Sabtu, 20 Mac 2021

Ibrahim Hussein 'Langkawira' 1992



Siri Langkawira (edisi terhad)







Ibrahim Hussein (1936-2009)
'Siri Langkawira'
35 cm x 35 cm
Cetakan litografi atas kertas
(Edisi Terhad)
1992


Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein (IHMCF) telah dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri pada masa itu iaitu Dato Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamed pada Jumaat, 11 Disember 1992 di KL Hilton. Semasa pelancaran itu dipertontonkan juga buat pertama kalinya logo IHMCF kepada umum.

Sempena majlis pelancaran pada malam itu Ibrahim Hussein telah menghasilkan sebuah siri karya cetakan litografi atas kertas yang bertajuk ‘Siri Langkawira’ (1992) . Karya ini mempunyai 6 buah karya cetak yang bersaiz 35 cm x 35 cm. Hanya sebuah karya sahaja yang dihasilkan dalam karya ini berwarna dimana 5 karya lagi adalah hitam putih. Karya edisi terhad ini hanya mempunyai 200 edisi cetakan setiap satu.

Karya ini dihasilkan khas oleh Ibrahim Hussein untuk penyumbang-penyumbang dana IHMCF yang turut disampaikan oleh Perdana Menteri. Karya ini juga adalah inspirasi kepada beliau untuk menghasilkan karya-karya  catan seterusnya yang bertemakan Pulau Langkawi antaranya adalah ‘Langkawira’ pada tahun 1993 iaitu sebuah karya  akrilik atas kanvas.


Rujukan: 

Online Catalogue, Henry Butcher Art Auctioneer, Malaysian and Southeast Asian Art Auction, Sunday 23 August 2020. http://hbart.com.my/index.php/component/virtuemart/?page=shop.product_details&flypage=flypage_lite_pdf.tpl&product_id=2979&category_id=24

Ibrahim Hussein Prints- Langkawi Series - A/P 1992 , http://wlframeandart.blogspot.com/2020/08/ibrahim-hussein-prints-langkawi-series.html




 

Ibrahim Hussein 'Langkawira' 1993


Ibrahim Hussein (1936-2009)
'Langkawira'
198.5 cm x 275 cm
Akrilik atas kanvas
1993
'Langkawira' adalah tajuk yang diberikan oleh Ibrahim Hussein dalam memberi penghormatan Pulau Langkawi sebagai sebuah pulau lagenda yang menjadi destinasi pelancongan antarabangsa. Langkawi adalah gabungan 2 perkataan bahasa Sanskrit yang bermaksud Langka (keindahan) dan Wi (tidak terkira). 'Langkawira' adalah catan lanskap abstrak oleh pelukis manifestasi terhadap keindahan luar biasa Pulau Langkawi yang bukan sahaja kaya dengan kecantikan pantai putih yang dikelilingi air laut yang membiru tetapi juga kisah-kisah mitos kepahlawanan dan keperwiraan silam. Karya ini merupakan salah satu karya yang dihasilkan bagi mengumpul dana bagi pembinaan Ibrahim Hussein Museum and Cultural Foundation (IHMCF).
*Ibrahim Hussein dilahirkan di Kg, Limau Yan, Kedah pada 13 Mac 1936 dan meninggal di Bukit Pantai, Kuala Lumpur pada 19 Februari 2009 pada usia 72 tahun. Pada 19 Februari 2021 genaplah 13 tahun beliau meninggalkan kita . Al-Fatihah


 

Selasa, 16 Mac 2021

ARKIB: Arkiban Ibrahim Hussein (Kenangan Kolektif Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein)

 


Oleh: Faizal Sidik

Analogi yang boleh dibuat jika ada yang menanyakan siapakah nama pelukis besar Malaysia, jika tidak nama Ibrahim Hussein pasti Latiff Mohidin akan ditimbulkan. Kedua-dua mereka ini adalah merupakan gergasi atau ‘gaint’ dalam saingan seni lukis negara sejak 1960 an lagi. Namun apa yang membezakan mereka adalah Latiff Mohidin mendapat didikan formal di Berlin manakala Ibrahim Hussein (Ib) di London. Di Jerman Latiff didedahkan dengan gerakan Ekspressionisme manakala di UK pula Ib terpesona dengan sentuhan Seni Pop. Dari segi personaliti pula Lafiff agak senang bersendiri manakala Ib pula agak keramaian penampilannya. Perbezaan dua karakter yang ketara ini pernah mewarnai seni lukis Malaysia sejak 50 tahun dahulu  dengan Latif Mohidin terkenal dengan karya mahsyur ‘Pago-Pago’ (1964)  dan Ibrahim Hussein pula unggul dengan ‘Ayah dan Angkasawan (1970). Walau bagaimanapun Ib telah pergi terlebih dahulu meninggalkan kita pada 19 Februari tahun 2009.

Ibrahim Hussein dilahirkan di Kg Limau, Yan, Kedah pada tahun 13 Mac 1936. Ib boleh dianggap sebagai pelukis selibriti. Sebagai pelukis selibriti Ib bukan sahaja sering didampingi oleh selibriti seni yang lain tetapi juga ahli-ahli politik berpengaruh. Secara sepintas lalu mengimbau perjalanan karier  Ibrahim Hussein sebagai pelukis bolehlah ditinjau daripada beliau menerima didikan formal  sehinggalah pencapaian penting bukan sahaja anugerah dan gelaran tetapi dengan terbina Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein. Peralihan ini boleh dibahagi kepada kepada 5 fasa perjalanan iaitu daripada tahun 1950 an sehingalah 2000 an .

Fasa pertama adalah pada era 1950 an adalah zaman pembentukan awal Ib sebagai pelukis di Singapura. Fasa kedua pada tahun 1960 an adalah zaman Ib melanjutkan pelajaran di UK dan kembaraan beliau di US dimana beliau menghabiskan masa selama hampir satu dekad di luar negara dengan mempraktiskan teknik ‘printage’ Seni Pop. Fasa ketiga adalah pada tahun 1970 an apabila Ib kembali ke tanahair dan bergiat aktif dalam lanskap seni lukis tempatan. Fasa keempat pada tahun 1980 an beliau mula meneroka teknik garisan-garisan alun dengan cat dakwat. Fasa kelima pada tahun 1990 an adalah tahun-tahun dimana idea penubuhan muzium ini difikirkan serta pengumpulan dana dan sokongan mula dilakukan. Fasa ke enam adalah pada tahun 2000 an dimana muzium dan yayasan seni ini beroperasi. Tempoh ini juga adalah fasa akhir karier Ibrahim Hussein.

Pameran khas sempena menyambut ulangtahun ke-85 Ib ini iaitu ‘ARKIB: Kenangan Kolektif Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein’ ini menghimpunkan himpunan keratan-keratan akhbar dan dokumen-dokumen penubuhan muzium ini. Selain itu foto-foto memori pengunjung seperti orang awam, pelukis, rakan karib Ibrahim Hussein yang pernah turut serta melawat muzium ini, foto-foto kenangan ini turut diabadikan dalam media sosial misalnya seperti Facebook dan Instagram dengan tanda palang #ibrahimhusseinlangkawi adalah bagaimana cara kita dalam kehidupan norma baru pandemik ini berkongsi kenangan pernah bersama beliau sebelum ini untuk ditatap di dalam galeri dan secara maya.

Bahan-bahan arkib yang dihimpun oleh Pusat Rujukan Seni Asia Tenggara atau PUSAT ini diharap bukan sahaja  dapat  memperkayakan lagi khazanah bahan rujukan mengenai Ibrahim Hussein sebagai tokoh seni penting negara malah dapat menvisualkan dengan dekat dan lebih jelas lagi mengenai  Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein sebagai sebuah hab kesenian serantau yang pernah wujud  pada suatu ketika dahulu.

Isnin, 15 Mac 2021

BMS Serlah Bakat Pelukis Muda


Oleh: Faizal Sidik

Faizal Sidik, 'BMS Serlah Bakat Pelukis Muda', Berita Mingguan, Ahad 21 Mac 2021, ms 39.



“Jika anda ingin melihat generasi pelukis masa akan datang, lihatlah apa yang anda hasilkan pada hari ini”. Mungkin itulah simbol atau penanda aras dan indikator dalam melihat prestasi pelukis muda Malaysia masa kini dengan  penganugerahan Bakat Muda Sezaman. Anugerah seni Bakat Muda Sezaman atau lebih dikenali dengan BMS adalah sebuah anugerah galakan seni yang mula dianjurkan sejak tahun 1974. Pertandingan secara tahunan dan kini dwi-tahunan ini adalah pertandingan seni peringkat kebangsaan adalah satu pengiktirafan badan seni nasional Balai Seni Negara dalam merintis bakat-bakat baru seni lukis negara.

 

Keprihatinan Balai Seni Negara dalam mempromosikan dan mencungkil potensi bakat muda di negara ini dibuktikan dengan  47 tahun usia penganjurannya pada tahun ini. Kesungguhan yang ditunjukkan 47 tahun penganjurannya pada tahun ini seharusnya diberi pujian. Minat dan perhatian Balai Seni Negara tunjukkan dalam pengembangan bakat muda ini mungkin sukar untuk ditandingi oleh pentadbir utama seni lukis negara jiran misalnya Singapore Art Museum atau Galeri Nasional Indonesia. BMS boleh dikatakan sebuah pameran dan anugerah seni yang tertua bukan sahaja di rantau ini malah juga di Asia dalam menghasilkan pelukis-pelukis utama dalam pergerakan seni lukis Malaysia pada hari ini.

 

Meninjau sepintas lalu pemulaan anugerah ini diwujudkan pada tahun 70 an adalah tempoh masa penganjur membentuk format pertandingan. Pada awalnya penyertaan adalah secara tertutup iaitu melalui jemputan. Seramai 13 artis muda yang berkaliber pada sekitar tahun itu diberi peluang untuk menghantar karya mereka namun hanya separuh atau  tujuh artis sahaja yang mengesahkan penyertaan mereka. Penyertaan kemudiannya dibuka kepada semua bagi memberi peluang lebih banyak lagi pelukis-pelukis muda dalam mencari platform dalam mengembangkan karier mereka selepas keluar daripada latihan formal di akademi dan institusi seni. Gerakan gaya seni lukis antarabangsa atau Internationl Style begitu mendominasi dalam penyertaan peluks.

 

Pada tahun 80 an memperlihatkan ruang yang disediakan oleh Balai Seni Negara dalam menyemai semangat persaingan dalam meningkatkan lagi penghasilan karya-karya berkualiti oleh pelukis muda ini semakin mendapat tempat. Perihal ini dapat disaksikan daripada jumlah penyertaan yang semakin meningkat yang diterima bukan sahaja daripada graduan pelajar institut pengajian tinggi tetapi juga pelukis-pelukis muda yang sedang meningkat naik. Manifestasi saranan Kongres Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1974) dengan penambahbaikan dasar itu menerusi Seminar Akar-Akar Peribumi (1979) dapat dilihat jelas dalam pengkaryaan pelukis muda dalam menerapkan intipati kebudayaan serantau dalam pengkaryaan pada tahun-tahun ini

 

BMS semakin diminati dan ditunggu-tunggu oleh kalangan pelukis muda dalam mempertaruhkan idea dan kreativiti mereka sekitar tahun 90 an. Menyedari pelukis muda sebagai aset penting terhadap masa hadapan seni lukis Malaysia, Balai Seni Negara bukan sahaja menaikkan hadiah pemenang malah menawarkan hadiah perjalanan ke luar negara bagi pelukis muda memperluaskan pengalaman dan idea pengkaryaan mereka. Di akhir dekad ini diadakan pameran Imbasan Bakat Muda Sezaman, pameran bercorak retrospektif ulangtahun ke-25 penganjuran BMS ini meninjau semula karya-karya pemenang  dan sejauhmanakah perkembangan pengkaryaan mereka pada hari ini. Hal ini bukan sahaja menunjukkan keprihatinan kerajaan menerusi Balai Seni Negara sebagai urus setia pertandingan ini malah badan ini sentiasa ingin melihat prestasi pelukis-pelukis muda ini terus menerus dipantau, diperhati dan diraikan.

 

Tahun 2000 an menyaksikan dunia seni memasuki satu mellenium baru, sistem komunikasi manusia semakin maju dan semakin laju. Kemunculan internet menjaringkan dan menghubungkan manusia dalam satu lebuhraya maklumat yang boleh dicapai secara maya dengan pantas. Begitu juga dengan kedinamikan BMS yang sentiasa inginkan kesegaran mengikut peredaran maklumat dan teknologi sezaman. Perubahan format pertandingan dengan membuka ruang seluasnya kepada karya-karya medium baru atau karya berasaskan ruang dan waktu (time-based media) untuk dipertandingkan menunjukkan keterbukaan BMS yang anjal terhadap perubahan dan cabaran dalam merentasi zaman.

 

Walaupun bagaimanapun BMS hanyalah satu platform atau pentas dalam mempromosikan pelukis muda. Usaha dalam melihat pelukis-pelukis muda ini terus aktif dan mengharungi cabaran seterusnya perlu  dimainkan bukan sahaja oleh Balai Seni Negara dalam membangunkan karier mereka tetapi juga oleh galeri, pengumpul dan badan korporat. Galeri seni terutamanya galeri baru harus memberi kepercayaan kepada pelukis muda ini diserap masuk menjadi pelukis yang direpresentasi oleh mereka selama beberapa tahun. Dengan cari ini pelukis-pelukis ini dapat secara berterusan menonjokan kreativiti mereka melalui program-program galeri samada pameran solo, berkumpulan, komisen atau projek seni.

 

Bagi pengumpul seni, peranan yang dimainkan oleh mereka  dengan membantu membeli karya-karya pelukis muda samada di galeri dan studio yang mempunyai potensi untuk pergi jauh dapat membantu mereka untuk terus produktif menghasilkan karya dan meneruskan kelangsungan. Perolehan daripada kolektor ini juga penting dalam mengekalkan tempat mereka untuk terus berada dalam radar lanskap seni dalam meniti kemaraan. Badan-badan korporat sebagai patron atau penaung pula boleh menghulurkan sama tangan dengan menawarkan geran, dana atau penajaan bagi pelukis muda ini  melebarkan sayap mereka untuk beraksi mengadakan bukan sahaja pameran tempatan tetapi juga serantau dan ke peringkat antarabangsa.

 

Kesimpulannya, BMS boleh dianggap sebagai katalis dalam perkembangan seni lukis Malaysia hari ini. BMS juga boleh dijadikan juga sebagai dokumen visual dalam merakam sosio-budaya, ekonomi dan geo-politik negara kita. Pengiktirafan seperti anugerah seperti ini bukanlah segala-galanya, anugerah ini boleh dijadikan sebagai pemangkin tetapi daya usaha secara berterusan oleh pelukis-pelukis muda inilah yang mampu membuka lorong kepada mereka untuk melakar kejayaan demi kejayaan dalam perjalanan karier mereka di masa hadapan.

 

 

 

 

 

 

Selasa, 2 Februari 2021

Pameran Fotografi ‘Semasa di Mara dan Columbia’ Sebuah Rakaman Perjalanan Mansor Puteh ke kota New York

Oleh: Faizal Sidik



Mansor Puteh adalah merupakan pengarah, penulis dan pengkritik filem. Dilahirkan pada 7 Oktober 1953 di Melaka, beliau mendapat pendidikan awal di St. Francis Institution di Jalan Bandar Hilir kini Jalan Parameswara. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam di kolej swasta iaitu Malaysian Tutorial Collage di Petaling Jaya sebelum menyambung pelajaran di ITM pada tahun 1974 sehingga 1977.

Di Institut Teknologi Mara atau ITM, Mansor Puteh mengikuti pembelajaran dalam bidang komunikasi massa. Pada 1977 beliau telah mendapat tempat untuk menyambung pelajarannya di peringkat sarjana dalam bidang pengarahan filem di Columbia University di Bandaraya New York, Amerika Syarikat untuk sesi kemasukan musim luruh.

Namun permohonan biasiswa penuh daripada Majlis Amanah Rakyat atau MARA oleh Mansor Puteh untuk menyambung pengajian itu tidak diluluskan dan memaksa beliau untuk bekerja sebagai pemberita di Utusan Melayu pada ketika itu sebagai jurnalis, iaitu sebaik sahaja beliau menamatkan pengajian dari ITM, iaitu di tempat dimana beliau pernah membuat latihan amali selama setahun sebelum itu..

Selepas selama setahun beliau  bekerja di Utusan Melayu kini Utusan Malaysia, Mansor Puteh akhirnya diberi pinjaman pelajaran MARA untuk membolehkan beliau diterima kembali mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Seni Halus  Pengarahan Filem di University Columbia, New York yang menjadi impian beliau selama ini pada 1978 hingga 1982.

Pameran ‘Semasa di Mara dan Columbia’ ini adalah rakaman visual perjalanan Mansor Puteh berkelana hampir 10 tahun dari Shah Alam ke  New York menerusi lensa fotografi. Sebanyak lebih 80 buah fotografi dan 40 buah lakaran terpilih dalam pameran ini yang mendokumentasikan beliau sebagai pelajar Institut Teknologi Mara dan University Columbia.

Pameran yang diadakan daripada 13 Disember 2020 hingga 13 Januari 2021 di Balai Seni Negara Langkawi ini dikuratorkan oleh Faizal Sidik ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama memperlihatkan 60 buah karya iatu 20 lakaran dan 40 fotografi yang dipamerkan di aras bawah galeri. Lakaran-lakaran dakwat atas kertas ini dilukis secara spontan oleh beliau semasa menuntut di ITM.

Antara subjek-subjek lakaran ini adalah lanskap dan seni bina kampus, ruang dalaman bilik kuliah sehinggalah subjek yang agak peribadi seperti ruang dalaman dan perabot bilik asrama seperti katil, almari dan meja belajar. Lakaran-lakaran secara bersahaja Mansor ini mengingatkan bukan sahaja bekas-bekas pelajar yang belajar di ITM tetapi mengimbau semula memori silam pelajar yang pernah tinggal asrama-asrama disekitar kampus. Ini adalah kerana suasana dan keadaan di dalam asrama pada ketika dahulu tidak jauh bezanya apa yang mereka alami pada hari ini.

Sebanyak 40 buah fotografi yang terpilih dalam pemeran ini adalah gambar foto yang dicetak di atas kertas akhbar atau ‘newsprint’. Gambar hitam putih oleh Mansor Puteh atas permukaan ini seolah-olah kita sedang melihat foto yang berada di dada-dada akhbar harian pada tahun 1970an dan 80an. Pengalaman beliau menjadi pemberita akhbar Utusan Melayu sebelum inir di sangat dekat dalam mencetuskan  penggunaan permukaan ini. Penggunaan bahan ini seakan-akan ingin memberitahu keakraban dunia tekstual dengan dunia visual  sebagai suatu yang tidak boleh dipisahkan. Beliau seolah -olah cuba berkata teks tanpa imej adalah buta manakala imej tanpa teks adalah bisu.

 

Dalam bahagian ini kurator dalam pameran menyusun foto mengikut kronologi misalnya foto-foto dimulakan dengan gambar-gambar perjalanan awal beliau diterima masuk ITM Shah Alam, suasana bilik kuliah, bilik asrama. Beliau dan rakan sempat menemuramah Sudirman Haji Arshad yang pada masa itu sedang mengikuti  Pengajian Undang-Undang di Universiti Malaya. Foto ini mungkin adalah merupakan foto awal Allahyarham terlibat dalam dunia hiburan menerusi lakonan iaitu filem ‘Kami’  yang diarahkan oleh Patrick Yeoh.

 

Di aras satu Balai Seni Langkawi pula menempatkan bahagian kedua koleksi fotografi Mansor Puteh berada di Columbia University di New York. Kurator telah memilih 60 buah karya juga di sini. Dengn meletakkan sebuah karya kolaj besar di awal ruang ini dengan pemandangan bandaraya ini semasa beliau mula berada di sini pada tahun. Pameran sebagaimana awal dimulakan dengan 20 buah himpunan sketsa-sketsa seperti lanskap seni bina bangunan University Columbia, suasana rumah sewa dan .

Ruang ini juga mempamerkan 40 karya fotografi semasa menuntut di sini antara tahun 1979 sehingga 1982 antaranya kawasan kampus, lokasi utama pelawat seperti World Trade Center yang kini telah tiada lagi. Sepanjang empat tahun di bumi asing Mansor bukan sahaja hanya berada di suatu tempat malah kesempatan yang ada beliau telah banyak melakukan perjalanan merentas negeri di dalam Amerika Syarikat dalam merakam gambar-gambar jalanan, resit-resit perjalanan, monumen dan arca awam sehinggalah setem tokoh penting Amerika.

Bahagian akhir pameran di aras ini ditutup dengan menempatkan gambar tokoh iaitu potret 7 perdana menteri Malaysia yang pertama sehinggalah terkini dengan cetakan kertas akhbar. Sebuah filem dokumentari berdurasi 48 minit yang bertajuk ‘Bertahun di Residensi’ atau ‘The Residency Years’ iaitu  dokumentari biografi ketokohan dan perjalanan hidup Perdana Menteri Pertama Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Hajj turut dimainkan sebagai karya video dalam pameran ini

Pameran ‘Mara dan Masa di Columbia’ boleh dikatakan sebagai karya awal Mansor Puteh. Tempoh masa 1974 hingga 1982 boleh saya sifatkan sebagai zaman pembentukan kesenimanannya iaitu di era Mansor Puteh mendapat didikan filem secara formal. Peralihan daripada pengajian media yang umum kepada satu pilihan yang lebih khusus menerusi pengarahan filem. Fotografi yang dihasilkan oleh Mansor pada tahun-tahun ini adalah satu latihan visual  terhadapat ciri-ciri di dalam filem seperti seni mencipta adegan (mis-en scene), sinematik dan tona cahaya

Saya juga mengesan foto-foto yang dirakam oleh beliau mempunyai pengaruh dalam filem-filem noir iaitu filem berlatarbelakangkan hitam putih yang juga dikenali sebagai  genre filem gelap atau filem kelam seperti dalam penghaslilan filem misteri dan ditektif atau penyiasatan pada sekitar tahun 1940 hingga 1950 an. Lensa kamera Mansor juga dilihat liar tetapi terkawal seperti garila yang sedang menghendap dalam mendapatkan kesan dramatik dalam setiap tangkapan.

 

 




Faizal Sidik, 'Semasa Mara dan Columbia: Sebuah Rakaman Perjalanan Mansor Puteh ke Kota New York', Dewan Budaya, Bil 2 Februari 2021, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur ms 62-64.





 

 

 

Rabu, 6 Januari 2021

MINTA PERHATIAN: INSTALASI KOLEKSI BALAI SENI NEGARA


13 Septermber 2018 – 8 April 2019










Pengkaryaan pemasangan atau instalasi dalam seni kontemporari Malaysia bermula disekitar akhir tahun enam puluhan dan awal tujuh puluhan iaitu pada masa pergerakan aliran seni moden di Barat berkembang dengan pantas. Aliran-aliran pemikiran ini dibawa bersama-sama ke dalam dalam seni, seni bina, seni grafik, seni reka dalaman, seni reka industri dan tipografi dalam membina satu pandangan yang lebih analisis dan konstruktif dalam menolak konvensi atau aturan sebelumnya. Aspirasi ini diganti dengan idea berkenaan masa dan ruang yang bertujuan sedaya upaya untuk mendekatkan penghayat dengan karya.

Instalasi Koleksi Balai Seni negara ini adalah karya-karya pilihan selama enam dekad yang cukup signifikan dalam pengkoleksian institusi seni ini bagi menyelusuri dan meneroka kemunculannya sebagai sebahagian daripada  reaksi penentangan terhadap formalisme terhadap kewujudan objek, konteks, dan isi dalam mendefinasikan semula apakah itu seni.

Selasa, 15 September 2020

Siri Lok

 

Oleh: Faizal Sidik

 


Pengenalan

Perhubungan antara tradisi dengan moden yang dibawa seni arca adalah salah satu manifestasi seni tiga dimensi yang bermain dengan ruang sebenar, penglihatan secara langsung dan membangkitkan sentuhan. Balai Seni Negara sejak awal penubuhannya telah  memasyarakatkan  karya-karya seni arca menerusi pameran dari dalam dan luar negari seperti ‘5 Singapore Sculptor’ (1968), ‘Henry Moore’ (1968), ‘Rodin and His Contemporary’ (1969), ‘Seni Ukir Tradisi Melayu’ (1971), ’45 Arcawan dari Amerika’(1974), ‘Seni Arca Moden di Malaysia’ (1976), Ramlan Abdullah: Anugerah Seni Zain Azraai (2001), ‘Nafas:Raja Shahriman Raja Aziddin’ dan ‘Chin Wan Kee: Sculpturing Is Meditative’ (2017).

Pada tahun 2019 sebanyak 3 buah pameran arca lagi dianjurkan oleh Balai Seni Negara misalnya pameran ‘Aznan Omar: Manusia dan Gajet’, ‘Minta Perhatian: Arca Koleksi Balai Seni Negara’  dan pameran ‘International Marble Art Camp  (IMAC)’ yang telah diadakan di Balai Seni Negara Langkawi sempena Pulau Langkawi sebagai tapak taman geologi warisan dunia.

Raja Shahriman Raja Aziddin

Pengarca pertengahan karier iaitu Raja Shahriman Raja Aziddin bukanlah seniman asing di dalam lanskap seni visual Malaysia. Kini beliau hadir dengan karya-karya terkini dalam siri baru yang diberi nama Lok. Pameran ini merupakan sebuah pameran solo beliau yang ke-9 sepanjang 30 tahun berkarier sebagai pengarca sepenuh masa. Pameran terbaru ini dibawa oleh  geleri Pelita Hati sebagai penganjur bersama dalam program rakan strategik yang dinamakan sebagai inisiatif swasta dalam membawa dan berkongsi pameran ini diadakan di Galeri 2B, Balai Seni Negara pada 2 Disember 2019 sehingga 26 Mac 2020.

Arcawan Raja Shahriman Raja Aziddin (lahir 1967, Kuala Kangsar) adalah antara seniman yang masih berdiri teguh dalam menghasilkan karya arca besi di Malaysia. Graduan Seni Halus (1986-1990) pengkhususan Seni Arca daripada Universiti Teknologi Mara ini terus mara dalam menghasilkan arca-arca  yang berakar dan beridentitikan kebudayaan Melayu nusantara.

Perjalanan seni arca besi beliau bolehlah dibahagikan kepada tiga evolusi perjalanan iaitu dekad penerokaan dari awal hingga akhir 1990 an  yang menyaksikan kekuatan gerak tenaga seperti siri ‘Killing Tools’ (1994), ‘Gerak Tempur’ (1996), ‘Api, Bayang dan Kemenyan’ (1998).  Dekad peralihan pula daripada 2000 an hingga 2009 memperlihatkan kepaduan bentukan dengan siri ‘Semangat Besi’ (2001), ‘Nafas’ (2004),  ‘Rhythm of 21 Century’ (2009). Manakala dekad pengukuhan daripada 2010 hingga 2019 menterjemahkan penguasaan subjek dengan siri seperti ‘Kemelut Zaman’ (2012), ‘Gembala Mana ‘O’ Si Gembala’ (2014) dan terkini siri ‘Lok’ (2019)

Karya Siri Lok

Karya mutakhir yang dihasilkan sejak 2016 memperlihatkan keasyikkan beliau terhadap dua perkara yang menjadi bahasa  beliau dalam mengarca iaitu bentuk tubuh badan dan keris. Dalam siri Lok ini yang mengambil hampir tiga tahun untuk disiapkan Raja Shahriman seakan-akan mencurahkan segala kudrat yang ada ke atas siri ini. Ia seperti suatu ilham keindahan yang telah lama disimpan di dalam fikiran dan imaginasi itu kini diterjemahkan oleh beliau dalam ruang dan bentuk.

Dalam karya Lok ini beliau hadir dengan lakaran-lakaran kajian, 10 buah lukisan dan 25 buah arca torso penjelmaan karya yang beragam bentuk dan beraneka rupa. Berinspirasikan daripada lekuk pada keris sebagai metafora cabaran hidup yang dihadapi dalam beragam bentuk dan rintangan yang datang dalam beraneka rupa sebagai ujian yang diharungi manusia zaman sekarang. Antara karya-karya dalam pameran ini adalah seperti Lok 99 Pohon Lok, Lok 3 Menjulang Kerawang, Lok 5 Ribut Membadai, Lok 5 Genta Pancung Tak Bertanya, Lok 45 Guris Panglima dan Lok 4 Kilat Menyambar.

Lok 99 Pohon Lok ini merangkumi keseluruhan siri lok pameran ini. Setiap 24 arca ini dalam ruang ini mewakili kepada 24 jam dalam sehari, maknanya setiap saat kita menerima ujian, atau  manusia dalam 24 jam sehari tidak terlepas darinya kerana ujian berlaku setiap masa. Sebanyak 24 buah arca dalam ruang ini dan arca ini adalah induknnya iaitu yang ke 25 sebagai rumusannya. Kita dapat lihat berbagai-bagai bentuk lok  dalam sebuah arca induk ini dimana pada puncak arca ini mempunyai 13 bilah keris dengan ragam lok yang pelbagai rupa, ia mempunyai kaitan dengan 13 rukun yang dijunjung iaitu Rukun Agama (rukun, iman, rukun Islam dan rukun ehsan.) Rukun Iman 6 perkara, Rukun Islam 5 perkara dan Rukun Ehsan 2 perkara. Bilangan 13 ini dinamakan Rukun Agama yang dijunjung dan dibawa sebagai satu pegangan.

Walau bagaimanapun ada satu lok yang bengkok ke bawah dimana pengarca mahu mengatakan pada masa untuk menjunjungkan rukun ini ada yang terjatuh kerana manusia tidak sempurna dan mempunyai kelemahan. Dalam kata lain manusia ini banyak kekurangan atau kemampuan dalam menegakkan yang 13 rukun tadi. Bentuk keris yang tegak ke puncak pula mewakili 99 tauhid Hasma Al-Husna iaitu Tuhan yang Satu.

Lok 3 Menjulang Kerawang ini juga adalah merupakan salah satu simbol dalam alam Melayu yang digunakan sebagai satu motif di dalam kesenian Melayu. Kerawang ini membawa maksud keawang-awang iaitu satu keadaan tumbuh-tumbuhan yang dijadikan melilit dan menaik keatas. Arca ini menceritakan keawang-awangan iaitu satu tempat yang tinggi yang merupakan juga salah satu dari konsep tauhid. Menjulang Kerewang ini ingin pergi ke suatu tempat yang tinggi yang bermotifkan ukiran kesenian Melayu. Arca Lok 5 Ribut Membadai ini pengarca mengambil bentuk alunan keris dalam menunjukkan kekuatan angin dan juga gelombang ombak. Arca ini juga seperti tiupan angin yang sedang meniup memataforakan kata-kata mengharungi cabaran seperti ribut, gelora, badai sebagai suatu cabaran-cabaran dalam kehidupan.

Lok 5 Genta Pancung Tak Bertanya pula diinspirasikan daripada senjata sundang iaitu alat untuk memotong dan menebas. Dalam bentuk keris ada yang berlok dan ada yang tegak. Pengarca mengambil ‘Genta Pancung Tidak Bertanya’ iaitu adalah sempena satu gelaran kepada seseorang yang telah diberi kuasa oleh Sultan dahulukala di Perak. Gelaran ‘Genta Pancung Tidak Bertanya’ adalah kerana orang berkenaan mengerti atas hukum hakam dimana Sultan telah memberi keizinan dalam menjatuhkan hukuman kerana tinggi ilmunya dalam hukum agama dan mengerti dalam membuat keputusan dan menggunakan sundang sebagai alat memancung.

Lok 45 Guris Panglima dikaitkan dengan suatu amalan dalam  kata lain bentuk lok yang yang banyak ini suatu yang membahayakan orang yang bertentang dengannya. Guris Panglima berkarekter seperti seorang panglima iaitu status kepanglimaan seseorang itu, semakin banyak lok maka semakin kuat atau berat ujian yang ditanggung. Lok yang  banyak dalam karya ini mengambarkan cabaran yang dihadapinya. Lok 4 Kilat Menyambar adalah adalah suatu keadaan yang pantas dan membahayakan. Pengarca menggunakan situasi itu dalam bilah keris arca ini seperti bentuk kilat. Pengarca juga ingin mengambarkan bahawa kilat menyambar adalah kejadian alam yang digeruni dan ditakuti.

Tahniah kepada pengarca dan kumpulan kuratorial yang menjayakan pameran solo ‘Lok: Raja Shahriman Raja Aziddin’. Semoga pameran arca yang berteraskan kesenian dan kebudayaan tradisional Alam Melayu ini terus subur berkembang dan menjadi tema pilihan kepada seniman kita di masa akan datang.