada catan dan lukisan saja,”katanya.
Bagaimanapun tegas Faizal, dia juga mengakui cabarannya dalam menghasilkan arca. Satu daripadanya kerana menghasilkannya sangat sukar kerana memerlukan ruang yang besar.
Dalam masa sama ia turut menuntut masa yang banyak, namun kata Faizal ia adalah tempoh sesuai kerana ketika ini beliau sudah bersara.
Pameran Faizal Sidik New Works ini berlangsung bermula daripada 18 Disember lalu sehingga 24 Januari di Lot 26, Kampung Baru Ampang.
Kunjungan saya ke bandar raya itu juga disebabkan perkembangan seninya terlampau pantas sehingga ada kala tidak dapat diikuti”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan