Jumaat, 13 Mei 2016

Penterjemahan Teks Pelancongan: Brosur Melawat Kuala Lumpur


Oleh: Faizal Sidik 

Isi Kandungan
4   Cuci Mata                                                  38  Sensasi Berbelanja
14  Keunikan Tropika                                      49  Jom Makan
18  Penerokaan  Menyeronokan                    52  Menarik di Luar Kota
23  Santai dan Awet Muda                             56  Maklumat Penting
26  Persembahan Mempersonakan
29  Meraikan Kepelbagaian
33  Hiburan dan  Keterujaan

Penerokaan yang Menyeronokkan
Peminat seni dan kraf mempunyai pelbagai pilihan lokasi tempat untuk menikmati dan mendapat apa yang dicitakan. Muzium, memorial peringatan dan galeri-galeri seni di bandar raya ini menawarkan pengalaman ini menerusi koleksi objek dan karya-karya seninya. Acara khas seperti Festival Seni Kontemporari 1Malaysia merupakan platfom yang sesuai untuk melihat karya-karya yang hebat ini.

Muzium
Muzium Negara
Jalan Damansara

Muzium yang utama di Malaysia sebagai pusat repositori yang kaya menyimpan sejarah dan warisan negara ini. Dibina pada tahun 1963, apa yang menakjubkan berkenaan Muzium Negara adalah bahagian bumbungnya yang bercirikan bumbung rumah Melayu tradisional dan dua buah mural di bahagian hadapan. Muzium ini mempunyai empat galeri utama. Antara yang mencuri tumpuan adalah koleksi-koleksi keris, seramik dari Dinasti Ming dan peralatan muzik tradisional daripada beberapa buah negara Asia. Pameran bertema juga diadakan di sini dari masa ke semasa.
Bayaran masuk:Warganegara : RM 2 (Dewasa)
Percuma untuk kanak-kanak bawah 12 tahun
Bukan warganegara:RM 5 (Dewasa ) RM 2 (Kanak-kanak berumur 6-12 tahun)
Percuma untuk kanak-kanak bawah 6 tahun.
Waktu pembukaan: 9 pagi – 6 ptg setiap hari
Tel: 03-2267 1111
Cara ke sini:Naik tren RapidKL LRT, KL Monorail atau KTM Komuter ke Sentral KL. Dari sini, teksi merupakan kenderaan yang sesuai untuk ke muzium.


Muzium Etnologi dan Dunia Melayu
Jalan Damansara

Cukup signifikan sebagai pusat pengumpulan warisan dan khazanah dunia Melayu. Galeri ini mempamerkan koleksi-koleksi yang jarang dapat dilihat dan dipamerkan mengenai sejarah dan peradaban Melayu serantau seperti dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Kemboja. Lokasinya terletak bersebelahan dengan Muzium Negara.
Masuk percuma            
Waktu pembukaan: 9 pagi – 6 ptg
Cuti pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha
Tel: 03-2267 1000
Web:www.jmm.gov.my
Cara ke sini:(Sila rujuk Muzium Negara)

Muzium Kesenian Islam
Jalan Lembah Perdana

Muzium ini mempamerkan keindahan kesenian Islam dan peradaban hebat yang diinspirasikan darinya. Galeri-galeri di muzium ini mempamerkan pelbagai tema yang tidak ternilai khazanah peninggalannya. Antara yang menjadi tumpuan adalah Galeri Seni Bina Islam yang mempamerkan replika binaan-binaan mashur seperti Taj Mahal di India, Masjidil Haram di Mekah selain Makam Amir Timur di Uzbekistan.
Bayaran masuk ke Galeri-galeri Muzium:
RM 12 (Dewasa) RM 6 (Pelajar dan Warga Emas)
Percuma untuk kanak-kanak bawah 6 tahun
Tiket berharga RM 10 dan RM 5 apabila galeri-galeri ditutup
Waktu pembukaan: 9 pagi – 6 ptg setiap hari.
Tel: 03-2274 2020
Cara ke sini: Naik tren KTM Komuter ke Stesen Kuala Lumpur. Muzium berada selepas 10 minit berjalan dari Masjid Negara.


Muzium Budaya Kraf
Jalan Conlay

Lokasinya berada di Kompleks Kraf, muzium ini menawarkan pengalaman sepintas lalu untuk melihat sejarah dan pembangunan kraf di Malaysia. Pada masa yang sama pengunjung boleh melihat demonstrasi yang dilakukan secara langsung oleh para tukang kraf di sini.
Bayaran masuk: RM 2 (Dewasa), RM 1 (Kanak-kanak 7-12 tahun)
Percuma untuk pelajar yang berpakaian uniform
Waktu pembukaan: 9 pagi – 5 ptg
Tel: 03-2162  7533
Cara ke sini: Naik tren RapidKL LRT ke Stesen KLCC atau  KL Monorail ke Stesen Raja Chulan. Dari sini, teksi merupakan kenderaan yang sesuai untuk ke muzium.


Muzium Seni Asia
Universiti Malaya

Terletak di dalam kampus Universiti Malaya, muzium ini mempamerkan karya-karya seniman Asia. Antara yang dipamerkan adalah karya seni halus seperti arca, seramik dan tekstil yang dihasilkan oleh pengkarya tempatan dan negara-negara Asia.
Bayaran masuk:Percuma
Waktu pembukaan: 9 pagi – 5 petang.
Tutup hari Sabtu dan Ahad
Tel: 03-2162  7533
Cara ke sini: Naik tren RapidKL LRT ke Stesen Universiti. Pelawat boleh menaiki bas pengantar yang akan  masuk ke dalam kampus untuk ke muzium.
                                  

Anilisis Teks Pelancongan
Pengenalan
Menurut (Alekzander, 1997:6 dalam Ummu Salmah Rahamatullaj 2009:385) mengatakan risalah bermaksud helaian kertas bercetak dan dilipat sebagai salah satu bentuk penyampaian maklumat untuk menghebahkan atau memasarkan sesuatu produk atau pun perkhidmatan. Brosur atau risalah sangat dekat dengan industri yang berkaitan dengan perhubungan awam yang misalnya pelancongan, pemasaran, perniagaan dan lain-lain. Secara umumnya brosur atau risalah pelancongan menyediakan maklumat yang menarik seperti peta lokasi, latar belakang sesuatu tempat, cara untuk ke destinasi sehinggalah tiket bayaran masuk, jaringan pengangkutan, waktu melawat dan nombor perhubungan.

Brosur Pelancongan Melawat Kuala Lumpur
Teks pelancongan yang dipilih adalah berbentuk brosur pelancongan melawat Kuala Lumpur. Risalah bercetak yang mempunyai tujuh puluh muka surat ini diterbitkan oleh Bahagian Pelancongan Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pada tahun tahun 2013 sempena menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014. Kulit luarnya berilustrasikan bangunan Menara Kembar Kuala Lumpur yang berbaris kepala Malaysia, Kuala Lumpur dan subkepala The Dazzling Capital City. Baris kepala dan subkepala terjemahan iaitu Malaysia, Kuala Lumpur, Bandaraya Memukau sesuai dengan imej Menara Kembara Kuala Lumpur sebagai mercu tanda yang menakjubkan yang terkenal di seluruh dunia sebagai bangunan pencakar langit berkembar yang tertinggi dunia untuk  mempromosikan bandar raya ini kepada umum.
Isi buku ini mengandungi sebelas buah bab antaranya Cuci Mata (Doing the Sights),  Keunikan Tropika (Tropical Enclave), Penerokaan  Menyeronokan (Treasure Trove), Santai dan Awet Muda (Relax and Rejuvenate), Persembahan Mempersonakan (Enthrilling Performances), Meraikan Kepelbagaian (Celebration Galore), Hiburan dan  Keterujaan (Entertainment dan Excitement), Sensasi Berbelanja (Sensational Shopping), Jom Makan (Eating Out), Menarik di Luar Kota (Beyond the City) dan Maklumat Penting (Useful Information). Bab yang dibuat penterjemahan ke dalam bahasa Melayu adalah bab 3 iaitu Penerokaan yang Menyeronokan (Treasure Trove).

Di dalam bab 3 iaitu ‘Penerokaan Menyeronokan’ mengandungi teks pelancongan yang berunsurkan sejarah dan geografi memberi maklumat berguna kepada bakl pelancong yang akan melawat Kuala Lumpur berkenaan asal usul dan  lokasi-lokasi yang wajib dilawati semasa mereka berada di bandaraya ini. Bab ini mempunyai tiga segmen tempat lawatan iaitu ‘Muzium’, ‘Galeri’ dan ‘Memorial dan tugu peringatan’. Segmen yang dipilih untuk dibuat penterjemahan dan analisis adalah segmen ‘Muzium’.  Terdapat sebelas buah muzium yang disenaraikan sebagai temapat wajib lawat namun yang hanya dipilih untuk diterjemah adalah sebanyak lima lokasi sahaja iaitu Muzium Negara, Muzium Etnologi dan Dunia Melayu, Muzium Seni Islam, Muzium Budaya Kraf dan Muzium Seni Asia.

Pendekatan Penterjemahan
Brosur Melawat Kuala Lumpur ini biasanya diterbitkan untuk edaran luar negara yang penduduknya bercakap dalam bahasa Inggeris (English-speaking counties) seperti negara-negara Britain, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan negara-negara Commonwealth yang bahasa pertama negara itu adalah bahasa Inggeris. Jadi penterjemah telah menggunakan pendekatan strategi menterjemah teks yang bersifat asing kepada domestication dengan mentempatankannya sesuai dengan budaya tempatan dengan menggunakan prosedur dokumentari dan instrumental oleh Nord. Misalnya bahagian sebelas bab isi kandungan telah dipilih untuk melihat persetempatan ini dilakukan seperti rajah 1 di bawah:
Rajah 1.
No
Isi Kandungan Teks Sumber
Isi Kandungan Teks Sasaran
1
Doing the Sights
Cuci Mata
2
Tropical Enclave
Keunikan Tropika
3
Treasure Trove
Penerokaan  Menyeronokan
4
Relax and Rejuvenate
Santai dan Awet Muda
5
Enthrilling Performances
Persembahan Mempersonakan
6
Celebration Galore
Meraikan Kepelbagaian
7
Entertainment dan Excitement
Hiburan dan  Keterujaan
8
Sensational Shopping
Sensasi Berbelanja
9
Eating Out
Jom Makan
10
Beyond the City
Menarik di Luar Kota
11
Useful Information
Maklumat Penting

Prosedur yang juga digunakan dalam terjemahan teks ini adalah prosedur jenis terjemahan yang diperkenalkan oleh Nord (1991: 72 dalam Haslina Harun dan Hasuria Che Omar 2013: 43). Terdapat dua jenis terjemahan Nord iaitu dokumentari (documentary translation) bermaksud sebahagian atau semua aspek teks sumber akan dikekalkan untuk pembaca sasaran, yang sedar bahawa teks yang dibaca oleh mereka ialah sebuah terjemahan. Dalam terjemahan instrunmental (instrumental translation), pembaca disajikan dengan teks yang tidak kelihatan seperti sebuah teks terjemahan meskipun teks itu diterjemahkan. Perkara ini misalnya dapat dilihat dalam rajah 1.

Mengambil kira pembaca sasaran adalah pembaca tempatan di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu penterjemah melakukan domestikasi yang sesuai dengan budaya orang Malaysia misalnya di dalam rajah 1, no 1 , Doing the Sight kepada padanan Cuci Mata, no 4 Relax and Rejuvenate dipadankan Santai dan Awet Muda. Isi kandungan No.9 Eating Out  jika diterjemah  akan memberi makna Makan Luar, namaun Makan Luar akan memberi konotasi yang tidak baik kepada rakyat tempatan terutamanya orang Melayu Islam, penterjemah menterjemah dengan bahasa harian yang lebih trend dan bersifat semasa kepada Jom Makan.

Pendekatan lain yang digunakan dalam menterjemahkan teks pelancongan ini adalah berdasarkan pendekatan perspektif yang diperkenalkan oleh Reiss (1976) iaitu ia mempunyai tiga elemen seperti informatif, ekspresif dan operatif. Sungguhpun begitu haya elemen informatif dan operatif sahaja yang sesuai untuk penterjemahan brosur ini. Dari segi informatif atau memberi maklumat ia dapat dilihat dari segi lebih memokuskan kepada isi kandungan misalnya informasi mengenai Muzium Negara diberikan sebagai peranan seperti dalam No. 1 dalam rajah di bawah selain  membolehkan pelancong mendapat serba sedikit kefahaman mengenai apa fungsi dan peranan yang dimainkan oleh muzium  sebelum membuat kunjungan.
Rajah 2.
No.
Teks Sumber
Teks Sasaran
1
Malaysia premier museum serves as repository for nation rich history and heritage.
Muzium yang utama di Malaysia sebagai pusat repositori yang kaya menyimpan sejarah dan warisan negara ini.
2
Built in 1963, its facade features a Minangkabau-styled roof and two impressive front murals
Dibina pada tahun 1963, apa yang menakjubkan adalah bahagian bumbungnya yang bercirikan bumbung rumah rumah Melayu tradisional dan dua buah mural di bahagian hadapan.

Di dalam rajah 2 penerangan latar belakang belakang penubuhannya secara informatif dan ekspresif dalam teks sumber berkenaan dengan tahun pembinaan di No. 2 melalui terjemahan berlebihan dan dipanjangkan untuk memberi maklumat yang lebih meyakinkan berkenaan dengan rupa bentuk Muzium negara agar pelawat mendapat gambaran dengan baik dan tepat dan jelas.

Walaubagaimanapun setelah disemak terdapat kesilapan fakta atau informasi yang tidak tepat berkenaan dengan ciri-ciri seni bina yang dinyatakan dalam teks sumber. Misalnya “Built in 1963, its facade features a Minangkabau-styled roof and two impressive front murals”. Bentuk bumbung bukanlah berbentuk bumbung Minangkabau yang dikenali juga sebagai seni bina ‘tanduk kerbau’ tetapi berbentuk seperti ‘anak gajah menyusu’ . Kesalahan makna kata  ini boleh mendatangkan kekeliruan kepada pembaca sasaran yang lebih dekat dengan budayanya sendiri. Penterjemahan ini dipadankan semula dengan “Dibina pada tahun 1963, apa yang menakjubkan adalah bahagian bumbungnya yang bercirikan bumbung rumah rumah Melayu tradisional dan dua buah mural di bahagian hadapan”.
Pendekatan operatif pula berperanan dalam melakukan pembujukan dan tindakan yang perlu Seni Asia ini misalnya dinyatakan dengan jelas suruhan yang perlu dilakukan oleh pelawat untuk sampai destinasi yang ditujui.
Rajah 3.
No.
Teks Sumber
Teks Sasaran
1
Getting there:Take the KTM Komuter train to the Kuala Lumpur Station. The museum is 10 minute walk away and overlooks the National Mosque.
Cara ke sini: Naik tren KTM Komuter ke Stesen Kuala Lumpur. Muzium berada selepas 10 minit berjalan dari Masjid Negara.

2
Getting there: Take the RapidKL LRT to Universiti Station. Visitor can then take feeder bus which goes into the campus grounds to get the museum.
Cara ke sini: Naik tren RapidKL LRT ke Stesen Universiti. Pelawat boleh menaiki bas pengantar yang akan  masuk ke dalam kampus untuk ke muzium.


Dalam rajah 3 misalnya Getting there dalam bahasa sumber jika diterjemahkan ke dalam bahasa sasaran akan membawa maksud Cara ke sana. Penterjemah merasakan terjemahan adalah lebih sesuai jika diterjemahkan dengan padanan Cara ke sini kerana bahasa dalam teks sumber walaupun ia memberitahu arah panduan yang perlu dilakukan oleh pelawat untuk ke Muzium Seni Asia misalnya dalan rajah No. 1 namun elemen pemujukan masih kurang dilakukan jika dibandingkan dengan Cara ke sini seolah-olah pelawat telah berada di destinasi yang dilawatinya.

Kesimpulan
Strategi penterjemahan teks pelancongan yang dilakukan melalui domestifikasi membolehkan teks asing disesuaikan dengan budaya tempatan. Domestifikasi mendekatkan teks asing dengan khalayak tempatan melalui pendekatan budaya lebih tepat dan mesra dengan norma dan konvensi pembaca sasaran.



Rujukan :
Idris Mansor, 2013. “Pendekatan Terjemahan”. Dalam  Haslina Haroon dan Hasuria Che Omar, (Ed.), Asas Terjemahan dan Interpritasi, Univerisiti Sains Malaysia, ms. 92-109

Ummu Salmah Rahamatullaj, 2009. “Penterjemahan Unsur Budaya Terselindung dalam Risalah Pelancongan”. Dalam Hasuria Che Omar, Rokiah Awang, (Ed.) Kelestarian Bidang Penterjemahan, Kuala Lumpur, Persatuan Penterjemah Malaysia.

Teks Sumber

Brosur Melawat Kuala Lumpur (2013), Bahagian Pelancongan Malaysia, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan.

Khamis, 12 Mei 2016

Penilaian Terjemahan dalam novel 'Rentong' oleh Shahnon Ahmad dengan 'Rope of Ash' oleh Harry Aveling


Oleh: Faizal Sidik


Pengenalan
Novel Rentong merupakan novel pertama ditulis oleh Shahnon Ahmad pada tahun 1965, sebelum novel Ranjau Sepanjang Jalan pada 1966 dan Srengange pada tahun 1973. Rentong juga merupakan novel yang ketiga diterjemahkan daripada bahasa Melayu ke dalam bahasa Inggeris dengan tajuk Rope of Ash oleh Harry Aveling pada 1978 sebelum itu novel No Harvest but a Thorn atau Ranjau Sepanjang Jalan diterjemah oleh Adibah Amin pada tahun 1972 dan Srengange sekali lagi oleh Harry Aveling pada tahun 1979.

Novel Rentong oleh Shahnon Ahmad
            Di awal perkembangan pengkaryaan awal Shahnon Ahmad iaitu daripada tahun 1957 hingga 1963 beliau banyak menterjemah cerita-cerita pendek atau cerpen antarabangsa seperti dari Perancis, China dan India yang menyumbang kepada semangat kecintaan terhadap bahasa, negara dan pembebasan dari penjajahan yang sesuai dengan pengalaman dunia kesusasteraan tempatan pada masa itu. Misalnya cerpen Pelajaran yang Penghabisan (The Final Lesson) oleh Alphonse Dulet. Cerpen Cerita Gadis Desa (The Story of Farm Girl), Hilang di Laut (Lost at Sea) dan Syarat (Condition) yang ditulis oleh Guy de Maupasant adalah antara cerita pendek dikumpulkan dalam buku yang menghimpunkan terjemahan bertajuk Setanggi pada 1960.

            Menurut Mohd Yusuf Hasan, (1989; 5) beliau membahagikan pengkaryaan sastera Shahnon Ahmad kepada 5 fasa iaitu fasa pertama (1956-1968); Pengkaryaan Awal. Fasa kedua (1965-1969); Pergelutan di Desa, Permasalahan Sosial dan Agama dan Politik Melayu dan Nasionalisme. Fasa ketiga (1969-1974); Ketegangan dan Perubahan. Fasa keempat (1974-1978); Pembaharuan Komitmen Sosial. Fasa kelima (1976-); Keislaman. Untuk melihat pengkaryaan Shahnon Ahmad rajah di bawah dapat membawa kita melihat dengan lebih dekat lagi dimanakah perletakan novel Rentong di dalam kronologi pengkaryaannya selama 20 tahun awal:


Jangka Masa dan Fasa Perkembangan
Cerita Pendek
Novel
 1956-1968:
-Shahnon Ahmad dan Pengkaryaan Awal
Setanggi (1960) (Terjemahan)
Anjing-Anjing (1964)
Debu Merah (1965)

1965-1969
-Kemelut Perdesaan
-Permasalahan Sosial dan Agama
-Politik Melayu dan Nasionalisme

Rentong (1965)
Ranjau Sepanjang Jalan (1966)
Terdedah (1965)
Protes (1967)
Menteri (1967)
Perdana (1969)
1969-1974
-Ketegangan dan Perubahan
Selesai Sudah (1977)
Srengge (1973)
Sampah (1974)
1974-1978
-Pembaharuan Komitmen Sosial
Moyok (1975)
Tetamu dari Kuala Lumpur (1975)
Mr. Proudfoot (1975)
Kemelut (1977)
Seluang Menodak Baung (1978)
1976-
-Keislaman
Kemelut (1977)
Ada (1978)
Maya dan Keluarga (1981)
Tonil Purbawara (1982)
Dongeng Merdeka (1982)
Riak (1976)
Al-Shiqaq (1983) (fragmen)

Rajah 1. adalah terjemahan penulis daripada Stage in the Development of Shahnon Ahmad as a Fiction Writer oleh Mohd. Yusof Hasan

Novel ‘Rentong’ Menurut  A.Teeuw mengisahkan konflik antara dua orang gergasi kampung Banggul Derdap yang satu diantaranya bernama Semaun dan Dogol selain watak lain seperti Pak Senik, Jusoh  dan Lebai Debasa. Novel ini dikatakan menampilkan sesuatu yang baru dan segar dalam perkembangan Kesusasteraan Melayu pada ketika itu jika dibandingkan dengan Kesusasteraan Indonesia. Berlatarbelakangkan desa tempat kelahiran Shahnon sendiri iaitu di negeri Jelapang Padi, Kedah. Novel mengisahkan kemelut perdesaan, permasalahan sosial dan nasionalisme orang Melayu di sekitar tahun 60 an yang melontarkan isu ketamakan dan gila kuasa.

Terjemahan Rope of Ash oleh Harry Aveling
W.E Suskind (1959, hlm 85) dalam Reiss (2011,hlm 17) menggesa penterjemah yang menterjemah karya sastera mestilah seorang penulis kreatif yang berbakat, bukan sekadar penterjemah teks praktis yang digelar penterjemah pakar. Justeru itu penterjemah Harry Aveling dan terjemahan Rope of Ash dipilih untuk diukur kreativitinya. Harry Aveling dilahirkan di Sydney, Australia pada 30 Mac 1942. Beliau merupakan lulusan dari Universiti Sydney dengan Ijazah Sarjana Sastera dan Diploma Antropologi pada tahun 1966. Pada tahun 1963 menjadi pembantu pensyarah di Universiti Sydney dan pensyarah di Universiti Monash pada tahun 1967. Seterusnya dari 1971hingga 1974 bertugas sebagai pensyarah Kesusasteraan Afrika di Pusat Pengajian Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Beliau banyak menterjemah karya-karya Malaysia dan Indonesia ke bahasa Inggeris antaranya selain dari Rentung Shahnon Ahmad ialah Salina dan Sungai Mengalir Lesu oleh A. Samad Said, Anak Mat Lela Gila oleh Ishak Haji Muhammad dan A Heap of Ashes: Five Stories by Ananta Toer.

Novel terjemahan Rentong iaitu  Rope of Ash ini pada awalnya diterbitkan oleh Oxford University Press pada tahun 1979. Selepas 33 tahun barulah novel ini kemudiaannya diterbitkan semula oleh Institut Terjemahan dan Buku Negara ITBN pada tahun 2012 sempena buku Siri Sasterawan Malaysia. Terbitan semula ini masih mengekalkan penulisan nota penterjemah oleh Harry Aveling sendiri yang ditulis pada tahun 1978 disamping bab pengenalan oleh Tan Soo Ping. Dalam notanya Avelling mengatakan;

“I have tried to present a simple, tight translation, that represents world of Banggul Derdap in as immediately accessibale a manner as possible. Three matter require comment”
Kenyataan inilah yang mendorong penulis untuk menganalisis dan menilai penterjemahan ini untuk melihat aspek-aspek yang ditekankan oleh beliau dari segi keringkasan, kepadatan kepada pembaca sasaran berdasarkan dengan model yang dipilih.

Analisis Penilaian dan Kesilapan (Kussmaul, 2015)
Penilaian ke atas teks sumber dan teks terjemahan berpandukan kepada model penilaian dan kesilapan yang disarankan oleh Paul Kussmaul di dalam bukunya yang bertajuk Training the Translator. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Dahlina Daut@ Mohmud dengan tajuk  Melatih Penterjemah yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Negara ITBN pada tahun 2015. Model Kausmaul telah membahagi kesalahan kepada lima kategori berdasarkan konsep kepadaan, iaitu kepadaan budaya, situasi, lakuan bahasa, makna kata dan kesalahan bahasa.

Kepadanan Budaya
Kussmaul (2015:151) mencadangkan agar setiap setiap kritikan dan kesilapan dalam terjemahan hendaklah digredkan mengikut kesan komunikatifnya. Dalam cara  pragmatik dan psikolinguistik kita hendaklah mengaitkan teks dengan penerimanya, iaitu pembaca. Menurutnya lagi  (2015:176)  sekiranya masalahnya ialah budaya, pastikan sekiranya sumber dan budaya sasaran bertembung atau mencapah, yang berkaitan dengan masalah tersebut. Sekiranya bertembung, biasanya tiada masalah budaya.

Walau bagaimanapun, sekiranya teks sumber tidak cukup mengambil kira kesan yang dihasilkan dalam budayanya sendiri selepas pertimbangan fungsi, anda boleh mempertimbangkan untuk mengubah teks sumber. Sekiranya budaya sumber dan sasaran mencapah, anda perlu tentukan, bergantung pada fungsi terjemahan anda dan juga pada fungsi keseluruhan teks; jika rujukan budaya, alusi atau implikasinya boleh ditinggalkan sebagaimana dengan adanya atau perlu diterangkan, digugurkan, diubah atau digantikan dengan padanan budaya sasaran.
Contoh 1
Teks sumber (TS)      : Tangan kirinya meraba pinggang. Dan terasa lapang dadanya bila jarinya mengcekak hulu wali yang terselit kejap di belakangnya. Sekurang-kurangnya wali itu boleh menanamkan semangat dalam dadanya.

Tek terjemahan (TT)  :His left hand moved to his waist. When he touched the handle of the knife he carried behind him, Jusoh breathed more easily. The knife gave him a measure of courage .

Dalam contoh 1 dilihat terdapat kejanggalan kepadanan budaya kerana teks sasaran kurang menyampaikan kesan yang sama denga teks sumber. Ungkapan wali dirasakan agak kurang diterjemah dengan sempurna dan mendalam budaya dalam teks sasaran. Dalam budaya Melayu wali mempunyaia makna cukup tinggi yang bermaksud suci atau keramat

Pada tahun selepas kemerdekaan terutamanya di desa-desa terdapat lagi orang Melayu melakukan perasapan senjata seperti keris dan parang kerana mempercayai bahawa senjata ini adalah lambang keberanian, keperkasaan dan maruah orang Melayu. Senjata ini diasapkan terutamanya pada malam jumaat sebagai tanda penghormatan. Terjemahan knife adalah tidak tepat dan kesalahan padanan terhadap kehidupan mistik yang dimiliki oleh Jusoh dan misteri orang Melayu secara umumnya.

Kepadaan Situasi
Menurut Rokiah Awang (2013:96) kepadaan situasi merujuk kepada faktor sosiolinguistik, contohnya hubungan sosial, sikap sosial, dan kelas sosial. Dalam teks Shahnon Ahmad terdapat satu dialog yang boleh menggambarkan kesalahan kepadanan situasi. Misalnya
Contoh 2
Teks sumber (TS)      :Tersirap darah Semaun mendengar ucapan biadab itu. Tahulah dia di mana letaknya nilai mayat bapanya. Mahu rasanya hendak mengusir mereka di kala itu dengan candungnnya. Dia sendiri sanggup memikul mayat itu kalau tak ada orang lain. Pak Senik tertangkap gerak-geri Semaun dan cepat-cepat menyabarkannya
                                    “ Naik sembahyang dulu,” Pak Senik mempersilakan.
                                    “ Pak Senik sajalah,” ujar salah seorang dengan tegas
.
Tek terjemahan (TT)  :Semaun blood pounded. The grave digger’s coarseness showed how little respect he had for Pak Kasa’s remains. Semaun felt strongly tempted to grab his knife and chase the two men away. If no one else wanted to take the body to the graveside, he’d do it himself. Pak Senik took hold of Semaun and tried to calm him.
                                    “We’re going to pray for deceased,” Pak Senik called out to the two en. “Would you like to join us?”
                                    “Go right ahead,” one of them replied firmly.

Hubungan sosial ketara dalam bentuk panggilan (Pak Senik) yang menggambarkan hubungan rendah-ke-tinggi. Kata-kata dua orang ditandai ‘mereka’ dengan percakapan melalui singkatan seperti “ Pak Senik sajalah,” Pemilihan perkataan menunjukkan ketidaktepatan yang boleh ditafsir sebagai sikap sosial iaitu jarak tertentu antara dua orang awam yang lebih muda dengan Pak Senik. 

Orang Melayu kaya dengan budi bahasa dan akan menghormati orang yang lebih tua dengan panggilan yang selayak untuk mereka. Perbuatan yang tidak menghormati seseorang yang lebih berumur akan dianggap biadab. Avelling mungkin mementingkan pembaca sasarannya yang bercakap dalam bahasa Inggeris, sungguhpun dalam ujaran pembacanya hanya menyebut nama orang dalam membuat panggilan namun bagi penulis panggilan ‘Pak’ perlu dikekalkan dalam memperlihatkan kesantunan penulis asal. 

Lakuan Bahasa
Dalam teks Shahnon Ahmad, lakuan bahasa watak  Lebai Debasa dari segi percakapanya yang tidak disampaikan dengan sepenuhnya dalam terjemahan. Misalnya di dalam lakuan bahasa dibawah:
Contoh 3
Teks sumber (TS)      : “Gamakku kau dihambat langsuyar,” sampuk Lebai Debasa yang enak-enak menyandarkan belakangnya ke tiang di tengah ruang. Jusoh tersenyum mendengar sindiran Lebai Debasa. Dia melangkah bendul. Lebai Debasa memang suka berseloroh.

Tek terjemahan (TT)  : “We though you’d been caught by banshee,” Lebai Debasa butted in, as he leant comfortably against a post in the middlle of the room. Jusoh smiled at the remark, and entered the middle of the room Lebai Debasa was a funny man.

Keberangkalian terdapat kesalahan lakuan bahasa dari segi penggunaan kata ganti nama diri. Dalam contoh 5 “Gamakku kau dihambat langsuyar,” mungkin sepatutnya diterjemahkan kepada : “I  though you’d been caught by banshee,” . Gamakku iaitu tekaan atau agakan secara berseloroh Lebai Debasa bahawa Jusoh dikejar oleh momok. Ujaran ini hanya diujarkan oleh seorang sahaja iaitu Lebai Debasa terhadap Jusoh. Terjemah secara jamak iaitu dengan memadankan ‘Gamakku’ dengan ‘We’ adalah boleh dipersoalkan.

Makna Kata
Penting untuk diketahui bahawa kesilapan tidak hanya mengubah makna ayat di tempat ia berlaku tetapi mempunyai kesan yang jauh lebih buruk. Ia menjadikan hujah pengarang kelihatan tidak langsung bermakna dan dengan itu, memburukkan pengarang tersebut dari mata pembaca terjemahannya Menurut Kussmaul (2015:163).
Contoh 4

Bab
Isi Kandungan Teks Sumber
Isi Kandungan Teks Terjemahan
1
Jamung
The Torch
2
Harimau Jantan Terluka
The Wounded Bull
3
Melarat hingga ke Senja
Day into Night
4
Jelaga Hitam
Burn! Burn!
5
Harimau
The Tiger
Dalam ketidaktepatan makna kata juga dapat diperhatikan pada teks sumber  ke teks sasaran. Terdapat lima tajuk bab di dalam novel Rentong seperti yang terdapat di dalam contoh 4 iaitu ‘Jamung’, ‘Harimau Jantan Terluka’, ‘Melarat hingga ke Senja’, ‘Jelaga Hitam’ dan ‘Harimau’. Dalam bab 1 teks sasaran The Torch atau lampu suluh jika diterjemah semula ke dalam bahasa sumber iaitu ‘Jamung’, padanan yang diberikan oleh penterjemah agak kurang tepat kerana Jamung bahasa dialek yang biasanya diujarkan di kawasan-kawasan pendalaman di  sebelah utara sedangkan The Torch seolah-olah watak sedang memakai lampu suluh. Jamung adalah nyalaan api seperti obor yang menggunakan batang kayu dan dipangkalnya terdapat sumbu tempat api dinyalakan.

Dalam bab 2, tajuk ‘Harimau Jantan Terluka’ diterjemahkan kepada The Wounded Bull . Terdapat dua kesilapan dalam bahasa sasaran di sini, pertama The Wounded Bull adalah ‘Lembu Jantan yang Terluka’ yang digunakan untuk mengambarkan lembu jantan yang dicederakan oleh metador  semasa perlawanan lawan lembu digelenggang. Biasanya perlawanan ini diadakan dinegara-negara Barat seperti negara Sepanyol, dimana lawan lembu ini merupakan acara tradisi rakyat negara itu. Kedua lembu bukanlah haiwan yang menunjukkan kekuatan dan keperkasaan dalam budaya orang Melayu. Keputusan Aveling ini dilihat tidak berhati-hati dalam menterjemah kesetaraan budaya.

Kesalahan Bahasa
Menurut Kussmaul (2015:165), kesilapan jenis ini biasanya merupakan yang paling penting dalam pengajaran bahasa asing. Ia melibatkan kesilapan seperti salah guna kala, kata depan, tertib perkataan, idiom, kolokasi dan sebagainya, dan lebih “asas” kesilapan ini. Kesilapan ini juga muncul dalam terjemahan, tetapi standard kita untuk penilaian adalah, sebagaimana yang telah menjadi jelas sekarang, berbeza daripada yang digunakan dalam pengajaran bahasa. Misalnya.
Contoh 5
Teks sumber (TS)      : Panjang-panjang Jusoh melangkah di atas sepanjang permatang   yang lembik-lembik itu. Katak-katak kecil yang tengah berembun di atas permatang berselut itu terjun ke air, bagaikan bimbang kalau-kalau dihenyak oleh kaki kematu Jusoh yang tidak beralas sebaraang apa satu itu. Sekali sekali terdengar juga air berkocak ketika haruan menyambar anak. Tetapi Jusoh tidak mengendahkan makhluk-makhluk Tuhan yang kerdil-kerdil itu. Dia tidak boleh lengah-lengah lagi. Tentu Pak Senik dan anak buah yang terkemuka dalam kampung itu sedang menunggu kedatangannya.

Tek terjemahan (TT)  : Jusoh walked along the muddy ruce-field walls. Small frogs, half covered with dew, leapt from the soft walls into the water, as though frightened that Jusoh’s hard, calloused feet might kick them. There was an occasional stirring of the water as mudfish swam after offspring. But Jusoh ignored the tiny creatures of God. There was no the village would be waiting for him.

Di dalam plot ini Shahnon banyak bermain dengan metafora atau kiasan mengenai alam yang dikitari oleh watak-wataknya. Istilah seperti permatang, katak, ikan haruan dan selut dalam plot misalnya adalah alam yang terdapat di dalam sawah padi.  Haruan menyambar anak adalah idiom atau simpulan bahasa Melayu tidak diterjemah dengan lakuan bahasa yang betul. Istilah lainnya adalah haruan makan anak iaitu bermaksud ‘sumbang mahram’ yang berlaku dalam keluarga yang terlibat yang memetaforakan perbuatan khianat oleh orang yang dipercayai. Padanan mudfish swam after offspring  dilihat kurang membawa lakuan bahasa yang sebenar kerana bersifat literal. Sungguhpun di dalam budaya sasaran mungkin tidak mempunyai perlakuan sumbang ini, jika hanya padanan mudfish swam after offspring diberikan tanpa terjemahan lebih yang memberikan maksud kiasan yang sebanar pasti akan membuat pembaca akan terkeliru dan tercari-cari makna yang sebenar.

Kesimpulan
Dirumuskan bahawa analisis penilaian berdasarkan kepadaan atau kesilapan yang sarankan oleh Kausmaul dari segi kepadaan budaya, situasi, lakuan bahasa, makna kata dan kesalahan bahasa membantu dalam mengesan dan mengecam masalah teks. Penterjemahan yang salah pasti akan menghalang komunikasi lancar dilakukan, dengan berpandukan model ini ia memberikan garis panduan, peraturan dan kriteria dalam membuat semakan terjemahan. Sungguhpun begitu terjemahan Aveling harus diberi pujian kerana penterjemahan bukan tugas yang mudah sekadar memindahkan bahasa atau makna, pengetahuan Aveling dalam budaya Melayu banyak membantu dalam mengangkat 'kerentongan' atau kesusasteraan Melayu ke luar.


Rujukan:
Abdul Rahman Mandali dan Hasuria Che Omar, (2015) Aspek Metafora dalam ‘Rentong’ dan ‘Srengenge’: Analisis Kaedah Penterjemahan dan Pemindahan Makna, Jurnal Bahasa, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Avelling, H.(1975), Lidah tidak bertulang: mengenai terjemahan karya sastera, Kuala Lumpuur, Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.

House, J . 2013 (2009). Penterjemahan, Kuala Lumpur, Institut Terjemahan dan Buku Negara, ms. 43-57.

Kussmaul, P. 2015 (1995). Melatih Penterjemah, Kuala Lumpur, Institut Terjemahan dan Buku Negara, ms. 145-167.

Mohd. Yusof Hasan, (1989), Novel of The Troubled Years: A Study of Shahnon Ahmad’s Novels, 1965-1978, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka

Reiss, K. 2011 (2000). Kritikan Terjemahan: Potensi dan Batasan, Kuala Lumpur, Institut Terjemahan dan Buku Negara.

Rokiah Awang (2013). “Penilaian Terjemahan”. Dalam  Haslina Haroon dan Hasuria Che Omar, (Ed.), dalam Asas Terjemahan dan Interpritasi, Univerisiti Sains Malaysia, ms. 92-109

Teks sumber
Shahnon Ahmad, 1965 (1991) Rentong, Kuala Lumpur, Tempo Publishing (M) Sdn Bhd

Teks sasaran

Shahnon Ahrmad, 1991 (2012) Rope of Ash, terjemahan Harry Aveling, Kuala Lumpur, Institut Terjemahan dan Buku Negara.