Sabtu, 23 Ogos 2025
Teks Ucapan Perasmi - Faizal Sidik : Retrospektif 25 Tahun
Teks Ucapan Pelukis - Retrospektif 25 Tahun
Assalamuaikum dan Selamat Sejahtera
Terima kasih Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Mr Tan, Setiausha SGM, Yang Dihormati Dr. Uwei Hj Saari pengarah filem dan penulis dan hadirin yang datang ke majlis perasmian ini.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih dan bersyukur ke hadrat Allah swt, kerana dengan limpah dan kurnia-Nya pameran tinjauan pengkaryaan saya selama 25 tahun ini dapat dibina.
Sekalung penghargaan juga buat keluarga tercinta, teristimewa buat bonda dan ayahanda tercinta yang hadir pada hari ini iaitu kedua-dua ibu bapa saya Zabidah Binti Ahmad Jelis dan Sidik Bin Nordin kerana mendoakan saya.
Teristimewa buat Isteri dan anak saya Nurain Karim, Akid Rayqal, Abid Naufal dan Adil Iqmal kerana sentiasa sabar dan memahami saya selama 25 tahun ini.
Tidak lupa juga adik-beradik, saudara mara, rakan-rakan yang datang memberi sokongan pada hari ini.
Setinggi penghargaan juga kepada kumpulan kuratorial pameran di Soka Harmoni Gallery, Wisma Kebudayaan SGM ini yang diketuai oleh Vicky Ho dan pembantu beliau seperti Chung Bin, Wen Xuan, Chew, Evan dan Creative Group SGM, terima kasih kerana telah memberi kerjasama dan membantu saya dalam memasang dan menyiapakan pameran ini.
Hadirin yang dihormati
Saya masih teringat kata-kata arwah Rahimie Harun iaitu seorang pengumpul seni dan pentadbir seni. Semasa bersua secara tidak sengaja di galeri tempat beliau bertugas ketika itu, beliau pernah mengatakan kepada saya kepada saya pada ketika itu yang baru sahaja bergraduan dan sebagai pelukis muda. Katanya “5 tahun pertama adalah fasa awal yang penting yang menentukan kerjaya seorang pelukis”.
Maksud beliau adalah ketahanan dan kekuatan dari segi emosi dan spiritual inilah yang menentukan kelangsungan 5 tahun seterusnya untuk menjadi seorang pelukis tulen. Alhamdulillah penanda aras yang arwah berikan ini telah saya capai seterusnya telah memberi dorongan kepada saya untuk terus berkarya dan berpameran.
Syukur kini saya terus kekal 25 tahun berada dalam mewarnai lanskap seni lukis Malaysia.
Semoga pameran ini dapat memberi manfaat dan menambahkan lagi khazanah visual negara
Sekian. Terima kasih
Retrospektif 25 Tahun
Karya Awal (Drawing 1996-2006)
Inspirasi datang dalam pelbagai bentuk, Inspirasi pengkaryaan saya selama ini datang melalui pengamatan (observation), bacaan (reading) dan perjalanan (travelling). Jika anda lihat karya awal di dalam seksyen ‘Early Works’. Kebanayakan karya yang saya hasilkan adalah semasa saya menjadi penuntut di Universiti Teknologi Mara, Seri Manjung.
Kadang kala tempat ada berada semasa anda belajar turut memepengaruhi pengkaryaan awal anda. UiTM Seri Manjung secara geografinya adalah sebuah tempat yang terletak di sebelah barat daerah Perak Tengah yang berhampiran dengan bandar maritim seperti Lumut dan Pulau Pangkor. Ciri-ciri kelautan ini juga turut menjadi inspirasi kepada pengkaryaan awal saya.
Semasa saya di dalam Asasi Seni atau ‘Foundation Study ‘ seperti yang terdapat di dalam pameran ini kebanyakan subjek kajian atau ‘subjek matter’ adalah daripada bahan-bahan jumpaan di tepi pesisir pantai dan juga didalam pulau yang saya lawati. Inspirasi ini berlarutan sehingga saya memasuki jabatan dan sehingga tahun tiga.
Tahun keempat atau tahun akhir yang pada masa itu sekitar 1999-2000 pula kebanyakan idea saya hadir melalui banyak bacaan sosial-politik melalui risalah, majalah dan buku. Pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri daripada kerajaan dengan tuduhan liwat yang tidak masuk akal semasa rejim Perdana Menteri Mahathir Mohamed pada masa itu telah mencetuskan gelombang reformasi bukan sahaja kepada rakyat bawahan tetapi juga golongan seniman dan sasterawan.
Sasterawan Shahnon Ahmad misalnya hadir dengan novel ‘Shit’ yang mengisahkan kebusukan yang berlaku didalam sistem pencernaan manusia sebagai metafora beliau terhadap situasi politik semasa pada waktu itu dengan mengikonografikan Anwar Ibrahim sebagai watak ‘Wirawan’ dan Mahathir Mohamed sebagai ‘PM’ di dalam novel itu yang diharamkan pengedarannya oleh Kementerian Dalam Negeri semasa era Mahathir.
Saya sempat membeli novel ini di Ipoh selepas ia diterbitkan dan panas dipasaran sebelum ia diharamkan. Sukar sebenarnya membaca novel ini dan saya membacanya berkali-kali. Bahang reformasi dan novel ini telah menginspirasikan saya menghasilkan karya-karya mengenai hak asasi sebagai seperti kebebasan bersuara dan kebebasan memberikan pendapat di dalam Perlembagaan Malayssia - Perkara 63 seperti ‘Voice Without A Sound: King Rawana As Desperado’ yang pernah menjadi Pemenang Hadiah Penghargaan pertandingan dan pameran ‘Bakat Muda Sezaman atau BMS 2000. Karya tahun akhir ini dipamerkan di Balai Seni Negara pada tahun yang sama. Namun malangnya karya tersebut tidak dapat bersama dipamerakan di dalam 25 tahun ini keran telah hilang. Cuma yang tinggal adalah lakaran dan lukisan kajiannya.
Sebuah lagi karya tahun akhir saya turut layak dipamerkan di dalam pertandingan dan pameran Bakat Muda Sezaman 2002. Karya ‘Voice Without a Sound: Superpower I’ kini sedang dipamerakan di dalam pameran ini adalah kesinambungan daripada isu kebebasan hak bercakap yang dinafikan semasa era reformasi. Di dalam karya ini saya menggabungkan karakter watak wayang kulit dengan sebuah kenderaan. Karya ini memperlihatkan seorang pengemudi dan dibelakangnya adalah pengikut dimana bahagian kepala digantikan dengan penjara mengambarkan pemikiran mereka telah dibantutkan seolah berada di dalam penjara minda.
Ketakjuban Tenun (Sublime Weaves)
Saya ada sebut inspirasi pengkaryaan saya hadir melalui perjalanan (travelling). Selepas bergraduan saya melakukan perjalanan buat pertama kali ke Eropah pada tahun 2004. Perjalanan dilakukan setelah saya dipelawa oleh seorang rakan untuk mengikutnya bersama bagi memasang karya beliau kerana beliau mendapat ruang mengadakan pameran di Fredrichain, Berlin. Semasa berada lebih dua minggu di sana saya telah melawat banyak galeri seni dan muzium. Di sini saya berkesempatan melihat karya sebenar di depan mata daripada melihatnya di dalam buku sejarah seni atau slaid-slaid yang pernah dibentangkan oleh pensyarah saya sebelum ini. Semasa musim sejuk di Berlin saya sempat melawat muzium seni dari zaman Renaisan sehinggalah ke muzium seni kontemporari.
Sejurus saya balik maka berlaku perubahan besar dalam pengkaryaan saya. Saya kemudiannya banyak membaca buku-buku estetika dan falsafah seni. Antara buku yang saya minati ialah buku ‘Critical Judgement’ oleh Immanuel Kant. Esei ‘Critical Judgement adalah pendapat Kant mengenai keindahan. Kant adalah seorang ahli falsafah Jerman yang terkenal di Zaman Romantisme. Pendapat beliau tentang seni ditulis di dalam buku besarnnya ‘Critique of Pure Reason’ . Terdapat satu bab di dalam buku ini dimana Kant memberi pandangan berkenaan tentang seni dan keindahan dimana beliau memaknakan tentang ‘genius’. Saya turut membuat sorotan tulisan Kant di dalam esei 'Analatikal Seni Halus' (2008)
Kant mempunyai ramai pengikut, sebagai ahli falsafah continental atau Eropah, menerusi jarak yang tidak terlalu jauh penulisan beliau cepat tersebar dan diterjemahkan ke dalam bahasa asing lain. Salah seorang pengikut beliau adalah Edmund Burke dari Ireland. Beliau terkenal dengan teori ketakjuban atau Sublime. Burke telah memperbaharui dan memberi pandangan baru beliau daripada pandangan estetika Kant. Di dalam penulisan ‘Sublime & Beautiful Theories’ Burke telah menggariskan beberapa pandangan beliau mengenai ketakjuban antara adalah berkenaan warna di dalam ‘Beauty In Color’ dimana salah satu warna yan boleh membangkitkan rasa takjub adalah warna merah menyala.
Selepas kembali dari Berlin saya banyak menelaah teori-teori dari mereka ini. Saya mula menghasilkan lakaran-lakaran dan lukisan-lukisan kajian. Pada 2006 saya mulai serius menghasilkan karya format bulat dengan warna merah yang menjurus kepada teori mereka. Pada 2009 saya telah mengkuratorkan sebuah pameran berkumpulan. Pameran ‘Subliminal: Sublime & Sensory’ di Galeri Shah Alam adalah sebuah percubaan saya yang bertindak sebagai kurator dan pelukis pada masa yang sama bereaksi terhadap konsep ketakjuban ini.
Pameran yang saya kuratorkan ini mendapat perhatian oleh seorang pemilik galeri iaitu Datin Shalini. Beliau tertarik dengan karya saya lalu menawarkan kontrak secara eksklusif selama 10 tahun sebagai pelukis yang bernaung di bawah galeri beliau iaitu Private Gallery yang kemudiannya dinamakan Shalini Ganendra Fine Art (SGFA). Semasa bersama berkembang bersama galerinya saya banyak ditawarkan menghasilkan karya komisen dan sempat mengadakan 3 pameran solo seperti yang saya sebut diawal tadi. Pameran ‘Sublime Weave’ adalah gabungan kajian saya mengenai teori ‘sublime’ dengan kehebatan tenunan songket. Songket bukan perkara baru bagi saya kerana saya telah membuat kajian melalui tugasan semasa saya menuntut lagi di UITM bersama rakan dengan pergi ke tempat pembuatannya di Kg. Losong, Kuala Terengganu.
Karya ‘Sublime Weave’ yang saya hasilkan daripada 2012 hingga 2016 cuba mengabungkan falsafah seni barat (sublime) dengan estetika timur (songket). Di dalam lakaran, lukisan dan catan anda akan lihat format bulatan, bentuk hati dan empat segi yang terdapat jalur garisan samada putih. Garisan-garisan yang bermula dari tengah ini sebenarnya saya ingin mengambarkkan bagaimana kerja-kerja menyulam songket atau teknik sungkit itu berlaku dimana tukang songket akan memasukkan benang pakan secara berselang seli untuk menghasilkan motif pada kain songket.
Catan Songket
Karya ‘Catan Songket’ diinspirasikan daripada siri karya sebelumnya. Dimana saya ingin memberi nafas atau dimensi baru songket daripada persalinan pakaian kepada bentuk estetika melalui catan lanskap. Pengkaryaan Catan Songket adalah pembacaaan saya terhadap sastera klasik Melayu Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu (Malay Annals) atau cerita-cerita Raja-Raja Melayu di istana. Saya tertarik mengenai kisah metos peminangan Puteri Gunung Ledang. Kisah ini telah diterjemahkan dalam pelbagai medium antaranya filem dan teater. Di dalam seni lukis terdapat juga seniman yang menterjemahkannya melalui interpritasi mereka melalui catan dan arca.
Kisah Puteri Gunung Ledang sebenarnya adalah sebuah kritikan terhadap orang yang mempunyai kuasa dan berpengaruh yang sanggup berbuat apa sahaja dimana mengisahkan ketamakan seorang Sultan yang ingin meminang seorang puteri walaupun terpaksa mengorbankan anak sendiri. Namun saya lebih tertarik untuk mengambarkan babak bagaimana orang suruhan Sultan Mahmud iaitu Tun Mamat dan Laksamana Hang Tuah semasa di dalam perjalanan mereka untuk pergi meminang mereka terjumpa dengan sebuah taman yang indah di Ledang.
Pada masa yang sama saya berminat menonton filem-filem animasi terbitan Ghibli Studio antara ‘Howl;s Moving Castle’ (2004) , ‘My Neighbour Totoro’ (1988) dan ‘Kiki Delivery Service’ (1989). Filem arahan Hayao Miyazaki ‘Howl’s Moving Castle’ benar-benar menarik parhatian saya kerana latarbelakang lanskapnya sangat menakjubkan. Di dalam karya catan triptych atau catan 3 panel bertajuk ‘Taman Impian Ledang II’ (2016) adalah satu babak yang terdapat di dalam filem tersebut.
Pengkaryaan ‘Catan Songket’ secara keseluruhannya adalah gabungann kesusasteraan Melayu klasik melalui motif tenun songket yang berlatarbelakangkan lanskap asing dengan teknik ‘superflat’ . Superflat adalah sebuah gerakan gerakan seni pasca moden yang menghasilkan catan dengan menggunakan warna-warna datar atau rata iaitu catan tanpa bayang yang dipelopori oleh pelukis Jepun seperti Takeshi Murakami, Yoshimoto Nara, Mr dan ramai lagi yang dipengaruhi oleh lukisan manga dan anime.
Aliran ‘superflat’ sangat dekat untuk merujuk dan mengambarkan genre seni grafik, animasi, budaya popular dan seni halus dari Jepun.
Piksel
Saya mula menghasilkan karya ‘Piksel’ kesinambungan daripada Catan Songket (2012-2019). Piksel atau ‘Pixel’ di dalam imejan digital adalah sebuah kata asing yang bermaksud unsur-unsur halus atau cebisan maklumat yang paling kecil di dalam sesuatu imej. Piksel biasanya dilihat sebagai petakan-petakan halus. Piksel adalah peralihan saya mengguanakan bahan cat kilat atas kanvas (gloss paint) kepada cat akrilik atas kanvas. Terdapat dua buah karya monumental di dalam siri ini iaitu ‘Suprarupa Garden’ (2019-2021) dan ‘Supararupa Garden Midnight’ (2021-2024).
Pada tahun 2015 hingga 2018 saya membuat ijazah sarjana dalam bidang penterjemahan dan interpritasi dimana kursus saya berkait rapat dengan pemilihan bahasa. Kebanyakan karya Pixel menggunakan bahasa klasik lama atau bahasa Sanskrit. ‘Suprarupa’ adalah gaungan dua bahasa Sanskrit iaitu ‘Supra’ dan ‘Rupa’. Perkataan ‘Supra’ bermaksud ‘besar’, mankala ‘rupa’ biasa kita gunakan di dalam bahasa Melayu itu untuk mengambarkan ‘bentuk’ atau ‘wajah’ adalah berasal daripada bahasa Sanskrit. ‘Suprarupa’ adalah rupabentuk yang besar.
Pengkaryaan ‘Piksel’ adalah percubaan saya untuk masuk dengan lebih dalam lagi terhadap ime-imej motif yang terdapat di dalam karya ‘Catan Songket’. Ada beberapa percubaan yang saya lakukan ke arah itu terutamany di dalam karya ‘Pixel Painting #5’ (2020) yang tidak dipamerkan di dalam galeri kerana perlu direhatkan. Karya ini dilihat seperti catan permainan video piksel atau tetris. Ada pula yang mengaikannya dengan permainan video dalam talian ‘Minecraft’. Karya-karya ‘Piksel’ ini lebih menonjol dengan karya-karya arca bentukan petakan daripada kayu seperti ‘Pixel Sculpture #1’ (2020) dan ‘Pixel Sculpture #II’ (2020).
Karya Terbaru (New Works)
Pengkaryaan ‘New Works’ diinspirasikan daripada perjalanan saya selama dua minggu dibandaraya New York. Sepanjang disana saya telah banyak mengunjungi galeri dan muzium seni. Antaranya adalah di Chelsea Galleries District, Muzium of Modern Art (MoMA), Guggenhem Museum, Whitney Museum, Metropolitan Museum (Met), New Museum dan lain-lain. Saya tertarik dengan pameran oleh arcawan Tony Smith ‘Tony Smith: Wall, New Piece & One-Two-Three’ pada 2023 di Pace Gallery. Pernah mengenalai beliau sebelum ini namun yang selama ini hanya saya lihat di dalam gambar dan internet. Berhadapan dengan karya beliau seolah memberi inspirasi baru kepada saya yang pengkhususan dalam seni arca semasa di UiTM dahulu.
Peperangan Palestin dengan kebanyakan yang terkorban adalah kanak-kanak dan perempuan seolah-olah seperti mengiakan dan mengetahui karya-karya terkini saya bukan sahaja terinspirasi dengan pelukis lain malahan ia adalah rasa kesedihan dan kehibaaan saya sebagai seniman yang secara tidak langsung terpengaruh dengan keadaaan sekeliling. Darpada karya-karya ‘Catan Songket’ dan ‘Piksel’ yang penuh ceria dan berwarna-warni. Ia menjadi gelap dan kelam sebagai tanda protes saya terhadap peristiwa hitam kemanusiaaan. Rama-rama yang merupakan lambang kebebasan dan bunga-bunga berwarna lambang cinta kini bertukar sebagai sebuah cerita duka.
Hitam Putih Tragedi Gaza
Hitam putih tragedi Gaza
Perkembangan pantas dunia seni halus di Big Apple tarik perhatian artis, Faizal Sidik
- Berita Harian
- Oleh Azhar Shahrulnizam bhsastera@bh.com.my Faizal Sidik
Kuala Lumpur: Jauh perjalanan luas pemandangan itulah ungkapan sesuai bagi menggambarkan perjalanan pelukis, Faizal Sidik dalam menyiapkan 17 karya seninya yang terdiri daripada enam buah arca dan juga 11 lukisan.
Ia bermula dengan keinginannya untuk mengunjungi Kota New York di Amerika Syarikat sejak sekian lama tetapi sukar dipenuhi kerana kesibukan tugasnya sebagai kurator di Balai Seni Negara.
Bagaimanapun, apabila akhirnya beliau berkesempatan untuk mengunjungi kota dengan jolokan nama ‘The Big Apple’ itu, naluri seninya melahirkan rantaian ilham yang akhirnya ditumpahkan menerusi pelbagai bentuk karya seni visual.
Himpunan itu akhirnya menjelmakan sebuah pameran, Faizal Sidik New Works yang diinspirasikan daripada perjalanan beliau ke New York.
Dalam pertemuan dengan BH, anak kelahiran Petaling Jaya itu mengakui, semua karya dalam pameran berkenaan diinspirasikan daripada kunjungannya ke New York, pada Jun tahun lalu.
“Selama di sana, saya memang sangat terinspirasi.
“Satu daripada sebabnya, Kota New York mempunyai banyak galeri yang baik. Malah, kunjungan saya ke bandar raya itu juga disebabkan perkembangan seninya terlampau pantas sehingga ada kala tidak dapat diikuti.
“Atas sebab itu juga saya terlalu ingin berkunjung ke New York bagi mendapatkan inspirasi untuk karya terbaharu dan yang akan datang,” katanya.
Tambah Faizal, kunjungan ke bandar raya itu juga seakan-akan memberikan satu nafas baharu dalam ranah pengkaryaannya.
Hitam putih
Katanya, jika dibandingkan sebelum ini hampir semua karya yang dihasilkan beliau berwarna-warni tetapi kali ini dia memfokuskan penggunaan warna hitam putih dengan warna yang sangat minima.
“Pemilihan warna-warna begini dalam himpunan kali ini juga sebenarnya dipengaruhi oleh situasi semasa.
“Dalam proses pengkaryaan, dunia dihadapkan dengan tragedi kemanusiaan di Gaza. Jadi hal ini turut mempengaruhi saya dan membuatkan warna-warna dalam himpunan terbaharu ini agak kelam dan suram.
“Latar belakang karya sebelum ini penuh berwarna-warni berubah sekelip mata menjadi warna hitam mungkin kerana saya juga terkesan dengan tragedi kemanusiaan itu,” katanya.
Tegas Faizal, secara mudahnya warna hitam juga turut difahami sebagai simbol kepada rasa kesedihan, pasrah sementara untuk beliau rona itu juga adalah tanda berkabung, respon terhadap ketidakadilan dan penindasan yang berlaku terhadap rakyat Palestin.
Tambahnya, rasa tidak puas hati dan berpihak kepada Palestin itu ditunjukkan menerusi koleksi ini apatah lagi disebabkan Amerika diketahui sebagai sekutu kuat Israel.
“Pelukis adalah perakam zaman, mereka menghasilkan karya selari dengan garis waktu yang berlaku di persekitaran mereka.
“Justeru hal-hal begini bukanlah luar biasa,” katanya
Selain terinspirasi daripada pengembaraan penulis, pameran Faizal
Sidik New Works itu juga diadakan dengan tujuan perkongsian dengan khalayak seni halus akan perkembangan terkininya dalam bidang itu yang kini sudah menjangkau 25 tahun.
Justeru selain himpunan karya dengan warna minima dan berinspirasikan New York,
Faizal masih memilih elemen songket yang pernah diketengahkannya dalam karya sebelum ini.
Ketengah elemen songket
Katanya, beliau melihat songket perlu dikembangkan ke dimensi baharu justeru membawanya masuk ke dalam karya seni halus bukanlah janggal.
Faizal berkata, sehingga kini belum ada lagi pengkarya yang menghasilkan seni kotemporari sezaman untuk songket.
Justeru, beliau mahu menterjemahkan motif-motif tukang kraf terdahulu yang akrab dengan persekitaran seperti rama-rama, bunga dan haiwan ternakan dalam karyanya.
“Songket dibuat dalam bentuk geometri. Kita orang Islam tidak boleh menggambarkan bentukbentuk secara realis disebabkan itu, bentuk-bentuk yang ada dalam songket itu geometri,” katanya.
Mengulas mengenai arcanya pula, Faizal berkata ia sebenarnya dikembangkan daripada pameran beliau terdahulu yang berjudul ‘Piksel’. Karya itu dihasilkan ketika beliau menuntut dalam jurusan seni halus di Universiti Teknologi MARA (UITM).
Sesudah hampir 25 tahun dalam dunia seni halus, Faizal berkata buat masa ini, beliau mahu memfokuskan untuk menghasilkan karya berbentuk hitam putih dan kembali kepada asas.
“Pameran ini sebenarnya membawa banyak makna kepada saya. Selain ingin berkongsi inspirasi, saya melihat pada masa hadapan mungkin akan menghasilkan banyak arca.
“Sebelum ini, saya banyak memfokuskan kepada catan dan lukisan saja,”katanya.
Bagaimanapun tegas Faizal, dia juga mengakui cabarannya dalam menghasilkan arca. Satu daripadanya kerana menghasilkannya sangat sukar kerana memerlukan ruang yang besar.
Dalam masa sama ia turut menuntut masa yang banyak, namun kata Faizal ia adalah tempoh sesuai kerana ketika ini beliau sudah bersara.
Pameran Faizal Sidik New Works ini berlangsung bermula daripada 18 Disember lalu sehingga 24 Januari di Lot 26, Kampung Baru Ampang.
Kunjungan saya ke bandar raya itu juga disebabkan perkembangan seninya terlampau pantas sehingga ada kala tidak dapat diikuti”
Sabtu, 19 April 2025
Hilangnya Sebutir Permata Batik Di Nusantara: Belasungkawa Fatimah Chik (1947-2023)
Oleh: Faizal Sidik
Fatimah Chik bukanlah nama asing dalam landskap seni visual Malaysia. Beliau merupakan seniman seni lukis mampan yang mempertemukan antara tekstil dengan seni halus. Dilahirkan pada tahun 1947 di negeri jelapang nenas iaitu Pontian, Johor. Fatimah Chik adalah antara pelajar generasi terawal yang mengikuti pengajian di Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi Mara daripada tahun 1967 hingga 1971 pada ketika itu yang terletak di Jalan Othman, Petaling Jaya bersama-sama dengan seniman antara lain Sharifah Fatimah Syed Zubair dan Ruzaika Omar Basaree.
Saya mulai mengenali beliau apabila dipelawa oleh rakan kurator Nora Ambak semasa masih lagi bertugas sebagai kurator di cawangan pameran Balai Seni Negara untuk menjadi kurator bersama bagi sebuah pameran bertemakan seni Islam iaitu ‘Glorious Textiles of the Islamic World’ daripada 1 hingga 11 Disember 2016 di mana Balai Seni Negara menerima pelawaan daripada jawatankuasa Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) anjuran Perbadanan Putrajaya yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Apabila Nora menjemput berkolaborasi dengan beliau bagi mengadakan pameran solo Fatimah Chik, pertama sekali di dalam benak fikiran saya adalah beliau merupakan balu kepada pensyarah dan penyelia saya iaitu Redza Piyadasa (1939-2007) semasa saya mengikuti pengajian ijazah Sarjana Seni Rupa Asia Tenggara di Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya pada tahun 2003. Tidak banyak yang saya tahu tentang hubungan mereka berdua selain mereka pernah menjadi pasangan suami isteri.
Namun semasa Piyadasa berhijrah semula ke Kuala Lumpur setelah menghabiskan masa mengajar di Pusat Seni, Universiti Sains Malaysia , Pulau Pinang beliau telah membuka sebuah galeri yang dinamakan Saujana Fine Arts di Subang Jaya, yang mana galeri ini digerakkan oleh pelukis dan ahli korporat seperti Ismail Zain, Jaafar Ismail (Fergana Art) . Saujana Fine Art merupakan galeri yang digerakkan oleh pelukis dan mempromosikan pelukis seperti Fatimah Chik, Ismail Zain, Zakaria Ali, Nirmala Dutt, Ruzaika Omar Basaree, Eric Peris, Tay Hoi Keat, Tay Mo Leong dan Redza Piyadasa. Galeri ini sering menerima komisen dan tempahan daripada hotel-hotel antarabangsa di Malaysia pada ketika itu. Tidak hairanlah pada tahun 1990 an karya-karya Fatimah Chik menjadi pilihan untuk dijadikan hiasan di pejabat-pejabat korporat dan hotel-hotel ternama.
Sungguhpun saya agak lewat mengenali beliau iaitu pada sekitar tahun 2016 ketika mengkuratorkan pameran ‘Glorious Textiles of the Islamic World’ namun saya mengikuti perkembangan karya-karya batik beliau yang bernafaskan serantau dengan motif-motif seperti gunungan dan pucuk rebung yang menggunakan blok batik. Apabila bersetuju dengan jemputan tugasan itu saya telah mengadakan beberapa siri lawatan ke studio beliau yang terletak di Sunway Sutera berhampiran Bandar Utama. Barulah saya sedari rupanya studio Fatimah Chik dengan saya tidaklah begitu jauh cuma mengambill masa sekitar 10 hingga 15 minit sahaja dari studio dan tempat tinggal saya di Damansara Damai.
Fatimah Chik bukan sahaja seorang peramah dan mesra tetapi juga beliau sangat mahir dalam bidangnya iaitu fabrik dan tekstil. Ini adalah kerana setelah bergraduan daripada Institut Teknologi MARA selain daripada menjadi pelukis sepenuh masa beliau juga sering dijemput untuk mengadakan bengkel, wokshop dan beliau juga pernah bertugas sebagai pensyarah di Malaysia Institute of Art (MIA). Beliau adalah seorang yang tidak lokek dengan ilmu yang sedia berkongsi dan banyak membantu di dalam proses pengkaryaan beliau disepanjang saya mengkuratorkan pameran itu.
Saya teringat semasa hari perasmian pameran beliau di Putrajaya saya berjanji untuk menjemput beliau dari Bandar Utama ke Putrajaya dengan menaiki kereta saya. Sepanjang perjalanan beliau banyak berkongsi pengalaman dengan saya tentang guru saya Piadasa yang pernah saya kenali sebelum ini dengan lebih dekat lagi, selain bercerita pengalaman alam pengajian di ITM selain rakan-rakan yang satu generasi dengan beliau.
Selepas kejayaan mengadakan pameran di PICC satu usaha telah dijalankan untuk mengadakan pemeran bergerak di KLIA2. Sekali lagi saya diberi kepercayaan sebagai kurator pameran oleh sebuah galeri swasta iaitu Sireh Pinang Art Colony disamping bantuan Anwar Azhari sebagai kurator peragaan. Pameran ini dirasmikan oleh Tan Sri Dr.Ghauth Jasmon mantan Naib Canselor Universiti Malaya. Perkenalan saya tidak terhenti di situ, dimana saya dan isteri sekeluarga beberapa kali menziarahi di Sunway Sutera dan kami membawa beliau makan malam ke medan selera Damansara Uptown. Banyak cerita yang dikongsikan seolah-oleh saya adalah anaknya sendiri.
Sejak itu saya turut diberi kepercayaan untuk bersama-sama dalam mempromosikan karya beliau. Persahabatan yang terjalin antara keluarga saya dengan Fatimah Chik membawa saya untuk menjemput beliau merasmikan pameran solo saya yang ketiga ‘Faizal Sidik: Catan Songket’ di Muzium Seni Asia, Univerisiti Malaya, Kuala Lumpur. Semasa hari perasmian saya telah menghadiahkan sebuah catan akrilik sebagai tanda penghargaan saya kepada beliau pada masa itu merupakan presiden persatuan The Arts and Crafts KL & Selangor dimana timbalan presiden persatuan itu Jane Khoo yang juga seorang penulis untuk majalah seni Art Malaysia turut hadir ke majlis perasmian itu.
Sepanjang hayatnya Fatimah Chik telah menghasilkan beratus-ratus buah karya batik dalam pelbagai saiz. Antara siri-siri karya beliau adalah seperti Siri Nusantara, (1982-2001), Siri Kebaya (2004), Siri Kadok (2006-2008) dan Siri Shiboritik (2014-2017). Siri Kebaya merupakan siri yang paling lama beliau hasilkan. Hampir 30 tahun beliau menghasilkan siri ini dimana siri ini telah banyak menaikkan nama beliau. Pada tahun 1999 semasa masih dengan siri ini karya beliau telah dipilih oleh kurator pameran di Asia Pasific Triennale (APT 3) di Queenland Art Gallery, Australia bersama-sama dengan beberapa pelukis Malaysia yang lain seperti Suleiman Esa, Wong Hoy Cheong, Tan Chin Kuan, Raja Shahriman Raja Aziddin dan Yee-I Lann. Zanita Anuar iaitu kurator di Balai Seni Negara pada masa itu diberi tanggungjawab sebagai koordinator yang membawa karya dan pelukis-pelukis terpilih Malaysia.
Siri Kebaya pula adalah siri yang dihasilkan beresidensi di Pulau Redang, di negeri Terengganu, Siri Kadok adalah ilham inspirasi beliau terhadap Pulau Langkawi manakala Siri Shiboritik adalah usaha beliau menggabungkan teknik batik nusantara dengan teknik fabrik daripada Asia Timur iaitu negara Jepun yang dikenali dengan Shibori.
Sewaktu saya mengkuratorkan pameran Uwei iaitu ‘Wayang Uwei Angkat Saksi’ pada tahun 2011 di pejabat Tanah Licin iaitu syarikat perfileman milik Uwei saya ada terpegun melihat lukisan wanita yang memakai telekung yang wajahnya seolah-olah Fatimah Chik dan apabila saya menanyakan wajah potret itu telahan saya itu tidak meleset dan menurut Uwei lukisan yang dibelinya itu dilukis oleh Piyadasa sendiri.
Sepanjang kariernya sebagai pelukis beliau telah menyertai 9 pameran solo dan berpuluh-puluh pameran berkumpulan sejak tahun 80-an lagi. Antara pameran solo beliau adalah solo pertama ‘Nusantara Series’ di Saujana Fine Art, Subang Jaya pada tahun 1985. Pameran solo kedua ‘Gunungan Series’ di Kedutaan Singapura, Kuala Lumpur pada tahun 1989. Pameran solo ketiga ‘Batik & Tie-Die’, di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada tahun 1990. Pameran solo keempat ‘Impression of Nusantara’ di Ginza Rocket Park, Tokyo , Jepun pada tahun 1993. Pameran solo kelima ‘New Works’ di MIA Art & Design Centre, Kuala Lumpur. Pameran solo keenam ‘Product Signature’, Festival Kraf Johor pada tahun 2015. Pameran solo ketujuh ‘Redang Chapter’ di Tebeng Layar Gallery, Terengganu dan solo kelapan ‘Fatimah Chik: Seni Tekstil Islam’ di PICC kedua-duanya adalah pada tahun 2016 . Pameran solo kesembilan dan terakhir adalah ‘Fatimah Chik: Shiboritik’ di Sireh Pinang Art Colony yang terletak di Terminal KLIA2, Sepang.
Antara pameran berkumpulan terpilih yang pernah disertai dan beliau menjadi pelukis jemputan pada sekitar tahun 80 an adalah seperti pameran ‘Titian I’ di National Art Museum, Singapura dan 2nd Asian Art Biennale, Dhaka, Bangladesah (1983). 3rd Asian Art Biennale, Bangladesh (1986), ‘Contemporary Paintings of Malaysia’ di Pasific Asia Museum, Pasadena, Amerika Syarikat, (1988), ‘First Asean Travelling Exhibition’, Jakarta, Singapore, Bandar Seri Bagawan, Bangkok , Kuala Lumpur (1989).
Pameran berkumpulan antarabangsa pada tahun 90 an pula adalah seperti ‘Tititan 3’, National Art Gallery, Bangkok (1990), ‘Nuansa-Exhibition Paintings by Malaysia & Indonesia Women Artists; di Balai Seni Negara dan Balai Seni Rupa Jakarta, ‘Festival Istiqlal’, Masjid Istiqlal , Jakarta , Indonesia (1991), ‘Biennale of Visual Arts-Seychelles Carnegie Museum di Victoria, Seychelles dan ‘Salon Malaysia’ Balai Sen Negara Kuala Lumpur (1992), ‘Malaysia Art’ di Weregem, Belgium (1993), ‘Al-Fann Die Kunst’, di Hann Mundern, Jerman dan ‘Contemporary Malaysia Art’ di Museo De Arte Espanol, Buenos Aires, Argentina (1995), ‘Theme in Southeast Asian Art’ di Singapore Art Museum, ‘Asean Art Award Competition’ di National Art Gallery, Bangkok, dan ‘Malaysia Art-Contemporary Paintings and Tradisional Adorments’ di Kedutaan Besar Malaysia, New York (1996), ‘Rupa Malaysia-A Decade of Art 1987-1997’ di Brunei Gallery School of Oriental & African Studies (SOAS) London University, United Kingdom (1998), ‘Perception & Perceptive- A Malaysia Eye View’, Horbath Gallery, Bath, ‘Malaysia Contemporary Art’ China Museum of Art, Beijing dan ‘3rd Asia Pasific Triennale of Contemporary Art -Beyond The Future di Queensland Art Gallery, Brisbane, Australia (1999)
Pada tahun 2017 semasa masih berkhidmat di Balai Seni Negara sebagai kurator pameran dengan melihat pencapaian samada di peringkat nasional dan antarabangsa saya ada membentangkan kertas cadangan untuk mengadakan pameran retrospektif Fatimah Chik bagi meninjau pengkaryaan beliau selama lebih 40 tahun namun cadangan ini tidak diangkat oleh ahli jawatankuasa pameran Balai Seni Negara pada masa itu.
Pada pertengahan tahun 2022 selepas bersara pilihan daripada perkhidmatan awam sebagai kurator saya berusaha semula dengan bekerjasama dengan entiti swasta Raffles Fine Art untuk mengadakan sebuah pameran retrospektif yang menghimpunkan semula karya-karya penting Fatimah Chik sepanjang kariernya. Gerak kerja kuratorial mula dilakukan pada Ogos 2022. Usaha ini tertangguh sekali lagi apabila Fatimah Chik pernah berpesan untuk memberi laluan kepada sebuah galeri seni alumni milik UITM Berhad di Publika.
Pada tanggal 25 Mei 2023 saya dikejutkan dengan panggilan Sharon Low daripada Raffles yang mengatakan Fatimah Chik telah meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada awal pagi hari Jumaat yang mulia setelah dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelumnya. Hilanglah sebutir permata seni pada usia 76 tahun yang telah sekian lama memperjuangkan tekstil sebagai seni halus. Perjuangan beliau selama lebih 40 tahun wajar menjadi inspirasi dan teladan kepada generasi kini dan masa depan. Semoga roh beliau diletakkan bersama orang-orang yang beriman. Amin
Rabu, 22 Januari 2025
25 Tahun Bersiaran Seni













.jpeg)





.jpeg)











.jpg)


