Jumaat, 24 Ogos 2018

60 Tahun Penulisan dan Penerbitan Seni di Malaysia (1958-2018)



Oleh: Faizal Sidik



Pendahuluan
Penulisan ini meninjau perkembangan dunia penerbitan seni tempatan atau lebih khusus lagi penulisan-penulisan seni yang telah diusahakan oleh penerbit Balai Seni Negara secara khusus dan juga dunia penerbitan seni tempatan dalam tempoh enaam puluh tahun. Dalam tempoh enam dekad ini pelbagai usaha-usaha telah dilakukan dalam mendekatkan masyarakat dengan seni melalui tulisan-tulisan yang telah diterbitkan samada buku, majalah, jurnal, risalah dan lain-lain.     Penulisan ini juga mengimbau peristiwa-peristiwa penting dalam seni lukis yang tidak boleh tidak akan melibatkan penghasilan penerbitan dan juga penulisan yang membincangkan tentangya. Dalam menyelusuri dekad-dekad itu kegitan seni dan sastera seiring dan sejalan dengan merakam manusia dan alam seninya.

1
Boleh dikatakan penulisan secara serius seni lukis di Malaysia bermula pada tahun  akhir 1950 an selepas kewujudan Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1958. Idea penubuhan sebuah balai seni lukis ini bermula setelah pembentukan Majlis Kesenian Malaya yang diterajui oleh Tan Sri Mubin Sheppard dan Frank Sullivan pada tahun 1958. Penubuhan sebuah balai seni ini adalah ilham daripada Perdana Menteri Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Hajj yang merupakan Perdana Menteri pertama Malaysia. Selepas negara mencapai kemerdekaan, perkara yang penting diberi keutamaan oleh negara pada masa itu adalah menyatupadukan rakyat. Semangat perpaduan dikalangan berbilang kaum ini  perlu disemai dan diterjemahkan dalam pelbagai cara dalam menggalakkan integrasi antara kaum selepas kemerdekaan tanahair.

Sebelum merdeka, British telah membahagikan penempatan kaum-kaum di Malaya pada masa itu bagi memudahkan pemerintahan mereka. Misalnya, orang Melayu sebagai petani di kampung-kampung, orang Cina sebagai peniaga di pekan-pekan dan orang India sebagai penoreh di ladang-ladang pokok getah. Hasilnya, hidup masyarakat pada masa itu terpisah-pisah, inilah yang dikatakan dasar pecah perintah penjajah.  Salah satu ideanya adalah penubuhan sebuah balai seni yang mengumpul dan mempamer lukisan-lukisan yang bertemakan gambaran sebegini dalam menanam semangat cintakan negara, rasa harmoni, kasih sayang dan muhibbah dikalangan semua bangsa Malaysia. Selain visual lukisan penerbitan-penerbitan yang menyokong pameran telah diterbitkan.

Sejarah penerbitan pertama yang diterbitkan oleh Balai Seni Negara adalah katalog pameran pertama yang dianjurkan bertajuk ‘Pertonjokan Pinjaman Negara Yang Pertama’ sempena pembukaan rasmi bangunan pertama Balai Seni Lukis Negara pada 27 Ogos 1958 yang bertempat di Pusat Pelancongan Malaysia atau Matic pada hari ini. Dahulunya bangunan ini merupakan bekas bangunan Parlimen Malaysia. Pameran ini berlangsung selama empat bulan sehingga bulan November. Pameran pinjaman nasional pertama ini adalah sebuah penerbitan yang menyenarikan daftar sebanyak 116 buah karya yang dipinjam daripada 39 pelukis dan pengumpul seni. Kulit depan katalog ini berlatarkan sebuah lukisan oleh Cheong Lai Tong yang bertajuk ‘Ronggeng’, namun di sesuaikan dengan reka grafik yang berbentuk geometrik segiempat tepat seolah-olah simbol kepada karya seni yang bersaiz empat segi.


2
Seni lukis Malaysia memasuki fasa kemeriahannya sekitar tahuan 1960 an, ini adalah kerana bukan sahaja kerana sebanyak 186 pameran berserta bahan penerbitan sokongan seperti risalah dan katalog yang diterbitkan oleh Balai Seni Negara tetapi juga adalah sokongan galeri swasta. Pembukaan galeri-galeri swasta di sekitar Kuala Lumpur selepas kemerdekaan pada tahun 1960 an seperti Gallery Galaxy oleh Yin Hong pada 1965 hingga 1973, Samat Art Gallery oleh Frank Sullivan pada 1966 hingga 1976,  Gallery 11 oleh Chen Voon Fee dan Dawn Zain pada 1968 hingga 1970, APS Gallery oleh persatuan Angkatan Pelukis Semenanjung pada 1967 hingga 1969. Kewujudan galeri-galeri ini bukan sahaja memperkenalkan sistem galeri swasta yang terawal di sini kepada pelukis-pelukis tetapi juga dengan pameran-pameran yang diadakan sepanjang galeri ini beroperasi telah memperbanyakan  lagi ruang-ruang pameran seni lukis. Disamping itu membantu dan  menghasilkan penulis-penulis seni dalam memperbanyakkan lagi koleksi penulisan pameran menerusi pameran solo dan berkumpulan yang diadakan.

Pameran Seni Lukis Malaysia sempena Commonwealth Art Festival yang begerak ke bandar-bandar utama Eropah dan Australia pada sekitar tahun 1965 hingga 1967  juga telah memperkenalkan seni lukis moden Malaysia kepada khalayak antarabangsa. Pameran yang dikuratorkan bersama oleh Donald Bowen dari Commonwealth Institute di London dan Frank Sullivan semasa berkhidmat sebagai Setiausaha Kehormat Balai Seni Lukis Negara ini dalam memaparkan karya-karya pelukis-pelukis Malaya selepas kemerdekaan pada masa itu dan selepas pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963. Pameran ini telah berjaya memperkenalkan Malaysia menerusi seni lukis menerusi paparan keindahan lanskap tempatan, penduduk yang pelbagai kaum dan kekayaan hasil bumi. Secara tidak langsung pameran ini telah menjadi satu tarikan pelancongan yang terawal negara kepada masyarakat luar terutamanya di Eropah untuk mengetahui negara kita dengan lebih dekat lagi.

Di dalam risalah pameran ini telah menyenaraikan 102 karya oleh 29 pengkarya daripada koleksi institusi, badan korporat dan pengumpul seperti Balai Seni Lukis Negara, Muzium Negara, Universiti Malaya, Maktab Perguruan Ilmu Khas, Bank Negara Malaysia, Lembaga Letrik Negara, Frank Sullivan, P.G. Lim dan koleksi pelukis sendiri. Antara muzium-muzim dan galeri-galeri seni yang dijelajahinya  adalah seperti Glasgow Museum and Art Gallery, Scotland ( 18 September- 2 Oktober 1965), Dublin Building Centre, Ireland ( 22 November – 17 Disember 1965), Commonwealth Institute, London, England  (15  Januari 1966), Cologne (26 April-22 Mei 1966), Berlin  (8 Julai – 6 Ogos 1966), Hamburg, Jerman  (9 September-23 Oktober 1966), David Jones Gallery, Sydney, Australia  (Oktober 1966), Rome, Itali  (6 -13 November 1966) dan St Etienne, Paris, Perancis ( April 1967). Pameran bergerak antarabangsa ini diteruskan pada 70 an di Melbourne, Adelaide Australia dan Wellington, New Zealand.

Sekitar tahun 60 an juga adalah tahun merupakan tahun-tahun yang agak menarik dari segi pameran dan peningkatan dari segi kualiti penerbitan bercetak seperti penerbitan katalog-katalog  pameran yang diterbitkan Balai Seni Negara. Misalnya melalui kerjasama dengan kedutaan dan badan kebudayaan luar seperti Belanda, Perancis dan British Council di Kuala Lumpur, Balai Seni Negara berjaya mengadakan pameran pelukis-pelukis besar seperti Pablo Picasso at Age 85 Years (25 Oktober 1966-14 Januari 1967), Rembrandt: Etchings & Drawings (5 April – 5 Mei 1968), dan Henry Moore (9 Disember 1968- 7 Januari 1969). Sungguhpun karya-karya yang dipamerkan adalah karya reproduki semula dari karya asal namun penghasilan katalog-katalog pameran ini telah Balai Seni Lukis setanding dengan muzium-muzium seni luar pada masa itu.

3
Pada akhir 60 an dan awal 70 an dilihat dunia seni dan sastera di sini sangat tajam kritikanya terhadap strategi politik kerajaan yang hanya menekankan dan  memokuskan kemajuan dari sudut ekonomi sahaja.  Kritikan ini adalah kerana ketidakseimbangan pembentukan insan dari segi fizikal (pembangunan) dan mental (kerohanian) seterusnya menghasilkan  masyarakat rendah kesedarannya terhadap aspek kebudayaan mereka sendiri. Perihal ini adalah kerana sejak merdeka budaya asing dari luar sangat mendominasi kehidupan rakyat dan tiadanya kemajuan dalam mewujudkan kebudayaan nasional. Natijahnya, pada 16 hingga 20 Ogos 1971 sebuah Kongres Kebudayaan Kebangsaan telah dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

Sekitar 60 pembentang kertas kerja dengan sejumlah seribu hadirin telah hadir selama 5 hari dalam ber kongres. Himpunan kertas-kerja ini telah diterbitkan dalam bentuk buku oleh penganjur dalam bentuk buku. Kongres itu telah dibentangkan pelbagai usul-usul kesenian dan kebudayaan kepada pihak kerajaan telah diadakan dari pelbagai tajuk seperti seni halus, seni muzik, seni tari, seni teater, seni bina, seni kraf dan perfileman. Hasilnya tiga teras penting daripada DKK ini telah ditetapkan iaitu menjadikan kebudayaan rakyat asal serantau sebagai teras berbudaya, kebudayaan asing yang sesuai wajar diterima dan Islam sebagai unsur penting dalam pembentukan budaya nasional.

Selepas polisi besar ini lahirlah beberapa tindakan-tindakan yang seakan-akan ingin mencabar semula ketetapan dalam DKK ini dan seterusnya telah mencetuskan polemik seni. Pameran Towards A Mytical Reality oleh pasangan pelukis konseptual Redza Piyadasa dan Suleiman Esa pada tahun 1974  di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka telah membina wacana seni yang belum pernah dilihat sebelumnya. Perdebatan ini bermula setelah apa yang ditulis oleh Piyadasa di dalam manifesto pameran ini dalam katalog pameran Towards A Mystical Reality. Terdapat juga percubaan kedua-duanya bergabung dalam menolak DKK dalam beberapa pameran seni lukis sebelumnya seperti pameran ‘New Scene’ (1969), ‘71’dan ‘Dokumentasi’ . Dalam Towards A Mystical Reality mereka berdua cuba mengasimilasikan budaya Timur dan Barat dalam perspektif baru seni sebagai sebuah kajian saintifik dari sudut mental, meditatif dan mistikal yang terdapat dalam falsafah Asia berhubung dengan amalan falsafah Taoism dan Zen.

Namun keberanian mereka berdua mempamerkan objek jumpaan di dalam konteks galeri dengan menamakan itu adalah sebuah karya seni boleh dikatakan mempersoalkan semula kewujudan penciptaan seni dan di sini bermulalah kritikan seni lukis Malaysia yang malar segar hingga ke hari ini. Kritikan perbalahan pendapat ini bermula apabila media arus perdana hanya membuat ulasan kenyataan sahaja menerusi tulisan Raja Zahabuddin Raja Yaacob “ Wawancara Dengan Dua Orang Pelukis Konseptual” (Julai 1974), penulisan Krishen Jit “Seni Lukis Membosankan” di Berita Mingguan (4 Ogos 1974) dan tulisanya dengan nama pena Utih di Sunday Times dengan tajuk “Toward a Mystical Reality” (4 Ogos 1974). Majalah Dewan Sastera yang bereditorkan Usman Awang telah menyediakan platform khusus untuk mempolimikkannya.

Persoalan dan jawapan di dalam majalah ini berlarutan selama beberapa bulan pada tahun 1975. Tercabar dengan perasmi pameran Toward Mystical Reality iaitu Ismail Zain agar memberikan komentarnya Siti Zainon Ismail telah menguji jati diri Piyadasa dan Suleiman Esa sebagai pelukis Melayu-Islam menerusi “Pengaruh dan Identiti dalam Seni Lukis” (Mac 1975). Namun Piyadasa telah menjelaskannya dalam “Satu Jawapan Terhadap Tulisan Siti Zainon” (Mac 1975). Perdebatan menjadi semakin hangat dan mendapat perhatian bukan sahaja dikalangan orang seni tetapi juga orang sastera apabila Siti Zainon Ismail membidas mereka dalam “Satu Esei untuk Piyadasa (Mei 1975). Piyadasa kembali menyerang dengan tulisan “Satu Jawapan Terhadap Tulisan Siti Zainon, sebelum Saleh Ben Joned menulis secara sinikal terhadap pameran itu dalam “Kencong dan Kesenian: Surat Salleh Ben Joned (Julai 1975).


4
Tahun-tahun 80 an adalah refleksi daripada usul-usul yang telah dicadangkan di dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang  menyarankan perlu adanya Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai panduan dalam berseni dan berbudaya. Industri penerbitan buku dan majalah yang dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sangat terkesan dengan perubahan itu. Selepas kelahiran majalah Dewan Sastera pada Januari 1971 yang memuatkan karya-karya sastera kreatif seperti tulisan puisi, cerpen, novel, drama, ulasan buku, kritikan sastera oleh sasterawan malah majalah ini juga menjadi pentas utama dan perbincangan dikalangaan seniman seperti pelukis dan pengarca dalam memperkatakan karya seni lukis dalam ulasan dan kritikan seni.

Bercambahnya minat masyarakat untuk membaca bukan sahaja sastera malah seni dan budaya, disamping menyahut salah satu teras iaitu kebudayaan rakyat asal dan serantau dijadikan teras dalam Kebudyaan Kebangsaan maka pada tahun 1979 lahirlah majalah Dewan Budaya dalam menyahut seruan itu. Apa yang menariknya adalah kewujudan majalah ini pada tahun 80 an telah memberi ruang kepada penulis-penulis seni untuk menyumbang penulisan mereka kerana Dewan Budaya mempunyai ruang yang khusus untuk penyumbang seni lukis seperti ruangan ‘Seni Lukis’, ‘Galeri’, ‘Kamar Seni’ dalam mengulas dan membincangakan perihal lukisan. Apa yang menarik dekad ini juga muncul sebuah majalah bacaan ringan melalui komik iaitu ‘Fantasi’yang membicarakan juga persoalan seni lukis dengan memperkenalkan profail-profail pelukis dalam setiap keluarannya  diterbit oleh Creative Enterprise bertahan sehingga pertengahan tahun 1990 an.

Walaupun peranan Dewan Bahasa dan Pustaka memartabkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui penerbitan-penerbitnya. DBP juga memberi ruang kepada penulis-penulis seni dalam menghasilkan buku berbahasa Inggeris yang boleh dianggap penting dalam membincangkan karya pelukis-pelukis tempatan dalam bentuk cetakan buku dan bukan dalam bentuk katalog-katalog pameran pada dekad sebelumnya. Buku Modern Artist of Malaysia (1983) ditulis bersama oleh T.K. Sabapathy dan Redza Piyadasa  dimana idea penerbitan buku ini diilhamkan oleh SN Dato Baha Zain (Baharuddin Zainal) semasa menjawat Timbalan Pengarah DBP tentang perlunya sebuah buku diterbitkan dalam merekod seni lukis moden Malaysia untuk dikongi oleh orang asing untuk mengetahui keunikan seni lukis moden Malaysia dengan tempat-tempat lain. Setahun kemudian pada 21 Mei 1984, Balai Seni Lukis Negara telah berpindah ke bekas Hotel Majestic di No. 1 Jalan Sultan Hishamuddin yang dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato Seri Dr Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia ke-4.

Kemeriahan dunia penerbitan pada sekitar dekad ini bukan sahaja giat dijalankan di Malaysia sahaja tetapi juga di rantau Asia Tenggara. Melalui ASEAN Committee on Culture and Information (COCI) iaitu sebuah badan di dalam pertubuhan negara Asia Tenggara atau Asean yang ditubuhkan dalam mempereratkan hubungan negara anggota melalui kerjasama seni budaya. Melalui pameran yang dijalankan jawatankuasa ini begitu aktif menerbitkan katalog pameran-pameran yang dijalankannya setiap tahun untuk menggalakan perjumpaan pelukis kecil, pelukis muda dan pelukis atau pengarca mapan seperti  Pameran Kanak-Kanak ASEAN, Pameran Bengkel Seni Lukis Belia ASEAN dan Pameran Seni Foto dan Seni Lukis Bergerak ASEAN.

Bengkel dan Simposium seni arca seperti ASEAN Square Sculpture Symposium yang berlangsung selama enam edisi  yang telah diadakan ibu negara Asia Tenggara setiap tahun dari 1980 hingga 1989 bukan sahaja telah berjaya membina 6 taman-taman arca awam yang bertemakan perpaduan, kesepakatan, keharmonian, kepelbagaian dan kekayaan anggota menganggotainya pada masa itu malah juga 6 penerbitan menerusi bengkel itu. Lokasi taman arca ‘Laman Asean’ berhampiran dengan Tugu Negara, Kuala Lumpur misalnya adalah sebuah taman arca awam yang dibina apabila Malaysia menjadi negara hos bagi ‘5th ASEAN Sculpture Symposium’

5
Pengkajian pada awal sejak tahun awal 1970 an hingga tahun 1990 an berkenaan seni dan kraf tradisi di pelusuk negara termasuk negara jiran Asia Tenggara yang lain semasa menjadi Pengarah Muzium Seni Asia, Universiti Malaya dan Balai Seni Lukis Negara membawa Syed Ahmad Jamal dijemput karyawan tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menghasilkan penerbitan buku. Hasilnya sebuah buku beliau yang pertama bertajuk ‘Rupa dan Jiwa’ (1992) telah diterbitkan oleh DBP. Buku ini dianggap penting sebagai manifestasi penerapaan kebudayaan serantau seperti yang dianjurkan oleh DKK di dalam berseni rupa.

 Buku ini juga telah memberi pengaruh yang cukup besar kepada pelukis dalam mencari, menerapkan dan menyambungkan identiti kemelayuan di dalam pengkaryaan mutakhir mereka. Pada tahun 1979 semasa beliau menjadi Pengarah di Muzium Seni Asia sebuah katalog telah diterbitkan sempena pameran yang bertajuk ‘Rupa dan Jiwa’ yang menghimpunkan 500 artifak kesenian Melayu. Manakala semasa beliau menjadi Pengarah Balai Seni Lukis pula pada tahun 1994 sebuah katalog telah diterbitkan dengan tajuk ‘Rupa dan Jiwa: Kesinambungan Tradisi dalam Seni Rupa Sezaman’ sempena pameran dengan tajuk yang sama. Beliau telah diangkat menjadi tokoh Seniman Negara pada 1995 dengan gelaran Datuk.

Di akhir tahun 1990 an adalah tahun-tahun yang agak panas dalam arus sosial-politik tanah air. Pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998 dalam kerajaan telah membawa gelombang reformasi dalam sistem tadbir urus negara. Bahang kehangatan reformasi ini bukan sahaja bukan sahaja datangnya dari anak-anak muda yang tidak berpuas hati malah dari golongan seniman dan sasterawan turut keluar dijalanan untuk menyatakan rasa protes mereka. Semburan air kimia, bahan api molotov koktel, ayunan cota telah menjadi alat untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Banyak juga penerbitan seperti buku dan majalah yang bersimpati dan  ingin berkongsi pandangan dengan persoalan sosial-politik semasa tanahair. Pada waktu ini juga lahirlah majalah politik sezaman seperti Tamadun, Siasah dan lain-lain yang mesra seniman dan sasterawan dalam mengeluarkan pendapat mereka pada masa itu.

Kemuncak terjemahan resah dan gelisah daripada itu maka keluarlah novel politik satira ‘Shit’ (1999) oleh SN Shahnon Ahmad yang mengegarkan dunia kesusasteraan negara kerana menggunakan metafora usus dan bahagian perkumuhan manusia sebagai naratif kritikan beliau permasalahan ini yang kemudiannya diharamkan. Kumpulan seni Matahati yang dianggaotai oleh anak-anak muda pula mengadakan ‘demonstrasi’ di Galeri Petronas. Pameran ‘PL’ (1999) dalah sebuah pameran yang menggunkan maksud dunia penyiaran yang bermaksud cerita atau kandungan yang mempunyai unsur yang menyentuh agama, sosial dan politik. Pameran ini yang konsepkan ‘seni zoo’ ini merujuk kritikan kumpulan ini terhadap pergolakan sosial-politik semasa yang tidak menentu kesan daripada kejatuhan ekonomi dan nilai matawang. Mereka mengajak pengunjung melihat seni zoo yang dicipta oleh mereka seperti melihat tingkah laku manusia yang  tidak ubah seperti tabiat binatang di dalam zoo.

Terdapat juga pelukis-pelukis yang bergerak secara bersendiri dalam menyatakan pendirian mereka terhadap reformasi ini seperti yang terdapat di dalam penerbitan katalog- katalog pameran solo dan berkumpulan   seperti Syed Ahmad Jamal ‘?’(1998), Wong Hoy Cheong ‘Vitrine of Contemporary Event (1999), Faizal Sidik dalam ‘Voice Without a Sound: King Rawana as the Desperado’(1999), Fauzul Yusri Yusof , ‘Secret Agenda’(2002) adalah antaranya. Selain itu pelukis kartun satira politik Zunar turut menghasilkan himpunan kartun-kartunnya dalam buku ‘Kroni Mania’dan ‘Brain Negaraku’(1999) yang pernah disiarkan dalam akhbar-akhar pembangkang seperti Suara Keadilan, Harakah dan portal berita dalam talian.

6
Industri perbukuan dan terjemahan Malaysia dalam memasuki alaf baru apabila Dewan Bahasa dan Pustaka telah membahagikan peranannya. Pada September 1993 dengan unit terjemahannya telah dipisahkan menjadi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). dibawah Kementerian Kewangan yang banyak menerbit buku-buku dalam bahasa asing kepada bahasa Melayu dan dari bahasa Melayu kepada bahasa asing. Pada alaf baru peranannya diperluaskan bukan sahaja menterjemah tetapi juga menerbit buku-buku baru seperti yang dilakukan oleh DBP, maka namanya telah diubah menjadi Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBN) yang menjalankan perkhidmatan penerbitan buku seperti terjemahan, kejurubahasaan, suntingan, latihan, sari kata dan sokongan. Kini ITBN mempunyai katalog-katalog buku bagi kategori seni dan kreatif yang aktif menterjemah buku-buku seni dalam bahasa asing kedalam bahasa Melayu dan membukukan hasil penulisan atau karya pelukis untuk pasaran tempatan.

Memasuki alaf juga adalah anjakan baru dalam bidang penulisan dan penerbitan, dengan kelajuan teknologi maklumat daripada internet perkara ini telah membuka demokrasi seluas-luasnya kepada penulis untuk menerbitkan penulisan-penulisan mereka sendiri di dalam aplikasi-aplikasi yang disediakan secara percuma seperti blogspot, wordpress, tumblr dan lain-lain. Kelahiran bloger-bloger yang bergerak secara sendiri ini telah menafikan kuasa rumah-rumah penerbitan buku untuk menerbitkan tulisan-tulisan mereka. Beberapa portal atau laman blog persendirian telah menjadi tempat rujukan kepada peminat seni untuk mendapatkan maklumat terbaru pameran atau forum seni yang diperbincangkan seperti kakiseni.com, visualcracker.blogspot oleh Nasir Baharuddin, kebunjiwa.com oleh Hasnul Jamal Saidun antaranya aktif melontarkan persoalan-persoalan seni semasa  dan mempunyai pengikut-pengikut mereka yang setia.

Kemunculan pendekatan baru yang lebih global ini tidak pula menyaingi penerbitan seni bercetak malah pada dekad ini juga dimeriahkan lagi dengan penerbitan-penerbitan baru seperti majalah yang membangkitkan isu-isu seni terkini seperti ‘Tanpa Tajuk’ (2000-2001) sebagai risalah seni rupa Malaysia hanya bertahan sehingga edisi kedua oleh penerbit Kumpulan Artis Jambatan Baru dan Pustaka Cipta. Kemunculaan ‘Art Corridor’ (2001-2002) oleh Yayasan TH Koid turut membantu perkembangan dan pemasaran seni di Malaysia yang disokong oleh korporat. Majalah dwi-bulanan ini dieditorkan oleh Sarah NH Volger ini bukan sahaja meninjau seni lukis tempatan malah menghubungkannya dengan negara jiran seperti Singapura. Majalah keluaran Balai Seni Negara pula iaitu  ‘Set’ (2005-2007) dan kemudian ‘Senikini’ (2008) adalah sebagai lidah rasmi Balai Seni Negara dalam menyampaikan maklumat-maklumat terkini seni lukis tempatan terutamanya pameran dan program   anjuranya. Selain itu majalah Sentap (2005-2015) yang diterbitkan oleh rumah seni secara kolektif oleh Teratak Nuromar adalah majalah mewancanakan perkembangan seni kontemporari tempatan dan serantau oleh-penulis-penulis jemputan.  

Selain majalah yang bersifat semasa dekad ini juga memperlihatkan adanya usaha-usaha dikalangan pelukis yang menulis untuk menerbit sendiri penulisan-penulisan mereka. Buku terbitaan Tinta Publisher iaitu ‘Tanpa Tajuk: Cerita-Cerita Seni Rupa’ (2009) oleh Tengku Sabri Ibrahim adalah memoir, esei pendek, teks syarahan dan beberapa pernyataan artis pilihan terhadap karya-karya yang dihasilkannya semenjak penglibatannya sejak tahun 1980 an. Pelukis lain pula adalah seperti Siti Zainon Ismail 'Percikan Seni' (1993) Mohd Fuad Arif  dengan ‘Seni Bukan Segala-galanya’ (2013) oleh RA Fine Art,  ‘Éuforia: Selonggok Retorik Nur Hanim Khairuddin Tentang Seni’ (2010), Hasnul Jamal Saidun ‘Kocak di Fukuoka’(2011), Safrizal Shahir ‘Ijtihad: Kumpulan Esei-Esei Seni’ (2012) oleh penerbit Muzium dan Galeri Tunku Fauziah.

Himpunan penulisan-penulisan seni dihimpun dalam buku ‘Naratif Seni Rupa Malaysia’ diterbit oleh Rogue Art mempunyai 3 jilid yang membincangkan tentang identiti, kritikan dan infrastruktur seni di Malaysia. Terdapat juga penerbit-penerbit universiti yang menerbitkan buku dan jurnal seni daripada penyelidikan oleh pensyarah bukan sahaja untuk dijadikan sebagai medium pengajaran tetapi juga untuk umum seperti ‘Inti’ Jurnal Perintis Pendidikan, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (UiTM) , ‘Wacana Seni’ Pusat Seni (USM), ‘Álam Cipta’ (UPM)‘Tirai Panggung’ Jurnal Seni Persembahan, Pusat Kebudayaan (UM), ‘Kupas Seni’ Jurnal Seni dan Pendidikan Seni (UPSI) dan ‘Gendang Alam’ Jurnal Seni, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (UMS).

Kehadiran aplikasi terkini dalam penyampaian maklumat seperti media-media sosial seperti facebook, whatapps,  you tube, tweet, instagram dan lain-lain telah menjadi platform baru kepada seniman dalam melihat dan memperkatakan tentang seni secara dua hala dan interaktif.  Pengguna akaun facebook dan whatapps misalnya bukan sahaja boleh membaca penulisan seni yang dipautkan oleh rakan-rakan atau dalam kumpulan mereka mengenai sesuatu tajuk atau isu tetapi juga mereka boleh berinteraksi secara terus dengan pengirim dengan menghantar semula pendapat atau pandagan mereka secara pantas. Video-video yang kirimkan kini seperti klip sesebuah pameran telah mengantikan gambar-gambar pegun dalam memperdalamkan minat pembaca untuk mengetahui ruang sebenar yang bersifat maya.  Seni kini boleh berada dihujung jari dan boleh dibaca dimana-mana sahaja.

Penutup
Sehingga hari ini dunia penulisan dan penerbitan di Malaysia sedang rancak berkembang, walaupun terdapat cabaran-cabaran yang dihadapi seperti kekurangan dana namun kini telah terdapat pendektan yang  lebih pantas dan mudah bagi sesuatu penulisan itu diterbitkan. Penggunaan penerbitan secara elektronik seperti e-book, e-catalogue, e-magazine, e-journal dan sebagainya telah merancakan lagi penerbitan buku, katalog, jurnal dan yang lain-lain yang bukan sahaja boleh dicapai pembaca tempatan tetapi lebih global.


Faizal Sidik, '60 Tahun Penulisan dan Penerbitan Seni di Malaysia' Dewan Budaya, April 2019, ms 19-23.


Sabtu, 4 Ogos 2018

Haron Mokhtar: Kapsul Masa 1988-2018 (Siri Perakam Waktu)



Kurator pameran: Faizal Sidik

Pengenalan
Pameran solo ke-8 oleh Haron Mokhtar yang bertajuk ‘Haron Mokhtar : Kapsul Masa 1988-2018’ (Siri Perakam Waktu) merupakan siri terbaru karya-karya catan mutakhir dari yang dihasilkan pada tahun 2018. Berkarier sejak pertengahan 80 an Haron Mokhtar boleh diletakkan sebagai pelukis yang konsisten dalam memanifestasikan manifesto Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK), 1971 yang menetapkan atau mengariskan salah satu prinsip iaitu hala tuju seni hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini.

Kegeniusan orang Melayu dalam penciptaan dan ketukangan seni bina rumah di rantau ini yang merangkumi kawasan Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kemoja serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) yang merupakan bahagian dari kawasan tamadun atau budaya Melayu dirakamkan oleh beliau sebagai pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu yang ulung pada suatu ketika dahulu yang memperlihatkan kekayaan, kehalusan, dan nilai-nilai peribadi orang Melayu itu sendiri.

Pameran bertajuk ‘Haron Mokhtar : Kapsul Masa 1988-2018’ (Siri Perakam Waktu) adalah perlambangan atau simbolisme ketinggian warisan penduduk asal rantau ini dalam bentuk lebih 80  karya catan seolah-oleh sebuah ‘kapsul masa gergasi’ yang bukanlah ditanam di dalam tanah tetapi dihimpunkan dalam satu sebuah galeri dalam kita mengingati kehebatan sejarah dan warisan kita pada masa lalu dan pada masa yang sama untuk membina semula kekuatan dan kepintaran kita pada masa hadapan.

1980 an
Dekad 1980 an adalah dekad pembentukan awal Haron Mokhtar sebagai pelukis. Pada 1983 hingga 1987 Haron Mokhtar mengikut pengajian Diploma Seni Halus di Kajian Seni Lukis dan Seni Reka di Institut Teknologi Mara (kini UiTM). Beliau telah mula dikenali semenjak memenangi anugerah berprestij pelukis baru iaitu Anugerah Bakat Muda Sezaman yang dianjurkan oleh Balai Seni Lukis Negara bagi mencukil pelukis-pelukis muda pada 1987. Bagi melayakkan beliau mengajar sebagai guru beliau telah menyambung pengajian dengan mengambil  Diploma Pendidikan Seni di institusi yang sama pada 1987 hingga 1988. Pada waktu ini kebanyakan karya-karya Haron Mokhtar bersifat realisme.

1990 an
Tahun-tahun 1990 an Haron Mokhtar terus membuat penerokaan stail yang tersendiri dalam mencari identiti. Hasilnya penerokaan terhadap seni bina rumah tradisi serantau telah membawa beliau menghasilkan dua buah pameran solo. ‘Siri Kaseh Sayang’ (1995) di Galeri Shah Alam adalah himpunan karya-karya beliau hasilkan antaranya semasa berkhidmat di Sarawak. Manakala siri ‘In Pursuit of Penang’ (1999) yang diadakan di The Artists Space, Hotel Concorde, Shah Alam pula adalah hasil kembaraan beliau dalam merakam rumah dan bangunan lama di Pulau Pinang.

2000 an
Walaupun telah memasuki alaf baru karya-karya Haron Mokhtar masih mengekalkan nilai-nilai warisan. Pengkajiannya yang lama terhadap rumah tradisi diperkembangan lagi dengan melukis dari sudut atas atau disebut sebagai sudut pandangan burung (bird eye view). Maka ‘Siri Atas Bawah Pusaka’ (2005) telah menghimpun sejumlah karyanya di galeri Pelita Hati, Kuala Lumpur. Pada akhir dekad ini beliau telah mendapat tugasan atau komisen untuk menyiapkan 22 keping lukisan untuk Koleksi Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor hasilnya himpunan catan nostalgia dan sejarah yang dinamakan ‘Siri Mengadap Sultan’ (2009) untuk Istana Mestika, Shah Alam telah berjaya disudahkan.

2010 an
Perarakan oleh golongan bangsawan seperti Sultan dan pembesar seperti yang terdapat dalam siri sebelumnya diperkembangkan oleh Haron Mokhtar dalam ‘Siri Warisan’ (2011) di galeri Pelita Hati. Selain itu siri ini terus menampilkan rumah-rumah Melayu tradisi, bangunan kolonial, alat pengangkutan awam dan cara hidup sosial masyarakat zaman dahulu. Pameran ‘Yesteryear Part I’ (Januari 2015) dan ‘Yesteryear Part II’ (April-Mei 2015) di Interpr8 Art Space, Publika, Kuala Lumpur pula kedua-duanya menghimpunkan 43 karya dokumentasi kepelbagaian seni bina dan budaya di negara ini.

2018
Dalam ‘Siri Merakam Waktu’ di Galeri Shah Alam pula mempamerkan sekitar 86 karya yang mempunyai 4 tema utama seperti Adat, Budaya dan Warisan, Haiwan, Figura dan Pengangkutan. Antara tajuk-tajuk karya yang terdapat dalam tema Adat, Budaya dan Warisan adalah seperti Siri Khazanah Bahari I-IX, Waris Baba Nyoya I-III, Pelamin Baba Nyoya dan Balik Haji I-II. Apa yang menariknya dalam siri baru ini dari karya sebelumnya  adalah Haron Mokhtar menerapkan perlukisan semula objek-objek memori yang mengingatkan dan mengimbau kenangan silam kita seperti mangkuk tingkat, pelas, pelita dinding, gasoline dan lain-lain sebagai rakaman budaya.

Kuratorial
Secara kuratorialnya keseluruhan pameran ini boleh dibahagikan kepada 3 segmen. Segeman satu dan dua di Galeri 1 mempamerkan karya-karya ‘Siri Perakam Waktu’ yang bersaiz besar dan bahan arkib. Disamping mempamerkan siri karya-karya Haron Mokhtar terbaru satu bahagian sudut kecil dikhususkan untuk mendokumentasikan kajian-kajian pelukis seperti lakaran, lukisan, katalog pameran, gambar-gambar dan objek-objek nostalgia seperti yang terdapat di dalam catan asal pelukis. Tujuan bahan ini dikongsi adalah untuk menyokong pengkaryaan pelukis selama ini hampir empat puluh tahun berkarier. Sesi temuramah turut dirakam bagi mendekatkan pengunjung dengan kisah dan pengkaryaan pelukis. Segmen ketiga iaitu di Galeri 2 pula adalah menempatkan karya-karya ‘Siri Perakam Waktu’ yang lebih kecil yang lebih bersifat kajian-kajian warna dan struktur dalam catan.

Pameran Solo Haron Mokhtar
1.  ‘Siri Kaseh Sayang’, Galeri Shah Alam (1995)
2.  ‘In Pursuit of Penang’, The Artists Space, Hotel Concorde, Shah Alam (1999)
3. ‘Siri Atas Bawah Pusaka’, Pelita Hati, Kuala Lumpur (2005)
4. ‘Siri Mengadap Sultan’, Istana Mestika, Shah Alam (2009)
5. ‘Siri Warisan’, Pelita Hati, Kuala Lumpur (2011)
6. ‘Yesteryear Part I’, Interpr8 Art Space, Publika, Kuala Lumpur  (Januari, 2015)
7. ‘Yesteryear Part II’, Interpr8 Art Space, Publika, Kuala Lumpur (April-Mei 2015)
8. ‘Haron Mokhtar: Kapsul Masa 1988-2018’ (Siri Perakam Waktu), Galeri Shah Alam   
     (2018)

Khamis, 26 Julai 2018

Kasih Bunga Putih angkat peranan Usman Awang

Pameran kembalikan penyatuan antara puisi , seni lukis
Siti Haliza Yusop, 'Kasih Bunga Putih angkat peranan Usman Awang', 
Berita Harian (Sastera dan Budaya), Sabtu 21 Julai 2018.


Pameran Kasih Bunga Putih yang berlangsung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mengembalikan penyatuan antara puisi dan seni lukis seperti dimulakan Sasterawan Negara  (SN), Datuk Dr Usman Awang pada dekad 1970-an.

Pameran itu mengangkat semula Manifestasi Dua Seni I dan II, masing-masing diadakan pada 1970 dan 1972 yang memperlihatkan peranan Usman dalam menghubungkan sastera dan seni lukis.

Usman bukan asing dalam seni lukis, malah ketika menjadi editor Dewan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), beliau adalah penggerak utama dalam menyatukan sasterawan dan seniman pelbagai disiplin merentasi bidang.

Sudut Penulis yang diwujudkan Usman tidak hanya menemukan penulis, penyair dan pelukis, malah menjadi ruang buat pelukis mempamerkan hasil kerja mereka.

Kurator Kasih Bunga Putih, Faizal Sidik, berkata Manifestasi Dua Seni I dan II memperlihatkan pertembungan antara budaya seni lukis dan visual  yang akhirnya membentuk satu makna baru dalam pennciptaan dan penghasilan seni.

Katanya, pameran Kasih Bunga Putih yang mengambil sajak Usman, Bunga Putih boleh dicirikan sebagai terjemahan antara dua sistem perlambangan. Ia mentafsir serta menghurai teks seni kata yang mendukung perpaduan, keamanan dan kemanusiaan sejagat.

Sistem tanda dalam sistem seni
Dalam pengajian penterjemahan dan interpritasi atau sains linguistik terapan katanya, terdapat apa yang disebut sebagai ragam terjemahan perpindahan daripada bahasa kepada rupa.

"Pertukaran kepada sistem tanda ini mencipta ruang untuk penglihatan dan sentuhan sebagai sistem tanda baru.

"Ini akan mempengharuhi dan merangsang ruang rasa dalam menambah nilai persepsi kita terhadap bentuk serta rupa dan inilah yang dipaparkan melalui Kasih Bunga Putih," katanya ketika ditemui di Galeri ASWARA  di sini.

Antara yang menarik  turut dibawakan dalam pameran kali ini ialah karya berusia hampir empat dekad oleh seniman penting dalam seni halus, Redza Piyadasa, iaitu Tribute to Usman Awang II

Catan berformat setem dengan format Usman itu turut menjadi karya tema bagi pameran Kasih Bunga Putih.

"Redza Piyadasa menghasilkan dua karya khusus bagi memperingati Usman yang disifatkan kawan dan lawan beliau.

"Catan itu dihasilkan Redza sempena menyambut ulang tahun ke-50 kelahiran Usman pada 1980 dan dipinjamkan kepada kami oleh pengumpul persendirian, Pakhruddin dan Fatimah Sulaiman," katanya.

Naskah Redza Piyadasa itu satu daripada 30 karya oleh 25 orang pelukis seniman yang dipamerkan di Galeri ASWARA sehingga 31 Julai ini bersempena hari bersempena hari menenang Kasih Sasterawan Negara.

Selain Redza, turut ditampilkan ialah karya Siti Zainon Ismail, Suzlee Ibrahim, Nirmala Shanmughalingam, Amiruddin Ariffin, Ismail Abdullah, Dzul Afiq Zakaria, Nora Abdullah, Jalaini Abu Hassan, Mazlan Noor, Khairudin Zainudin.

Yang turut serta Raja Zahabuddin Raja Yaacob, Sharifah Zuriah AlJeffri, Mohd Ismail Abdullah, Shafie Hassan, Zaimie Sahibil, Faizal Suhif, Zakaria Ali, Mohamad Hassan, Raja Azhar Idris, Lyn Khairi, Anwar Rahman, Norwani Md Nawawi, Mohd Safwan dan Marvin Chan.

Penyatuan sastera dan seni lukis
Sahabat Usman, Prof. Dr Siti Zainon Ismail, berkata sajak Usman mengandungi banyak elemen seni lukis dan ini tidak menghairankan kerana sejak sekian lama beliau dikenali sebagai penulis yang mempunyai jalinan kuat dengan pelukis.

Siti Zainon yang menghasilkan dua catan daripada puisi Usman, Jentayu berkata, keakraban puisi dan  seni lukis yang paling awal antaranya boleh dilihat apabila Datuk Ibrahim Hussein menghasilkan catan yang berjudul Aku dan Aku daripada puisi Usman, Pak Utih.

"Üsman kemudian 'menjawab' lukisan Ibrahim itu dengan menghasilkan puisi baharu dan begitu cara Usman terus menghidupkan seni lukis dan puisi sekaligus pada ketika itu. 

"Pameran yang mengabung pelukis dan penyair ini pernah dibuat sebelum ini tetapi apabila beliau meninggal dunia, kegiatan ini seolah terhenti dan kita mahu mengembalikannya melalui pameran Kasih Bunga Putih." katanya.

Terap semangat pahlawan






Ahad, 22 Julai 2018

Teks Ucapan Pameran Kasih Bunga Putih


Teks Ucapan Prof. Madya Dr. Nasir Ibrahim
Timbalan Rektor Aswara


Oleh : Faizal Sidik



Assalamulaikum dan selamat sejahtera,

Saudara Pengacara Majlis,

Yang Berbahagia En Zain Azahari bin Zainal Abidin
Perasmi Pameran Kasih Bunga Putih

Yang Dihormati Dr. Syed Husin Ali
Pengerusi Yayasan Usman Awang

Yang Berusaha Prof. Dr. Siti Zainon Ismail
Pengerusi Mengenang Kasih Sasterawan Negara Dato Usman Awang

Datuk/Dato’/Datin/ Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang kepada hadirin. Ucapan  tahniah ditujukan kepada pihak penganjur bersama iaitu Yayasan Usman Awang (YUA) kerana telah berusaha untuk mengadakan pameran ini dalam memberi penghormatan terhadap para sasterawan seperti Sasterawan Negara Usman Awang pada hari ini.

Galeri Aswara sebagai tuan rumah sangat berbesar hati menerima pameran ini diadakan di sini. Sebagai sebuah insitusi pengajian tinggi dalam seni budaya yang terlibat dengan seni visual dan seni pentas Usman Awang sangat dekat dengan institusi ini, pementasan-pementasan hebat beliau seperti Uda dan Dara, Tamu di Bukit Kenny misalnya adalah sumbangan penulisan dramatik dan pementasan teater yang masih dikaji bukan sahaja pelajar malah pengkaji-pengkaji kesusasteraan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sungguhpun Usman Awang telah hampir 20 tahun meninggalkan kita namun semangat roh kemanusiaan beliau terus hidup menerusi karya-karya sastera seperti puisi, pantun, drama, tetaer sehingga kini. Puisi Bunga Putih adalah manifestasi  kepada kebersihan hati, kesucian jiwa dan ketulusan rasa susuk Usman Awang sebagai penyair rakyat yang dekat dengan soal keharmonian, kebebasan dan keamanan yang universal.

Tahniah kepada kurator dan pelukis-pelukis yang telah menghulur tangan dalam menyambut dan terus menyala dan membakar semula roh kemanusiaan Usman Awang menerusi karya-karya seni yang dihasilkan di dalam pameran ini  sebagai satu simbol sokongan dan penerusan dalam menyambung perjuangan yang beliau tinggalkan.

Doakan semoga usaha Usman Awang semasa hayatnya dirahmati diberkati dan diterima oleh Allah Subhana Wataala

Terima kasih sekali lagi diucapkan kepada semua yang terlibat dalam pembinaan pameran ini.

Sekian, Wabilihai Taufik Wal Hidayah (Semoga kita diberi hidayah)
Wasalamuilakum Warahmatullahi Wabarakatuh











Khamis, 12 Julai 2018

Usman Awang: Dari Bahasa ke Rupa

Oleh: Faizal  Sidik



Redza Piyadasa, "Tribute to Usman Awang II", 1980, Koleksi Pakhruddin & Fatimah Sulaiman



Usman Awang bukanlah asing dalam dunia seni lukis. Semasa menjadi editor majalah Dewan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka beliau adalah penggerak utama dalam menyatukan sasterawan dan seniman dari pelbagai disiplin dan merentasi bidang. Sudut Penulis adalah ruang bukan sahaja yang menemukan penulis, penyair dan pelukis dalam berwacana malah Sudut Penulis ini jugalah yang memberi ruang kepada pelukis untuk mempamerkan hasil kerja mereka.

Semasa Usman Awang menjadi ketua editor dan juga dibantu oleh Kemala, Sutung Umar sebagai pembantu-pembantunya, di Dewan Sastera jugalah terbina wacana seni yang hebat dalam sejarah seni Malaysia. Dewan Sastera satu-satunya majalah pada masa itu sekitar awal 70 an yang memberi ruang kepada penulis, penyair dan pelukis berpolemik mendebatkan karya pameran bersama oleh Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa iaitu Towards A Mystical Reality (Ke Arah Realiti Mistik) yang diperagakan di ruang Sudut Penulis.

Sebelum TMR belum ada kritikan seni yang benar-benar serius dalam konteks Malaysia terhadap pembuatan hasil seni. Melihat dilema ini Usman Awang telah menyiarkan cetusan awalnya dalam “Wawancara Dengan Dua Orang Pelukis Konseptual” tulisan oleh Raja Zahabuddin Raja Yaacob pada Julai 1974. Walaupun terdapat sapaan oleh Krishen Jit di akhbar Sunday Times pada 4 Ogos tahun itu namun  tulisan Siti Zainon Ismail “Pengaruh dan Identiti dalam Seni Lukis” pada Mac 1975 di Dewan Sastera  setelah dicabar oleh Ismail Zain yang memanggil mesra beliau Siti Zainon sebagai Non sahaja untuk menulis telah benar-benar mengigit Piyadasa (Piya) dengan tulisan itu, Piya tetap mempertahankan karya-karya di dalam pameran kontroversi itu dengan “Satu Jawapan Terhadap Tulisan Siti Zainon”.

Kritikan pameran seni konseptual berkenaan tidak terhenti di situ sahaja apabila Siti membidas Piya semula dalam “Satu Esei untuk Piyadasa”pada Mei 1975. Kritikan seni di dalam majalah ini menjadi semakin panas apabila Piya terus-menerus menyerang dengan “Lagi Satu Jawapan Untuk Siti”  disamping Salleh ben Joned memberi pandangan sinisnya dalam tulisan “Kencing dan Kesenian: Surat Salleh ben Joned untuk Piyadasa”pada Julai. Polemik yang berlanjutan selama beberapa bulan dalam majalah ini menyebabkan kritikan seni semakin diberi perhatian selain kritikan sastera.

Usaha Usman Awang menyelenggara dan menyilang pertemuan antara genre seni bukanlah baru. Sebelum ‘Ke Arah Realiti Mistik’ lagi pameran seperti ‘Manifestasi Dua Seni I’ pada 1970 dan kesinambungan ‘Manifestasi Dua Seni II’ pada  1972 menampkkan peranan Usman Awang seolah-olah sebagai ‘kurator’ yang menghubungkan antara genre sastera iaitu puisi dengan seni lukis dalam satu ruang dialog. Petembungan antara kedua-dua budaya kata berkata-kata dan budaya tampak menampak adalah perpindahan daripada tekstual kepada visual atau dari bahasa kepada rupa. Perubahan ini membentuk satu makna baru dalam penciptaan atau penghasilan seni.

Keakraban dan penghormatan Usman Awang dengan seniman pelukis di diabadikan beliau dalam puisi-puisinya misalnya dalam ‘Beta Melukis’(1953) adalah semangat beliau untuk menghasilkan lukisan walaupun tidak seindah rupa. ‘Melukis Rasa Melukis Cerita’ ditujukan kepada pelukis-pelukis Tionghua pada 1956. Benarlah kata pujangga jika kita ingin dihormati orang, kita perlu menghormati orang terlebih dahulu. Sempena menyambut ulangtahun 50 kelahiran Usman Awang pada 1980 Redza Piyadasa telah menghasilkan dua buah karya khas sebagai memperingatinya sebagai kawan dan lawan beliau ini dalam catan akrilik yang bertajuk Tribute to Usman Awang I dan Tribute to Usman Awang II.

Foto Faizal Sidik.      

Redza Piyadasa                                      
Tribute to Usman Awang I       
Imej bromida, akrilik atas kanvas
1980
Koleksi Balai Seni Negara

Redza Piyadasa                                                   
Tribute to Usman Awang II
Imej bromida, akrilik atas kanvas           
1980                                                        
Koleksi Pakhruddin & Fatimah Sulaiman

Karya Tribute to Usman Awang I  kini menjadi koleksi institusi seni nasional iaitu Balai Seni Negara melalui perolehan pada tahun 1993. Manakala Tribute to Usman Awang II yang menjadi karya tema dalam pameran ini pula dimiliki oleh kolektor persendirian iaitu Pakharuddin dan Fatimah Sulaiman. Dalam pengkaryaan selepas ‘Ke Arah Realiti Mistik’ Piyadasa terus membawa karya bergenre konseptual dengan penggunaan imej, teks dan petikan inspirasi daripada pelukis pasca pop berbangsa Inggeris Larry River sebelum berpecah untuk tidak bergabung lagi pada akhir 70 an dengan Suleiman Esa yang beralih haluan kepada seni Islam manakala Redza Piyadasa  kepada rupa Malaysia.

Dalam karya Piyadasa menghasilkan catan yang berformatkan  setem dengan berimejkan potret Usman Awang dengan berteks USMAN AWANG, MALAYSIA dan ASAS 50 sebagai manifestasi kepada setem kenang-kenangan yang biasa dikeluarkan oleh jabatan pos. Namun apa yang membezakan kedua-dua adalah catan setem Tribute to Usman Awang I berlatabelakangkan kanvas putih dan teks PENYAIR dan $2. Manakala Tribute to Usman Awang II  berlatarbelakangkan warna hitam adalah terjemahan teks catan satu iaitu POET dan $1. Terdapat juga kad optik atau opcard selalunya digunakan untuk memeriksa kesihatan mata, jarak dan warna di hospital atau klinik dibahagian atas. Karya ini memperlihatkan kepada sebuah setem memorial penghormatan dalam memperingati  Usman Awang sebagai penyair Malaysia sebagai salah seorang tokoh ASAS 5O atau Angkatan Sasterawan 50 sebagai pejuang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu.

Dalam pengajian penterjemahan dan interpritasi atau sains linguistik terapan terdapat apa yang ditermakan sebagai ragam terjemahan perpindahan daripada bahasa kepada rupa. Menurut Jakobson (1959) beliau mengatakan terdapat tiga jenis terjemahan iaitu intralingual, antarabahasa dan antarasemiotik. Terjemahan intralingual bermaksud terjemahan menggunakan bahasa yang sama, terjemahan antarabahasa pula bermakna terjemahan dalam dua bahasa yang berbeza manakala terjemahan antarasemiotik pula adalah terjemahan dalam dua sistem perlambangan.

Jakobson (1959) menyatakan lagi walaupun bahasa sumber dan bahasa terjemahan mempunyai perbezaan struktur bahasanya, terjemahan tetap boleh berlaku. Terjemahan antarasemiotik adalah terjemahan yang mengkaji tentang sistem lambang. Selain perlambangan sistem ini juga adalah berhubungan dengan simbolisme dan metafora. Penterjemahan antarasemiotik merangkumi penafsiran sesebuah teks ke dalam bentuk atau sistem tanda yang lain misalnya penafsiran novel menjadi sebuah filem, cerpen menjadi drama, puisi menjadi gambar.

Pameran seni ini yang mengambil tajuk sajak Usman Awang ‘Bunga Putih’ boleh dicirikan sebagai sebuah terjemahan antarasemiotik  yang mentafsir, menghurai, mengulas, mengerti dan perluahan teks-teks seni kata yang mendokong kepada perpaduan, keamanan, dan kemanusiaan sejagat. Pertukaran kepada sistem tanda yang lain yang bersifat objek, mempunyai jisim dan isipada samada dua dimensi atau tiga dimensi iaitu citra lukisan. Citra baru ini mencipta ruang untuk penglihatan malahan juga sentuhan sebagai sistem tanda yang baru yang akan mempengaruhi dan merangsang ruang rasa kita dalam menambah nilai persepsi kita terhadap bentuk dan rupa.


Rujukan:
Jakobson, R. (1959), On Linguistic Aspect of Translation, dalam The Translation Studies Reader 2000 (ed. Lawrence Venuti).  London & New York: Routledge, 113-118.
Langer, S. (1936), Virtual Space dalam Aesthetics: A Reader in Philosophy of the Arts. Routledge.
Sabapathy, T.K. (2001), Piyadasa An Overview 1962-2000, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur
Faizal Sidik (2017), Merindui Jiwa Sudut Penulis, Berita Harian (Seni dan Budaya), Selasa 2 Mei 2017
Dewan Bahasa dan Pustaka, (1987), Puisi-Puisi Pilihan Usman Awang, Kuala Lumpur