Rabu, 25 September 2024

Karya Terbaru Faizal Sidik Merakam Zaman

 Oleh: Adam Nur Salehuddin


“Pelukis adalah perakam zaman, mereka menghasilkan karya selari dengan garis waktu yang berlaku di persekitaran mereka”

 

 

Pameran solo ke-5 yang mempamerkan 17 karya catan dan arca terbaru oleh pelukis inspirasi

daripada kembaraan beliau ke New York pada musim panas yang lalu. Tema Hitam (Black Series) ini

dilanjutkan hasil daripada pameran-pameran sebelum ini iaitu “Songket Paintings (2017)” dan “Pixel

(2023)”. Melalui motif tradisi yang tidak asing lagi iaitu Flora dan Fauna yang diolah secara bersatah

telah memberi satu lagi rangkaian baru terhadap bentuk-bentuk alami berkonsepkan kontemporari.

Jelas pengkarya, dalam karya baru siri hitam ini pengkarya lebih menekankan penerokaan kepada

bentuk bukan lagi kepada rupa warna-warni seperti karya sebelum ini.

 

Karya seni memiliki daya sesebuah teks yang adakalanya tidak perlu berbahasa. Merujuk kembali

makna apa itu seni visual, penulis memaknai seni visual sebagai setiap sesuatu yang terlahir

daripada idea yang berpaksikan pengalaman langsung atau tidak langsung lantas diterjemahkan

melalui karya. Keunggulan rasa yang lahir dari jiwa pelukis itu adalah rangsangan jujur batinnya.

Maka pelukis mampu melahirkan atau mencipta idea yang indah itu secara zahir atau lebih

mudah ia dapat dilihat fizikalnya , dijiwai rasanya malah dapat dinilai manfaatnya menggunakan

deria manusia terutamanya penglihatan, hati dan juga akal.

 

Pameran Solo terbaru Faizal Sidik “New Works” yang berkonsepkan minimalist dari segi warna

serta imejan motif tradisi yang satahnya jelas diimplementasikan di persekitaran yang tidak

terjangka oleh penulis malah terhurai kelakuan jiwa penulis ketika sesi pegamatan berlaku. Saat

leka menikmati kesan sebenar Hitam Putih, bentuk-bentuk dan ruang-ruang terjemahan

pengkarya, terbongkar pula rasa yang lama dipersoalkan. Apakah itu posisi makna yang sering

terkait dalam karya-karya seni ? Dari satu karya ke satu karya, dari catan ke arca vertikalnya sarat

menjelaskan persoalan tradisi melalui motif, rupa, ikon atau lebih mudah iaitu simbol. Melalui

pattern yang berulang-ulang pula, jelas memancarkan satu rasa pengamatan yang indah. Mudah

 kata, indah itu adalah sesuatu yang rasional dan rasional itu adalah semua yang adakalanya

boleh dikonstruksi dan direkonstruksi secara konseptual. Dari tradisi ke kontemporari.

 

Melanggar andaian-andaian biasa saat melewati ruang berpameran atau galeri yang sunyi dan

mengkhayalkan. Bunyi sekitar hiruk pikuk yang merencam keadaan membawa penulis bersama

perasaan mengamatinya dan menambah ketajaman fikiran dan tumpuan tanpa ada ruang untuk

lintasan fikiran lain yang menganggu. Mengakui bahawa ruang pengalaman estetika yang

dikongsikan oleh pengkarya dirasai secara halus dan jujur dalam setiap inci sesi penghayatan

pada karya. Membawa rasa kerencaman seperti benar adanya situasi tidak aman dalam ketika

itu.

 

Simbol Tradisi → Hitam Putih → Hiruk Pikuk → Berulang-ulang = ?

 

Setiap pameran seni, karya seni, sama ada lagu, persembahan, catan, arca, instalasi atau

seangkatan dengannya dapat dilihat nilai dengan cara yang berbeza. Setiap sesuatu itu lahir dari

pemerhatian yang niat asalnya adalah memberi mahupun berkongsi pengalaman kepada

pemerhati. Ia mampu menghiasi akal pemikiran dan juga pengamatan pemerhati dengan cara

yang pelbagai. Tanpa perlu mengejar peredaran yang terlalu terbuka dengan media berteknologi.

Pengkarya melalui karya catanya telah berjaya membawa makna penghayatan dari tradisi ke

kontemporari, dari negatif ke positif, dari gelap terbitlah terang.

 

Hubungan diantara persekitaran buatan manusia serta arca pula seringkali memberi impak

pertanyaan melalui susun atur rongga arca motif pengkarya. Apakah yang boleh dilihat, ditafsir

malah di`seni`kan pemikiran oleh pandangan penulis. Namun, persoalan itu telah dihapuskan

dengan perlahan-lahan tanpa ada bantahan jiwa atau pemikiran apabila melihat dari sudut

kayanya “idea” tradisi pengkarya. Layan sahajalah.....

 

Jelas sudah, seni dan tradisi tidak dapat dipisahkan, namun tafsiran berkontemporari yang baik

telah membuka ruang-ruang fahaman baru melalui persekitaran yang dibina oleh pengkarya.

Walaupun wujud kesamaran dan keseragaman pada makna atau motif karya-karya ini, pengkarya

dengan kreatif telah membawa kepelbagaian satah atau bentuk persembahan dalam berkarya.

 

Perhubungkan diantara arca dan catan warna hitam putih dan serta motif tradisi ianya masih

kekal dalam konsep Minimalist. Diakui bahawa kemahiran pengkarya menghasilkan karya secara

kepelbagaian dalam kesatuan ini sangat baik.

 

Gaya persembahan melalui persekitaran dan gabungan catan dan arca yang ditampilkan oleh

pengkarya serba sedikit menarik jiwa dan akal penulis dari jauh menyimpang atau kehilangan

akan konsep sebenar Minimalis Black Series ini. Posisi makna akan Hitam Putih diterjemah

melalui pandangan dan pengalaman pemerhati sendiri.

 

Pameran ini akan berlangsung dari 23 Disember 2023 hingga 27 januari 2024. Pameran seperti ini

harus diangkat dan dibawa ke peringkat lebih tinggi kerana konsep serta terjemahan melalui

persekitaran buatan manusia itu yang secara autonominya telah terbuka untuk di tafsir.

Shaimy Hashim: Alam Mimpi Catan dan Lukisan 1982-2022

 Oleh: Faizal Sidik

 



Pameran ‘Shaimy Hashim: Alam Mimpi Catan dan Lukisan 1982-2022’ tercetus daripada hasrat untuk menghimpunkan karya-karya awal dan mutakhir sureal pelukis ini di ruang pameran di Kuala Lumpur. Pameran ini menghimpunkan lebih 50 karya catan, lukisan dan lakaran sepanjang 40 tahun pengkaryaan.

 

Pameran ini merupakan pameran solo yang kedua yang dikuratorkan oleh kurator selepas pameran ‘Shaimy Hashim: Surealis 1981-2014’ yang diadakan di Galeri Pantai Timur. Pameran ‘Alam Mimpi’ adalah karya-karya surealis terbaru yang dihasilkan daripada tahun 2015 hingga 2022. Dalam tempoh 8 tahun itu be;iau telah menghasilkan lebih 10 catan surealis dan berpuluh-puluh lakaran.

 

Kurator membahagikan pameran ini kepada 3 ruang. Ruang tengah atau ruang utama mempamerkan 5 buah karya. Ruang kedua disebelah kiri mempameran 11 buah karya dalam pelbaga saiz. Ruang ketiga atau disebelah kiri menghimpunkan 16 catan, 9 lukisan  dan 15  lakaran

 

Ruang 1

Pertama adalah karya fokus dalam pameran ini iaitu ‘Hujan Keris’ (2019) beserta dengan lakaran disampingnya. Karya ini menjadi karya utama bagi publisiti pameran seperti poster, teks dinding, katalog, gegantung, kad jemputan, forum dan promosi di media sosial. Karya lukisan ‘Lakaran Hujan Keris’ pula merupakan sebuah karya kajian kepada karya sebenar catan “Hujan Keris”. ‘Lakaran Hujan Keris’ merupakan karya di atas kertas dihasilkan pada tahun yang sama karya sebenar dihasilkan.

 

Berhadapan dengan karya ‘Hujan Keris’ dipasangkan dengan karya ‘Simfoni Derita’ (2018) adalah sebuah karya kesinambungan daripada sebuah karya yang mempunyai pengolahan yang sama yang bertajuk ‘Apabila Tuhan Murka’ (2011). Karya tersebut dimiliki oleh kolektor tempatan. ‘Simfoni Derita’ memperlihatkan pengkaryaan Shaimy yang akrab dengan persekitaran alam Pantai Timur seperti pantai, teluk, tanjung dalam menceritakan alam tersebut yang kini dilanda kemusnahan manusia. Dibelakang kedua karya di ruang utama terdapat tiga buah karya bertemakan gerbang, kurator meletakkan karya berkenaan di situ sesuai dengan ruang laluan seolah-olah sebuah binaan laluan.

 

Ruang 2

Di ruang kedua iaitu sebelah kiri Galeri Matic disusun karya ‘Simfoni Topeng Menangis’ (2019) adalah sebuah karya paling besar yang pernah dihasilkan oleh pelukis. Karya ini adalah sebuah karya ‘diptych’ iaitu dua panel kanvas yang digabungkan menjadi satu. .

Mengikut maksud Bahasa Melayu ‘simfoni adalah sejenis gubahan muzik yang panjang untuk dimainkan oleh orkestra dan  kumpulan pancaragam yang berpemimpin, mempunyai peralatan lengkap dengan  bilangan ahli muzik yang ramai. Manakala ‘topeng ialah sesuatu yang dipakai untuk menutup muka yang berupa muka orang atau binatang dan lain-lain (dibuat daripada kertas, kulit, dan lain-lain) supaya dapat melindungi wajah sebenar.

Karya  Simponi Topeng Menangis dilukis pada 2019 sewaktu keadaan politik negara buat kali pertama tumbang pada PRU ke-14 pada 2018.  Sepanjang pemerintahan yang baru timbul bermacam perkara yang membawa keadaan sangat tegang. Rakyat ada yang tidak dapat menerima manakala pimpinan baru memungkiri janji.

Perpecahan belaku yang berakhir dengan kerajaan baru pula  digulingkan. Akhirnya segala yang tersembunyi terdedah walaupun belum tentu kebenarannya. Api dinyalakan  oleh pihak yang mengaku mereka lebih baik telah membakar semangat rakyat jelata. Di jiwa mereka menyala kebencian  marah dan dendam. Pihak yang kalah terutama pemimpin, dihujani dengan berbagai tuduhan dan  dikenakan berbagai  tribulasi.  

Karya ‘Perjuangan Belum Selesai 2’ (2021) adalah kesinambungan daripada karya yang pertama. Pelukis kembali bermain dengan imej catur sebagai lambang permainan atau strategi. Karya ini dihasilkan semasa peristiwa penyebaran wabak Covid-19. Terdapat kain langsir di sebelah kiri karya Karya ini seolah-olah sebuah menyingkap tirai peristiwa itu kepada negara pada tahun 2021.

 

Karya ‘Ke Titian Darah Terakhir’ (2021) adalah sebuah karya komentar isu anatarabangsa oleh pelukis. Pelukis amat prihatin dengan isu penjajahan negara Palestin oleh rejim Zionis. Terdapat imej Masjid Baitulmuqadis dan bendera Palestin. Karya ini adalah soladariti pelukis terhadap sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka seperti Malaysia.

 

Ruang 3

Pada ruang sebelah kanan atau ruang ketiga terdapat karya antaranya karya ‘Kerusi Di Awan’ (2018) adalah karya menggunakan simbolisme kerusi sebagai lambang kepada perebutan kuasa dan takhta. Manakala topeng pula ada lambang kepada watak yang bermuka-muka. Karya ‘Singa Tua Menghalang Jalan’ (2017) pula  adalah sebuah karya mendokumentasikan tentang isu 1MDB  yang mengemparkan bukan sahaja negara tetapi masyarakat antarabangsa.

 

Karya ‘Tsunami Covid-19’ (2020) adalah dokumentasi pelukis terhadap wabak virus Korona yang melanda Malaysia. Pelukis merakam suasana ini melalui sebuah catan landskap laut. Di bahagian atas kelihatan ombak besar iaitu metafora wabak tersebut yang sedang menghempas bangunan pencakar langit seperti KLCC dan rumah ibadat seperti masjid. Di bahagian bawah pula adalah tebing laut dengan kelihatan rumah api dan jambatan seperti sulur tumbuhan yang tiangnya diperbuat daripada hulu keris.

 

Pelukis melambangkan wabak korona merebak melalui secara berantai-rantai  iaitu dari suatu tempat ke tempat yang lain tanpa sempadan. Banyak kematian yang telah direkodkan, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 36 ribu rakyat Malaysia menjadi korban seterusnya menjadi sejarah hitam negara.

 

Covid-19

Selain karya ‘Perjuangan Belum Selesai 2’ (2021) dan ‘Tsunami Covid-19’ (2020) sebuah lagi karya tema sedemikian yang tidak dipamerkan namun dibincangkan di sini ialah karya ‘Korona Meruntuh Kesombongan’ (2020). Tahun dimana dunia diserang virus Covid dan Malaysia tak terkecuali. Semua negara menjadi panik. Banyak kematian berlaku termasuk negara besar seperti China, Amerika Syarikat, Perancis, Itali dan keseluruhan negara.  Kesannya menyebabkan ekonomi negara turut tergugat, industri lemah, ramai kehilangan pekerjaan dan hubungan fizikal  tersekat malah dikawal.

 

Manusia dinasihatkan elak bersentuh dan penguatkuasaan memakai topeng bagi menutup hidung dan mulut. Virus Covid sukar dihalang dan berbagai vaksin dicipta. Ini mengajar kita kekuasaan Tuhan bila murka sukar dihalang dan ini meruntuhkan  kesombongan negara- besar - besar yang sering berlagak hebat. Virus korona umpama gergasi penghapus yang membunuh secara senyap manusia. Menurut angka rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terdapat lebih 6.65 juta kematian disebabkan oleh wabak ini.


Shaimy Hashim adalah seorang pelukis surealisme yang telah berkarya sejak 40 tahun lalu. Sehingga kini Balai Seni Negara  mempunyai 5 buah karya yang dihasilkan dari tahun 1981 hingga 2014 antaranya ‘Sarapan Pagi’ (1981), ‘Gerbang Di Tebing Juram’(1989), ‘Tsunami 1’ (2004), ‘Keranda 152’ (2007) dan ‘Lama Telah Tiada’ (2010). Karya-karya tersebut adalah pembelian semasa pameran solo ke-2  pada tahun 2014.


Pameran ‘Shaimy Hashim: Alam Mimpi Catan dan Lukisan 1982-2022’ adalah pengkaryaan surealis terkini yang dihasilkan sempena pameran solo ke-6 yang berlangsung di Galeri Seni Matic daripada 1 Julai hingga 16 September 2023.

 

‘Duo’

  Oleh: Faizal Sidik


Pameran ini tercetus daripada pameran Kumpulan Manjung ke-4 iaitu ‘Chap Manjong’ yang telah diadakan di Galeri Al-Biruni pada tahun 2022. Pameran ini boleh dianggap sebagai seperti sireh pulang ke gagang oleh alumni pelukis  yang mengambil bahagian dalam pameran ini. Selepas 20 tahun bergelumbang dengan dunia seni di luar yang penuh dengan cabaran dan pancaroba dalam memenuhi impian mereka sebagai seniman, mereka datang menyantuni tempat yang pernah mereka jatuh dan bangun semasa di alam pembelajaran dulu.

 

Sungguhpun jasad rumah kedai Universiti Teknologi Mara Seri Manjung telah digantikan dengan kampus serba lengkap Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar namun semangat atau DNA pensyarah-pensyarah Seri Manjung yang pernah mengajar pengkarya dalam pameran tersebut masih berada di sini. Sokongan tenaga pengajar ini terhadap alumni atau bekas anak murid mereka boleh dilihat menerusi kehadiran mereka semasa program bicara seni dan majlis perasmian pameran ‘Chap Manjong’ tersebut.

 

Soladariti mereka inilah yang mengilhamkan pameran silaturahim ‘Duo’ untuk mengabungkan semula pengkarya bekas pelajar UiTM Seri Manjung atau yang lebih dikenali  Kumpulan Manjung atau Chap Manjong dengan pensyarah mereka ini di dalam satu bumbung pameran sebagai ‘Duo’. Istilah ‘duo’ diambil daripada bahasa atau dialek Negeri Sembilan yang bermaksud perkataan ‘dua’ atau angka ‘2’ . Dalam kata lain pameran ini ingin merapatkan lagi ukuwah atau persaudaraan diantara kedua-dua alumni dan bekas pensyarah melalui ikatan pameran seni.

 

Pameran ‘Duo’ adalah sebuah pameran bersama atau bergandingan yang menghimpunkan 37 pengkarya dimana terdiri daripada 16 bekas pelajar Seri Manjung dan 21 pensyarah Seri Manjung dan Seri Iskandar. Sebanyak 42 buah karya dalam pelbagai genre seperti arca, catan, lukisan, cetakan, campuran, seramik dan fesyen dengan kepelbagaian pegolahan.

 

Sebuah pameran susulan daripada pameran ‘Duo’ ini akan dengan tajuk ‘Duo-Duo’ akan diaakan pula di Balai Seni Lukis Melaka pada suku ketiga tahun ini bagi memberi peluang ramai lagi bekas pensyarah dan bekas pelajar atau alumni yang tidak dapat menyertai pameran ‘Duo’ di Galeri Al-Biruni terutamanya yang berada di Lembah Klang. Sehingga kini Kumpulan Manjung atau Chap Manjung telah mengadakan 6 buah pameran iaitu ‘Julung’ (1999), ‘Pilihan Rakyat’ (2013), ‘Manusia dan Alamnya’ (2018),  ‘Chap Manjong’ (2022), ‘Chap Manjung II’ (2022) dan terkini ‘Duo’ (2024).

 

Setelah keupayaan kumpulan ini menganjurkan dua pameran di negeri Perak iaitu di negeri kelahiran kumpulan ini dengan ‘Chap Manjong’ (2022) dan ‘Duo’ (2024) di Galeri Al-Biruni di UITM cawangan Perak, timbul keinginan kumpulan ini dimana seniman di dalamnya yang terdiri daripada kurator, pelukis, pereka, pendidik dan pekerja budaya daripada serata negeri di Malaysia untuk menjadikan Galeri Al-Biruni, UITM cawangan Perak sebagai sebuah pengkalan tetap kumpulan ini.

 

Oleh itu kumpulan ini merancang untuk mengadakan sebuah pameran  yang berskala kecil-sederhana ala industri kecil sederhana (IKS) secara dwi-tahunan atau dua tahun sekali. Manjung Biennale 2026 adalah sebuah penjenamaan produk baru kumpulan ini dalam memberi impak terhadap kegiatan pelancongan seni  di daerah Manjung dan Perak Tengah.

 

Pengajuran biennale seni tidak semestinya perlu bersifat antarabangsa dan nasional tarafnya, Manjung Biennale 2026 adalah sebuah biennale seni daerah dalam memberi impak ekonomi budaya kepada kawasan setempat melalui seni visual yang meliputi jalur dari Pulau Pangkor, Lumut, Seri Manjung, Setiawan, Air Tawar, Bota dan Seri Iskandar yang berada dalam lingkungan dan liputan kawasan daerah Seri Manjung dan Perak Tengah. Semoga hasrat ini dapat direalisasikan melalui sokongan dan dokongan semua pihak nanti. InsyaAllah.

 

‘Multiculturism’: Sebuah Pameran KeMalaysiaan

 Oleh: Faizal Sidik


Pameran Multiculturism ada sebuah pameran berkumpulan yang menghimpunkan 8 pelukis secara kebetulan  mempunyai latar yang sama dalam bidang pendidikan seni yang berkarier sebagai pensyarah, bekas pensyarah, pendidik dan pelatih seni visual. Antara pelukis yang mengambil bahagian dalam pameran ini ialah Dr. Zakaria Ali, Felicia Loh, Dr. Hanif Khairi, Abby Zain, Ellie Ng, Jaja Yusof, Alex Liong dan Zarina Abdullah. Pameran secara kolektif  ini cuba untuk berkongsi bagaimana seni visual boleh dijadikan sebagai alat penyatuan, tolak ansur dan kebersamaan.


Zakaria Ali (b.1946)

Zakaria Ali bukanlah nama asing dalam lanskap seni lukis Malaysia. Beliau merupakan pensyarah sejarah seni di Pusat Seni, Universiti Sains Malaysia sejak tahun 1970 an lagi sehingga persaraanya. Disamping mengajar beliau turut berkarya dengan lukisan figura. Beliau terkenal dengan penulisan seni dengan tema pluralisme di dalam seni lukis Malaysia. Di dalam penulisannya saya masih teringat beliau memataforakan seni lukis Malaysia seperti makanan popular rakyat negara ini iaitu air batu campur. Air batu campur mengandungi kisaran ais, sirap, kacang, jagung, susu. Gabungan atai kerojakan ini menjadikannya sedap dimakan sebagaimana seni lukis Malaysia yang penuh dengan kepelbagaian dari segi kaum, agama, budaya dan cara hidup.

 

Di dalam pameran ‘Multiculturism’ ini beliau menghasilkan catan-catan figuratif. Karya-karya mutakhir beliau cuba memaparkan aktiviti-aktiviti yang dekat dengan beliau yang menetap di rumah dan studio  di Diamond Creeks, Tanjung Malim dengan dalam merakamkan kehidupan seharian beliau seperti beribadah, melakukan senaman di awal pagi dengan berjalan disekitar kawasan kediamannya dengan haiwan perliharaan dan juga melancong. Bagi beliau ‘Multiculturism’ tidak boleh disempitkan dengan hubungan kepelbagaian kaum dan ras di Malaysia sahaja malah melagkaui kehidupan kita seharian.

 

Felicia Loh (b.1975)

Felicia Loh pula yang berasal dari Johor Bharu merupakan pelukis-pelatih seni yang mengasaskan Napthtali 7 Art. Beliau aktif melukis sejak remaja namun hasrat untuk meneruskan minatnya dalam bidang seni terbantut dan perlu mengikut aliran kehendak orang tuanya. Namun setelah berkecimpung dalam bidang perbankan beliau nekad untuk berhenti dan meneruskan minat terpendamnya yang tidak kesampaian. Kini beliau aktif mengadakan pameran berkumpulan.

 

Felicia melihat ‘Multiculturism’  sebagai nilai yang bersifat patriotisme. Patriotisme bukanlah secara literal dengan hanya mengibarkan bendera Malaysia dan memakai baju jalur putih dan merah semasa bulan kemerdekaan. Semangat patriotisme juga boleh diterjemahkan secara abstraksi. Di dalam pameran ini Felecia berkongsi menghasilkan karya keMalaysiaan seperti siri ‘Tanah Malaysia’ dan siri ‘Fresh Out Pouring’ yang dihasilkan melalui pandangan atas atau bird eye view terhadap bentuk muka bumi negara kita Malaysia yang kaya dan indah dengan khazanah hutan tropika, gunugan dan pantai berpasir putih.

 

Jaja Yusoff (b.1983)

Nur Yusniza Mohd Yusof atau lebih dikenali Jaja Yusof  dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah dan merupakan anak kepada Allahyarham pelukis Yusof  Gajah. Yusof Gajah dikenali kerana komitmen dan stail lukisannya yang memokuskan kepada tema gajah bukan sahaja kepada lukisan dan catan malah buku ilustrasi dan arca. Jaja mendapat pendidikan formal dalam Diploma Psikologi. Namun setelah tamat pengajian beliau mengikut jejak ayahnya menjadi pelukis dengan memokuskan pula dengan melukis subjek haiwan peliharaan iaitu kucing.

 

Jaja menggunakan perlambangan kucing sebagai haiwan yang sentiasa ceria dalam  mengambarkan masyarakat pelbagai budaya atau ‘multiculturisme’ pada tema dalam pameran ini. Karya kucing hitam Jaja mengingatkan saya karya pelukis Jepun iaitu Yoshitomo Nara yang menggunakan imej figura budak kecil namun Jaja Menggunakan haiwan ini sebagai simbol kebebasan dan keharmonian bangsa di dalam negara ini.


Ellie Ng (b. 1978)

Ellie Ng berasal dari Batu Gajah, Perak. Beliau mendapat pendidikan formal dalam bidang fesyen dan tekstil daripada Malaysia Institute of Art (MIA). Semasa menuntut di sana beliau pernah berguru dengan pelukis batik iaitu Fatimah Chik. Setelah 25 tahun berkarier dalam seni dan kraf sebagai pereka dan pelukis dengan mengadakan pameran, projek senireka dan wokshop di Lembah Klang beliau kembali ke tempat asal dan menetap di sebauh bandar lama di Perak Tengah iaitu Papan yang tidak jauh dari Batu Gajah.

 

Membina studio dan wokshop sendiri di Papan pengkaryaan beliau sangat dekat dengan tanaman dan tumbuhan serta warisan setempat. Ellie adalah penggerak penting dalam menjayakan festival tahunan iaitu ‘Annual Malaysia Day Papan Old Town Retro Event’. Di dalam pameran ini beliau menghasilkan siri karya catan tekstur pada biji benih. Beliau mengambarkan biji benih ini sebagai keperluan dalam kehidupan kita samada sebagai makanan, perubatan atau ekonomi. Dalam erti kata yang lebih besar kepelbagaian budaya di negara inilah bagi beliau dalam kita  menuju dalam  pembinaan sebuah negara.

 

Dr Hanif Khairi (b.1972)

Dr Hanif Khairi berasal dari Setiawan, Perak beliau mendapat pendidikan awal dalam bidang Seni Reka Logam Halus daripada Universiti Teknologi Mara (UITM). Selepas itu  beliau mengikuti pengajian ijazah lanjutan pendidikan untuk menjadi tenaga pengajar sebagai pensyarah. Kini beliau merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Rekabentuk Logam Kontemporari, UITM Shah Alam yang mempunyai kepakaran dalam reka bentuk barang kemas, pertukangan logam dan seni arca.


Kepelbagaian budaya atau ‘Multiculturism’ bukan sahaja hanya boleh diterjemahkan melalui bangsa, budaya dan agama malah melalui belas kita pada ekosistem alam. Sejak awal pengkaryaan Dr. Hanif  beliau sangat konsisten dalam membawa tema kemampanan dan kelestarian dalam penggunaan bahan atau material. Dalam siri karya ‘Tunas Cinta’ beliau sangat konsisten dalam menghasilkan karya arca daripada kayu terbuang dan plastik polietilena ketumpatan tinggi atau (high-density polyethylene HDPE). Gabungan blok-blok kayu dan plastik yang pelbagai warna ini seolah sebuah bentuk karya arca etnik suku kaum asal atau orang asli yang berjalur, petakan yang mempunyai kepaduan jisim.

 

Abby Zain (b. 1965)

Abby Zain berasal daripada Batu Gajah dan mendapat didikan seni dalam bidang Komunikasi Visual dan Reka Bentuk daripada Akademi Seni Budaya Warisan Negara atau ASWARA. Sebelum mengikuti pengajian formal  beliau pernah  berguru dan tunjuk ajar daripada Encik Liu di Ipoh. Selepas 2003  Abby aktif  berpameran dan menjadi pelukis illustrasi buku dengan menghasilkan siri buku ilustrasi yang dinamakan Puteri Pakma. Beliau juga merupakan pelatih seni dengan menjalankan kelas seni lukis untuk kanak-kanak yang dinamakan Pakma Art Studio.

 

Di dalam pameran ini Abby cuba menggabungkan motif ketiga-tiga bangsa utama di negara ini seperti Melayu, Cina dan India di dalam catan seperti ‘Intricate’ dan ‘Weaves of Culture’ . Meminjam  motif seni tekat Perak sebagai pengantar karyanya, karya Abby boleh dibaca kepada 2 bahagian pertama latar catan yang bersegmentasi atau petakan. Kedua adalah motif tradisi floral tempatan, rekabentuk geometrik dan motif haiwan. Segmentasi dan pola-pola dalam karya beliau adalah cerminan warisan kepada kesatuan, keharmonian dan keamanan yang dinikamti oleh setiap rakyat Malaysia pada hari ini.

 

Alex Liong (b.1973)

Alex Liong Chen Hui dilahirkan di Kuala Lumpur dan mula menunjukkan minat dalam seni lukis semenjak zaman persekolahan lagi. Beliau kemudiannya mengikuti jurusan Seni Reka Grafik daripada Malaysia Institute of Art (MIA). Selepas bergraduan beliau terlibat sebagai pendidik seni dan sehingga ke hari ini mempunyai pengalaman hampir 30 tahun sebagai pengajar seni dengan membuka The Artless House yang terletak di Damansara Perdana. Pengkaryaan awal Alex dekat dalam memperlihatkan tema alam sejadi dan lanskap dengan menggunakan bahantara tanah liat getah (rubber clay) sebagai kunci utama setiap karyanya.

 

Alex berpandangan ‘Multiculturism’ adalah negara Malaysia itu sendiri yang mempunyai penduduk yang berbilang agama, bangsa dan kepercayaan. Inspirasi dan tertarik dengan kekayaan sejarah dan keindahan budaya negeri Melaka, Alex membawa khazanah Baba dan Nyonya dalam pameran ini. Budaya peranakan menjadi subjek utama Alex dengan menggunakan bahantara kegemarannya iaitu tanah liat getah (rubber clay). Di dalam pameran ini karya-karya Alex berkongsi tema ‘Multiculturism’ melalui sejarah silam, makanan, pakaian, dan cara hidup masyarakat Baba dan Nyonya.


Zarina Abdullah (b.1981)

Zarina Abdullah dilahirkan di Ipoh, Perak dan dibesarkan di negeri Pahang dan Tererngganu. Beliau mendapat pendidikan formal Seni Halus dalam pengkhususan seni catan daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam. Zarina aktif berpameran semenjak menjadi pelajar dan memenangi hadiah seni pertandingan seni. Beliau mula mengadakan pameran solo ‘Dari Mata Ke Mata’ di Artraeously Ramsayong, Kuala Lumpur pada 2003.  Sejak awal pengkaryaan awal beliau begitu fokus dengan menghasilkan lukisan figura.

 

Zarina memataforakan bunga-bungaan iaitu bunga kertas sebagai simboik kepada kasih sayang di dalam pameran ini. Terjemahan ‘Multiculturism’ pada beliau bukan sahaja terhadap perlambangan kepelbagaian budaya tetapi juga boleh bermula di dalam rumah melalui hubungan kekeluargaan di dalam keluarga kita sendiri. Beliau hadir dengan karya siri bunga seperti siri ‘Tanda Shayang’, siri ‘Bunga Jingga’ dan siri ‘Bunga Merah Jambu’.

 

Sebagai kurator di dalam pameran ini saya mengharapkan karya-karya yang dipameran di dalam pameran ini bukan sahaja sebagai manifestasi pelukis-pelukis yang mengambil bahagian dalam menterjemahkan dan menginterpritasikan apa yang mereka fikir terhadap kepelbagaian di negara ini. Namun apa yang lebih penting lagi adalah bagaimana masyarakat terbanyak di dalam negara ini untuk menginsafi, rasa bersyukur dan terus mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaian yang unik yang kita kecapi pada hari ini yang mungkin tidak dimiliki oleh negara lain. Selamat Hari Malaysia!





Faizal Sidik, 'Multiculturism: Sebuah Pameran KeMalaysiaan', Dewan Budaya (Galeri), Bil 10/2024, Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur, ms 54-60.







Kumpulan Manjung: Chap Manjong

 Oleh : Faizal Sidik


Pameran ‘Kumpulan Manjung: Chap Manjong’ yang diadakan di Galeri Al-Biruni, UITM Kampus Seri Iskandar, Perak menghimpunkan 20 pengkarya bekas pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UITM Seri Manjung, Perak. Pameran ini mengumpulkan bekas pelajar daripada tiga jabatan iaitu Seni Halus, Seramik dan Fesyen yang pernah mengikuti pengajian di sana daripada tahun 1996 hingga 2002.

 

Kumpulan Manjung adalah sebuah perkumpulan seni yang bergerak dalam jemaah atau kolektif dalam membantu anggota kumpulan dalam melancarkan karier masing-masing dalam pelbagai bidang seni dan rekaan samada melalui pameran solo,    berkumpulan, bergerak, projek seni, pertunjukan, bicara seni, bengkel dan lain-lain dalam memperkasakan peranan dan fungsinya sebagai sebuah perkumpulan yang memberikan sumbangan idea dan visual terhadap pembangunan insan, sebagai suatu reaksi tindakan pandangan perkumpulan ini sebagai suara gologan seniman.

 

Sehingga kini Kumpulan Manjung telah mengadakan empat pameran berkumpulan. Pameran pertama ‘Julung’ diadakan di Balai Seni Lukis Melaka pada tahun 1998. Pameran kedua pula diadakan 15 tahun selepas itu iaitu pada tahun 2013 dengan tajuk ‘Pilihan Rakyat’ di Galeri Shah Alam. Pameran ketiga ‘Manusia dan Alamnya’ diadakan di Pusat Kreatif, Balai Seni Negara pada tahun 2018. Kini pameran ke-empat ‘Chap Manjong’ diadakan di Galeri Al-Biruni, UITM kampus Seri Iskandar, Perak adalah seperti sireh pulang ke gagang.

 

Pameran ‘Chap Manjong’ yang dikuratorkan oleh Faizal Sidik ini  tercetus untuk mengembalikan memori alam pembelajaran pengkarya pameran ini yang berada di kampus Seri Manjung pada tahun 1995 sehinggalah awal 2002. Setelah lehih 20 tahun meninggalkan kampus Seri Manjung hasrat ahli kumpulan adalah ingin menziarah kampus lama walaupun bukan di Seri Manjung namun DNA para pensyarah dan tenaga pengajar dahulunya tempat mereka menuntut ilmu itu masih berada di sini.

 

Selain itu pameran tajuk ‘Chap Manjong’ diberikan adalah untuk mengukuhkan nama kumpulan ini di dalam lanskap seni lukis Malaysia sebagai sebuah 'jenama', 'cap', 'tanda nama',  'cop'  atau sebuah 'chop' yang bukan berekasi terhadap isu-isu semasa malahan juga isu lokaliti dan setempat. Pameran ‘Chap Manjong’ pada edisi ini lebih memokuskan kepada karya-karya alam Manjung sebagai sebuah daerah yang kaya dengan tarikan muka bumi dan biologinya.

 

Pameran ini boleh dibahagikan kepada 5 bahagian  iaitu karya yang bersifat konseptual yang menuntut pemikiran kritis, karya floral yang bersubjekkan kuasa bunga-bungaan, karya figuratif yang mempamerkan keindahan bentuk figura dan segmen-segmen tubuh, karya seni abstrak yang penuh lirikal dan karya skulptur yang terdiri daripada arca seramik dan arca kayu.

 

Konseptual

Terdapat dua buah karya yang boleh diklafikasikan sebagai karya yang dekat bermain dengan konsep dan pemikiran kritikal iaitu karya ‘Camourflage II’ oleh Mohd Farizal Puadi dan karya ‘Brain Conspirancy I’ oleh Mohd Ekram Al-Hafis Hashim. Karya  ‘Camourflage II’   yang jika diperhatikan menggunakan bahan terpakai sedia ada atau ‘ready made’ menurut sejarah seni adalah kesinambungan daripada penerokaan siri-siri karya ‘ready made’ oleh seniman avant-garde Perancis iaitu Marcel Duchamp.

 

Karya ‘Camourflage II’ ini secara umumnya dinspirasikan dari konsep ‘Keluarga Malaysia’. Akan tetapi, Farizal melihat suasana pandemik Covid 19 yang berlaku sejak dua tahun lepas sebagai titik tolak kepada isu-isu yang merentasi negara kita dalam semua perkara. Isu yang paling mendekat dengan rakyat adalah ‘kebebasan’ dari Covid 19. Kebebasan yang diingini oleh setiap rakyat adalah untuk ‘bebas’ bergerak dan melakukan aktiviti seharian sebelum pandemik melanda. Di dalam karya ini Farizal  pula melihat ‘kebebasan’ yang hakiki adalah membebaskan fikiran dari belenggu kecelaruan dan paksaan ideologi yang jelas songsang dan sesat. Karya ini dipersembahkan menggunakan ‘perangkap tikus’ sebagai metafora kebebasan dan ‘kotak’ sebagai ‘belenggu akal’ yang dipersembahkan secara konseptual dan minimal.

 

Karya media campuran ‘Brain Conspirancy I’ oleh Mohd Ekram Al-Hafis Hashim ini adalah bagaimana konspirasi di dalam otak menghasilkan aktiviti kolaj bersahaja dan lukisan psikomotor yang mengajak penonton merasai sendiri permainan minda alam bawah sedar. Kadangkala  karya ini dianggap agak sinikal dan agak literal dalam perancangan visual dalam proses kolaj dengan aktiviti menggambar.

 

Floral

Terdapat tiga pengkarya dimana karya mereka diinspirasikan daripada kuasa bunga   atau istilah yang popular pada tahun 70 an iaitu ‘flower power ’. Tetriana Ahmed Fauzi hadir dengan karya ‘Passiflora Proximity In Muted       Terracotta and Mint’. Faizal Sidik dengan siri karya catan songket yang berlatarbelakangkan geografi di daerah Manjung seperti karya ‘Taman Rahsia I: Bukit Pencawang, Teluk Rubiah’, ‘Taman Rahsia II: Bukit Ungku Busu, Lumut’ dan ‘Taman Rahsia III: Bukit

300, Teluk Batik’ . Manakala itu Siti Norhashimah Suman dengan karya catan seramik ‘Hidup I’

 

Tetriana dibesarkan di Kuala Lumpur, sungguhpun begitu beliau sangat meminati alam semulajadi, terutamanya tumbuhan. Selepas tamat pengajian beliau bekerja sambilan di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM). Di sini beliau mendapat projek menghasilkan lukisan ilustrasi botani untuk spesis baru Vatica. Semasa di sini beliau telah diajar teknik ilustrasi botani dan beberapa asas pengetahuan botani

untuk projek lukisan. Tema utama amalan kreatif beliau ialah penyiasatan bentuk tumbuhan sebagai metafora. Beliau sangat tertarik dengan ciri-ciri menarik yang terdapat pada tumbuhan contohnya, aliran berselirat urat dalam daun, sulur bayung, daun melata, gumpalan akar, bentuk buah atau bunga yang kelihatan luar biasa atau yang berkerak pada corak kulit pokok. Karya‘Passiflora Proximity In Muted     Terracotta and Mint’ ini adalah inspirasi daripada ciri-ciri yang dikaji olehnya.

 

Dalam pameran ‘Chap Manjong’ ini Faizal Sidik mempamerkan  karya yang signifikan dengan daerah Manjung yang digabungkan dengan identiti visual pengkaryaan beliau iaitu motif bunga dalam kain songket. Karya  ‘Taman Rahsia III: Bukit 300, Teluk Batik’ adalah sebuah manifestasi terhadap tempat yang menjadi tarikan ekologi dan biodiversiti yang terdapat di Manjung dalam bentuk geometrikal abstrak. Karya seramik Siti Norhashimah Suman iaitu ‘Hidup I’ adalah merupakan corak-corak abstrak halus bercampur melingkari warna- warna merah dan biru dalamnya mewakili setiap mahluk diseluruh alam. Elemen dan prinsip seni diolah dalam membentuk ruang dialamnya tersendiri.

 

Figuratisme

Terdapat  tiga buah karya yang menonjolkan imejan figura sebagai bahasa pengantar di dalam karya mereka  Karya Mohd Khairul Anwar Yusoff  iaitu ‘The Myth’ menggabungkan teknologi cetakan digital dengan catan tradisional menampilkan figura wanita Melayu manakala Mokzaini Hairim Mokhtar pula meneroka figura dalaman manusia menerusi pengkajian anatomi-anatomi tubuh dan organ dalaman badan manusia di dalam karya ‘Fragments -Anatomically Speaking  2’ dan‘Fragments -Anatomically Speaking  5  

 

Kadangkala seniman juga pada masa yang sama tidak ubah seperti ahli arkeologi yang secara terus menerus berusaha mencari, menemukan dan mencantumkan fabrik-fabrik budaya masa lalu yang tertimbus oleh gerakan ruang dan waktu. Karya Mohd Khairul Anwar Yusoff ini ini adalah berdasarkan mitos masa lalu masyarakat Terengganu yang agak terkenal iaitu ‘Ulek Mayang”. Dalam karya ini Khairul Anwar yang dikenali oleh rakan-rakan dengan panggilan ‘Ganu’ lebih tertarik untuk mengkaji dan menggambarkan tentang sifat-sifat dan latar belakang puteri yang menjadi watak protagonis di dalam cerita ini, dimana ianya digambarkan sebagai satu simbol yang penuh misteri, penuh dengan unsur-unsur keegoan, keanggunan, kedegilan dan kekuasaan sehingga membuatkan masyarakat begitu obses terhadapnya.

 

Karya Mokzaini Hairim Mokhtar aka Momok iaitu‘Fragments -Anatomically Speaking  2’  adalah karya lukisan dan kolaj yang menggunakan media campuran memperlihatkan serpihan bahagian yang pecah bertaburan dan hancur tetapi kemudian disatukan melalui komposisi kolaj sebagai simbolik kepada pemikiran alam bawah sedar kita. Ia memberikan struktur kepada susun atur kolaj dan bagaimana cara subjek itu dipersembahkan semula.

 

Absurdisme

Istilah absurd sering digunakan di dalam teater dan kesusasteraan. Di dalam seni tampak pula absurd adalah aliran pemikiran yang diekspresikan di dalam bentuk ekspressionisme, surealisme dan absurdisme yang merupakan gerakan seni moden pada abad ke-20. Di dalam pameran ‘Chap Manjong’ ini terdapat 3 pengkaryaan yang cenderung kepada  gerakan ini seperti karya ‘Induk’ oleh Mohd Bakir Baharom, ‘Alami Series: Merah’ oleh Fairus Ahmad Yusof dan ‘Semarak’ oleh Saiful Azmi Hanudin

 

Kesan atau tanda adalah sesuatu yang terhasil atas permukaan di mana ia disebabkan oleh proses yang berlaku seperti geseran, ketukan, pembakaran, campuran bahan berlainan sifat dan sebagainya. Merujuk kepada kesan legam, ia merupakan suatu eksperimentasi yang telah dijalankan dengan menghasilkan kesan melalui teknik penjelagaan (fumage). Jelaga meninggalkan kesan yang bercorak pelbagai variasi,

legam serta membentuk gerakan yang unik. Variasi bentuk dan kesan tersebut digabungkan bagi menghasilkan objek, bentuk spontan atau kesan pergerakkan. Dalam  karya ‘Induk’ oleh Mohd Bakir Baharom ini, karekteristik jelaga memainkan peranan utama melalui garapan imajan biomorfik yang dipadankan dengan tona monokromatik. Oleh itu, jelaga adalah media alternatif yang menjadi asas dalam pencarian tona bagi pelukis ini untuk menghasilkan karya selain daripada penggunaan arang.

 

Karya Fairus Ahmad Yusof  atau Along ‘Alami Series: Merah’  adalah sebuah komentar sosial terhadap kemusnahan alam sekitar. Along konsisten membawa isu ini sejak zaman pengajian di Manjung sehinggalah ke hari ini. Karya ini memperlihat pergolakan emosi pengkarya terhadap kemusnahan hutan tropika untuk pembangunan. Gangguan ekosistem hijau ini bakal memusnahkan hutan hijau malah sungai kita yang bukan sahaja mengancam hidupan di dalamnya malah juga boleh meragut nyawa manusia.

 

Saiful Azmi Hanudin berasal dari Perak yang ramah dengan panggilan Yob adalah merupakan pelukis landskap realisme. Namun di dalam pameran ‘Chap Manjong’ Yob hadir dengan karya catan lanskap absurdisme. ‘Semarak’ adalah terjemahan dan interpritasi beliau terhadap lanskap ekspresionisme yang berseri, bercahaya, bersinar, bersorot, berkilauan, bergemerlapan dan berkilapan. Menurutnya dari aspek perumpamaan ia adalah cerminan kepada keelokan, kebanggaan, kemegahan, kemuliaan, ketinggian, kebesaran, jah, seri, keindahan, kemasyhuran, kehormatan dan keluhuran perkumpulan Kumpulan Manjung ini.

 

Skulptur

Seni arca atau skulptur di dalam pameran ‘Chap Manjong’ ini boleh dibahagikan kepada tiga penggunaan bahan utanma iaitu bahan campuran seperti pada arca Ahmad Eruan Adnan iaitu ‘Mak!, Aku Pinjam Kuali Nak Buat     arca Asemblaj’. Kedua adalah penggunaan bahantara kayu dalam karya ‘Terjebak’ oleh Zuhdi Nusuki, ‘Alun Separa Kembang’ oleh Safwan Ahmad dan  ‘Enjit-Enjit Semut: Siri I’ oleh Rafidah dan Zainuddin. Ketiga adalah penggunaan tanah dalam penghasilan arca seramik seperti  ‘Ikatan Kasih’   oleh Nadiah Mohamed, karya ‘Retrospection and Prodigy: Bubbles Series 5 oleh Mohd Khairi Baharom dan  ‘Asal Kita’ oleh Nurulhuda Mohamed.

 

Karya arca campuran  Ahmad Eruan Adnan boleh dianggap bernafaskan kerohanian ini adalah simbolik kepada Kaabah iaitu lambang kepada agama Islam iaitu bagaimana umat Islam menuju kepada-Nya yang satu. Perjalanan liku kehidupan yang mencabar dalam mencari identiti diri dan pegangan agama walau sejauh mana langkah kita cuba mengelak tetapi akhirnya kita akan pulang dan kembali kepada berpegang kepada kehidupan beragama.

 

Karya yang menggunakan batang kayu semulajadi dan perangkap burung di dalam ‘Terjebak’ oleh Zuhdi Nusuki memperlihatkan aspek produk prop diterokai sepenuhnya di dalam skulptur ini. Pengalaman bertahun sebagai pereka prop untuk iklan komersil digunakan oleh beliau di dalam karya yang bertemakan perangkap. Karya ‘Alun Separa Kembang’ adalah sebuah arca kayu oleh Safwan Ahmad. Kayu adalah bahan kegemarannya yang mula diterokai sejak zaman pengajian di UITM Seri Manjung lagi. Karya ini menonjolkan bentukan bergelung dan berpusar seolah-olah seperti pantai Teluk Batik dan Teluk Rubiah yang dipukul ombak.

 

Karya pasangan suami isteri Rafidah dan Zainuddin  ‘Enjit-Enjit Semut: Siri I’ adalah ilham daripada lagu rakyat yang berbunyi “Enjit-enjit semut siapa sakit naik atas”. Bibit sebuah lagu rakyat merujuk kepada metafora atau kiasan seseorang yang merasa peritnya ditindas. Maka bangkitlah si mangsa mencari penyelesaian kerana tidak siapa dapat merubah kecuali diri sendiri untuk tabah menempuh rintangan kehidupan supaya tidak mudah tewas.

 

Karya seramik instalasi oleh Nadiah Mohamed adalah penggunan serpihan perca kain anak-anak beliau yang diabadikan di dalam bentuk yang paling mentah dimana ia diikat, disampul dengan kasih sayang yang dinamakan oleh beliau sebagai  ‘Ikatan Kasih’ . Karya ‘Asal Kita’ oleh Nurulhuda Mohamed adalah rangkap tentang kejadian manusia iaitu  “Dari tanah kita datang dan dari tanah juga kita pergi”. Begitulah yang boleh dikaitkan dengan karya yang menggunakan tanah liat atau arca seramik ini. Pengkarya dilihat benar-benar mempraktiskan apa yang diperkatakan sebagai ‘medium adalah mesej’.

 

Karya Mohd Khairi Baharom Retrospection and Prodigy: Bubbles Series 5 merupakan sebuah karya refleksi terhadap konsep fenomenologi diri oleh pengkarya pada zaman kanak-kanak yang gembira bermain buih yang dihasilkan dengan formulasi beberapa jenis sabun. Keseronokan pada masa itu melihat buih ini terbang bebas di udara merupakan satu refleksi kepada minda kanak-kanak yang tidak mempedulikan masalah diri dan kehidupan semasa menjadi terapi diri tanpa sedar untuk menjadi positif.

 

Sebuah   perancangan diadakan untuk membawa pameran ini bergerak ke Lembah Klang bagi memberi peluang kepada audien disana  dengan imej karya terbaru telah dirancang. Kumpulan Manjung telah  mengadakan pameran berkumpulan kelima di Galeri Matic yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Bahagian kedua penulisan ini akan menyoroti pameran yang bertajuk ‘Chap Manjong II’.


 

  


Faizal Sidik, 'Chap Manjong: Karya Alam Kumpulan Manjung', Dewan Budaya (Galeri), Bil. 6 / 2023 (Jun), Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur, ms 22-26.