Selasa, 30 Julai 2013

Prakata Senikini #20

Oleh: Faizal Sidik





Selamat Selamat Hari Raya Aidilfitri saya ucapkan kepada pembaca Senikini. Tahun 2013 ini genaplah usia 55 tahun penubuhan Balai Seni Visual Negara. Ditubuhkan pada 28 Ogos 1958 bermula di Jalan Ampang daripada 1958-1983, kemudian di Hotel Majestic Kuala Lumpur di Jalan Sultan Hishamuddin daripada 1984-1998, dan sehingga kini mempunyai bangunannya sendiri yang tersergam di Jalan Temerloh Off Jalan Tun Razak.

Menelusuri penubuhan BSVN sepanjang 55 tahun pelbagai cabaran yang dialaminya. Mengimbau kembali sejarah penubuhan Balai bermula dengan penubuhan sebuah Majlis Kesenian di pada tahun 1952. Hasilnya pada tahun 1955 Majlis ini telah giat membincangkan akan keperluan penubuhan Balai Seni Lukis Negara yang menyimpan Koleksi Seni Nasional. Hasrat ini menjadi kenyataan apabila Perdana Menteri pada masa itu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengungkapkan minat peribadi beliau terhadap projek ini.

Pada bulan Mac 1956 , ketika merasmikan pameran Third Annual Open Malayan Art Exhibition yang diadakan di sebuah bangunan kerajaan sebagai rumah sementara untuk menyimpan koleksi karya seni lukis negara. Tunku secara prinsipnya meluluskan Malaya ketika itu perlu memiliki Balai Seni Lukis Negaranya sendiri. Dua tahun kemudian pada  tahun 1958 ketika merasmikan pameran Fifth Annual Open Malayan Art Exhibition mengumumkan premis yang digunakan itu sebagai pendudukan sementara Balai Seni Lukis Negara. Pada Mesyuarat Majlis Kesenian yang ke-78, tanggal 28 April 1958. Pengerusinya mengumumkan bahawa Kabinet telah meluluskan Kertas Cadangan Untuk Balai Seni Lukis Negara, dan sejumlah RM 1000 telah diberikan kepada Majlis Kesenian bagi perbelanjaan awal ketika itu.

Dasar Seni BSVN yang menyatakan perlunya dalam memberi pertimbangan utama fungsi utama pedogogi dalam merapatkan jurang yang sedia ada di antara seniman dan orang ramai. Keputusan untuk menubuhkan sebuah balai seni yang menyimpan karya seni lukis menandakan pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap pembangunan dan pengembangan seni visual dalam pembinaan negara. Kesedaran dan penerimaan rasmi ini cukup penting buat seniman. Hasil usaha mereka akan dikumpulkan, ditempatkan, ditayangkan untuk pameran awam dan dipelihara bagi ganerasi mendatang sebagai cerminan warisan kehidupan budaya bangsa

Sepanjang 55 tahun penubuhan juga Balai Seni Visual Negara membantu mempromosikan seni dalam negara dengan menganjurkan pameran dan pertandingan serta menampilkan imej artistik negara ke luar negara melalui pameran bergerak dan penyertaan di dalam pameran-pameran seni antarabangsa. Antara kegiatan utama Balai Seni Visual Negara dalam mempromosikan seni Malaysia ialah penganjuran pameran Malaysian Art Travelling Exhibition yang mengelilingi Eropah pada tahun 1965/6, Salon Malaysia 1969, Malaysian Art Travelling Exhibition yang mengelilingi Australia dan New Zealand pada 1969. Penglibatan Malaysia dalam 10th Sao Paolo Biennale, Brazil 1969. Asian Countries in Contemporary Art Tokyo, 1969, Expo '70, Osaka (International Pavilion), 'Man and His World' Exposition Montreal, Canada 1970, Personal Choice Exhibition, 1972, Abstract Expressionists of the sixties, 1974, Asean Mobile Exhibition,1974,  Modern Sculpture in Malaysia,1976, North Malaysian Week Festival, Aldelaide, Australia 1973, Plastic Arts in Malaysia 1957-1977, Open Art and Graphic Print Competition 1977' serta penglibatan Malaysia dalam Fourth Triennale of Contemporary World Art, New Delhi, India 1978. Malaysia Art 1965-1978, London 1978, Gema : Resonance di Republik Czech, 1998, 

Sempena menyambut 55 tahun Balai Seni Visual Negara ini juga pelbagai program khas telah, sedang dan akan dirancang dalam meraikannya sepanjang tahun ini. Antaranya ialah pameran ‘M50’ iaitu pameran istimewa sempena menyambut Hari Penubuhan Malaysia yang ke-50 tahun yang akan diadakan pada bulan kemerdekaan iaitu dari Ogos sehingga tarikh Penubuhan Malaysia pada 16 September. Pameran terbaik pilihan lain yang diraikan dalam merayakan sambutan ini adalah seperti pameran mega ’60 Tahun Latiff Mohidin Retrospektif’, ‘Destiny: Young Group Show’, ‘Absurd(city)’, ‘Warisan: Kaligrafi Cina Malaysia Ke-6’, ‘Penglipurlara: Alkesah Yang Empunya Cherita’, ‘Pancawarna: Karya Pilihan 1990-2013 Syarifah Fatimah Syed Zubir’ , ‘Huang Yao’s Life’, ‘Bakat Muda Sezaman 2013’ dan lain-lain telah direncanakan.



Prakata Senikini #19



Oleh: Faizal Sidik



Senikini pada edisi  ini akan memberi fokus kepada pertandingan dan pameran Bakat Muda Sezaman. Bakat Muda Sezaman atau BMS merupakan sebuah penganjuran yang telah lama diadakan oleh Balai Seni Visual Negara. Ia boleh dikatakan sebagai pertandingan seni lukis kontemporari yang tertua pernah diadakan di Malaysia malah Asia Tenggara iaitu sejak tahun 1974 lagi. Tujuan diadakan BMS adalah untuk mencungkil potensi pelukis-pelukis muda negara yang diharap dapat mengisi perkembangan seni lukis dinegara ini. Tidak hairanlah pelukis-pelukis kontemporari utama hasil daripada program ini.

Penulisan fokus ini akan diisi dengan 'Dialog Bakat Muda Sezaman Edisi ke-23' oleh Faizal Sidik, kemudian di susuli dengan ‘Hipotesis Kuratorial Bakat Muda Sezaman' oleh Erry Arham Azmi dan Christina Kang dengan tajuk 'Installation Art In Young Contemporary Award'. 

Artikel pilihan pula akan melihat tinjauan Faizal Sidik yang terpilih sebagai kurator bersama (co-curator) dalam Singapore Biennale 2013 dengan tajuk ‘4th Singapore Biennale Curatorial Team Workshop’, Zitil Akhyar Baharin akan membuat pendefinasian sekali lagi mengenai muzium dengan ‘Pameran Seni dan Objektiviti’ pula. Rahim Mat mengungkap kembali seni lukis Melayu dalam ‘Kosmologi Melayu’. Mohd Zahamri Nizar membuat penyelidikan muzium mengenai seni iluminasi dengan ‘Seni Iluminasi Al-Quran Terengganu Abad ke-19’. Penulisan  kurator BSVN iaitu Siti Maisarah dan Shahrul Niza Zaini membuat analisa dan ulasan pameran mengenai  ‘Salon Malaysia’ dan ‘Destiny: Young Group Show’. Manakala Baktiar Naim dalam ruangan baru Artis di Studio membuat temubual bersama artis muda ‘Abdul Latif Padzali’. Eli Farhana pula melapor projek komuniti yang dilakukan oleh Aishah Baharuddin dalam ‘Mengakar Kesedaran Sosial Dengan Seni’. 

Ulasan pameran akan memperkatakan pameran ‘Fabric of Soceity’ yang kini sedang di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara. Pameran berkumpulan ’12 Observing 21.12.12’ di Pulau Pinang oleh  Chuah Eeyan, manakla pameran ‘Midterm’ di Shalini Ganendra Fine Art (SGFA) di ulas oleh Sarah Cawthorne and Megan Schlater. Semantara Emilia Tan dengan ‘Starving Artist’ dan Natalie membuat ulasan ‘What a Week: 5th Beyond Pressure’.


Prakata Senikini #18



Oleh: Faizal Sidik



Tahun 2013 baru sahaja membuka tirainya, sempena menyambut 50 tahun Penubuhan Malaysia, BSVN telah merancang program-programnya yang tersendiri dalam. Antaranya ialah memperkasakan kreativiti dalam seni visual di bawah Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) dan menerusi penerapan program yang menjurus kebawah melalui seni komuniti agar ia mendasar kepada masyarakat. Seni untuk masyarakat perlu diperlihatkan semula perluahan yang bukan sahaja pengkaryaan membawa nilai pengajaran kepada masyarakat seperti keindahan, kehalusan dan kebaikan tetapi sebagai sebuah terapi seni kepada masyarakat dalam menjalani kehidupan harian mereka agar ia sejajar dengan membawa aspirasi kerajaan.

Muka depan Senikini  keluaran no.18 ini memperlihatkan karya-karya terpilih di dalam pameran ‘Members Only’ iaitu  sebuah pameran himpunan karya artis yang menjadi ahli BSVN. Senikini pada edisi  ini akan memokuskan perkembangan seni visual di Pahang, antaranya 'Pengkisahan Sejarah Sempena Sambutan Jubli Perak SENIKA ke- 25 Tahun' oleh Osmihamdy Osman, 'Karya Pelukis Pahang dalam Koleksi Balai Seni Visual Negara: Suatu Tinjauan 1960 an hingga 2010 an' oleh Faizal Sidik dan Arippin Said dengan tajuk 'Garis dan Warna Pelukis Pahang: Jiwa Nurani Dua Penggiat Seni'. 

Artikel pilihan pula dengan pengenalan kepada Dasar Industri Kreatif Negara oleh Adina Quraisa Rahim, Hakimi Halim dan Hishamuddin Siri menulis bersama kuasa visual dalam fotografi, Zitil Akhyar Baharin membuat pendefinasian pemuziman dinegara ini, Mohd Fuad Arif melontarkan idea amalan seni, Fauzan Mat mengulas pengkaryaan artis Sylvester Jussem, Christina Kang dengan pengenalan kepada seni instalasi di Malaysia dan Muhamad Hafiz Osman melaporkan minggu Malaysia yang telah diadakan di kota London.

Ulasan pameran akan memperkatakan pameran ‘Serangga’ Latiff Mohidin oleh Idarina Ibrahim yang diadakan di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara. Pameran solo oleh Halim Hussein di RA Fine Art yang ditulis pula oleh Erry Arham Azmi dengan tajuk ‘Interpritasi Atas Interpritasi Simbolicum’, Di Maison of Modern Art (MOMA) ‘Class of 1997’ iaitu pameran berkumpulan oleh ahli dalam Suara Jiwa dirakam kembali oleh Khairil Anwar Mohd Azhari , manakala pameran solo Zac Lee dan Carol Cassidy di Shalini Ganendra Fine Art (SGFA) diinterpritasikan semula oleh  Sarah Cawthorne. Pameran ‘Mr Element 5’ oleh Sivarajah Natarajan diadakan di Sutra Gallery dan ‘Rezeki’ di Galeri Chandan, Map Publika.

Selasa, 23 Julai 2013

Saranan Kepada Seni Visual dalam Pembinaan Negara

Oleh : Faizal Sidik

Untuk menjadi sesebuah negara yang maju dari semua aspek penglibatan semua tenaga kerja amat penting dalam pembinaan negara seimbang. Sebuah negara yang seimbang dari aspek fizikal dan rohani sudah tentu pula melihat penglibatan golongan budayawan dan seniman seiring dalam pembinaan negara. Pujangga ada mengatakan karya seni boleh mengendurkan sedikit ketegangan pergolakan politik yang berlaku dalam sesebuah negara. 

Seniman yang saya masksudkan di sini bukanlah hanya pelukis yang terlibat dalam penghasilan karya seni halus tetapi juga mereka yang terlibat dalam dunia rekacipta secara keseluruhannya atau lebih tepat lagi industri kreatif. Di negara-negara maju mereka  yang terlibat dalam industri kreatif telah diberi tempat yang sewajarnya dari segi dana dan infrastruktur untuk terus berkembang, dan tidak hairanlah industri kreatif ini telah menyumbang kepada pendapatan kedua teratas dalam carta pendapatan negara.

Memperkembang Budaya visual
Berbalik pula pada negara kita disini. Balai Seni Visual Negara sebagai sebuah agensi tunggal yang diberi peranan sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam memperkembangkan budaya visual, sudah tentu menjadi harapan kepada pelanggan-pelanggannya yang bukan sahaja kepada pelukis tetapi juga mereka yang terlibat dalam bidang visual seperti pereka, arkitek, animator, pengusaha produk kreatif dan lain-lain. Peralihan daripada memberi fokus daripada seni lukis kepada seni visual yang lain ini bukanlah mudah tanpa ada bantuan yang sewajarnya dalam merealisasikan harapan warga seni agar seni produk seni visual negara yang dihasilkan oleh anak tempatan dapat bersaingan dan setanding dengan rakan mereka di peringkat antarabangsa dalam memperkembangkan budaya visual.

Karya Ikon
Setiap negara yang menuju kepada kemajuan maju tidak mahu tidak boleh mengkesampingkan produk budaya yang ada di negara mereka. Jika karya Monalisa oleh Pablo Picasso menjadi ikon utama pelancong-pelancong melimpah datang ke Lourve Museum di Paris, di New York pula pelancong mahu melihat koleksi karya Impressionis di Cezanne, Pissaro atau Van Gogh yang dipamerkan di Muzium of Modern Art (MOMA) atau di Metropolitan Museum (Met). Karya-karya atau pelukis ikon ini menjadi tumpuan dunia walaupun pelukisnya telah lama tiada. Jesteru pelaburan yang sewajarnya perlu dilakukan bagaimana fenomena yang berlaku di sini. Untuk  mencontohi negara-negara berkenaan untuk menerima kunjungan pelawat seni dan budaya tidak salah kiranya untuk kita berbelanja untuk membeli karya-karya besar oleh pelukis besar untuk dijadikan koleksi Balai Seni Visual Negara umpamanya sebagai salah satu tarikan baru pelancong datang ke negara ini.

Acara Seni Visual bertaraf antarabangsa.
Menganjurkan acara seni visual yang bertaraf antarabangsa sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang besar dalam merelisasikan hasratnya. Acara seni visual besar yang diadakan secara dwi tahunan di rantau Asia Tengggara seperti Singapore Biennale, Jakarta Biennale, Jogja Biennale telah meningkatkan ekonomi negara penganjur. Contohnya National Heritage Board melalui agensi pelaksana Singapura Art Museum telah melabur lebih 6 juta SD dalam penganjuran Singapore Biennale edisi ke- 4 nya pada tahun ini telah menarik ratusan ribu pelancong terutamnya dari Asia Timur dan Eropah untuk datang dan merayakannnya. Acara seni visual yang bertaraf antarabangsa ini bukan sahaja sebagai acara biasa malah ia merancakkan sektor industri lain seperti perhotelan, pengangkutan dan makanan seterusnya meningkatkan pendapatan negara melalui perkhidmatan yang ditawarkan.

Sesungguhnya banyak perkara yang perlu lagi dilakukan dalam memperbaiki lagi infrastruktur dan prasarana dalam memantapkan lagi seni visual di sini. Usaha yang dilakukan secara berterusan sejak penubuhaan Balai Seni Visual Negara sejak 55 tahun yang lalu memerlukan sokongan dan galakan agar institusi ini setanding dengan negara jiran yang lain setidak-tidaknya di rantau Asia Tenggara sendiri agar terus bersaing dalam menyediakan perkhidamtan seni dan budaya dalam pembinaan negara.



Selamat Pasar Payang!

Ahmad Nashidi Ismail,  ‘Pulang’ 2013

Oleh: Faizal Sidik


Ada  orang mengatakan sesebuah lukisan itu boleh memberikan seribu makna, persoalannya adakah ini benar? Betul, benar, sah atau tidak itu bukanlah ada apa-apa, namun bagaimana sesebuah karya lukisan itu boleh membentuk persepsi tindakan seterusnya apabila khalayak itu menghayatinya itulah yang lebih penting. Jika ditanya persolan yang lain, adakah lukisan boleh merubah kuasa politik, saya katakan jawapanya ya! kerana sejarah telah membuktikannya.

Buktinya Revolusi Bolshevik di Rusia yang timbul membawa bersama aliran Sosial Realisme. Pengkaryaan seniman seperti pelukis, penyajak, pemuzik, pengiat teater, arkitek turun kebawah yang pro kepada rakyat. Sosial Realisme ini timbul adalah untuk menjadi pengimbang kepada gerakan Ekspressionisme Abstrak sewaktu Perang Dingin diantara negara-negara Blok Timur iaitu Rusia, China, Korea Utara dengan Blok Barat yang dipimpin oleh Amerika sendiri dan negara-negara sekutunya seperti British, Jerman dan lain-lain. 

Daripada apa yang diberikan saya bukanlah menyokong parti komunis atau pro Amerika, tetapi bagaimana gerakan ini dapat menjadi model dalam penghasilan karya komentar sosial-politik disini. Berkarya dengan berpandukan kepada gerakan ini bukanlah salah, tetapi mereka yang tidak memahami itulah yang menjadi kesalahan. Ini kerana belumpun kedengaran pelukis-pelukis yang mengamalkan aliran ini ataupun yang berkarya berdasarkan pergolakan politik semasa yang berlaku  di Malaysia telah di gari serta di tangkap serta dimasukkan ke dalam lokap polis.  

Sebuah karya yang bersifat tempatan yang menarik untuk diperbincangkan disini adalah karya Ahmad Nashidi Ismail bertajuk ‘Pulang’ 2013. Karya ini telah menjadi perhatian juri untuk memenangi hadiah lukisan di Citra Terengganu yang diadakan baru-baru ini. Pada padangan mata kasar memperlihatkan keindahan negeri yang di kenali dengan Bandaraya Warisan Pesisir Air itu dengan tersegamnya ikon Masjid Kristal dan ketenagan air laut yang membawa balik nelayan pulang dengan bot nelayan terdapat rupanya gejolak jiwa yang dipertontonkan secara halus namun merupakan satu isu yang hangat diperkatakan kini.

Baju tshirt berwarna putih yang di pakai oleh seorang budak lelaki tertulis “Selamatkan Pasar Payang Warisan Kita” adalah satu teks ringkas yang cukup dalam maknanya bukan sahaja kepada peniaga dan pembeli di situ malah kepada rakyat negeri Terengganu amnya kerana ia merupakan jiwa kepada ‘Ganu Kite’. Bak kata orang tiada Pasar Payang tiadalah Terengganu. Pasar yang diambil sempena nama perahu payang adalah merujuk kepada pasar besar yang merupakan tempat perniagaan tradisional yang popular di kalangan pelancong di Terengganu.

Mesej “Selamatkan Pasar Payang Warisan Kita” yang di sampaikan melalui baju t merupakan satu mesej yang jelas tanpa disorok-sorok lagi maknanya dan perasaan yang membuak-buak pemakainya. Ia bukan sahaja mudah, ringkas dan jelas tetapi bagi pemimpin negeri mempunyai agenda tersembunyi disebalik isu hangat Pasar Payang ia pasti membuat menggoyangkan kaki mereka untuk  tidak senang duduk untuk melihat  keputusan pilihanraya nanti.