Khamis, 28 November 2019

Faizal Sidik : Songket Painting, Balai Seni Negeri Kedah


'Faizal Sidik: Catan Songket', 
Balai Seni Negeri Kedah, Alor Setar
3 Nov - 4 Dis 2019

Curator Notes: Lok Series - Raja Shahriman Raja Aziddin


Raja Shahriman Raja Aziddin (b. 1967, Kuala Kangsar) is one of the sculptors who is still standing strong in producing sculpture work in Malaysia. A Fine Art graduate (1986-1990) specialised in Sculpture from Universiti Teknologi Mara is moving forward in producing sculpture with the root and identity of Malay culture.

His sculpture can be divided into three evolution journeys; the decade of exploration from the early to end of 1990s which witnesses the energy movement strength such as ‘Killing Tools’ series (1994), ‘Gerak Tempur’ (1996), ‘Api, Bayang dan Kemenyan’ (1998). The transition decade was from 2000 to 2009; reveals the formation unity with ‘Semangat Besi’ series (2001), ‘Nafas’ (2004), ‘Rhythm of 21st Century’ (2009). Meanwhile the strengthening decade from 2010 to 2019 translates the subject mastery with ‘Kemelut Zaman’ series (2012), ‘Gembala Mana ‘O’ Si Gembala’ series (2014) the recent is ‘Lok’ series (2019).

The latest work which was produced since 2016 witnesses his preoccupation towards two things that becomes his language in sculpturing, namely body figure and kris. In ‘Lok’ series which took three years to complete, Raja Shahriman seems to pour all of his energy to this series. It is like a beauty inspiration that is long kept in mind and now the imagination is translated into space and form.

In ‘Lok’, he presents 25 torso sculptures embodiment with various kinds of forms and figures. Inspired by the twist at the kris as the life challenge metaphor which is faced in various forms and obstacles that come in various figures as the challenge faced by the current people.

Curator
Faizal Sidik

Nota Kurator: Siri Lok - Raja Shahriman Raja Aziddin


Arcawan Raja Shahriman Raja Aziddin (lahir 1967, Kuala Kangsar) adalah antara seniman yang masih berdiri teguh dalam menghasilkan karya arca di Malaysia. Graduan Seni Halus (1986-1990) pengkhususan Seni Arca daripada Universiti Teknologi Mara ini terus mara dalam menghasilkan arca-arca  yang berakar dan beridentitikan kebudayaan Melayu nusantara.

Pengarcaan beliau bolehlah dibahagikan kepada tiga evolusi perjalanan iaitu dekad penerokaan dari awal hingga akhir 1990 an  yang menyaksikan kekuatan gerak tenaga seperti siri Killing Tools (1994), Gerak Tempur (1996), Api, Bayang dan Kemenyan (1998).  Dekad peralihan pula daripada 2000 an hingga 2009 memperlihatkan kepaduan bentukan dengan siri Semangat Besi (2001), Nafas (2004),  Rhythm of 21 Century (2009). Manakala dekad pengukuhan daripada 2010 hingga 2019 menterjemahkan penguasaan subjek dengan siri seperti Kemelut Zaman (2012), Gembala Mana ‘O’ Si Gembala (2014) dan terkini siri Lok (2019)

Karya mutakhir yang dihasilkan sejak 2016 memperlihatkan keasyikkan beliau terhadap dua perkara yang menjadi bahasa  beliau dalam mengarca iaitu bentuk tubuh badan dan keris. Dalam siri Lok ini yang mengambil hampir tiga tahun untuk disiapkan Raja Shahriman seakan-akan mencurahkan segala kudrat yang ada ke atas siri ini. Ia seperti suatu ilham keindahan yang telah lama disimpan di dalam fikiran dan imaginasi itu kini diterjemahkan oleh beliau dalam ruang dan bentuk.

Dalam karya Lok ini beliau hadir dengan 25 buah arca torso penjelmaan karya yang beragam bentuk dan beraneka rupa. Berinspirasikan daripada lekuk pada keris sebagai metafora cabaran hidup yang dihadapi dalam beragam bentuk dan rintangan yang datang dalam beraneka rupa sebagai ujian yang diharungi manusia zaman sekarang.


Kurator

Faizal Sidik






Rabu, 13 November 2019

30 Tahun ‘4 Persepsi’: 1989-2019




Oleh: Faizal Sidik

Pengenalan
Mengimbau 30 tahun dahulu iaitu pada 15 hingga 30 Mei 1989 sebuah pameran berkumpulan  yang bertajuk ‘4 Persepsi: Bicara Makna’ telah diadakan di Pusat Kreatif, Balai Seni yang menghimpun karya Hasnul Jamal Saidon, Fauzin Mustafa, Taufik Abdullah dan Mohd Noor Mahmud. Menatap semula katalog pameran itu yang direka bentuk oleh Fauzin Mustafa dan reka letak komputer oleh Hasnul Jamal Saidun dengan bantuan komputer model Commodore Amiga 2000 seolah-olah katalog pameran ini saya boleh katakan mungkin berinspirasikan daripada pameran solo ‘Digital Collage’ (1988) oleh Ismail Zain sebagai salah seorang guru seni mereka. Penghargaan juga mereka berikan ke atas Kamarulzaman Md Isa atas bimbingan dalam penggunaan komputer yang mungkin agak baru kepada mereka pada masa itu.

Meneliti kandungan dalamnya dengan kata aluan ‘Center Stage’ oleh Normah Nordin, esei pengenalan pameran oleh Hasnul Jamal Saidon (Hasnul mengulanginya lagi dalam katalog pameran ini) penulis yang dijemput seperti Ismail Zain dengan esei ‘Modenisma dan Tekanan Kritikan Diri’ dan Fauzan Omar dengan esei ‘Bahan’ adalah penghormatan kepada tok guru mereka semasa mendalami ilmu seni Insitut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam dan rumah produksi teater ‘Center Stage’, Bangsar dalam menyokong pengkaryaan awal 4 Persepsi ini.

4 Persepsi Kembali
Jika anda meminati filem-filem bersiri ciptaan sutradara Hollywood seperti Superman ReturnBatman ReturnSpiderman Return dan pelbagai lagi adiwira-adiwira penyelamat dunia, mungkin kata ‘return’ atau ‘kembali’ itu ingin membawa suatu kesinambungan, lama kepada baru, cerita dahulu kepada sekarang atau juga mahu mengembalikan kenangan silam dalam konteks hari ini yang lebih segar dan sezaman alaminya. Dalam pameran 4 Persepsi ini empat sahabat lama yang sama, berkumpul semula pada hujung tahun 2009 yang sama dan ruang galeri yang sama di Pusat Kreatif, Balai Seni Negara kembali dalam menyatakan bahawa mereka masih bersama setelah 30 tahun terlibat dalam lanskap seni negara samada menjadi pelukis, kurator, penulis, pereka dan pendidik.

Hasnul Jamal Saidon (1965, Teluk Intan, Perak) selain menjadi pendidik pada awalnya di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), kemudian di Kolej Cenfad  dan kini di Pusat Seni Universiti Sains Malaysia (USM). Sejak pameran Digital Collage oleh Ismail Zain pada tahun 1980 an oleh gurunya Pak Mail  banyak memberi kesan terhadap pengkaryaannya selepas itu. Selepas pulang dari Rensselaer Polytechnic Institute, Troy, New York dalam bidang seni elektronik beliau telah meneruskan laluan-laluan yang telah dibuka  oleh Pak Mail. Pameran Seni Elektronik Pertama (PSEP) pada tahun 1999 yang diadakan di Balai Seni Negara semasa beliau mengajar di Unimas boleh dikatakan adalah antara usaha penggunaan awal alatan elektronik yang agak asing oleh pelukis di Malaysia pada masa itu. Pameran PSEP telah memberikan impak yang cukup besar terhadap pengkaryaan seni di Malaysia terutamanya pelukis-pelukis muda yang lebih terdedah dengan sumber bahan terkini dari luar. 

Penggunan bahan ini boleh dilihat kesannya selepas PSEP ini diadakan misalnya dalam pertandingan dan pameran Bakat Muda Sezaman selepas tahun 2000. Di dalam edisi 2004 misalnya mempunyai kategori Media Baru yang dipertandingkan bagi merangsang penghasilan karya sebegini.

Semasa beliau mengajar seni media USM dan Pengarah Muzium dan Galeri Tunku Fauziah (MGTF) beliau telah mengubah pendekatan kuratorial yang diadakan dari segi bagaimana untuk menarik minat baru khalayak untuk datang ke galeri menerusi penggunaan media baru seperti hologram, penggunaan alat pandang dengar seperti projektor, bunyi dalam memberi nafas baru dalam persembahan dan peragaan bukan sahaja karya seni tetapi juga bahan-bahan sejarah dengan tujuan bukan sahaja sebagai sumber pendidikan tetapi juga memberikan keseronokan kepada khalayak untuk masuk ke muzium. Kini MGTF boleh dikatakan mempunyai antara muzium seni yang mengumpul koleksi seni elektronik terbesar di Malaysia. Selain terlibat dalam kerja-kerja kuratorial di galeri dan muzium, beliau juga aktif menyumbangkan buah fikirnya menerusi penulisan buku, jurnal, katalog pameran, dan majalah disamping aktif sebagai pengamal seni media baru.

Dalam karya ‘Siri Lakaran untuk Ngalir’, ‘Peristiwa Kuantum yang dijudulkan Ngalir’ dan ‘Peristiwa Kuantum yang dijudulkan Renang’ (2019) adalah karya-karya instalasi  proses seni yang mengabungkan antara bahan campuran dan media baru. Karya ini menggabungkan buku lakaran, lukisan berbingkai, catan kanvas atas lantai dan dinding dan projektor video yang dipancarkan secara miring dalam memperlihatkan imej air yang berdurasi satu minit. Karya yang berlatarkan hitam ini mengabung tiga media seni iaitu lukisan lakaran, seni catan dan seni video dalam satu ruang.

Pertama, karya lukisan memperlihatkan dokumentasi-dokumentasi Hasnul menerusi gambaran rajah ikan (ishikawa), peta minda dan lakar-lakar spontan kajian mengenai konsep kuantum air dan cahaya yang peragaannya seolah-olah kita sedang membaca kitab dalam keadaan duduk bersila berlapikkan tikar sejadah. Kedua, catan kanvas atas dinding dan atas catan atas lantai yang memanjang. Catan dinding memperlihatkan catan figura berelung (niche) pelukis dari postur belakang. Bentuk relung ini biasanya terdapat di dalam seni bina orang Romawi dan seni bina Islam. Dalam seni bina Islam relung ini terdapat di bahagian mihrab masjid atau surau yang biasanya adalah tempat menunjukkan arah kiblat dan digunakan oleh imam dalam mengetuai solat. Ketiga pula adalah adalah video berdurasi 1 minit yang berulang memperlihatkan imej air dan figura seperti yang ada dalam catan.

Dalam karya ini Hasnul juga menulis kembali doa yang diajar bapanya iaitu Pak Saidon di antara catan dan video. Karya ini seolah-oleh sebuah ruang-ruang perenungan, meditasi, zikir dan muhasabah. Hasnul meggabungkan konsep cahaya dan kuantum air dalam membentuk terapi penyembuhan menerusi pembelajaran melalui alamiah. Dalam kata lain pembelajaran melalui berguru (sanat) dan pembelajaran melalui alam dalam membelah diri.
Fauzin Mustafa (1966, Teluk Intan, Perak) antara pengkarya yang mempunyai kebolehan pelbagai disiplin. Pendidikan asas seni halus tidak membataskan beliau hanya mengakhiri karier sebagai pelukis tetapi lebih dari itu. Setelah bergraduan beliau banyak terlibat dengan projek-projek seni visual yag merentas bidang sifatnya seperti rekabentuk set teater, persembahan seni dan juga konsert. Pengalaman dan minat ini telah membawa beliau bekerja dengan syarikat televisyen swasta pertama negara pada masa itu iaitu TV3 dan kini Media Prima. Mempunyai pekerjaan sebagai ketua pengarah seni dan produksi bukanlah penghalang kepada beliau dalam terus berkarya. Penerokaan beliau terhadap bahan terutamnya media campuran seperti yang diterokai dalam pameran berkumpulan 4 Persepsi pada akhir 80 an terus menjadi inspirasi dalam pengkaryaan beliau sepanjang 30 tahun berkarya.

Pameran solo pertama dan kedua ‘Dari Bumi ke Bumi’ (1994) dan ‘Fauzin Mustafa’ (2001)  diadakan di Art Salon, Bangsar pada tahun  memperlihatkan perkembangan penting selepas 20 tahun pengkaryaan beliau selepas itu. Fauzin telah memilih untuk meninggalkan Media Prima dan menjadi pelukis sepenuh masa pada 2008, pada 2017 Fauzin hadir dengan pameran solo ketiga ‘Life Between The Dots’  yang diadakan di Core Design di Subang Jaya dengan membawa lebih 20 karya terbaru yang masih membawa tema titik protes terhadap pembangunan yang tidak menghiraukan kesan terhadap alam sekitar. Pengkaryaan Fauzin boleh dikatakan mengalami beberapa evolusi misalnya daripada proses pencarian (1989-1998), peralihan  penerokaan bahan campuran (1999-2009), transisi kematangan (2009-2019).

Pada  4 Persepsi  ini Fauzin hadir dengan siri 2 kumpulan terbaru yang masih belum lagi dilihat oleh khalayak. Karya  ‘Siri Bunga Putih di Pusara III, IV dn V’ (2019) adalah karya lukisan kembar tiga (triptych) yang menggunakan bahan campuran di atas kanvas. Jika di perhatikan dalam karya ini mempunyai persamaan dari segi penggunaan bahantara dan subjek daripada karya yang dihasilkan 30 tahun dahulu misalnya dalam karya ‘Tetamu Tidak Diundang’ (1988) ‘Siri Alam Fana- Kepingingan Tersisa’ (1989). Dalam siri karya ‘Al-Aqsa’ (2017-2019) adalah 7 buah lukisan instalasi bahan campuran bersubjekkan masjid Al-Aqsa di Baitulmuqadis, Palestin.

Dalam karya-karya mutakhir ini walupun Fauzin masih setia dengan penggunaan bahan campuran namun subjeknya lebih bersifat sejagat dan universal.  Masjid Al-Aqsa  merupakan sebuah masjid di Baitulmuqadis, Palestin merupakan arah kiblat pertama umat Islam dan merupakan Tanah Suci ketiga bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Protes penindasan oleh rejim zionis terhadap Al-Aqsa dan umat Islam di sini diluahkan oleh Fauzin menerusi simbolisme burung merpati dan bunga putih yang melambangkan pembebasan dan keamanan terhadap rantau itu. Ruang latar instalasi yang hitam gelap dan timbulan lukisan-lukisan putih di atas permukaanya sengaja disusun dalam memberi penegasan isu ini.

Mohd Noor Mahmud (1964, Kota Bharu, Kelantan) adalah pendidik yang mendapat didikan Universiti De Monfort, Lecester, United Kingdom. Menelusuri pengkaryaan awal beliau sejak 1988 memperlihatkan bagaimana  penerokaan bahantara terus menjadi pilihan sehingga hari ini. Pengkaryaan Noor Mahmud pula boleh dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama yang terdiri dari karya-karya awal daripada tahun 1990 an dan fasa kedua ke arah seni Islam. Pameran solo pertama 'Siri Rasa Bertuhan' yang telah diadakan Muzium Seni Pahang dan solo kedua 'Bacalah' (2015) di Art Cube mengambarkan bagaimana perubahan ini berlaku, Dalam pameran terbaru  ini beliau hadir dengan 2 karya catan instalasi iaitu ‘Lima Puluh Dua Bunga’ (2008) dan Tiang (2019).

Di dalam karya-karya terbarunya Mat Nor terus konsisten dalam memberi nafas baru kepada seni tradisional, berinspirasikan seni nusantara, khususnya tradisi Melayu-Islam daripada pantai timur. Beliau juga mengadaptasi beberapa perkakasan dan teknik seni tradisi batik sebagai satu penghormatan kepada para seniman tradisi ini. Pengolahan bahan yang digunakan merupakan hasil dari eksperimentasi dan pemurnian berterusan yang telah dimulakan sejak tahun akhir di UiTM sekitar 1987-88. Penumpuan pada motif bunga-bungaan merujuk kepada nilai-nilai penyembuhan dan pemulihan yang terkandung di dalamnya. Kesemuanya diolah dalam persembahan gaya catan yang mesra dengan 'angin' Mat Nor sendiri. Beliau mengalami rasa berkarya dan rasa melihat karya sebagai zikir dalam diam

Taufik Abdullah (1966, Kulim, Kedah) mempunyai latar belakang seni reka seramik, sejak tahun 1990 an belau banyak menghabiskan masa berkelana di Jepun dan Mexico. Taufik berpengalaman sebagai pereka di kedua-dua negara itu kini menetap di Kota Baharu. Pada awal 1980 an Taufik adalah antara pemenang anugerah hadiah kecil Bakat Muda Sezaman. Beliau juga sangat aktif berpameran di dalam dan juga diperingkat antarabangsa. Pada tahun 1989 beliau mewakili Malaysia dalam ASEAN Youth Painting Workshop and Exhibition di Brunei Darul Salam.

Pada pameran ini beliau mempamerkan 14 buah karya yang telah dihasilkan pada 1996 hingga kini. Dalam 2 buah karya surealisme iaitu ‘Revalidating Declaration of Heart’ (2019) dan Universal Heartscape Resonance’ (2019) beliau mengambil subjek hati sebagai simbol kepada jiwa manusia dalam menyatakan pergerakan tubuh badan, tindak balas emosi, sebagai sistem tanda dan bahasa visual. Karya ‘Regazing Land of the Rising Sun’  (2019) pula adalah adalah cebisan pengalaman Taufik berkelana di negara matahari terbit iaitu Jepun. Beliau mengambil 2 dua subjek alam iaitu karya ombak oleh Hokusai dan gunung Fuji dalam menyatakan polisi kerajaan dalam penggunaan teknologi terkini.

Dalam Siri Paku Pakis atau The Fern Seris yang dihasilkan selama dua tahun iaitu dari 2004 hingga 2006 adalah satu kumpulan karya Taufik Abdullah yang bereksperimen dengan bahan campuran dan seperti batik, akrilik dan cat minyak. Siri ini adalah refleksi Taufik terhadap subjek paku pakis yang banyak memberi simbolisme terhadap sifat jati diri, keunikan dan lambang kepada kelahiran pada manusia. Dalam siri ini juga beliau meneroka teknik seperti mengecop, menekan dan melukis untuk mendapat kesan kesuraman dan samar-samar sebagaimana jika tumbuhan ini dilihat pada waktu gelap sebagai metafora mewakili segala sifat tumbuhan yang mana walaupun hidupnya sukar tetapi tetap bangga dengan sifat asli yang berasal daripada hutan.

Penutup

Kesimpulannya sepanjang 30 tahun pengkaryaan ‘4 Persepsi’ kita dapat lihat bahawa mereka masih setia menggunakan warna-warna alami yang berteraskan nusantara seperti elemen-elemen 'tanah', 'air' dan 'angin' yang kita dapat lihat dalam pameran ini seperti penggunaan warna-warna kehijauan dan peribumi. Satu lagi yang agak ketara adalah mereka sangat akrab dengan motif-motif alamiah seperti dalam karya yang mereka hasilkan di awal pengkaryaan mereka seperti Fauzin dengan ‘Siri Alam Fana’, Hasnul ‘Siri Microscape’, Taufik ‘Siri Manukan’ dan Mohd Noor dengan ‘Siri Imijan’. Walaupun 30 tahun tidak pernah berpameran bersama namun pengkaryaan mereka seolah-olah mempunyai satu cara pandang hidup yang serupa, saling pengaruh mempengaruhi dan seperti satu keluarga yang dekat walaupun jauh.
*Pameran '4 Persepsi 2019' kini boleh dilawat daripada 4 November 2019 - 31 Disember 2019 di Pusat Kreatif, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.



Rujukan:
Katalog pameran ‘4 Persepsi: Bicara Makna’, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur, 1989.

Ahad, 3 November 2019

Lakaran Panorama Muar


Oleh: Faizal Sidik

Sejarah dan latar belakang Muar

Muar adalah sebuah kawasan terletak sebelah Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Muar juga adalah bandar di raja Johor Darul Takzim yang merupakan salah satu 8 buah daerah yang terdapat di negeri ini selain Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Pontian dan Johor Bahru. Muar atau ‘muo’ panggilan mesra mendapat namanya daripada bahasa Melayu Sunda dari perkataan muara yang bermaksud ‘kuala sungai yang membuka dan meneluk luas’ yang  mengadap Selat Melaka. Apabila kebiasaan orang tempatan sering memanggil kata ‘muara’ dalam hidupan harian mereka maka lama-kelamaan terlekat nama Muar dibibir-bibir masyarakatnya. Muar mempunyai sejarah yang panjang dan menarik, tidak dapat tidak kemunculanya sering dikaitkan dengan Kerajaan Empayar Melaka (1403-1511). 

Menurut sejarah penubuhan Muar lebih awal daripada pembukaan kota Melaka. Sejarah Muar boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu sebelum pembinaan kota Melaka, semasa zaman kegemilangan dan selepas kejatuhan kepada Portugis. Sejarahwan Portugis Joao De Barros dalam bukunya Segunda Decada da Asia (1553) mengatakan apabila Parameswara iaitu seorang putera Palembang melarikan diri dari Singapura  setelah membunuh Tamagi iaitu raja negeri itu beliau telah berhenti di Muar dan membina kota kayu di kawasan pendalaman yang dinamakan Pagoh dan sekitar 1240 barulah dia membuka dengan bantuan orang Selat yang terdiri daripada orang laut. Sumber dalam Sejarah Melayu pula mengatakan Sultan Iskandar Syah telah dikalahkan oleh Kerajaan Majapahit dan berpindah ke Muar serta membina penempatan awal di Biawak Busuk dan kemudian di kota yang dinamakan Kota Buruk sebelum membuka Melaka.

Pada zaman kegemilangan Melaka pula Sultan Alauddin Riayat Syah I iaitu Sultan Melaka yang ke tiga telah mangkat pada 1488 telah dimakamkan di Pagoh yang terletak di hulu Muar yang boleh diziarahi sehingga hari ini memperlihatkan hubungan yang akrab kerajaan Melaka dengan Muar ini telah berlaku lama. Pada zaman kejatuhan pula, Sultan Mahmud telah mengarahkan rakyatnya berundur ke Muar dengan membina Kota Bentayan (kini stesen bas ekspres Bentayan) sebagai kubu pertahanan daripada serangan Portugis. Namun Kota ini telah jatuh ke tangan Portugis pada 1519 dan Sultan Mahmud berundur ke Pahang dan membuka Johor (Johor Lama) Portugis membinanya semula kota ini pada 1604 dengan nama Fortaleza de Muar sebagai kota pertahanan kedua selepas Melaka. Kini stesen bas Benyatan dan rumah-rumah kedai di Muar adalah bekas tapak Fortaleza de Muar.

Gunung Ledang di Muar

Memperkatakan tentang Muar tidak lengkap jika tidak menyebut Gunung Ledang yang terdapat di dalam daerah ini. Salah satu sebab kedatangan orang Barat misalnya Portugis, Belanda dan Inggeris ke Timur adalah untuk mencari kekayaan. Portugis misalnya datang ke rantau adalah kerana Mount Ophir iaitu sebuah gunung berdekatan negeri Melaka yang merupakan simbol kepada kekayaan dengan emas seperti yang terdapat dalam kitab agama mereka. Sebagai kuasa besar abad ke-16 raja dan paderi Barat ini telah menjalankan ekplorasi mereka ke sini. Perkara ini disahkan lagi dengan catatan dari China oleh Laksamana Cheng Ho yang telah berkali-kali singgah ke Melaka untuk melawat lombong-lombong emas di Gunung Ledang semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah yang berkahwin dengan Puteri Hang Li Po. Dalam teks Melayu lama seperti Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah ada diceritakan misteri Gunung Ledang ini. 

Prosa klasik seperti Sulalatus Salatin yang bermaksud pertuturan segala raja-raja atau lebih dikenali dengan Sejarah Melayu  karangan Tun Sri Lanang ada menceritakan tentang Puteri Gunung Ledang yang rupawan. Kisah Meminang Puteri Gunung Ledang menceritakan bagaimana Sultan Mahmud Shah yang merupakan sultan terakhir empayar Melaka yang terakhir sebelum ditewaskan oleh Portugis telah menghantar dua orang-orang suruhannya  yang diketuai oleh Tun Mamat dan Laksamana Hang Tuah untuk meminang Puteri Gunung Ledang. Untuk sampai ke puncak Gunung Ledang terdapat pelbagai cabaran dan cerita yang pelik yang ditemui oleh mereka dan angkatan. Hanya Tun Mamat sahaja sampai ke puncak yang dikatakan terdapat sebuah taman yang indah yang dijagai oleh nenek kebayan (puteri Gunung Ledang). Peminangan ini mengenakan beberapa syarat seperti 1 jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka,1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, 7 dulang hati nyamuk, 7 dulang hati hama, 7 tempayan air mata anak dara.7 tempayan air pinang muda dan 1 mangkuk darah Sultan Ahmad Shah iaitu anak Sultan Mahmud Shah yang masih kanak-kanak lagi yang tidak dapat ditunaikan oleh baginda seterusnya membatalkan hasrat peminangan itu.


Muar Kini dan Ke Arah KUL Biennale 2020 
Pembangunan yang telah dijalankan semasa pemerintahan Inggeris sejak tahun 1930 an telah menjadikan Muar lebih maju jika dibandingkan dengan daerah-daerah Johor yang lain. Selepas Sultan Abu Bakar berkahwin dengan mualaf Cina tempatan, baginda telah mengistiharkan Muar sebagai Bandar Maharani sebagai tanda kasih sayang kepada isteri baginda itu dan rakyat Muar. Banyak pembanguan infrastruktur yang telah dibina yang bercirikan gabungan seni bina Melayu Islam dan  kolonial dan seperti Masjid Sultan Abu Bakar, Bangunan Sultan Abu Bakar (Majlis Daerah Muar), Balai Polis Muar, Hospital Muar, Sekolah Tinggi Muar dan banyak lagi. Pada hari ini Muar juga menyimpan sejarah bukan sahaja semasa pemerintahan Inggeris tetapi juga semasa pendudukan Jepun. Peristiwa pasukan polis melawan askar komunis di Bukit Kepong dalam daerah Muar menjadi satu sejarah yang sangat signifikan kepada sejarah Malaysia sehingga peristiwa ini difilemkan untuk dijadikan bahan sejarah seteusnya diingati oleh generasi kemudian melalui pembinaan Muzium Bukit Kepong.

Tahun 2020 merupakan satu angka penting kepada Malaysia selain pernah dicanangkan dengan ‘Wawasan 2020’ oleh Perdana Menteri ke-4 pada masa itu iaitu Dr. Mahathir Mohamed (Tun) pada tahun 1980 an untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju setanding dengan negara lain. Tahun ini juga merupakan tahun penting kepada negara kerana telah diangkat untuk kali ketiga sebagai Tahun Melawat Malaysia 2020 (sebelum TMM 1990 dan TMM 2000). Sebagai sebuah acara besar kepada negara yang ingin mengangkat pelacongan sebagai pendapatan utama kepada negara, Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya telah menjalankan usaha program-program ke arah TMM 2020 kepada agensi-agensinya termasuklah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara sebagai salah satu agensi seni yang menjalakan kerja menyelidik, mempamer, menerbit dan memasyarakatkan seni di negara ini. 

Di atas kejayaan Kuala Lumpur Biennale pertama dengan tema ‘Belas’ atau Beloved yang telah menarik lebih 80 ribu kedatangan pelawat ke Balai Seni Negara yang bukan sahaja daripada pelancong domestik malahan antarabangsa. Kementerian Pelancongan Seni Budaya telah memberi kepercayaan kepada Balai Seni Negara sekali lagi untuk menjalankan pameran mega antarabangsa Kuala Lumpur Biennale 2020 kedua dengan tema ‘Tanah, Air dan (Sa)Udara’ dalam bersama-sama meraikan TMM sebagai tahun besar negara. Oleh itu dalam menuju Kuala Lumpur Biennale ini Balai Seni Negara telah membuat persiapan awal dengan menjalankan program promosi dan publisiti Ke Arah KUL Biennale 2020 atau Route to KL Biennale 2020 di beberapa zon seperti utara, timur dan selatan dalam mempromosikan lokasi-lokasi ini kepada khalayak menerusi keindahan alam, seni bina dan kearifan tempatan.

Kearah Kuala Lumpur Biennale 2020, bandar Muar dipilih mewakili zon selatan yang bukan sahaja ke arah TMM tetapi juga membantu meraikan bandar ini dalam Tahun Melawat Johor pada 2020 nanti. Keunikan kawasan yang dikenali sebagai Bandar Maharani, Bandar Diraja ini diuruskan oleh kerajaan tempatan di sini iaitu Majlis Perbandaran Muar (MPM). Melalui daya usaha yang dijalankan oleh MPM dalam meletakkan Muar sebagai salah satu bandar pelancongan yang berkembar dengan bandaraya Melaka disamping bandar ini telah diiktiraf sebagai Bandar Bersih Asean 2018-2020. Bagi memperkayakan lagi Muar sebagai salah satu destinasi tarikan utama di Johor maka Balai Seni Negara telah memilih Muar untuk menjalankan program yang dinamakan ‘Lakaran Panorama Muar’ atau ‘Muar Plain-Air’  .

Program ‘Lakaran Panorama Muar’ adalah sebuah aktiviti meyelidik, merekod, mendokumentasi, mempamer dan menerbit melalui lukisan lakaran berkenaan keunikan Muar melalui peninggalan seni bina tradisi, seni bina kolonial, lokasi bersejarah, kearifan tempatan dan pelbagai lagi dengan bertujuan agar khalayak mengetahui tentang apa yang ditawarkan oleh Muar melalui visual yang direkodkan oleh pelukis. Pelbagai kaedah boleh dilakukan dalam memberitahu dan berkongsi dengan masyarakat akan sesuatu produk pelancongan seni budaya salah satunya adalah melalui pameran seni, penerbitan buku, kalender, poskad, penulisan dan lain-lain seperti yang dilakukan dalam program ini.

Pada 23 hingga 24 September Balai Seni Negara dengan kerjasama Majlis Perbandaran Muar (MPM) telah menjalankan program lakaran ini yang bertempat di Ole-Ole Maharani, Muar. Penglibatan lebih 60 pelukis dari seluruh Malaysia terutamanya Johor terutamanya kelahiran Johor telah dijemput untuk menyertai acara ini. Program dimulakan dengan sesi taklimat ringkas mengenai tentatif program sepanjang hari oleh En. Shahrul Niza Zaini. Bagi hari pertama acara lebih terfokus kepada melakar panorama Muar dibeberapa lokasi terpilih seperti lokasi bangunan kerajaan warisan Muar  seperti Sekolah Tinggi Muar, Mahkhamah Syariah Muar, Pejabat Daerah Muar, Bangunan Kastam Muar, Balai Polis Muar, Pejabat 
Bangunan Majlis Perbadanan Muar (MPN), Istana Muar (Sultanah Fatimah), Istana Hinggap Muar. Lokasi melakar di sekitar Dataran Budaya Muar pula melibatkan tempat-tempat yang menarik yang berhampiran dengannya seperti Jambatan Sultan Ismail, Jambatan Kedua Muar (Suasana malam), Menara Jam Besar Muar, Pasar Awam Maharani
Perhentian Bas Bentayan dan Perhantian Bas Maharani. 

Pada hari kedua aktiviti melakar tertumpu kepada lokasi-lokasi eko-pelancongan yang kebanyakannya terletak di luar pusat bandar Muar seperti lokasi seni bina rumah tradisi Johor di Parit Jawa (Teratak Leka), Parit Besar (rumah Abdul Shukur Taib), Parit Hj Ali (Jalan Temenggung Ahmad) dan kampung nelayan di Pantai Leka. Lokasi kearifan tempatan atau local wisdom yang menarik terdapat di Muar dan tidak terdapat di tempat lain adalah seperti di Parit Bugis dengan makanan tradisi kuih cakar ayam dan kuih penderam, pembuatan alat muzik gambus dan tarian barongan. Kawasan Parit Jawa pula masih mempunyai pandai tukang yang membuat sampan, alat muzik kompang dan capal. Selain itu makanan tempatan Muar diiktiraf mempunyai citarasa yang berbeza dan popular adalah seperti mee bandung Muar di Restoran Abu Bakar Hanipah, asam pedas Kak Yati Muar dan menu sate yang dihidangkan pada waktu pagi di sini. Selain itu terdapat juga kearifan ini yang boleh didapati pembuatannya di pusat bandar seperti pembuatan songkok Johor di Arked Mara dan pembuatan serbuk kopi jenama Kopi 434.

Di akhir projek ini satu pameran akan diadakan bagi memperlihatkan hasilkan terpilih daripada Lakaran Panorama Muar ini untuk dikongsi kepada pelawat yang diadakan di kemuncak program pada akhir November DI Galeri Seni Muar beserta dengan penerbitan katalog oleh Balai Sen Negara sebagai satu lagi tarikan pelancong untuk datang ke Muar sempena Tahun Melawat Malaysia dan Kuala Lumpur Biennale 2020. Pada tahun 2020 juga satu  lagi penerbitan berasingan oleh Majlis Perbandaran Muar sempena Karnival Jambatan Muar sebagai tarikan baru karnival ini sempena Tahun Melawat Johor 2020 dalam usaha mempromosikan ‘Muo’ sebagai satu lagi destinasi pelancongan menarik untuk dilawati di Malaysia. Semoga slogan orang tempatan ‘Orang Muo, Gaya Muo’ mampu menaikan nama Muar seterusnya meningkatkan ekonomi setempat melalui seni dan budaya.









Rujukan:

Abdul Shukor Ismail, Sejarah Ringkas Muar, Penerbitan Toko Buku Manaf, Muar, 1984

Ho Weng Hin, Lai Chee Kien, Lim Take Ban, Megat Arif Shah Megat Omar Shah, Muar: Trubutaries and Transitions, Universiti Malaya,Kuala Lumpur, 2011

Azman Ab. Rahim @ Ibrahim, Di Sini Bermula-Sekolah Tinggi Muar, Nazima Shima Enterprise, Muar 2016

Selasa, 15 Oktober 2019

Lok: Falsafah Seni dan Estetika Melayu Pada Arca Tubuh Keris



Oleh: Faizal Sidik

Sesi temubual dengan Raja Shahriman Raja Aziddin ini dilakukan oleh kurator pameran iaitu Faizal Sidik dan penulis jemputan Idarina Ibrahim.

FS:      Mengapa anda menulis puisi pada setiap pameran yang diadakan?
RS:      Dalam pameran ini, saya juga ada menghasilkan puisi tentang satu kiasan bayangan tentang lok. Rangkap ini masih ada sambungan yang akan disudahkan kemudian. Saya akan tulis puisi yang lengkap untuk pameran ini nanti. Ceritanya semasa zaman persekolahan dahulu  saya mengambil aliran perdagangan dan bukan sastera. Jadi oleh kerana minat saya membeli sendiri buku puisi dan belajar daripada situ. Jadi akhirnya apa yang saya mampu adalah luahkan dalam satu kata-kata yang saya rumus dalam arca sekadar yang termampu.

Ibarat sungai,
Bengkang bengkok air mengalir,
Dari hulu sampai ke hilir,
Tiada berhenti deras airnya,
Ujian hidup hingga ke akhir,
Susah senang pahit dan getir,
Lok dan lekuk ibarat yang di ukir.

FS:      Moyang anda iaitu Sultan Abdullah ibni Sultan Jaafar telah dibuang negeri ke Pulau Sicily apabila dikaitkan sebagai perancang pembunuhan J.W.W Birch di sungai Perak di Pasir Salak. Arca awam di perkarangan Kompleks Sejarah Pasir Salak di daerah Perak Tengah yang dibina sebagai tanda peringatan dan penghormatan seolah-olah figura yang memegang keris ditangan sebelah kiri dan kanan. Adakah karya ini ada kaitan dan kesinambungan daripada  karya Siri Lok ini?
RS:      Tiada kerana dalam karya itu subjek keris dalam keadaan pegang manakala ini benar-benar diletakkan pada bahagian kepala iaitu wajah itu sendiri. Maknanya dalam kedudukan keris itu sendiri sudah tidak lagi memegang keris tetapi lebih pada tubuh daripada arca yang baru ini. Mungkin elemen keris dalam kepada ini sudah ada siri sebelum tetapi masa itu ia masih belum diberi penekanan kepada satu konsep yang sekarang ini. Arca Siri Lok ini saya telah membuat lukisan dalam mencari penyelesaian pada awal tahun 2000. Jika merujuk kembali kepada lakaran saya antara 2001 sehngga 2004 telah berlaku lakaran-lakaran yang mencari ke arah Siri Lok ini. Jadi Siri Lok ini baru masak dalam tahun 2016, maknanya daripada apa yang difikirkan dahulu penyelesian masalah dari segi reka bentuk tiga dimensi berlaku dalam tahun 2016.

FS:      Sudah hampir lebih 2 tahun anda menyepikan diri di Kuala Kangsar dan kini akan kembali semula dengan penghasilan 25 arca baru dalam Siri Lok . Bagaimana perubahan dari siri sebelum ini berlaku? Apakah yang mendorang peralihan ini?
RS:      Setiap karya yang saya hasilkan mempunyai kesinambungan, daripada satu tajuk kepada satu tajuk itu ada juga hubungannya antara satu sama lain, misalnya dalam Siri Lok ini boleh saya katakan saya ingin meluahkan satu penghargaan kepada subjek (subject matter) karya saya. Setelah sekian lama berkarya penumpuan atau subjek utama yang menjadi pilihan dan saya gemari adalah figura dan senjata. Oleh yang demikian untuk Siri Lok ini saya ingin jadikan figuratif sebagai subjek yang benar-benar menunjukkan tumpuan kepada torso badan, yakni sifat tubuh badan sebagai subjek yang menjadi pilihan serta keris yang diolah secara dilebih-lebihkan keadaan namun disiplin keris itu masih kelihatan begitu juga dengan disiplin arca dengan tubuh badan. Hal ini bermaksud pembuatan keris tradisional telah distailisasikan yang saya rasa bertepatan dengan gabungan arca dalam siri ini disamping akan diperagakan nanti di atas padestal sebagai satu pembingkaian tradisional antara arca dan tapak.

FS:      Arca anda anda di Taman Wawasan Public Bank yang bertajuk ‘Growth With Equity’ (1992) juga dilihat seakan senjata yang menghunus ke langit. Adakah ianya adalah senjata dan mengapa dibentuk sedemikian?

RS:      Karya arca awam itu saya mengambil dari subjek pucuk, iaitu satu benih yang naik menjadi pucuk . Jadi saya mengambil ia dari suatu subjek yang lain khas untuk pertandingan yang dianjurkan oleh Public Bank  arca untuk pembinaan Taman Wawasan. Saya rasa ia agak berbeza kerana semasa saya menghasilkannnya ada kajian yang jika dilihat pada garisannya kacang benih yakni pengulangan-pengulangan untuk menunjukkan pergerakan pertumbuhan.

FS:      Dalam karya anda sebelum ini anda ada juga menghasilkan senjata untuk dipegang dan digunakan. Kenapa kini anda hanya memberi fokus kepada senjata jika dibandingkan arca posisi dan pergerakan?
RS:      Pada saya ia seperti satu penghormatan dimana saya mahu menceritakan subjek karya saya iaitu senjata dan keris ini kerana ia juga merujuk kepada kebudayaan dan bangsa Melayu itu sendiri, sebab siri ini saya mengkhususkan kepada keris itu sendiri. Sebelum ini penciptaan senjata dalam pameran lebih global dimana ada tradisional dan ada yang direka-reka. Namun dalam arca siri ini saya menggunakan hanya keris, tradisinya masih ada dengan sedikit penyesuaian yang saya gunakan simbol dalam karya-karya saya ini.

FS:      Karya anda pada pandangan mungkin kelihatan ganas diluar namun adakah sifat dalaman anda juga sedemikian juga seperti panas atau agresif ?
RS:      Tidak lagi, itu mungkin dalam keadaan saya masih muda. Arca  ini menceritakan kelangsungan Melayu, dalam keadaan sekarang misalnya dalam lok keris yang melampaui had, menceritakan Melayu itu sendiri yang dalam keadaan cabaran zaman sekarang ini. Tetapi saya tetap tidak beremosi seperti orang politik sebab saya tidak berminat dan terlibat ke arah itu. Puncanya adalah dalam diri kita sebab kita perlu banyak membetulkan diri, iaitu arah bagaimana kita mahu bawa kita balik (jalan lurus).

FS:      Adakah tidak seperti perasaan yang anda alami seperti dalam Gerak Tempur?
RS:      Mungkin sifat keris telah serap di dalam diri saya itu walaupun tidak lembut, mungkin keadaan pembawaan. Orang Melayu itulah sebenarnya lembut, kita dapat lihat senjata pun tidak keras ia lembut tetapi tetap bahaya. Kita duduk dalam suatu keadaan masyarakat yang sebenarnya mempunyai peradaban yang tinggi, kita masih banyak lagi boleh berfikir dengan waras, kita masih lagi dalam konteks hidup yang banyak bersabar.

FS:      Anda tidak mengutamakan bahagian muka dalam karya-karya anda. Dalam karya arca sebelum ini bahagian muka kelihatan seperti makhluk asing, topeng-topeng dan kepala binatang. Mengapa kini senjata keris mengantikan bahagian kepala?
RS:      Saya mengabstrakkan keris sehingga ia menjadi suatu keris yang baru yakni kreasi keris kepada ciptaan baru. Dalam pengkaryaan arca saya lebih dekat dengan pembentukan badan daripada muka kerana pada saya muka ini mempunyai bentukan yang lebih rinci. Pada saya bahagian muka bukanlah penceritaan utama dalam karya-karya sebelum ini, kerana saya lebih memokuskan pada gerak iaitu gerak tubuh bahasa-bahasa badan daripada menunjukkan sifat perwatakan mimik-mimik muka. Pada arca ini pula saya gantikan bahagian muka dengan keris sebagai representasi wajah pengenalan, badan adalah suatu keadaan yang bersifat universal, wajah pula khusus kepada bangsa yang membawa watak bangsa. Dalam wajah Cina misalnya kita akan nampak spesifik kecinaan seperti muka dan mata disepetkan, begitu juga keadaannya dengan wajah Melayu. Apa yang penting di sini adalah perincian, jika memperkatakan wajah itu membawa sifat bangsa spesifik dan pada saya saya tidak meyukai spesifik bangsa tetapi universal dan pada siri lok ini pula saya ceritakan Melayu dalam rupa wajah orang Melayu dan dalam budaya Melayu iaitu keris iaitu satu alat yang menjadi simbol bangsa Melayu seterusnya membawa maruah dan jatidiri Melayu. Pada keris membawa falsafah pegangan orang Melayu, apabila sahaja saya meletakkan keris kepada kepala maka ia menandakan wajah tubuh tadi adalah wajah Melayu namun dalam keadaan berbeza bukan dinampakkan bangsa dalam bentuk rupa tetapi bangsa kepada pegangan falsafah orang Melayu itu sendiri. Jadi itu yang saya membuat kepala berkeris itu kerana saya rasakan lebih kena dengan keadaan saya dan apa yang saya mahukan dalam arca Siri Lok ini sendiri.

ID:       Adakah anda juga pengumpul keris?
RS:      Ya, saya juga mengumpul keris tetapi tidak besar. Sebelum ini saya pernah menjadi pedagang keris maknanya di sini saya juga pernah berniaga dan menjual barang-barang keris-keris lama ini.

ID:       Dalam Siri Lok ini adakah anda merujuk kepada jenis-jenis keris yang tertentu?
RS:      Saya boleh katakan begini, saya tidak merujuk kepada jenis keris tertentu dan agak pelbagai. Setiap keris itu mempunyai nilai dan estetik yang tersendiri, penilaian melalui keseluruhan dalam bentuk-bentuk keris itulah yang menjadi satu inspirasi kepada saya untuk meluahkan karya keris saya sendiri.

ID:       Di Alam Melayu kita ada keris Bali, keris Jawa Demam yang ada banyak bentuk hulu yang berfigura, adakah ia mempengaruhi pengkaryaan anda kerana apabila saya melihat keris-keris dari seberang bentuk-bentuk figuranya amat mengujakan.
RS:      Pada saya jika dilihat dari sudut pembentukan figura dalam hulu keris antara satu subjek yang menarik yang juga menarik minat saya di dalam pembentukan seni keris itu sendiri. Namun untuk arca Siri Lok ini tradisinya dapat dilihat dari segi bilah daripada bentuk hulu yang figuratif tadi. Bahagian badan iaitu torso masih lagi merujuk arca-arca bertorso, tetapi telah distailisasikan pada saya mengikut citarasa pengaruh kemelayuan sebagai orang Timur. Dalam arca ini juga saya memasukkan motif kerawang pada tulang belakang figura walaupun bersubjekkan tradisi Barat namun elemen-elemen budaya Melayu masih ada.

FS:      Negeri Perak terkenal dengan  pedang Chura Si Manja Kini yang mempunyai sejarah yang panjang dalam kerabat diraja Perak. Adakah sumber senjata-senjata ini mendatangkan ilham kepada pengkaryaan anda seperti keris Taming Sari misalnya?
RS:      Boleh dikatakan ia telah menjadi lagenda Chura Si Manja Kini, Ular Saktimuna, Sang Nila Utama dalam sejarah-sejarah. Ia merupakan alat-alat kebesaran yang jika kita lihat ada kuasa tersendiri dan kita rasakan itu inspirasi minat saya terhadap persenjataan itu sendiri. Chura Si Manja Kini adalah pedang dan dalam siri ini saya hanya tumpukan pada keris dan tidak mengambil hal yang berkaitan sejarah. Saya lebih menjurus pada keris yang saya olah sendiri. Tetapi setiap senjata itu membawa kepada minat dan kecenderungan untuk mendapatkan idea-idea.

ID:       Dalam situasi semasa politik pada masa kini yang persoalan jatidiri Melayu kini sering dibangkitkan semula. Jika senjata itu diangkat menjulang ke atas ia membawa maksud yang berlainan. Adakah ini yang anda persoalkan dalam pengkaryaan baru ini?
RS:      Saya mulakan projek ini sejak 2016 dan hampir 3 tahun menyiapkannya, pada masa yang sama saya juga terlibat juga dengan kerja-kerja kebudayaan terutamanya dengan kumpulan-kumpulan  budaya yang mahu mengembalikan semula budaya tradisi Melayu. Amalan menjulang keris bukan sebenarnya untuk berlawan, di dalam adat istiadat pertabalan keris ini dijulang sebagai tanda satu pegangan kerana keris ada banyak simbol dan penuh dengan elemen di dalam keris itu apabila dijulang sebagai penghormatan kepada budaya dan peradaban yang kita pegang pada tauhidnya. Tradisi keris seperti cabut, angkat, kucup sebagai tanda tauhid penghormatan  kepada nilai budaya yang kita pegang dan dibawa itu bukanlah satu amalan agresif.

FS:      Maksudnya keris di sini ia bukan lagi sebagai alat fungsian tetapi juga mengandungi nilai estetika. Adakah begitu?
RS:      Keris pada hari ini tidak boleh duduk dalam bingkai keris, contohnya keris yang duduk sisip dipinggang sekarang ini zaman berbusana. Saya rasa keris perlu hidup dalam budaya lain, dalam arca inilah saya membawa keris ini untuk hidup dalam arca tiga dimensi di Malaysa ini. Oleh itu keris sudah tidak duduk dalam budaya berbusana atau sekadar pakaian orang Melayu tetapi ia duduk kepada suatu penceritaan yang dibawa dalam suatu falsafah kesenian arca itu sendiri. Abstraksi keris itu boleh digunapakai pada keadaan untuk penceritaan untuk cerita zaman ini. Inilah yang saya ingin bawa penggunaan simbolik zaman atau geographical order dalam peribahasa pula ada mengkiaskan ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’ atau ‘sekali air bah sekali pasir berubah’ begitu juga nilai kesenian. Ada orang yang mempertahankan seni tradisi sahaja, tetapi saya merasakan seni tradisi itu tetap perlu dipertahankan tetapi perlu ada perkembangan tradisi itu sendiri, agar supaya tradisi itu tidak dimatikan sekadar dalam kerangka tradisi sahaja dan perlu dimodenkan iaitu dalam versi baru. Ini adalah satu tanda penghargaan saya kepada kedua-dua imej keris dan arca torso ditonjolkan sekuat mungkin imejnya.

FS:      Pada bahagian tapak, apakah jenis kayu yang  anda gunakan


RS:      Campuran, ada yang dari kayu merbau, kayu sena dan kayu-kayu yang berat dan kukuh.

FS:      Dalam pengkaryaan anda sebelum ini sukar untuk dilihat anda menggunakan tapak sebagai perletakan karya dalam kata lain arca berdiri sendiri. Mengapa karya-karya ini anda menggunakan tapak.
RS:      Arca Siri Lok ini adalah gabungan minat saya antara senjata, figura, arca torso. Torso adalah gabungan tradisi seni arca Barat iaitu satu bentuk arca yang banyak dibuat dan diolah dalam budaya Barat jadi ianya dikatakan seni yang berasal-usul dari Barat itu sendiri. Keris pula di dalam budaya orang Melayu merupakan satu alat kesenian yang paling disukai dalam budaya masyarakat Melayu itu sendiri. Hal ini kerana keris itu boleh dijadikan satu alat budaya yang melambangkan status dan juga perlambangan-perlambangan tertentu. Pertama,  figura mewakili tradisi Barat sebagai asas arca Eropah. Kedua, keris sebagai alat alam Melayu yang menceritakan identiti Melayu pada wajah arca itu. Gabungan tradisi Barat melalui wajah badan namun rupa tradisi wajah itu masih lagi dalam lingkungan tradisi kita, jadi tradisi inilah yang saya letakkan sebagai  dalam tradisi arca. Ketiga, tapak itu tadi adalah aturan arca tradisional. Katiga-tiga elemen ini mempunyai tradisi arca, tradisi arca Eropah dan tradisi Melayu digabungkan dalam membentuk arca saya sendiri dan pada saya satu bentukan seni arca moden Malaysia yang membawa identiti Melayu. Inilah bacaan saya dalam siri ini.

FS:      Karya terbaru anda dilihat dari bahagian kepala hingga aras badan atau torso. Mengapa tiada lagi bahagian tubuh badan lain seperti struktur kaki tidak lagi diberikan perhatian. Adakah ini satu percubaan kembali kepada tradisi arca itu sendiri yang menghendaki di letakkan di atas alas.
RS:      Jika kita berbalik kepada arca torso dalam acuan seni barat menekankan bahagian atas badan manusia iaitu samada dari bahagian peha ke bahagian kepala atau ada  kepala tetapi bahagian tangan ditiadakan. Dalam arca ini juga saya tidak mahu menunjukkan keseluruhan keadaan sifat badan dan cukup sekadar bentuk yang paling menarik pada bahagian badan yang saya mahukan iaitu dari bahagian punggung serta ke atas. Dalam subjek ini saya gunakan tulang belakang (spine) yang kita boleh nampak alunan walaupun figura itu hanya separuh badan tetapi kita boleh melihat kedinamikan karya ini yang tidak statik. Jadi perkara ini telah cukup tanpa kaki dan tangan bagi menunjukkan pergerakannya kerana bentuk tubuh itu telah memadai dalam mewujudkan dinamisme sebagai elemen dalam menonjolkan aliran gerak. Dalam arca-arca saya banyak bermain dengan rangka-rangka tulang seperti  sangkar rusuk (rib cage). Untuk menampakkan arca itu kuat pada strukturnya saya gunakan tulang-tulang rusuk yang dibalut dengan otot-otot yang sederhana tetapi sudah cukup bagi menampakkan kegagahan pada arca itu. Dari segi falsafah pula, saya ingin menunjukkan bahawa tubuh ini adalah penanggung dalam menghadapi cabaran masa kini sebab lok ini menceritakan liku-liku perjalanan. Sebenarya lok ini membawa maksud lekuk iaitu lekuk menunjukkan suatu yang bengkang-bengkok. Bentuk yang bengkang-bengkok ini adalah falsafah perjalanan yang diibaratkan seperti sungai, semakin besar lok dan semakin banyak lekuk semakin susah perjalanan dan semakin banyak pula rintangan. Inilah falsafah keris yang saya gunakan di dalam arca lok.

ID:       Saya ingat tahu jenis silat yang diajar di Kuala Kangsar iaitu silat gerak seni abjad adakah anda merupakan penaungnya?
RS:      Tidak, saya bukan penaungnya tetapi penuntutnya, saya dahulu pernah belajar silat pelintau semasa zaman sekolah kemudian masuk kepada seni silat abjad. Silat ini lebih bercirikan permainan gerak dan pertahanan diri, namun silat ini hanyalah seperti dalam karya-karya saya yang banyak bersilat itu sebagai rujukan kerana saya suka permainan ini kerana ia menghasilkan ilham mengenai pergerakan.

ID:       Saya sebelum ini adalah pengkaji keris dan dalam silat ini misalnya silat siput bukanlah untuk membunuh sebab untuk membunuh ada gerak yang tertentu. Bagaimana anda menentukan lok-lok dalam karya anda kerana bentuknya agak unik dan tersendiri?
RS:      Bagi siri arca ini saya sememangnya menggunakan elemen ruang (space) yang cengkung (concave) dan  cembung (convex) iaitu antara ruang positif (positive space) dan ruang negatif (negative space). Berkenaan dengan ruang ini misalnya jika kita tengok dalam sebilah keris ia ada timbul dan tenggelam atau ada satu yang tinggi dan satu lagi ke dalam, satu ke dalam dan satu tinggi. Jadi ia adalah dua perkara asas pada ciptaan bentukan iaitu cembung (convex) ruang positif dan cengkung (concave) ruang negatif. Kedua-dua ini adalah elemen dan prinsip asas dalam seni reka. Sebenarya rekaan bentuk arca saya berbalik kepada asas falsafah dalam membentuk iaitu bentuk cembung dan cengkung. Ini adalah asas dalam bentukan saya tetapi setelah melalui proses pengolahan yang panjang bentukannya menjadi semakin rumit. Jadi pada saya kesesuaian keris tadi mengikut kesesuian posisi badan. Keris yang saya gunakan dalam arca saya adalah mengikut kesesuain aliran kepada badan, dimana badan yang kita lihat itu adalah tulang belakang (spine) jika punggungnya tinggi ia akan cembung kemudian ia kembali cengkung dalam permainan ruang positif dan negatif. Oleh itu keris itu perlu saling mencukupkan dimana ia perlu masuk serasi dengan badan. Dalam situasi inilah lok itu perlu sesuai dengan keadaan badan. Keserasian diantara lok keris dan bentukan postur badan adalah penting dan saling memerlukan diantara kedua-duanya.

FS:      Dalam budaya Melayu, senjata terutamanya keris merupakan senjata yang penting dan mempunyai peranan yang pelbagai. Keris ini diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi yang lain. Senjata ini mempunyai semangat yang tersendiri, ia boleh terbang, membunuh dan mempertahankan. Boleh terangkan tentang amalan perasapan atau usap keris?
RS:      Apabila orang Melayu membuat keris, keris adalah suatu alat yang mempunyai pelbagai fungsi dan keris boleh dikatakan mempunyai nilai fizikal dan spiritual iaitu jasmani dan rohani. Jasmani keris kita dapat lihat dari segi rupa, bentuk, elemen-elemen subjek misalnya ia mempunyai belalai gajah, cicak iaitu simbol-simbol pada keris itu ada bentuk sampan, batang sungai, jalan yang lurus, ada hulu dalam bentukan duduk beribadat, tawaruk, perhambaan. Berkenaan bilah keris pula mempunyai elemen, boleh dikatakan keris ini adalah satu objek yang serbaguna. Keris bukan senjata tusuk biasa ia adalah lambang dan pegangan perjalanan orang Melayu. Perasapan ini juga merupakan suatu keadaan spiritual, mengusap keris boleh dihubungkan dengan amalan orang-orang terdahulu dalam budaya Melayu. Mengusap keris biasanya dilakukan dengan mengguna kemenyen, bau-bauan dengan setanggi misalnya adalah budaya yang biasa dalam Islam itu sendiri. Dalam Islam apabila mereka yang akan menunaikan ibadat haji di Mekah biasanya akan menggunakan setanggi sebagai pewangi. Jadi bau-bauan yang ada di alam Melayu ini merupakan daripada getah pokok apa yang kita panggil kemenyen itu tadi selain sarang kelulut. Sumber batu dan fosil-fosil  getah ini jadikan bau-bauan yang melengkapi kerana di alam Melayu ini kita mengambil sesuatu perkara yang fizikal mesti ada batin yakni spiritualnya. Bukan hanya fizikal luaran yang hanya bersifat permukaan tetapi unsur batiniah dalaman barulah ia hidup dalam melengkapi kejadian manusia itu sendiri iaitu zahir dan batin. Keris juga mesti duduk pada keadaan jasmani dan rohani yang menyentuh dua aspek kerana mahu balik kepada tuhan bersifat ghaib dan bersifat keadaan yang spiritual . Tetapi ada juga yang pergi ke alam-alam jin, alam yang tinggi seperti alam malaikat dan lebih tinggi lagi adalah alam ketuhanan itu sendiri. Jadi diantara simbol yang kita gunakan adalah bau-bauan yang kita mahu ceritakan tentang kedudukan tingkat keris itu boleh mencapai kepada peringkat ketuhanan.Tetapi ada juga pengamal yang hanya cukup sekadar mencapai ke perjalanan jin-jin ini dan ini adalah kepelbagaian dalam masyarakat.

ID:       Anda ada sebut tentang cara mencuci keris. Selain daripada itu kita tahu ada unsur tanah, api dan air termasuk juga besi sebab tadi kita ada sebut tentang cara cuci, penjagaannya. Keris ini bahannya adalah daripada besi dan kenapa kita ada pemujaan pada keris kerana adakah sebab bahan yang digunakan iaitu besi. Dalam hal ini apakah besi yang anda gunakan atau anda ada membuat campuran jenis besi atau material-material yang ada sebab saya rasa jika pengumpul mengetahui yang sudah tentu ia suatu yang bermanfaat?
RS:      Mengenai besi sememangnya ia merupakan satu kejadian yang Allah jadikan iaitu yang mana siapa yang tahu gunakan akan mendapat kekuatan . Orang Melayu sememangnya dah mahir dalam penggunaan  besi, jika kita kini penemuan di Sungai Batu iaitu beratus tahun sebelum abad pertama telah ada tempat melebur logam, jadi tamadun Melayu adalah tamadun yang tua dalam menggunakan besi. Namun dari segi kebatinannya iaitu dari segi Islam sendiri besi ini menceritakan tentang untuk kekuatan, ini bermaksud kekuatan kita mengambil besi yang kuat itu kita bangunkan dan memakai kekuatan itu sendiri. Dari segi kekuatan yang ada pada besi ini  adalah suatu benda yang tidak ada sifat pada benda lain yang kita kena guna. Jadi jika kita lihat negara-negara membangun mereka ini setiap negara ini ada menggunakan iaitu teknologi besi yang hebat. Di alam Melayu besi ini boleh dikatakan mempunyai tradisi besi alami iaitu besi yang kita ambil dari alam ini sendiri dan satu lagi besi daripada langit iaitu meteorit. Orang dahulu kala mengatakannya besi antara langit dan bumi. Campuran besi-besi ini menjadikan alatan senjata dulu-dulu memang mempunyai suatu pembawaan yang luar biasa sebab sifat-sifat besi yang diambil tadi adalah atas kebesaran kejadian tuhan. Kepercayan dahulu mengatakan langit ini adalah bapa dan ibu adalah penggung bumi, jadi cantuman mengikut orang dulu-dulu besi yang jenis bapa kahwin besi yang jenis ibu, maka campuran antara besilah yang menjadikannya istimewa serta luar biasa. Jika kita lihat abad-abad terdahulu tradisi kepercayaan dan juga pengamal-pengamal besi ini mempunyai ritual tertentu untuk mendapatkan besi ini sehingga besi ini diadun dengan menjadi suatu bahan yang benar-benar istimewa dalam pandangan masyarakat itu sendiri. Ada juga cerita keris itu membawa karekter tuah yang berbeza-beza dalam menolong tuannya mengikut ceritanya. Keris Taming Sari misalnya dapat menolong Hang Tuah misalnya di sini keris-keris ini ada membawa pembawaan. Pada masa kini pula  ada teori getaran (vibration) iaitu setiap benda itu ada getaran tenaga dalaman, tetapi semua itu benar kerana Allah ada mengatakan “ Tidak Aku menjadikan sesuatu itu sia-sia” maka tidaklah ciptaan Allah pada besi itu adalah sama tetapi berbeza-beza. Dalam pemikiran orang pandai besi (tukang keris) sememangnya mereka telah arif keadaan besi antara satu besi dengan besi yang lain sehingga dia boleh menggabungkan besi yang berbeza itu menjadi satu besi yang membawa satu karekter dan kekuatan baru. Misalnya campuran moden kini yang asas seperti logam karbon (carbon steel) iaitu besi baja yang boleh berfungsi sebagai alat yang kuat tetapi sifat kekuatannya agak rapuh. Walaupun besi ini boleh ‘memakan’ besi lain dengan cara hentakan, ketukan namun jika ada impak besi ini akan pecah, jadi ia perlu memegang sifat besi logam (mild steel) iaitu besi tawar dalam istilah orang Melayu. Walaupun kuat besi itu boleh menjadi rapuh tetapi boleh dilembutkan dan digunakan kekuatannya dengan dibalut dengan suatu besi iaitu besi tawar tadi. Besi tawar (mild steel) ini pula mempunyai sifat sederhana kuat tetapi tidak sekuat besi karbon dan membawa sifat liat apabila memegang besi karbon tadi. Selain itu rapunya besi baja tadi dipegang oleh besi (mild steel). Jadi inilah kefahaman orang kita yang menggabungkan besi menjadi suatu besi yang mempunyai kualiti yang tersendiri. Adunan pelbagai jenis besi menjadi besi baru yang ada kekuatan tersendiri. Walaupun ini adalah kepandaian dan kefahaman orang Melayu tetapi ia semain hari semakin terhakis kerana dikaji oleh orang-orang Barat dan Eropah. Kini mereka ini banyak menggunakan campuran ini dalam pembuatan senjata mereka. Kita juga ada mengeksport besi sampai ke Timur Tengah. Kepandaian kita juga dilihat oleh bangsa Turki pada Zaman Kerajaan Uthmaniah tetapi pedang-pedang kuat yang digunakan oleh Salehuddin Al-Ayubi itu menggunaka besi Damsyik (Damascus steel) iaitu besi yang dicampur begitu juga orang Melayu.

FS:      Adakah itu yang menyebabkanya lebih berkilat?
RS:      Besi kilat pula perlu melihat apa yang dicampurkan dan kandungan di besi itu sendiri. Kalau bahan kandungan di dalamnya mengandungi kromnium ia akan menjadi kilat. Bahan ini juga akan menampilkan rupa yang berbeza-beza, jika ada campuran nikel ia akan membawa sifat jaluran keputih-putihan tompokan pada corak besi. Kita di alam Melayu, kita bukan sahaja faham adunan besi itu tetapi kita di sini melangkui itu lagi sehingga rincian terhadap corak dimana setiap corak besi ada tuah yang tersendiri itulah yang dikatakan pamur pada keris. Pamur ini membawa tuah dan lambang kedudukan dan dalam berpakaian.

ID:       Di dalam pembuatan arca lok ini pula anda hanya menggunakan teknik keris atau campuran?
RS:      Dalam Siri Lok keris yang digunakan masih menggunakan teknik keris dengan campuran besi tetapi campuran besinya tidak melampui sebagaimana keris yang sebenar atas faktor masa. Walau bagaimanapun saya tetap juga menggunakan dua jenis besi iaitu karbon dan mild steel. Jika anda lihat dengan lebih dekat kesan pamur masih kelihatan seperti urat-urat besi. Atas alasan itu juga saya membuat keris tradisi termasuklah disiplinnya masih mengekalkan tradisi seperti apabila ingin dibuka perlu dilimaukan. Setiap cantuman arca ini antara keris (bahagian kepala) dan torso (bahagian badan) adalah sengaja tidak dimatikan. Semuanya menggunakan kain sebagai penyendal untuk mengetat antara keris dan badan. Keris ini katakanlah jika dalam koleksi kolektor akan berkarat maka dalam proses pemulihannya keris itu akan dicabut dan dicuci sebagaimana keris tradisi dalam arca. Budaya keris dalam ini masih lagi memegang asal keris Melayu.

ID:       Boleh anda kongsikan petua-petua dalam campuran besi?
RS:      Campuran besi ini ada petuanya, di negeri Perak ini campuran besi ada yang panggil ‘tujuh pa’ ada ‘sembilan pa’ . Ada orang tanya apa maksud ‘pa’ . Saya lebih suka guna istilah dari negeri Pahang yang memakai ‘kaf’ tetapi saya sudah mengetahui rumusan kepada kedua-dua ilmu itu. Kaf itu bermaksud kerana mereka ada amalan ‘kaf’ untuk membangunkan besi itu semula. Tetapi pada zaman kini sudah kurang orang yang mengamalkan untuk tujuan hikmah kerana tiada keperluan pada masa kini. Keris ini adalah perlambangan kewujudan diri kita yang tetap berdiri . Ada amalan tok guru yang mengatakan “ satu keris itu semua dibinasakan oleh Allah, jadi ia akan berbalik kepada orang yang menggunakannya. Semangat besi akan berbalik kepada tuan punya diri yang hidup dan punya semangat

FS:      Saya nampak dalam pengkaryaan baru anda ini jika dimiliki oleh pengumpul mereka akan dapat dua objek. Pertama, mereka akan mendapat keris dan kedua, bentuk torso sebagai arca. Cuma jika dilihat dari jauh arca-arca bahagian torso itu kelihatan seperti hulu-hulu keris. Adakah anda merancang untuk melakukannya ataupun perkara ini berlaku secara kebetulan?
RS:      Secara kebetulan, di dalam hulu keris ada figura tetapi di dalam figura ini tidak merujuk kepada hulu keris. Figura yang ini merujuk kepada figura itu sendiri.

ID:       Jika kita membuat lok biasanya kita akan mengira bilangannya dengan nombor ganjil. Bagaimana sebenarnya cara untuk mengira lok?
RS:      Lok dalam karya saya bukan sekadar angka ganjil tetapi ada juga dalam bilangan genap kerana ia telah melampui had lok, jadi di sini ia tidak lagi mengikut tradisi ganjil. Dalam budaya pertukangan keris lok genap menyimbolkan penghabis tukang, ia juga bermaksud tukang besi menandakan mahu berhenti sebelum dia menghampiri kematian. Dalam kata lain dia tidak mahu menghasilkan keris lagi dia akan mengakhirinya dengan angka genap. Tetapi dalam karya saya hanyalah bentuk luahan falsafah. Keadaan yang saya lakukan ia telah menyimpang daripada keadaan sebenar keris. Saya ceritakan ujian dan cabaran kita ini sudah tidak mengikut dan jalanya telah melampaui had. Dalam kata lain saya ingin memperkatakan Barat telah menelanjangkan iaitu pengaruh Barat telah menyerapi seluruh bangsa. Tetapi wajahnya masih lagi orang Melayu termasuklah jati dirinya. Lok yang melampau menandakan cabaran yang banyak dan semakin melampau-lampau.

FS:      Jadi arca awam yang berada di Kompleks Sejarah Pasir Salak sememangnya bukanlah kesinambungan siri baru ini. Adakah ia karya komisen?
RS:      Ya, masalahnya karya komisen di dalam negara kita ini kita tetap tertakluk kepada satu-satu badan. Ia bukan mengambil dari hasil kerja peribadi kita dan besarkan, inilah masalah dalam arca awam kerana ia bukan datang dari hasil luahan kita tetapi ia mengambil kira citarasa kehendak pelanggan itu sendiri.

FS:      Apakah amalan yang anda selalu adakan? Adakah ruang bekerja seperti bengkel atau studio mempengaruhi cari pelukis bekerja sekaligus akan membentuk karyanya?
RS:      Amalan dari segi studio saya anggap arca ini adalah suatu pekerjaan yang profesional. Bengkel adalah tempat yang saya paling suka untuk saya duduk, tinggal buat, hasilkan percubaan di situ. Jika saya ada masa lapang di situ jugalah tempat yang suka duduk, melihat-lihat material, mengkaji semula idea-idea. Ritualnya pula  tiada apa yang berlaku, ritual adalah suatu perkara yang sebati juga ia adalah amalan bukan sekadar di dalam bengkel. Amalan ini  adalah pekerjaan yang telah kita praktikan maknanya pada setiap masa bukan sekadar di bengkel. Tetapi dalam perbuatan khusus senjata saya belajar sememangnya ada untuk menghasilkan senjata sebagai senjata hikmah. Ada adat-adat khusus untuk menjadikan senjata itu hikmah atau sentuhan bangsa rohani. Ia adalah meletakkan suatu keadaan alat yang kita hasilkan itu dengan suatu benda yang luar biasa atau himah kurniaan-kurniaan daripada Allah. Tetapi di sini tidak juga saya mahu nafikan hikmah atas apa yang Allah bagi kepada saya seperti idea, buah fikiran, setiap perkara yang saya lakukan saya juga bermohon juga doa kepada Allah s.w.t dalam sumber ilham dari tuhan dapat dimanfaatkan kepada masyarakat. Saya ingin katakan sedikit di sini, ada yang mempersoalkan karya saya dari segi penghasilan torso nampak seperti tubuh yang ditelanjangkan. Jika mereka mengatakan saya cuba menonjolkan sifat erotisme dalam karya itu, pada saya perkara ini telah saya tanggalkan sifat erotisme dalam bentuk badan itu dan yang saya tunjukkan adalah kekuatan (strenght) dan saya merasakan perkara bukan satu perkara yang salah jadi ini antara satu penekanan yang saya ingin ceritakan juga . Sebab orang masih bercerita tentang larangan membuat figura. Pada saya tiga dimensi adalah suatu bahasa visual jadi apa yang saya luahkan adalah dari sudut bahasa dalam suatu keadaan dan ia bukan menjadi suatu perkara yang mengarahkan kepada suatu yang negatif. Maknanya dari sudut kerangka tiga dimensi saya telah meletakkanya dalam kerangka bahasa saya sendiri. Perkara ini merupakan ilham dan petunjuk yang saya mohon minta.

FS:      Adakah anda mempunyai amalan pada besi yang sering dipraktikkan?
RS:      Adalah menjadi tuntutan jika untuk melakukan senjata hikmat sememangnya ada amalan-amalan tertentu. Tetapi untuk menghasilkan arca ini, ia bukan seperti itu, ini adalah seperti suatu disiplin yang saya amalkan daripada dulu iaitu tanggungjawab seorang seniman adalah menghasilkan karya sebagai bahasa yang dia boleh berkomunikasi. Bagi saya ia adalah tanggungjawab. Bagi memohon pula kita pohon sebelum kita memasuki bengkel itu sendiri misalnya bangun amalkan solat Dhuha, solat istikharah kita mohon setiap pagi untuk minta petunjuk. Misalnya solat istikharah adalah memohon petunjuk daripada Allah setiap perbuatan dalam gerak diam kita pada hari itu. Apabila kita memasuki bengkel kita telah bersiap dengan persiapan, itulah yang biasa saya amalkan. Manakala amalan-amalan khusus saya tidak lakukan, contohnya adab buat senjata, kerana adab membuat senjata mempunyai ritual yang berbeza kerana ia mempunyai pertuturan dan bahasa seni yang berlainan.

FS:      Adakah saiz ruang anda bekerja mempengaruhi anda bekerja dari segi saiz karya dan bilangan karya yang akan dihasilkan?
RS:      Bagi saya yang penting dalam sebuah bengkel adalah keperluan yang saya mahukan untuk pembuatan itu tersedia ada. Tujuan saya balik ke kampung sebelum ini adalah untuk mendapatkan ruang peribadi yang tiada gangguan, keperluan kepada membayar kos sewaan, keperluan hidup tidak mendesak.

ID:       Adakah anda perlu membuat alatan-alatan baru dan khusus sendiri  dalam membentuk besi Siri Lok ini?
RS:      Bagi membentuk besi saya gunakan teknik lapisan (sandwich) atau lipatan. Tetapi khas untuk siri ini saya menempah khas gas relau (furnace gas) untuk menghasilkan pembakaran yang lebih baik. Sebabnya zaman ini sukar kita untuk mendapatkan bekalan sumber arang yang baik, inilah kerana arang untuk melebur besi adalah dari arang kayu merbau untuk mendapatkan pembakaran yang bersih melalui api yang unggu. Bagi mencapai tahap lebur, suhu perlu mencecah 1300 darjah. Pembakaran kayu ini diperkuatkan dengan pembakaran angin. Penggunaan gas ini sebenarnya bukan sahaja diperkuatkan malah bersih.

ID:       Adakah anda masih lagi menghasilkan keris untuk tempahan.
RS:      Pada masa kini saya tidak menerima lagi tempahan tetapi untuk keperluan individu yang khusus. Keris kepada orang yang saya buat itu adalah sebagai satu tanda penghargaan. Pembuatan keris dan ritualnya tidak semudah yang disangkakan berbanding dengan pembuatan keris biasa. Pembuatan keris khusus tadi perlu diniatkan kepada orang yang berkenaan.

FS:      Apakah harapan anda terhadap khalayak yang datang menyaksikan himpunan karya terbaru anda ini nanti?
RS:      Khalayak dapat mesej yang saya sampaikan serta menerima, menghayati dan sama berkongsi keseronokan pada karya itu nanti. Pada masa yang saya pameran ini dapat memberikan satu cetusan kepada seni tanah air terutamanya dalam seni arca agar terus segar terutamanya kepada orang-orang muda dan pengkaji budaya-budaya Melayu. Saya becadang semasa pembukaan pameran itu nanti dapat diadakan satu pertunjukkan. Adalah menjadi syariat memberi elemen kekaguman kepada orang, kagum di sini bermaksud apabila mereka melihat karya ini ia memberi satu daya tarikan pandangan, kehairanan dan impak kepada mereka sebagai orang yang melihat, ciri-ciri inilah yang saya harapkan.


Kurator pameran Lok iaitu Faizal Sidik bersama pengarca Raja Shahriman di bengkel studio yang terletak di Kuala Kangsar.